Wednesday, February 24, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (1)

Perpaduan adalah syarat kepada kestabilan sesebuah negara. Sama ada kecil atau besar negara berkenaan, mengurus perpaduan rakyat berbilang kaum mesti diberi keutamaan dan peruntukan yang besar untuk dicapai. Jika tidak, keadaan yang berlaku pada 13 Mei 1969 mungkin berlaku, baik pada Malaysia atau negara-negara lain yang memiliki ciri-ciri yang sama.

Sejarah perpaduan rakyat Malaysia bermula sebaik sahaja mencapai kemerdekaan daripada British. Struktur ekonomi, politik dan sosial negara kita diwarisi sepenuhnya daripada penjajah. Kemasukan beramai-ramai pekerja asing dari China dan India seterusnya menjadi warganegara telah memberi implikasi kepada polarisasi penduduk. Agihan penempatan penduduk ini ditentukan oleh British yang mempastikan Cina berada di bandar, Melayu di kampung dan India di estet. Struktur susunan begini adalah untuk mempastikan pelaksanaan dasar ‘pecah dan perintah’ bergerak selari dengan aspirasi mereka bagi mengelak pemberontakan, meraih sumber ekonomi dan penguasaan berterusan ke atas penduduk berbilang kaum. Kesan dasar ini berterusan sehingga Malaysia mencapai kemerdekaan.

Kewujudan pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban serta hampir 200 etnik yang lain dengan agama, budaya dan adat resam berbeza memberi tekanan kepada pembuat polisi untuk membentuk satu mekanisme ke arah perpaduan yang tulen. Selain berpisah dari segi agama dan etnik, sempadan negeri dan wilayah juga menyukarkan proses perpaduan dilaksanakan dengan cepat. Masyarakat Melayu sahaja berpecah kepada negeri-negeri yang memiliki loghat bahasa dan adat tradisi yang berbeza. Melayu di utara Semenanjung Malaysia memiliki dialek bahasa sendiri yang berbeza dengan Melayu di Kelantan atau Terengganu. Perbezaan ini membawa sekali perbezaan budaya namun dapat dikawal oleh kesatuan akidah iaitu Islam. Jadi perbezaan cara hidup dan budaya tidak begitu ketara.

Masyarakat Cina juga mempunyai masalah yang sama kerana hidup dan kesukuan. Setiap suku sentiasa bersaing untuk menonjolkan kumpulan masing-masing, bersaing dalam ekonomi dan berusaha meningkatkan status sosial dalam kalangan masyarakat. Suku Fu Cheow, Hokkien atau Hakka sentiasa bersaing untuk menjadi jaguh masyarakat. Mereka juga dikenali dengan penguasaan sesuatu daerah atau jenis perniagaan. Masyarakat Cina di Malaysia menganut pelbagai jenis agama seperti Buddha, Kristian, Islam dan Hindu.

Masyarakat India masih terikat dengan kasta biar pun tidak jelas penkastaan berkenaan. Pengelompokan penempatan berdasarkan kasta ini tidak begitu diketahui dan ia juga tidak ditonjolkan dalam masyarakat Malaysia. Etnik India di Malaysia beragama Hindu, Kristian dan Islam.

Usaha ke arah perpaduan rakyat berbilang etnik di Malaysia mesti mengambil kira kepelbagaian dari segi etnik, agama, bahasa, suku kaum, budaya, adat tradisi dan sentimen kenegerian. Walau bagaimanapun terdapat keyakinan bahawa kepelbagaian ini dapat membina kekuatan kepada negara kerana kelompok etnik ini dapat diintegrasikan dalam sebuah masyarakat berlandaskan ciri-ciri keMelayuan.

No comments:

Post a Comment