Friday, February 26, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (3)

Dasar kerajaan dan perkaitannya

Kerajaan meletakkan perpaduan rakyat sebagai keutamaan apabila menggubal sesuatu dasar kerana kestabilan negara ini sangat bergantung kepada perpaduan. Ia juga menentukan ekonomi negara boleh dipacu dalam masa yang pantas. Antara dasar kerajaan yang menekankan perpaduan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Negara, Dasar Bahasa Kebangsaan, Rukun Negara dan Wawasan 2020. Artikel ini akan menghuraikan satu per satu pelaksanaan dasar-dasar ini yang menjadikan perpaduan sebagai elemen utama semasa penggubalannya.

Selepas kejadian rusuhan etnik 1969, kerajaan menyedari wujudnya jurang sosioekonomi di antara etnik yang luas dan longgarnya ikatan kewarganegaraan dalam kalangan rakyat pelbagai budaya. Pihak kerajaan telah melaksanakan dua dasar utama setelah politik negara kembali stabil, iaitu, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara. Dasar Ekonomi Baru mempunyai beberapa penekanan bermula dengan membasmi kemiskinan, menyusun semula struktur ekonomi agar perkerjaan tidak bercirikan batas etnik dan mewujudkan masyarakat industri dan perniagaan bumiputera. Manakala kontrak sosial negara yang termaktub dalam perlembagaan diolah kembali melalui Rukun Negara agar dapat dijadikan prinsip dan pegangan hidup rakyat Malaysia. Demi membina masyarakat bersatu padu, skim Rukun Tetangga telah dilancarkan 1975 untuk membina perhubungan etnik di peringkat masyarakat melalui skim rondaan dan konsep muhibah.

Dasar Ekonomi Baru


Dasar Ekonomi Baru umpamanya telah dirangka berikutan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Diperkenalkan pada tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) untuk membaiki dan meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat (Yusuf Ismail & Khayati Ibrahim, 1993). Dasar ini mengambil masa selama 20 tahun yang merangkumi Rancangan Malaysia berikut :

1. Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975)
2. Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980)
3. Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985)
4. Rancangan Malaysia Kelima (1986-1990)

Matlamat utama Dasar Ekonomi Baru ialah pengurangan kemiskinan luar bandar dan bandar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Pada tahun 1969-1970, telah jelas kepada kerajaan bahawa keadaan hidup orang Melayu ketika itu amat daif dan miskin khususnya di luar bandar. Kemiskinan dengan sendirinya telah menimbulkan ketegangan di antara golongan yang miskin dan kaya tanpa mengira kaum. Rancangan pembangunan negara yang telah dijalankan oleh kerajaan sebelum ini tidak berjaya mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan penduduk walaupun negara secara keseluruhannya telah mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi.

Strategi yang digunakan bagi menyusun semula masyarakat ialah pengurangan secara muktamad ketidakseimbangan ekonomi mengikut kaum yang bermaksud, (i) pendapatan (ii) guna tenaga, dan (iii) kekayaan (Just Faaland,2002). Usaha-usaha dicapai melalui beberapa projek iaitu:

1. Membuka dan mengadakan peluang-peluang pekerjaan pada kadar yang mencukupi bagi mengurangkan kadar pengangguran seterusnya mencapai aras guna tenaga yang penuh.

2. Menambahkan kemudahan bagi meningkatkan pendapatan dan produktiviti semua golongan orang miskin sama ada di luar bandar atau kawasan bandar menerusi peluang-peluang kemahiran, tanah, modal dan sebagainya.

3. Mewujudkan institusi baru dan mengubahsuaikan institusi yang sedia ada supaya pemindahan antara sektor dan intra sektor dapat dipercepatkan bagi mewujudkan kegiatan daya pengeluaran tinggi. Kaedah ini dapat mempercepatkan golongan miskin untuk bergiat aktif dalam bidang perindustrian dengan lebih produktif.

4. Meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar dengan memodenkan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik, perumahan, jalan raya, kemudahan komuniti dan kegiatan masyarakat.

No comments:

Post a Comment