Sunday, August 31, 2008

Menghargai perpaduan negara

Negara Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan etnik dengan kaum terbesar ialah Melayu, Cina, Kadazan-Dusun, Iban, Cina dan lain-lain. Kewujudan pelbagai etnik ini memberi banyak dimensi kepada budaya, perpaduan dan sering menjadi agenda yang mewarnai politik, sosial dan pentadbiran negara. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, Malaysia menghadapi keresahan masa depan yang tidak menentu. Walau bagaimanapun kewujudan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya menjadi kekuatan walaupun masyarakat luar melihat ia merupakan suatu mimpi ngeri bagi negara ini.

Terdapat suara sinis ke atas kemampuan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk mengurus kepelbagaian ini biarpun ada yang meyakini kepelbagaian tersebut dapat diurus dengan sempurna. Perubahan yang dilalui oleh sebahagian besar masyarakat setelah mendapat kemerdekaan daripada British masih lagi menjadi persoalan sehingga kini.

Sepanjang meniti usia kemerdekaan ini, beberapa peristiwa besar telah menggugat perpaduan kaum yang dilihat sebagai mencacatkan rekod perpaduan yang dilalui. Dengan peristiwa 13 Mei 1969 menjadi igauan buruk kepada generasi tua, ia tidak lagi menjadi satu yang diutamakan oleh generasi muda, generasi "hip-hop" atau generasi "reformasi."

Bagaimana seharusnya pemimpin-pemimpin negara mengurus kepelbagaian ini? Apakah mereka wajar melupai sejarah silam dan melihat masa hadapan dengan lebih optimis dan mengukir bait-bait indah ke atas laluan getir politik negara?

Laluan perjalanan sejarah bangsa dan negara tidak harus dipinggirkan apabila kita ingin melihat hala tuju pada masa depan. Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang agama, bangsa, bahasa dan budaya, andaian-andaian yang buruk seringkali menjadi fokus. Contohnya, sebelum mendapat kemerdekaan, malahan selepas merdeka turut menjadi persoalan iaitu perkauman.

Setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia tidak boleh lari daripada identiti kaum. Dalam pendidikan, keutamaan diberikan kepada kelompok majoriti manakala sekolah rendah dan menengah berasaskan vernakular masih diberi bantuan oleh kerajaan. Dalam hal ehwal ekonomi dan pentadbiran awam masih terdapat kouta yang perlu dipatuhi. Pendek kata, statistik pencapaian dalam sesuatu bidang masih lagi ditentukan oleh perkauman. Sekiranya wujud kekurangan, pemimpin-pemimpin kaum yang berkepentingan akan mula mencanang kegelisahan mereka supaya setiap keadaan yang pincang diperbetulkan.

Akan sampai masanya keretakan etnik yang dikhuatiri itu bakal menjadi kenyataan sekiranya konsep politik matang diketepikan.

Namun, kegelisahan ini tidak sepatutnya menjadi masalah kerana konflik di antara kaum yang berlaku selama ini banyak disebabkan oleh kurangnya keseimbangan dalam pembangunan yang menyebabkan ada golongan yang dipinggirkan. Insiden di Kampung Medan sebagai contoh, digerakkan oleh ketidaksamarataan di antara kaum dan kemiskinan bandar. Insiden kemiskinan tegar yang masih wujud di negara ini walaupun semakin berkurangan, nampaknya tidak begitu diusahakan bersungguh-sungguh di bandar sehingga timbul gelaran "kemiskinan bandar."

Selain daripada peristiwa 1969, tidak ada pergaduhan besar yang berlaku melibatkan kaum di Malaysia. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamatkan pembasmian kemiskinan secara bersungguh-sungguh melalui tiga strategi iaitu menambah daya pengeluaran dan pendapatan penduduk, peluang untuk rakyat menukar kegiatan ekonomi daripada sektor rendah daya pengeluaran kepada sektor yang lebih menguntungkan, dan mengadakan perkhidmatan sosial percuma untuk meningkatkan golongan berpendapatan rendah.

Setelah DEB berakhir, terdapat dua dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sebagai kesinambungan ke arah pembasmian kemiskinan di negara ini. Dasar tersebut ialah Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan Negara yang menggariskan pelbagai strategi.

Kadar kemiskinan yang semakin berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2007 telah menjadikan keadaan sosial masyarakat semakin stabil. Tidak timbul lagi apa yang diistilahkan sebagai "keretakan etnik" di dalam masyarakat seperti yang difikirkan oleh ramai orang. Kestabilan ini dapat dilihat apabila negara pernah mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setahun bagi beberapa tahun yang akhirnya memberi idea kepada Tun Dr Mahathir mencetuskan Wawasan 2020.

Dari segi ekonomi, semua kaum telah berusaha untuk menjayakan perkongsian bijak bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ada di kalangan mereka yang bertindak menjadi pemacu ke peringkat global. Ekonomi yang berkembang memberi harapan kepada rakyat pelbagai lapisan memperbaiki taraf hidup masing-masing dengan mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik. Tanpa mengira kedudukan dan batas etnik, mereka berkongsi nilai tentang kejayaan, usaha yang gigih dan hidup bersama. Anehnya, keadaan ini berlaku ketika mereka hidup dalam keadaan silang budaya di mana perbezaan yang sangat jelas dari segi agama, bahasa dan budaya.

Kewujudan nilai-nilai bersama terserlah dalam masyarakat yang mementingkan perpaduan dan menolak sama sekali pemikiran militan dan berat sebelah. Gerakan sosial yang songsang dari kumpulan anti kemajuan akan ditolak supaya keharmonian yang telah wujud tidak digugat sama sekali oleh elemen yang memecah belah.

Tentunya keadaan ini dibentuk setelah pelbagai dasar dan program yang dirancang dan dilaksanakan bersungguh-sungguh supaya citra penjajah tidak lagi menjadi pengaruh yang membayangi masa depan negara. Pihak British sentiasa berpegang kepada konsep etnik yang sempit bukan sahaja kerana mahu mengukuh status quo kuasa malah kerana sikap rasisme dan etnosentrik mereka sendiri terhadap budaya-budaya lain.

Masyarakat majmuk

Konsep ras atau bangsa dari perspektif penjajah ialah berdasarkan ikatan darah yang dilihat mementingkan bangsa sendiri. Struktur sosial masyarakat disusun berdasarkan peranan tertentu yang dikhususkan supaya senang dikawal. Penstrukturan seperti ini hanya mementingkan ekonomi dan survival penjajahan British.

Masyarakat disusun atur dengan memberi peranan untuk orang kulit putih berada di atas susun lapis masyarakat dengan Cina, India, Melayu dan bumiputera lain di bawahnya dalam bidang kegiatan ekonomi dan di bidang politik pula diletakkan selepas orang kulit putih, golongan bumiputera di bawahnya dan diikuti oleh kumpulan-kumpulan etnik yang lain. Orang kulit putih diberi ruang ekonomi dalam perdagangan, timah dan ladang-ladang getah, orang Cina sebagai buruh dalam kegiatan timah dan peniaga-peniaga, orang India buruh dalam sektor awam, pembinaan infrastruktur bangunan dan jalan serta sebagai penoreh getah estet di ladang getah, manakala orang Melayu sebagai pentadbir bawahan, petani dan nelayan sahaja.

Keadaan sejak 51 tahun merdeka telah banyak menunjukkan perubahan yang ketara. Walaupun golongan bumiputera tidak dapat mengecap kouta 30 peratus dalam penguasaan ekonomi seperti yang ditetapkan dalam DEB, terdapat banyak kesedaran terhadap keperluan berekonomi di kalangan kelompok ini. Kekuatan utamanya ialah kesungguhkan kerajaan memberi insentif dan pelabagai galakan lain khususnya kepada generasi muda dengan melibatkan diri secara besar-besaran dalam ekonomi moden.

Jika dahulu agak sukar bagi kita melihat kedai-kedai dan rangkaian peruncitan Melayu, dengan perkembangan teknologi maklumat dan Internet serta pendidikan yang terbaik, kesedaran terhadap pentingnya berniaga mula muncul di dalam diri mereka. Apatah lagi ketika ini corak perniagaan tidak banyak dikelaskan kepada etnik tertentu tetapi lebih kepada nilai dan ciri kepenggunaan seperti berkualiti, kompetetif dan memenuhi kehendak pengguna. Bagi jangka masa panjang, perniagaan berasaskan kepada pengenalan kaum tidak akan menjadi isu utama di Malaysia. Sebaliknya kesungguhan dan kerajinan akan mengambil tempat.

Kerajaan dan rakyat bercita-cita melihat negara ini sebagai sebuah negara industri yang maju dan demokratik di mana setiap rakyat tanpa mengira etnik akan hidup bersama dalam suasana makmur, adil dan sejahtera. Dengan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang dicapai pada masa ini, perjalanan negara untuk mencapai cita-cita pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu bukannya menjadi masalah besar.


Teras kepada realiti ini ialah pengurusan yang mengambil kira kepentingan semua kaum, memelihara hak dan memberi keadilan serta memberi perhatian serius kepada kelompok minoriti bagi mengelakkan peminggiran. Urutan konflik yang berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan bukannya disebabkan oleh perbezaan etnik sebaliknya kemunduran, ketidaksamarataan, kemiskinan dan peminggiran yang menimbulkan rasa tidak puas hati. Justeru bagi menyelesaikan kehendak tersebut, mereka mencari alasan perbezaan etnik sebagai punca utama.

Kestabilan, kemakmuran dan keharmonian etnik yang dikecapi oleh kita sekarang tidak datang bergolek tetapi berlaku di atas kesedaran dan kemahuan kita untuk menjadikan perkara-perkara ini sebagai sebahagian dari kehidupan kita. Justeru itu kita tidak boleh mengambil kejayaan kita secara sambil lewa. Kita perlu bersikap proaktif, merancang, melaksana dasar dan program serta mengawasinya agar buah akhirnya adalah apa yang kita cita-citakan: sebuah negara yang makmur, stabil dan harmoni.

Rumusan

Ruang untuk menang-menang dalam politik, ekonomi dan kehidupan masyarakat kepelbagai budaya boleh dicapai jika acuan perkongsian kuasa, pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan dan mengurus dimensi etnik serta agama berteraskan kesederhanan dijadikan amalan tadbir urus negara yang baik dan adil.
"Perpaduan teras kejayaan" hanya akan menjadi kenyataan jika semua pihak berusaha untuk mengekalkan situasi menang-menang yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara Malaysia yang bebas, aman dan merdeka.

Friday, August 29, 2008

Suamiku seorang muslim

Kerapkali suami yang beragama Islam digambarkan sebagai pengongkong oleh media Barat.

Saya telah berkahwin selama 12 tahun dengan seorang suami yang beragama Islam dan perjalanannya sangat panjang serta mendebarkan tetapi penuh dengan kegembiraan. Semasa kami berkahwin, saya masih seorang kristian khatolik dan tidak terlintas untuk menjadi seorang muslim.

Suami saya sangat memahami dan akan bertanya sejauh mana membaca terjemahan al-quran dalam bahasa Inggeris dari semasa ke semasa. Saya akur dengan kehendaknya. Kemudian kami berpindah ke Kuwait kerana ekonomi Amerika Syarikat agak lembap dan sukar bagi kami untuk mendapat kehidupan yang lebih baik di situ.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari kapal terbang, saya ditujah ke dalam dunia baru yang penuh dengan ciri-ciri keislaman, muslim, tradisi budaya dan cara berfikir yang baru. Saya berasa sangat gementar, hilang punca dan kata-kata. Apa yang saya mahu lakukan ialah kembali ke dalam pesawat dan beredar segera dari situ.

Sepanjang hidup yang saya lalui, suami saya sentiasa berada di sisi. Apabila saya dapati ibu mertua menyediakan masakan yang agak pedas, beliau akan mempastikan saya mendapat pilihan makanan lain termasuklah McDonald dan Pizza Hut.

Apabila merindui keluarga di A.S, beliau akan menemani saya sepanjang malam sambil memujuk dan berjanji akan membawa saya ke sana suatu hari nanti. Sepanjang detik-detik kegembiraan, setiap penderitaan yang memedihkan, saya menerima senyuman daripada suami dan dia akan memegang tangan saya.

Suami menjadi guru yang mendidik tentang Islam, puasa dan solat. Dia adalah rakan terbaik, menjadi orang kepercayaan dan ayah kepada anak-anak saya. Dia kerap berkongsi menukar lampin yang kotor, tumpahan minyak dan berhadapan dengan sikap panas baran. Tidak ada yang melecehkannya biar pun anak-anak menghenyak ke atas baju barunya atau terpaksa menyuci pinggan-mangkuk apabila saya keletihan.

Adalah malang bagi suami muslim yang seringkali mendapat reputasi buruk di media Barat. Mereka digambarkan sebagai pengawal tingkah laku yang memaksa isteri memakai "pakaian Islam."

Dalam kehidupan sebenar, kedua-dua suami dan isteri muslim lebih senang memilih untuk mengikut kod pakaian menurut Islam kerana perintah al-quran dan sunnah Rasulullah SAW. Ia bukannya sesuatu yang boleh dijadikan isu yang dipaksakan.

Firman Allah SWt dalam surah An-Nur 24:30 yang bermaksud,

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."

Saya memakai t-shirt dan berseluar jeans ketika tiba di Kuwait. Saya bangga dengan pakaian pilihan saya dan tidak seorang pun yang menegur saya sama muslim atau bukan muslim.

Bagaimanapun suami saya sentiasa meminta saya untuk membaca al-quran. Suaranya yang sopan, kadangkala berleter cukup mengingatkan saya. Akhirnya saya mula membaca al-quran dan semakin dahagakan maklumat tentang Islam.

Saya mencari sehinggalah berjumpa dengan kebenaran di dalam helaian al-quran. Lalu saya membuat keputusan menjadi seorang Islam dan mula membeli pakaian yang menutup aurat.

Suami saya menjadi seorang guru yang mengajar tentang Islam, puasa dan solat. Apabila tersilap, dia tidak menjerit sebaliknya berusaha untuk memberi kefahaman kepada saya.

Kesabarannya sangat istimewa. Saya ingin mengetahui banyak perkara tentang Islam tetapi ia tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Namun ia benar-benar berlaku.

Islam memberi ketenangan dan suasana damai di rumah serta perkahwinan saya. Sejak menjadi muslim saya menyedari betapa kurangnya tekanan atau kebimbangan tentang masa depan.

Kini saya lebih sabar, tidak mudah gelabah dalam urusan seharian. Melalui al-quran dan sunnah Rasulullah SAW, saya belajar tentang erti kehidupan dan berusaha setiap hari dengan harapan baru masa depan.

Oleh Sumayyah Meehan
[menjadi muslim 11 tahun yang lalu, lulusan Kolej Waynesburg dalam bidang keadilan jenayah; bekerja dalam industri buku kanak-kanak Islam; kini tinggal di Kuwait bersama suami dan tiga orang anak]

Thursday, August 28, 2008

Sejarah Jalur Gemilang

Jalur Gemilang yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Jalur Gemilang dalam catatan sejarah

1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.

2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.

3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007.

4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006.

Fakta Jalur Gemilang

-Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.

-Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.

-Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.

-28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

-Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Maksud lambang dan warna;

- Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.

- Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

- Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.

[Berita Harian Online, dilayari pada 28/08/2008]

Wednesday, August 27, 2008

Perkhidmatan simpan kira

Jika anda seorang yang suka pada nombor dan pentingkan sesuatu yang perlukan penelitian serta mengutamakan kejujuran, bisnes simpan kira mungkin sesuai dengan anda. Dengan kos di antara RM2,000 hingga RM10,000, anda boleh memulakan bisnes ini secara separuh masa di rumah.

Simpan kira adalah prosedur mudah untuk merekodkan transaksi kewangan atau dengan istilah lain yang lebih mudah, merekodkan setiap kali berlakunya pertukaran wang di tangan. Dengan kemahiran dan pengalaman mengendalikan simpan kira, anda boleh mendapat pendapatan tambahan dengan membantu rakan-rakan anda yang menjadi usahawan. Kebanyakan mereka ini tidak ada pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai sistem simpan kira ini.

Anda boleh dapatkan beberapa perisian perakauan yang mudah di pasaran yang membolehkan anda memberi perkhidmatan serentak kepada beberapa orang pelanggan pada satu masa.

Bayaran yang dikenakan adalah berdasarkan bulanan kerana kedudukan kewangan ini mesti dikemas kini setiap bulan. Secara purata, bagi setiap jam, anda boleh kenakan bayaran dari RM25 hingga RM35 sejam.

Bayaran ini bergantung pada lokasi dan tahap kerja yang anda lakukan iaitu dari penyediaan rekod hinggalah kepada laporan kewangan.

Bagi mereka yang tidak gemar membuat simpan kira kerana kesuntukan masa, tidak ada pengalaman dan lebih mudah mencari orang lain melakukannya, bisnes simpan kira ini memberi pendapatan bulanan yang berterusan kepada anda.

Seseorang pernah berkata, "Ketika urusan bisnes semakin besar dan kompleks, usahawan tidak dapat mengendalikan lagi wang mereka. Jadi, setiap hari orang perlukan beberapa panduan daripada mereka yang pakar."

Khidmat simpan kira yang bebas sentiasa diperlukan ketika ekonomi kurang memberangsangkan kerana jika usahawan tidak berhati-hati dengan wang mereka, bisnes yang dibina akan runtuh dengan sekelip mata. Namun sesetengah keadaan, terdapat persaingan yang hebat di mana akauntan mungkin perlukan banyak bisnes untuk mencari wang dan menjadikan simpan kira sebagai sebahagian daripada cabang utama mereka.

Untuk berjaya sebagai penyedia khidmat simpan kira secara separuh masa, anda perlu pastikan ketepatan dan kemahiran mengguna pakai perisian simpan kira yang sedia ada. Sentiasa seronok dengan kerja-kerja yang memerlukan ketelitian, kejujuran dan integriti.

Tuesday, August 26, 2008

Keadaan Kanak-kanak Sedunia 2007

Penerbitan “Keadaan Kanak-Kanak Sedunia untuk tahun 2007” memberi penelitian kepada diskriminasi terhadap wanita dan juga keadaan wanita yang tidak berupaya di mana kebanyakan wanita terpaksa melaluinya sepanjang kehidupan mereka – dan juga memberi garis panduan tentang apa yang perlu dilakukan untuk menghapuskan diskriminasi terhadap gender dan juga untuk memperkasakan wanita serta anak-anak gadis. Ia juga melihat kepada status wanita pada hari ini, ia membincangkan bagaimana kesaksamaan gender boleh menyokong Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) agar ia dapat maju ke hadapan, dan menunjukkan bagaimana pelaburan terhadap hak-hak wanita boleh menghasilkan ‘imbuhan berganda’ iaitu memajukan hak-hak wanita dan juga kanak-kanak.

Ketidaksamaan gender yang bersifat pemusnah

Diskriminasi gender sememangnya amat mudah untuk merebak. Walaupun tahap dan juga bentuk ketidaksamaan mungkin berlainan, wanita dan anak-anak gadis selalunya terhalang daripada mendapat laluan kepada sumber-sumber, peluang-peluang dan juga kuasa politik di setiap benua di seluruh dunia. Penindasan terhadap anak-anak gadis dan wanita termasuklah melebihkan anak lelaki berbanding dengan anak perempuan, pilihan-pilihan profesional dan juga pilihan sendiri yang terhad untuk anak-anak gadis dan wanita, menafikan hak-hak asasi manusia dan juga keganasan berdasarkan gender yang amat nyata.

Anak-anak gadis dan wanita selalu menjadi mangsa keganasan seksual dan fizikal di dalam dan di luar rumah. Walaupun serangan sebegitu selalunya tidak dilaporkan disebabkan oleh stigma terhadap jenayah tersebut, kajian yang diadakan oleh Badan Kesihatan Sedunia yang dilakukan pada beberapa buah negara telah menunjukkan bahawa di antara 15 sehingga 17 peratus daripada wanita telah mengalami serangan di dalam bentuk fizikal ataupun seksual daripada pasangan mereka. Keganasan rumah tangga adalah merupakan keganasan yang sering berlaku terhadap wanita.

Ketika berlaku konflik bersenjata, rogol dan serangan secara seksual selalunya digunakan sebagai senjata di dalam peperangan. Apabila berlakunya keadaan kecemasan yang memaksa orang ramai menjadi pelarian daripada rumah mereka, wanita dan anak-anak gadis pula mempunyai risiko yang tinggi terhadap keganasan, eksploitasi dan juga penderaan - kadangkala oleh mereka seperti pegawai-pegawai keselamatan atau lain-lain orang yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan perlindungan mereka.

Sekejam dan seteruk manakah keganasan yang tidak berperikemanusiaan dan malahan disengajakan ini, ancaman ketidaksamaan gender juga boleh membawa kepada kemusnahan yang sama. Diskriminasi di dalam institusi adalah lebih sukar untuk dikenal pasti dan diatasi. Tradisi-tradisi budaya juga akan meneruskan ketidaksamaan dan diskriminasi serta diperturunkan daripada generasi ke generasi yang lain, di mana stereotaip gender kekal diterima oleh masyarakat dan tidak dicabar.

Pembahagian kerja-kerja rumah tangga yang tidak sama rata, seperti menghendaki wanita dan anak-anak gadis berjalan beberapa kilometer untuk mendapatkan air dan kayu api, ataupun pembahagian sumber pendapatan rumah tangga seperti memberi wanita dan anak-anak gadis kurang makanan atau penjagaan kesihatan, merupakan salah satu contoh ketidaksamaan yang kecil. Diskriminasi dalam bentuk sebegini yang telah terterap di dalam masyarakat seringkali menyebabkan individu, keluarga dan masyarakat terperangkap di dalam kemiskinan dan membantutkan kemajuan ekonomi, politik dan sosial.

Sikap, budaya dan juga nilai-nilai yang boleh membawa keburukan kepada wanita dan anak-anak gadis mestilah ditangani. Tiada sejarah, warisan, agama atau budaya tradisi yang boleh membuktikan kewajaran ketidaksamaan dan juga ketiadaan keperkasaan.

[unicef Malaysia]

Kemerdekaan negara daripada perspektif Islam

Mendapat kemerdekaan adalah nikmat terbesar kurniaan Allah SWT khususnya merdeka daripada penjajahan. Perjuangan bangsa-bangsa terdahulu untuk membebaskan diri dan tanah air diwarnai dengan linangan air mata, pelarian dan pengorbanan. Ramai pahlawan yang mati atas nama perjuangan menuntut kemerdekaan ini.

Dalam abad ke-21, masih terdapat negara yang sedang dijajah dan berusaha untuk mendapat kemerdekaan bagi menentukan hala tuju negara mereka. Kita ambil contoh Iraq, sebuah negara Arab yang sangat kaya, digeruni dan berpengaruh suatu masa dahulu. Iraq juga mewarisi sebuah tamadun hebat, pusat pengembangan ilmu dan peradaban serta medan pengembangan dakwah Islamiah.

Iraq hari ini hanyalah sebuah negara yang ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang sangat lemah, hala tuju negaranya dicatur oleh orang lain dan rakyatnya menjadi peminta sedekah di negara sendiri. Seramai 500,000 kanak-kanak telah dibunuh oleh askar Amerika Syarikat dan tentera bersekutu sebaik sahaja mereka menyerang Saddam Hussein.

Sejarah tamadun Islam juga pernah berbangga dengan kerajaan Islam Andalusia, Sepanyol. Kerajaan ini penuh dengan keagungan selama 800 tahun. Kebanggaan kerajaan Andalusia akhirnya tersungkur di tangan tentera kristian Sepanyol. Tidak dapat dibanggakan lagi selepas itu dan yang tinggal hanyalah kenangan dan teknologi binaan yang sangat hebat seperti istana Al-Hambra dan masjid Qardoba.

Penjajahan memusnahkan kekuatan Andalusia sebagai pusat tamadun, kebudayaan dan ilmu pengetahuan. Sedikit demi sedikit Andalusia dilenyapkan dari bumi Sepanyol.

Sebuah lagi kerajaan yang hilang kebebasan ialah kesultanan Melayu Melaka (1402-1511). Kedudukan Melaka yang strategik dan kaya dengan sumber semula jadi membuatkan alam Melayu terkenal. Melaka menjadi sebuah empayar selama 109 tahun, ditadbir oleh sultan bersama bendahara, temenggong dan laksamana.

Cabaran pertama Melaka ialah berhadapan dengan serangan Siam pada 1447 diikuti Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Selepas menguasai Melaka, Portugis tidak membuang masa untuk menghapuskan istana Sultan Melaka dan institusi agama Islam seperti masjid dan surau. Selama 130 tahun Melaka di bawah Portugis, tidak ada sebuah masjid yang dibina secara rasmi. Di bawah runtuhan istana, mereka dirikan A Famosa. Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh Melayu Islam Melaka ketika berada dibawah penjajahan Portugis.

Selepas Portugis, Belanda mengambil alih Melaka setelah dibantu oleh angkatan perang Johor bagi mengalahkan Portugis. Belanda mendirikan Bangunan Merah Stadiyust dan menjajah Melaka selama 183 tahun.

Tahap pertama penghakisan Melayu di tanah air mereka bermula selama 313 tahun. Portugis menafikan agama Islam sehinggalah pada 1720 (semasa penjajahan Belanda) barulah sebuah masjid dibina secara rasmi (Masjid Kampung Hulu). Selepas 209 tahun (1511-1720), masyarakat Islam dapat berjemaah dengan selesa di dalam masjid yang dibina oleh seorang muallaf Cina.

Inggeris menjajah semala 129 tahun dan Jepun selama empat tahun. Apa yang telah belaku kepada agama, bangsa dan negara orang Melayu?

Penjajahan selama 446 tahun menjadikan orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama Islam telah hilang harga diri dan maruah. Penjajahan minda yang mengagungkan bangsa penjajah sukar ditebus dalam tempoh 51 tahun selepas merdeka.

Merdeka bererti bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Merdeka juga bererti lepas daripada tebusan, tuntutan, mampu berdiri sendiri dan tidak bergantung pada orang lain.

Imam Hassan Al Banna, pengasan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir menyatakan bahawa Islam adalah negara, tanah air (watan) dan kerajaan (dalam Usul 20).

Dalam erti kata politik, maksud 'Islam adalah negara' ialah sebuah masyarakat yang tersusun, hidup dalam suasana tertentu, tunduk kepada kekuasaan institusi pemerintahan yang memiliki ketuanan, setiap rakyat meletakkan kesetiaan kepada negara dan undang-undang, menjaga nyawa dan harta manakala seluruh hak mereka diperakui oleh peraturan tabie dan sivil.

'Islam adalah tanah air' bermaksud tempat yang didiami oleh individu-individu dan merasai wujudnya pertautan. Setiap kaum muslimin yang mengucap kalimah syahadah adalah rakyat kepada negara Islam kerana Islam adalah syumul, merangkumi daulah dan tanah air.

Manakala 'Islam adalah kerajaan' ialah kehadiran tiga kekuasaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman bagi melaksanakan sistem pentadbiran dengan meletakkan al quran dan as sunnah sebagai rujukan.

Penelitian Hassan Al Banna terhadap konsep Islam adalah negara, tanah air dan kerajaan dapat diimbas dalam seerah Rasulullah SAW ketika memerdekakan kota Mekah daripada penyembahan berhala dan pentadbiran kafir Quraisy. Khalifah-khalifah Islam selepas itu turut berperanan memerdekakan negara daripada penjajahan kekufuran. Kesannya ialah terdapat majoriti umat Islam di negara-negara Balkan dan Asia Selatan.

Konsep merdeka dari perspektif Islam tidak terhad kepada merdeka negara malah bebas daripada akidah yang sesat, akhlak yang buruk dan membina intelektual juga dikira sebagai merdeka.

Melihat erti merdeka dari perspektif Islam dan negara harus diiringi dengan sejarah atau seerah perkembangan negara dan bangsa, bukannya memperincikannya kepada juzuk-juzuk tertentu. Dalam sejarah Melaka, selama 109 tahun masyarakat Islam dapat mengerjakan suruhan agama sebagai satu cara hidup tanpa ada sebarang sekatan.

Keadaan ini boleh diibaratkan sebagai baldah thayyibah (negara yang sejahtera) dan warabbun ghafur (dan mendapat ampunan Allah SWT). Pelaksanaan agama Islam berkembang subur dan terpelihara. Pusat ilmu pengetahuan berkembang dari istana ke masjid dan surau menjadi tarikan kepada alam nusantara. Akhirnya bahasa Melayu berkembang dan menjadi lingua franca.

Adalah tidak tepat untuk menyatakan kita hanya perlu merdeka dari segi akidah dan pemikiran kerana tanpa negara yang merdeka, akidah dan pemikiran juga akan terbelenggu. Justeru, membebaskan diri daripada penjajah adalah merdeka. Membebaskan diri daripada kejahilan adalah merdeka, membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu juga adalah merdeka.

Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai etnik berhadapan dengan cabaran getir untuk menyatukan mereka. Kaum majoriti iaitu Melayu dan bumiputera mesti hidup bersama seperti mana keadaannya ketika kota Madinah ditadbir oleh Perlembagaan Madinah.

Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara ketika ini telah dirangka dengan bijaksana oleh anggota Suruhanjaya Reid. Dua orang daripadanya iaitu hakim B Malik (India) dan hakim Abdul Hamid (Pakistan) telah menggunakan kebijaksanaan dan hidayah daripada Allah SWT untuk meletakkan Perkara 3 dan Perkara 153 bagi mempastikan agama Islam dan bangsa Melayu kuat dan mantap.

Dengan adanya Perkara 3, sebarang ancaman ke atas agama Islam dapat diatasi. Kebijaksanaan melihat nasib agama, bangsa dan negara yang wujud dalam diri B Malik dan Abdul Hamid adalah hidayah dan doa dari umat Islam ketika itu.

Monday, August 25, 2008

Wanita mesti angkat martabat diri

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Malaysia memilih hari ini - 25 Ogos sebagai tarikh penting untuk memperingati sumbangan serta jasa kaum wanita di negara ini.

Sesungguhnya peranan yang dimainkan oleh golongan hawa untuk sama-sama membangunkan negara amat jelas dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Namun pengiktirafan terhadap keupayaan kaum wanita di mana-mana peringkat sekali pun masih boleh dipersoalkan.

Biar pun ada nama-nama besar seperti Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hakikatnya jika dibilang dengan jari wanita Malaysia masih belum mendapat tempat yang memuaskan dalam setiap sektor yang diceburi.

Masih ada suara-suara yang memperkecilkan kebolehan wanita, menidakkan kemampuan mereka malah lebih menyedihkan 'kitaran semulajadi' wanita sering dipermainkan.

Hingga ke peringkat Dewan Rakyat pun kita mendengar kalangan bijak pandai di dalam dewan itu biasa mempermainkan isu-isu berkaitan wanita.

Belum lagi diambil kira diskriminasi gender yang berlaku di tempat kerja - sering sahaja wanita yang cerdik akalnya dan mampu menunaikan tanggungjawab tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Hakikatnya, wanita yang sering menjadi pekerja 'multi tasking' terabai dari sudut pembelaan berupa ganjaran gaji berpatutan sedangkan beban serta harapan yang diletakkan ke atas bahu mereka amat besar.

Belum lagi dicampur permintaan yang perlu diisi oleh kaum wanita untuk menabur kasih sayang kepada kumpulan yang menagih keperluan itu daripada mereka.

Untuk mengelak daripada mengabaikan semua pihak yang bergantung harap kepada kaum wanita, maka wanita sering mengorbankan keselesaan diri.

Malah, ramai kalangan wanita yang mengetepikan hati dan perasaan sendiri lantaran tidak mahu pihak-pihak yang terikat dengan mereka kecewa gara-gara keinginan tidak dipenuhi.

Wanita waima yang kedudukannya sebagai isteri, ibu, anak, sahabat, kekasih, pekerja mesti dihormati dan dihargai.

Tiada ruang sebenarnya untuk wanita dianak tiri jauh sekali dikasari atau diketepi semata-mata kerana ada golongan percaya bahawa wanita tidak selayaknya diangkat ke kedudukan yang lebih mulia daripada mereka.

Sebab itu semakin menjadi trend kalangan wanita memilih untuk tidak lagi dilindungi oleh kaum lelaki berasaskan keyakinan bahawa dalam banyak keadaan wanita mampu berdikari biar pun fakta itu seboleh-bolehnya dinafikan oleh kaum Adam.

Dari sudut perasaan wanita juga kini lebih berani untuk tidak mempertaruhkan hati demi seorang lelaki yang belum diketahui kesungguhannya untuk memelihara kemuliaan wanita.

Kepada semua wanita hargai maruah diri dan jangan biar diri diletak di bawah kaki lelaki.

[Utusan Online, 25/08/2008]

Friday, August 22, 2008

Kesan demonstrasi ke atas masyarakat

Demonstrasi adalah gerakan bantahan yang dilakukan oleh sekumpulan orang di khalayak. Ianya dibuat bagi menyatakan perasaan, pendapat atau meluahkan fikiran secara terbuka.

Istilah demonstrasi menjadi popular di Amerika Syarikat semasa gerakan mengembalikan hak-hak rakyat pada tahun 1950-an hingga 1970-an. Selain Mahatma Gandhi, Marthin Luther King, Jr. turut memberi inspirasi kepada beribu-ribu orang untuk meluahkan pandangan mereka melalui tindakan demonstrasi.

Selain istilah demonstrasi, masyarakat Malaysia lebih mudah memahami "tunjuk perasaan" yang membawa maksud yang sama. Aktiviti berdemonstrasi merujuk kepada sekumpulan orang yang bertemu atau bergerak secara beramai-ramai. Pada masa yang sama, tindakan menghalang sesuatu kumpulan daripada meneruskan pergerakan mereka melalui halangan blok atau kawad berduri juga dirujuk sebagai demonstrasi.

Demonstrasi boleh digunakan sebagai satu cara untuk menyatakan pandangan (positif atau negatif) berdasarkan isu-isu umum khususnya keadilan sosial dan politik. Kejayaan demonstrasi dilihat kepada jumlah bilangan peserta yang ramai.

Antara jenis demonstrasi ialah perarakan di mana sekelompok orang bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain, pertemuan ramai di mana pendengar berkumpul untuk mendengar ucapan, piket di mana ramai orang berkumpul di sesuatu kawasan dan santai di mana penunjuk perasaan berkumpul di satu-satu kawasan dan menjadikannya semakin riuh dengan tuntutan mereka sehinggalah ianya dipenuhi oleh pihak berkuasa atau dipaksa bersurai oleh pasukan keselamatan.

Demonstrasi boleh berlaku secara spontan dan ada juga dieksploitasi sepenuhnya oleh organisasi tertentu bagi kegiatan subversif. Bagi demonstrasi yang terancang, penganjur akan menyediakan pentas untuk menarik bilangan pendengar yang ramai. Selain berkumpul secara fizikal, demonstrasi juga berlaku secara maya.

Biasanya tarikh-tarikh tertentu dipilih oleh pengajur untuk meraih simpati yang besar daripada orang ramai. Contohnya hari ulang tahun atau peristiwa penting sering menjadi pilihan kerana ia menjadi magnet untuk menarik simpati dan rasa ingin tahu peserta.

Lokasi juga memainkan peranan penting kerana jumlah peserta yang ramai memberi mesej bahawa perjuangan atau tuntutan penganjur adalah sangat penting. Contohnya ialah demonstrasi di hadapan kedutaan sesebuah negara menggambarkan berlakunya kekeruhan dalam hubungan dua hala atau tidak bersetuju dengan sesuatu dasar negara tersebut.

Peserta demonstrasi boleh menjadikan sesuatu perhimpunan menjadi ganas atau aman. Jika ganas, sebarang objek yang dilihat menyukarkan laluan, ianya akan dimusnahkan. Contohnya seperti kereta akan diterbalikkan, kedai perniagaan dirempuh masuk atau kemudahan awam dirosakkan.

Bagi menghalang perlakuan ganas ini, pasukan keselamatan menggunakan senjata yang kurang berbahaya seperti gas pemedih mata dan pancutan air bertekanan tinggi untuk menyuraikan kelompok tersebut.

Demonstrasi secara aman biasanya dipantau secara jauh oleh pasukan keselamatan, diberi liputan media dan biasanya berakhir dengan kegembiraan.

Amerika Syarikat sebagai negara yang menggelar dirinya jaguh demokrasi telah membenarkan demonstrasi diadakan. Ianya menggambarkan manifestasi kebebasan bercakap. Justeru bagi masyarakat negara itu, mengadakan bantahan secara demonstrasi adalah satu keperluan untuk menyatakan keperluan dan kehendak mereka.

Terdapat juga demonstrasi yang diuruskan oleh kerajaan seperti di Iran, China, Rusia, Cuba dan Venezeula. Namun kebanyakan pemerintah memberi kebenaran untuk berdemonstrasi setelah penganjur membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa.

Fungsi demonstrasi

Sama ada dibuat secara aman atau ganas, demonstrasi mempunyai fungsi-fungsi tertentu. Antaranya ialah:

-serlahkan pengaruh dan kuasa
-sedarkan tentang kezaliman dan penindasan
-nyatakan pandangan secara terbuka
-perkasakan kecenderungan kelompok
-pamerkan kekuatan kelompok
-sampaikan hasrat
-pertahankan hak

Kejayaan demonstrasi bergantung sepenuhnya ke atas kekuatan para peserta dan bilangan yang mengambil bahagian. Antara siri demonstrasi yang telah berjaya meruntuhkan kerajaan yang sah ialah Revolusi Islam Iran (1979), Revolusi Rakyat di Filipina (1986), bantahan di Medan Tiananmen (1989) dan kebangkitan rakyat Romania pada 1989 untuk menjatuhkan Nicolae Ceausecu.

Revolusi lain ialah Czar Nicholas II Rusia yang tewas dalam masa satu minggu pada Februari-Mac 1917 dan regim Jeneral Hernandez Martinez di El Salvador serta Jeneral Jorge Ubico di Guatemala.

Begitu juga peranan demonstrasi yang dirancang secara besar-besaran apabila berlakunya krisis ekonomi 1998 di Indonesia. Presiden Suharto terpaksa melepaskan jawatannya kerana desakan rakyat. Di Brunei, kerajaan monarki di negara itu mengambil langkah-langkah khas bagi mempastikan rakyat negara itu tidak terikut-ikut dengan tindakan rakyat di negara-negara jiran.

Bagaimana demonstrasi dikatakan dapat meruntuhkan kerajaan yang sah?

Contoh terbaik untuk melihat kesan demonstrasi yang menggugat kerajaan ialah kebangkitan rakyat Filipina ketika Presiden Ferdinand Marcos menjadi ketua negara tersebut. Kuasa Rakyat atau People Power yang berlaku pada Februari 1989 telah mengubah senario politik di negara itu.

Bibit-bibit revolusi ini bermula apabila tekanan hidup dihadapi oleh rakyat Filipina yang miskin dan susah. Marcos ketika itu berkuasa penuh melakukan apa sahaja ke atas rakyatnya. Kemuncak kepada kekuasaan Marcos ialah pembunuhan Benigno S. Aquino, Jr. pada 21 Ogos 1983 di lapangan terbang. Kematiannya tidak dihebahkan oleh media kawalan kerajaan.

Kebangkitan rakyat untuk melakukan perubahan bermula pada 22 Februari 1986 apabila Marcos tidak mampu lagi menghalang desakan supaya berundur. Ketika itu tentera yang masih setia kepadanya sedang berhadapan dengan ribuan penunjuk perasaan.

Pada masa yang sama, pihak geraja menyeru orang ramai keluar ke jalan-jalan raya bagi menghalang kemaraan kenderaan tentera. Keretakan di dalam pasukan tentera menjadikan kuasa Marcos semakin berkurangan.

Ketua pasukan tentera yang membelot, Jeneral Ramos turut berperanan mempengaruhi rakan-rakanya yang bersimpati dengan Cory Aquino untuk melancarkan pemberontakan terhadap Marcos.

Pada 23 Februari 1986, ribuan rakyat berkumpul di jalanan dengan membawa makanan dan minuman sendiri. Ketika ini suasana perarakan sangat ceria. Terdapat sekelompok anak muda yang sedang mengalihkan batang-batang pokok yang besar untuk merintangi jalan raya. Ada yang meletakkan beg pasir dan hadangan kayu. Anggota tentera yang menyokong Marcos semakin ramai berpaling tadah.

Keesokan harinya, 24 Februari 1986, perhimpunan semakin membesar dan terdapat di merata tempat. Pihak tentera juga memerhati pergerakan peserta demonstrasi ini. Kebanyakan media kerajaan mempertahankan tindakan Marcos manakala rakyat menggunakan telefon, media asing dan radio komersil bagi menyalurkan maklumat.

Khabar angin tercetus mengenai Marcos dan keluarganya yang lari meninggalkan Istana Malacanang. Tekanan dari rakyat terus meningkat dan memaksa Kolonel Mariano Santiago menawan Channel 4, sebuah stesen televisyen.

Hari kemenangan rakyat, 25 Februari 1986, tentera yang setia kepada Marcos mengalah dan memilih untuk berdamai. Presiden Marcos bersama keluarga meninggalkan Filipina setelah Kedutaan Amerika Syarikat menguruskan penerbangan mereka. Corazon Aquino mengangkat sumpah sebagai presiden bersama iringan doa dan harapan rakyat yang bergembira.

Kuasa rakyat di Filipina berjalan serentak di seluruh negara. Penunjuk perasaan dibantu sepenuhnya oleh pertubuhan-pertubuhan agama yang membekalkan makanan dan minuman setiap hari. Penglibatan rakyat yang ramai melumpuhkan sama sekali semua aktiviti harian negara.

Pada masa yang sama, pihak tentera membuat sekatan dihulurkan air kotak, bunga dan makanan. Kaedah ini sebagai strategi untuk menghalang mereka daripada bertindak kasar ke atas orang awam dan membina hubungan yang baik di antara tentera dan peserta demonstrasi. Strategi ini berkesan kerana ribuan tentera telah berpaling tadah sebaik sahaja Jeneral Ramos menguasai pentadbiran negara.

Pemerintahan Marcos telah menjadikan Filipina sebuah negara paling miskin di Asean. Ramos menyifatkan Marcos tidak bersyukur dengan masa pemerintahan yang diberikan kepadanya. "He had already put his personal interest above the interest of the people."

Kejayaan revolusi rakyat di Filipina menjadi inspirasi beberapa buah negara lain termasuk Malaysia. Perhimpunan Bersih dan Hindraf yang berterusan hanya akan menarik simpati orang ramai untuk menyertai perjuangan mereka.

Budaya tunjuk perasaan yang ganas ini bakal mengundang kegoyahan politik yang menolak keluar pelaburan asing dari negara ini.

Thursday, August 21, 2008

Warisan

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di nusantara

Wednesday, August 20, 2008

Pelihara ayam kampung

Ayam yang dipelihara di sekitar rumah di kampung khususnya adalah ayam kampung. Antaranya ialah Ayam Botak, Ayam Bulu Balik, Ayam Selasih, Ayam Janggut, Ayam Laga atau Sabung, Ayam Togel, Ayam Katik atau Ayam Jepun dan bermacam-macam jenis gelaran mengikut tempat dan loghat. Setiap satunya adalah unik.

Istimewanya ayam kampung ini ialah ia membiak sepanjang tahun tanpa ada had masa, penjagaannya juga mudah dan ibu ayam dapat menetaskan telur dengan sendirinya. Khasiat ayam kampung juga setanding dengan harganya di pasaran iaitu di antara RM8 hingga RM13 sekilogram.

Menguruskan ayam kampung mengikut cara orang kampung adalah lebih mudah. Tetapi untuk mengkomersilkan produk ayam kampung ini, anda perlu tahu cara pengurusan yang lebih baik supaya kualiti ayam kampung sentiasa berada pada aras standard.


Anak ayam kampung dari 1 hari hingga 4 minggu, dapatkan suntikan pencegahan penyakit, beri makanan yang bermutu dan minuman secukupnya dan sediakan lampu yang boleh memberi kepanasan sehingga umurnya 2 minggu.

Seterusnya peringkat membesar iaitu dari 4 minggu hingga 22 minggu di mana anda perlu juga mendapatkan suntikan penyakit, sudah boleh mula memberi makanan campuran dan sediakan tempat untuk bertelur.

Sepanjang memelihara ayam kampung, beberapa penyakit yang boleh menyebabkan ia mati ialah sampar ayam (ND), gumboro (IBD), puru, salmonellosis dan pasteurellosis.

Manakala tanda-tanda am ayam berpenyakit ialah kurang nafsu makan, monyok dan tidak aktif, pucat, bersin, keluar hingus dari hidung, muka bengkak, berak cair atau berdarah dan terdapat gangguan saraf seperti sayap lemah, kaki lemah dan kepala berputar.

Tuesday, August 19, 2008

Pendidikan dan pembinaan modal insan

Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Malahan proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.

Daripada perspektif yang berbeza, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Jepun dan Korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya sangat sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Dua belas tahun yang lalu, Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru. Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.

Generasi muda Malaysia pada hari ini memperuntukkan masa yang lebih lama di sekolah iaitu 11.5 tahun. Oleh itu, asas pendidikan formal yang dilaksanakan kini oleh kerajaan sangat memberangsangkan kerana 95 peratus daripada rakyat negara ini celik huruf. Pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan modal insan kerana rakyat yang terpelajar adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.


Modal Insan

Hasrat kerajaan untuk memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah sangat luar biasa dan meyakinkan. Pelaburan dalam modal insan ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi serta membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai sistem nilai yang boleh diteladani. Fokus akan diberi kepada galakan dan usaha membina serta membangunkan modal insan yang bersifat holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang teguh.

Terdapat pelbagai definisi mengenai modal insan. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, sosial dan agama. Para pengkaji di Barat melihat daripada perspektif yang berbeza. Gary S. Becker berpendapat modal insan adalah berkaitan dengan ekonomi masyarakat dan negara kerana individu tidak dapat dipisahkan daripada pengetahuan, kemahiran, kesihatan ataupun nilai. Oleh sebab itulah pendapatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pembentukan nilai dan tabiat yang baik akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang.

Beliau menekankan dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal insan iaitu pendidikan dan latihan. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, kelas komputer, pembelajaran kesihatan dan perbincangan-perbincangan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan aset insan itu sendiri. Oleh itu modal insan adalah harta terpenting yang ada pada seseorang yang membawa pendapatan kepadanya.

Seorang lagi sarjana yang melihat modal insan daripada perspektif ekonomi ialah Theodore W. Schultz yang memperkenalkan teori modal insan. Beliau berhujah menyatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran adalah elemen modal yang terhasil daripada pelaburan yang disengajakan. Contoh yang jelas ialah peningkatan hasil ekonomi di negara-negara Barat adalah kesan positif daripada pelaburan dalam modal insan. Dengan kata lain, wujud hubungan di antara peningkatan pelaburan modal insan dan peningkatan pendapatan pekerja. Selari dengan pandangan Gary S. Becker, Schultz turut bersetuju dengan konsep pelaburan modal insan ini. Jadi, negara-negara maju yang melabur dalam pendidikan, kesihatan dan latihan dalam jangka panjang akan menguatkan struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat mereka.

Manakala negara-negara membangun dan mundur masih mementingkan pelaburan jangka pendek bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan dan keselamatan.

Definisi modal insan dalam Islam sangat berbeza daripada Barat yang asasnya adalah fahaman kapitalis. Islam mengenal pasti pembangunan sumber manusia sebagai elemen terpenting dalam modal insan kerana sumber yang utama ialah individu. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, profesional, kelebihan maklumat dan sebagainya malah harus mempunyai ciri-ciri pembangunan ke atas insan yang menerapkan sifat-sifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun.

Keperluan dunia semata-mata tidak akan memberi kelebihan ke atas pembangunan modal insan kerana tujuan penciptaan manusia ialah jelas seperti maksud Surah Az-Zariyat ayat 56;


“Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”

Hasil akhir yang cemerlang adalah tonggak utama pembangunan modal insan dalam Islam kerana Islam telah menyediakan satu sistem hidup yang lengkap dari mula lahir hinggalah ke akhir hayat. Konsep pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses menyeluruh untuk membentuk insane yang berguna. Manusia yang lahir kelak akan menerima janji daripada Tuhannya iaitu;

“Sekiranya penduduk sesuatu negeri itu bertakwa nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’raf ayat 96)

Modal insan yang diketengahkan oleh Islam bukan hanya melahirkan individu yang pakar, mahir ataupun profesional dalam bidang masing-masing tetapi penuh dengan nilai-nilai positif seperti amanah, jujur dan sebagainya. Pembentukan nilai-nilai ini tidak sekadar memenuhi kehendak organisasi malah untuk masyarakat dan negara.

Pendekatan fizikal melalui sesebuah dasar yang memberi fokus terhadap ekonomi tidak akan dapat memaksimumkan pembangunan modal insan. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang memberi perhatian terhadap membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, strategi seterusnya beralih kepada memberi keutamaan terhadap pembangunan jasmani dan rohani melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (1991-1995), (A.Aziz Deraman, 2005).

Perhatian yang lebih serius terhadap modal insan ini terserlah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Keseriusan kerajaan terhadap pembangunan modal insan ini diterjemahkan sebanyak RM45.1 bilion yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Sebanyak lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu :

1. Melaksanakan penambaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan.

2. Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan.

3. Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi di antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk menggantikan semua sekolah daif bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar.

4. Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan.

5. Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang berkualiti di semua peringkat.

6. Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan.

7. Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan.

8. Memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.

Permintaan ekonomi terhadap kualiti tenaga buruh dipertingkatkan dengan menambah peratusan kelompok ini yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat tertiari. Dijangka pada tahun 2010, seramai 12.4 juta tenaga kerja ini diperlukan.

Pelaksanaan pembangunan modal insan di peringkat negara akan dijalankan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang akan bertanggungjawab menyediakan lebih banyak peluang pendidikan prasekolah, rendah dan menengah serta pendidikan guru yang berkualiti seterusnya meningkatkan peluang pendidikan tertiari yang berkualiti.

Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil tanggungjawab bagi menyediakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh.

Peranan pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama oleh kerajaan yang memperuntukkan jumlah yang sangat besar dalam belanjawan tahunan. Justeru, agenda pembangunan sumber manusia perlu diutamakan dalam proses pembangunan sesebuah negara kerana modal insan adalah pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran masyarakat dan negara berkenaan.


Kepentingan modal insan dalam pendidikan

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan telah timbul kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara (Fadzilah Abdullah, 1993).

Dasar Pendidikan Kebangsaan secara tidak rasminya bermula selepas pilihan raya 1955 setelah wujudnya manifesto oleh parti Perikatan untukmembentuk sistem pendidikan yang seragam dan bersepadu. Jawatankuasa pendidikan telah dibentuk pada tahun 1956 yang diketuai oleh Tun Abdul Razak. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956 yang dikenali sebagai Penyata Razak. Tumpuan khas Tun Abdul Razak dan jawatankuasanya ialah (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997):

1. Membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam.

2. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

3. Memastikan bahasa dan kebudayaan lain dipelihara.

Undang-undang Pelajaran 1957 digubal dan diluluskan oleh Dewan Negara pada tahun 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula pada tahun 1960 dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib.

Dasar Pendidikan Kebangsaan secara rasminya diisytiharkan pada tahun 1961 dan digubal berdasarkan kedua-dua laporan iaitu Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 (Zulhilmi Paidi & Rohani Abd. Ghani, 2003).

Sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada tahun 1974 bagi mengkaji semula dasar pendidikan untuk menambah baik dan memantapkan pelaksanaan dasar sedia ada. Di samping itu matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersepadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan semasa rakyat yang terlatih untuk pembangunan negara (Fadzillah Abdullah, 1993). Laporan jawatankuasa ini telah ditambah keada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merangkumi beberapa matlamat yang dikenal pasti iaitu (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997:

1. Menyatukan sistem pelajaran bagi memupuk kesedaran dan perpaduan kebangsaan.

2. Memperluaskan serta mengubah suai rancangan-rancangan pelajaran dan latihan bagi memenuhi memenuhi keperluan tenaga kerja.

3. Memperbaiki mutu pelajaran bagi membina suatu masyarakat yang progresif berlandaskan sains dan teknologi moden.

4. Memperbaiki kemudahan-kemudahan penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan bagi mencapai objektif di atas.

Perkembangan modal insan di Malaysia telah bermula dengan terancang selepas negara mencapai kemerdekaan. Rancangan Lima Tahun yang diperkenalkan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan sumber manusia sebagai tumpuan. Kajian oleh NAFSA (National Association of Foreign Students in America) pada tahun 1985 meletakkan pelajar Malaysia di tangga kedua (32,000 orang) selepas Taiwan (35,000 orang) dari segi bilangan pelajar asing yang menuntut di sana.

Malaysia akan mencapai status negara maju kira-kira 14 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat kita yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebertanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju pendidikan negara. Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur (Mahathir Mohamad, 1991).

Melihat cabaran-cabaran ini yang begitu besar, pengisian terhadap sumber utama ialah prasyarat terhadap kemajuan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan.

Abad ke-19 adalah detik yang menyaksikan pelaburan modal insan secara sistematik tidak begitu diutamakan di semua negara. Keperluan terhadap pendidikan, latihan dalam kerja dan semua jenis pelaburan adalah begitu kecil. Perubahan secara radikal yang berlaku pada abad ini telah bermula di Great Britain setelah aplikasi dan pembangunan sains bagi mencipta barangan baru dan kaedah pengeluaran yang lebih cekap. Perubahan demi perubahan berlalu dan merebak ke negara-negara lain dalam masa yang singkat.

Pertumbuhan ekonomi yang sangat pantas pada abad ke-20 boleh dianggap sebagai era modal insan kerana taraf hidup, pembangunan ilmu, kemahiran, kesihatan dan produktiviti telah meningkat di negara-negara yang membuat pelaburan besar dalam pendidikan. Malaysia juga telah membuat pelaburan yang banyak bagi meningkatkan modal insan.


Pentingnya modal insan terhadap sesebuah negara boleh dilihat daripada pencapaian Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan negara-negara Asean yang pesat membangun. Negara-negara ini tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak bagi membangunkan negara masing-masing tetapi keupayaan mereka ialah “mengurus apa yang ada” sangat membanggakan. Mereka mempunyai masyarakat yang terlatih, berpendidikan, tenaga kerja yang gigih dan ibu bapa yang berdedikasi.

Pelaburan modal insan akan meningkatkan kebajikan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan. Usaha kerajaan Malaysia melaksanakan program pendidikan kepada seluruh lapisan masyarakat kena pada masanya kerana hasil daripada proses pembelajaran dapat membantu masyarakat berpendapatan rendah mengubah kaedah pemikiran, sikap dan amalan seterusnya menjayakan program kerajaan bagi mengurangkan tahap kemiskinan di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Masyarakat yang berpendidikan akan lebih cenderung membuat pelaburan ke atas kesihatan diri dan keluarga. Apatah lagi berkemungkinan pendidikan adalah satu-satunya faktor tunggal yang menentusahkan kesihatan dan jangka hayat.

Umpamanya di Amerika Syarikat dan negara-negara yang kaya, tidak ramai golongan terpelajar yang merokok. Tabiat merokok di Amerika Syarikat hanya terhad kebanyakannya kepada mereka yang tidak ada pendidikan dan pelajar sekolah yang tercicir.

Pendidikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah membantu meningkatkan pengambilan makanan dengan cara melatih mereka untuk memilih makanan yang sihat, bersih dan segar. Secara umum, mereka yang berpendidikan lebih cenderung mengamalkan diet yang lebih baik.

Persekitaran ekonomi moden meletakkan pendidikan, latihan dan sumber-sumber ilmu pengetahuan sebagai sangat relevan walaupun dalam jangka masa 50 tahun. Perubahan di antara pendidikan dan tahap pendapatan boleh dilihat di banyak negara. United Kingdom contohnya, 40 tahun yang lepas menyaksikan para graduan memperolehi 40 hingga 50 peratus lebih pendapatan daripada lulusan sekolah tinggi. Mereka yang berpendidikan amat diperlukan di Korea Selatan sejak 20 tahun yang lepas bagi memenuhi keperluan pembangunan negara.

Pendidikan dan latihan bukan sekadar menggalakkan pertumbuhan dan kecekapan ekonomi malah turut mengurangkan ketidaksamaan dan impak ke atas golongan yang tidak berkemampuan. Pendidikan merupakan kaedah paling berkesan kepada orang muda yang datang daripada kelompok miskin untuk meningkatkan tahap ekonomi kerana modal insan merupakan 90 peratus aset berharga untuk mana-mana penduduk sesebuah negara. Jurang pendapatan yang tidak seimbang pada sesebuah negara menjadi lebih besar apabila jurang dalam pendidikan menjadi besar.

Modal insan tidak banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jika mereka yang terlibat tidak dilatih dengan berkesan. Jika sesebuah organisasi tidak cekap, pekerjanya akan mendapat kemahiran yang salah disebabkan insentif yang lemah. Sebagai contoh, sistem pekerjaan yang tidak menggalakkan pekerja terlatih mendapatkan gaji lebih tinggi akan memberi kesan terhadap pelaburan dalam meningkatkan latihan dan kemahiran mereka. Itulah yang berlaku ke atas bekas Kesatuan Soviet dan negara-negara komunis. Mereka mempunyai program pendidikan yang meluas dan menarik tetapi sistem ekonomi kekurangan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran.

Institusi pendidikan mempunyai tiga peranan utama dalam masyarakat iaitu: (i) sosialisasi (ii) menyediakan tenaga kerja, dan (iii) promosi integrasi dalam masyarakat.

Sosialisasi

Sosialisasi adalah proses pembelajaran sosial melalui pelbagai aktiviti seperti berfikir, bertaakul dan bertingkah laku sesuai dengan kehendak masyarakat. Oleh yang demikian kebanyakan negara telah menetapkan tempoh tertentu bagi kanak-kanak untuk melalui proses pendidikan formal. Dalam pada itu, terdapat kanak-kanak yang menghadiri kelas di luar masa persekolahan seperti kelas bahasa, agama, muzik tarian dan seni.

Kepentingan pendidikan adalah jauh melebihi apa yang terdapat di dalam silibus. Sekolah adalah tempat belajar bagaimana untuk bersama dengan orang lain, patuh kepada peraturan, belajar bagaimana untuk belajar, menilai kebolehan diri dan berusaha memenuhi pengharapan masyarakat dan negara. Semua ini dapat menyediakan kehidupan dewasa yang lebih baik dengan meningkatkan keupayaan diri untuk bekerjasama dengan orang lain.

Menyediakan tenaga kerja

Sekolah dan institusi pendidikan turut mengajar pengetahuan dan kemahiran yang sangat berguna bagi pasaran kerja. Memandangkan gaji adalah sangat penting, persediaan ke arah prospek kerjaya yang baik sangat penting. Jika dahulu proses pemilihan kerjaya sebahagiannya ditentukan oleh keluarga, pada hari ini keputusan terhadap masa depan pelajar lebih banyak ditentukan oleh sekolah, institusi dan dasar kerajaan.

Terdapat beberapa sebab kenapa hal ini wajar berlaku. Pertama ialah bertambahnya pengkhususan terhadap ilmu dan kemahiran yang memerlukan tumpuan. Kedua ialah kebanyakan pekerja dewasa bekerja di luar kawasan kediaman yang kadangkala tidak diketahui oleh anak-anak. Keadaan ini meyebabkan anak-anak mereka tidak dapat memerhati dengan dekat jenis kemahiran yang ada pada ibu bapa. Ketiga ialah peningkatan tahap kelayakan bagi sesuatu jawatan. Sebahagian besar pekerjaan pada hari ini memerlukan pendidikan peringkat tertiari untuk mendapatkannya.

Promosi integrasi dalam masyarakat

Pendidikan adalah kaedah yang sangat penting untuk proses integrasi pelbagai kaum dan latar belakang. Perbezaan budaya memberi pelbagai dimensi terhadap usaha mempromosi integrasi. Pendidikan memberi ruang yang banyak bagi penyuburan nilai-nilai positif, menghormati antara satu sama lain dan kesedaran memberi sumbangan ke arah kesatuan masyarakat.

Reformasi pendidikan

Malaysia bersama-sama negara-negara Asean yang lain sedang berhadapan dengan cabaran yang tidak dapat dijangka dan salah satu daripadanya ialah ekonomi pengetahuan (k-ekonomi) iaitu pengumpulan pengetahuan dan menggunakannya secara produktif. Pembangunan ekonomi sangat penting mengambil kira k-ekonomi dan sedang dipergiatkan oleh kerajaan. Kualiti modal insan negara dilihat sebagai penentu utama kejayaan sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Terdapat beberapa usaha yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pendidikan tinggi seperti menarik kemasukan pelajar-pelajar luar negara, membenarkan universiti luar membuka cawangan, kerjasama pintar di antara universiti tempatan dan luar negara dan penubuhan kampus pengajian oleh beberapa institusi Malaysia di luar negara. Kawalan kualiti ke atas institusi pendidikan tinggi bagi mencapai taraf antarabangsa akan menjadi mantap dengan penubuhan Malaysian Qualification Agency (MQA).

Pengantarabangsaan universiti adalah satu langkah yang sangat tepat bagi menjadikan Malaysia mempunyai universiti bertaraf global supaya para pensyarah dan penyelidik dapat bekerjasama dengan para akademik daripada luar negara. Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, globalisasi adalah elemen utama bagi mendapatkan tenaga kepakaran dari seluruh dunia untuk memenuhi fakulti-fakulti di universiti dengan tenaga pengajar yang bertaraf dunia. Mereka ini bukan sahaja bertindak sebagai memberi nilai tambah terhadap imej dan kedudukan universiti malah terhadap kerajaan dan organisasi antarabangsa.

Pembinaan modal insan melalui pendidikan harus bermula seawal yang boleh dan berbentuk formal supaya sistem yang dilalui oleh seseorang itu akan menghasilkan produk yang sama di semua tempat. Pembentukan nilai bagi hidup seseorang bermula sejak kecil iaitu ketika perkembangan mental dan fizikal sedang pesat berlaku (Siegler & Alibali, 2005). Umur kritikal ketika ini ialah tiga hingga lima tahun. Pembentukan mental umpamanya, amat pesat semasa kanak-kanak berumur tiga tahun dan masa inilah proses pembelajaran mudah berlaku. Penyerapan maklumat dan informasi amat pantas dan mudah berlaku kerana bagi memenuhi keperluan perkembangan mental tersebut.

Pelaburan bagi membina asas pendidikan prasekolah tidak boleh dipandang mudah begitu sahaja ketika ini kerana penyelidikan dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran prasekolah sangat cepat berubah. Infrastruktur yang sempurna dan tenaga pengajar yang profesional di samping sokongan ibu bapa adalah antara prasyarat yang perlu bagi membentuk warganegara kecil yang mempunyai nilai dan jati diri yang positif.

Hasrat kerajaan untuk menerapkan pendidikan awal sebagai asas melahirkan generasi muda yang lebih hebat dan menjadi modal insan yang berguna kepada negara amat dihargai. Pembangunan pendidikan prasekolah adalah di antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sebanyak 1400 tadika baru akan dibina yang melibatkan kos RM450 juta. Tadika-tadika yang uzur dan usang akan dibaik pulih dan dinaik taraf supaya para pelajar dapat berada dalam suasana pembelajaran yang lebih sesuai. Bagi membolehkan ia berkembang, modal insan perlu dilaburkan dalam persekitaran yang betul dan berupaya memberi pulangan yang maksimum. Pendidikan awal usia adalah sangat perlu kerana bagi jangka masa panjang, Malaysia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan.

Kajian Kementerian Pelajaran telah mendapati 165,000 pelajar di negara ini masih buta huruf. Daripada jumlah ini, 125,000 orang adalah pelajar sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah.

Kajian oleh seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia pada April 2005 mendapati masih ramai murid yang tertinggal dalam pelajaran termasuk tidak tahu membaca, menulis dan mengira (3M).

Kajian ini melibatkan pencapaian murid-murid Tahun Satu di 121 buah sekolah luar bandar di Pulau Pinang pada tahun 2003. Hasil kajian mendapati 59 peratus masih belum dapat mengenal pasti 26 abjad; 17 peratus belum lagi mengenal sebutan suku kata yang mudah dan 24 peratus masih kurang lancar membaca.

Kemahiran asas mengira turut didedahkan melalui kajian ini yang mana didapati 12 peratus murid dapat mengira di bawah angka 10, 23 peratus tidak yakin dengan tambah dan tolak (bawah angka 10) dan 12 peratus tidak tahu hendak mendarab atau membahagi.

Kelemahan kemahiran asas akan membantutkan hasrat negara untuk mencapai tahap “pendidikan kelas dunia”. Infrastruktur yang baik tidak dapat membantu jika kemahiran asas tidak diperkasakan.

Program terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah ini ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis atau KIA2M pada awal tahun 2006. Matlamatnya ialah untuk mempastikan 100 peratus pelajar Tahun Satu mampu menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu.

Bagi mempastikan pelajar-pelajar Islam lancar dan fasih membaca al Quran, Bahasa Arab dan Jawi, kerajaan memperkenalkan j-QAF untuk membentuk generasi pelajar yang berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti ilmu pengetahuan, ekonomi, budaya, nilai-nilai moral dan ketahanan diri. Seramai 30,000 orang guru diperlukan untuk melaksanakan program ini.

Rumusan

Modal insan adalah teras kepada pembangunan sesebuah negara. Pembangunan aspek modal insan sangat penting bagi menjadikan negara lebih berdaya saing. Ia sememangnya menjadi cabaran utama untuk mencapai Wawasan 2020. Rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran berpotensi memiliki modal insan yang besar untuk dirinya sendiri, masyarakat dan negara. Bersusah payah meningkatkan tahap pendidikan adalah usaha murni yang hanya akan dikecapi dalam jangka masa panjang. Ia selari dengan perkembangan dunia yang menyaksikan persaingan sihat antara negara untuk memperkasakan pendidikan masing-masing.

Pendidikan menguatkan pembinaan modal insan. Individu yang berpendidikan lebih berjaya di tempat kerja dan kurang memerlukan bantuan. Keluarga yang berpendidikan juga akan membantu memperkukuhkan modal insan setiap individu yang ada di dalamnya. Modal insan yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional yang kedua iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama.” Sepanjang tempoh RMK-9, kerajaan akan terus giat membangunkan modal insan untuk memacu transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Di sekolah, para guru membangunkan dan menerapkan silibus yang menekankan nilai-nilai seperti patuh kepada peraturan, berkongsi dan bekerjasama dalam konteks yang luas. Kesedaran untuk berkongsi pengalaman dan memahami peranan masing-masing boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat umum terhadap keharmonian negara pada masa depan.

Kesungguhan kerajaan meletakkan 40 peratus daripada rakyat Malaysia mendapat pendidikan peringkat tertinggi sebagai tanda aras untuk mencapai status negara maju sebelum tahun 2020 adalah cabaran kepada semua pihak. Halangan kewangan bukanlah masalah besar kerana kerajaan sendiri sentiasa memperuntukkan sejumlah perbelanjaan yang besar setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan. Ahli sosiologi Islam tersohor, Ibnu Khaldun memberi ingatan melalui buku Mukadimah bahawa kecemerlangan sesebuah tamadun akan hilang apabila nilai dan budaya keseronokan yang melampau menjadi kompas yang dijunjung di kalangan masyarakat. Pendidikan yang membina modal insan masyarakat dan negara adalah sangat penting dan perlu terus diberi perhatian.





Rujukan

A.Aziz Deraman (2005). Intelektualisme budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Fadzilah Abdullah (1993). Dasar pendidikan kebangsaan dalam Yusuf Ismail & Khayati Ibrahim (ed.) Dasar-dasar kerajaan Malaysia. Kuala Lumpur: A.S. Nordeen.

Federico R. C & Whitaker W. H. (1997). Social welfare in today’s world. New York: MMcGraw-Hill. Second edition.


Ibnu Khaldun (1993). Mukadimah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Ibrahim Ahmad Bajunid (2005). Pendidikan sepanjang hayat: cabaran revolusi cara fikir dan cara hidup kualiti tinggi. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Pendidikan Melayu Ke-2, Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu. Kuala Lumpur.

Mahathir Mohamad (1991). Malaysia melangkah ke hadapan. Kuala Lumpur: Pecetakan Nasional.

Mohamad Zahir Zainudin (2005). Memperkasa pendidikan di Malaysia: kelangsungan kecemerlangan dalam Roziah Omar dan Sivamurugan Pandian Malaysia isu-isu sosial semasa. Kuala Lumpur: Institut Sosial Malaysia.

Mohd Amim Othman (2004). Pendidikan dan pembangunan modal insan dalam Golongan berpendapatan rendah: realiti dan cabaran. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Senu Abdul Rahman (2002). Revolusi mental. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Edisi pertama.


Siegler, R. S. & Alibali, M. W. (2005). Children’s thinking. New Jersey: Prentice Hall. Fourth edition.

Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani (2003). Pendidikan negara bangsa. Bentong: PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.

Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) (2005). Perangai bergantung kepada diri sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan ketiga.

Monday, August 18, 2008

Pendidikan Islam sebagai pemangkin pembentukan peribadi pelajar

Pengenalan

Pendidikan adalah lambang masyarakat yang bertamadun. Beberapa tamadun dunia yang muncul dan hilang meletakkan pendidikan di tempat teratas bersama industri perdagangan, ketenteraan dan pengangkutan. Dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan (2001-2010), kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM87,522.00 juta khusus untuk perbelanjaan dan peruntukan pembangunan bagi pendidikan dan latihan.

Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat penting sebagai agenda pembangunan negara. Keupayaan rakyat sesebuah negara terletak pada sejauh mana tahap celik huruf dan kadar penembusan terhadap informasi teknologi maklumat. Negara-negara maju mempunyai kadar buta huruf yang sangat rendah malahan sifar dan penguasaan teknologi maklumat yang tinggi.


Jepun umpamanya mempunyai kadar celik huruf 99 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Tidak hairanlah Jepun pada hari ini menjadi salah satu daripada kuasa besar dalam ekonomi dan perdagangan dunia.

Pendidikan individu merangkumi pendidikan di rumah, sekolah, pasca persekolahan, institusi pengajian tinggi dan tempat kerja (Berita Harian, 10 Disember 2006). Melalui pendidikan bertahap inilah nilai dan budaya yang kukuh diterapkan supaya akan lahir modal insan yang mantap dan berkualiti.

Di Malaysia, sistem pendidikan yang dilalui oleh setiap pelajar merangkumi sekolah rendah dan menengah yang mengambil masa selama 11 tahun. Pelajar-pelajar ini diberi pelbagai pendedahan untuk melengkapkan diri dengan keperluan dunia dan akhirat. Bagi pelajar muslim, mereka diberi pendidikan Islam bagi melengkapkan diri dengan kemahiran membaca al-quran dan ilmu feqah bagi memantapkan iman dan amal.

Kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ”Nilai-nilai moral kian terhakis?” menyatakan pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecapi kejayaan, ada yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap individu (The Star, 9 Disember 2006).

Walaupun pendidikan Islam dilaksanakan dalam sistem pendidikan perdana negara, gejala sosial yang berlaku turut meresahkan umat Islam. Setiap hari dipaparkan pelbagai kes yang melibatkan salah laku sosial dalam masyarakat seperti pecah amanah, delikuensi remaja dan penipuan serta pembunuhan. Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Penghuni belia di pusat serenti adalah 71.7 peratus. Dari tahun 1988 hinga Jun 2006, jumlah penagih dadah adalah 295,593 orang.

Gejala sosial ini semakin membimbangkan (Ahmad Rezuwan Mohd Yunus, 2003). Apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada sistem pendidikan negara khususnya sistem pendidikan Islam yang dilalui oleh pelajar dan remaja sekarang?

Gejala sosial seperti bohsia, buli di sekolah, lari dari rumah, buang bayi, rogol dan penganiayaan kanak-kanak adalah simptom yang muncul kerana kegagalan sistem pendidikan, institusi kekeluargaan dan penguatkuasaan. Azizah Othman (2003) melihat empat pendekatan untuk mengatasi masalah sosial ini iaitu peranan ibu bapa, peranan diri sendiri, peranan rakan sebaya dan peranan masyarakat. Namun begitu beliau tidak memasukkan aspek pendidikan yang berperanan lebih besar kerana dalam masyarakat moden hari ini, elemen nilai banyak diterapkan melalui pendidikan formal seperti sekolah.

Pengaruh media massa yang memaparkan budaya yang berbeza dengan masyarakat tempatan telah memecahkan dominasi nilai-nilai tradisi sama ada nilai bangsa atau agama. Nilai-nilai yang terbentuk melalui budaya dan agama semakin terhakis kerana desakan kuat elemen-elemen yang sangat asing dibawa bersama oleh media massa yang turut mempengaruhi sosiobudaya masyarakat.


Ketika pendidikan moden hari ini berhadapan dengan masalah untuk melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak, pendidikan yang dilalui oleh ulama dan umat Islam pada zaman kegemilangan Islam amat luar biasa pengaruhnya. Beberapa persoalan untuk kita fikirkan ialah: Bagaimana umat Islam dahulu merangkak dan membina tamadun ilmu yang gilang gemilang beratus-ratus tahun? Apakah rahsia yang menggerakkan mereka untuk mencari dan mengembangkan ilmu kepada seluruh dunia hingga mencipta trend budaya ilmu kepada masyarakat Barat?


Latar belakang pendidikan Islam

Tahun 459 Hijrah adalah batas yang memisahkan di antara pendidikan kaum muslimin dengan tahun-tahun sebelumnya. Ketika ini, sekolah yang pertama telah dibuka di kota Baghdad yang didirikan oleh Nizamul Muluk, seorang menteri dari bangsa Saljuk. Sistem persekolahan ini seterusnya berkembang ke seluruh dunia Islam termasuk di daerah-daerah kecil.

Sebelum ilmu dan sistem pendidikan yang mantap wujud, umat Islam belajar di masjid, surau dan kuttab. Di Malaysia, sekitar tahun 1980-an, kuttab lebih dikenali sebagai kutub-khanah yang dimodenkan. Kuttab adalah sejenis tempat belajar yang mula-mula lahir di dunia Islam. Perkataan kuttab diambil dari perkataan “taktib” yang boleh diertikan sebagai tempat memberikan pelajaran menulis dan membaca.

Selain menjadi tempat belajar menulis, kuttab juga adalah tempat untuk belajar membaca al-quran.

Tradisi kuttab ini berkembang ke istana yang mana para guru digelar “mu’addib” berperanan mendidik budi pekerti putera dan puteri raja. Mu’addib yang terkenal ialah Ahmad Ibnu Abul Abbas Tsa’lab yang diminta mendidik Taher, putera kepada Muhammad Ibnu Abdillah. Ahmad telah disediakan dengan tempat istimewa dan diminta mengajar Taher selama empat jam sehari. Semua kemudahan disediakan dan beliau telah membimbing Taher selama 13 tahun.

Pendidikan di istana bukannya bersifat formal malah mendidik dan mengisi keperluan rohani dan jasmani. Amalan ini masih diamalkan oleh kebanyakan pemerintahan beraja di dunia termasuk sultan-sultan Melayu di Malaysia dan kesultanan Brunei. Pada zaman dahulu, anak-anak raja diberi pendidikan lengkap dari segi emosi, fizikal, mental dan spiritual sebagai persediaan menjadi pemimpin negara.

Pendidikan juga tersebar melalui kegiatan perniagaan yang turut menyemarakkan industri buku. Kedai-kedai buku yang bermula sejak kerajaan Bani Abbasiyah dan tersebar luas ke seluruh negara. Penekanan utama ketika ini ialah kesusasteraan seperti sajak, perbincangan ilmiah dan pidato. Keadaan ini memberi ruang untuk perkembangan ilmu falsafah dan bahasa yang telah melahirkan bijak pandai Islam yang sering mengadakan perbahasan ilmiah. Melalui pertemuan dan perbahasan serta peranan kedai-kedai buku ini, muncul tokoh-tokoh penulis seperti Ibnu Nadim, Ibnu Kaujak dan Jaqut yang mengarang buku Mu’djamul Udaba dan Mu’djamul Buldan.

Kepesatan perkembangan ilmu ketika tamadun Islam berkembang digambarkan oleh Ibnu Jauzi (597 Hijrah) yang menyatakan kedai-kedai buku di kota Baghdad sebagai sebuah pasar yang besar dan tempat ulama dan fuqaha mengadakan persidangan. Kepentingan peranan kedai buku sebagai tempat perkembangan ilmu dapat dilihat daripada petikan sajak berikut yang menceritakan keadaan sebuah kedai buku di Mesir.

Duduk di pasar-pasar itu tercela, tetapi ada pula di situ majlis-majlis yang terpuji.Maka janganlah engkau dekati selain pasar kuda, pasar senjata danpasar bukuDua yang awal adalah alat para pahlawanDua yang terakhir adalah alat para sasterawan.

Perbincangan ilmiah yang lebih serius berlangsung di rumah-rumah para ulama (sarjana). Ketika zaman Rasulullah saw, baginda sendiri menggunakan rumah Al Alqam Ibnu Abil Arqam sebagai markas. Di sini Rasulullah saw mengajar perkara-perkara pokok tentang agama Islam dan menerangkan maksud ayat-ayat al-quran.

Rumah ulama Islam tersohor ialah Imam Al Ghazali (504 Hijrah) yang memberi pelajaran kepada beberapa orang muridnya. Yaakub Ibnu Killis adalah menteri kepada khalifah Al Azizbillah Al Fathimi merupakan seorang ulama yang luas pengetahuannya dalam mazhab Ismailliah. Beliau adalah seorang penulis buku dan rumahnya dikunjungi oleh para ulama dan pelajar setiap hari Jumaat.

Manakala Ahmad Ibnu Muhammad Abu Taher adalah seorang ulama yang miskin. Rumahnya dijadikan tempat mengajar pada sebelah malam kerana pada waktu siang, beliau mengajar di istana.

Kisah yang terkenal berkaitan pendidikan ini ialah pengalaman Imam Malik mengajar kitab Muwatta’. Khalifah Harun Al Rashid ingin sekali bertemu dengan Imam Malik di Madinah selepas menunaikan haji di Mekah. Ketika pesuruh khalifah datang menemui Imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau tegas berkata: “Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang.” Akhirnya khalifah datang sendiri untuk belajar dengan Imam Malik.

Rumah-rumah ulama dan sarjana menjadi tempat mereka yang dahagakan ilmu dan pencari-pencari ilmu. Ilmu berkembang dengan cepat kerana sifat pemurah tokoh-tokoh ilmuwan ini kerana kefahaman mereka terhadap kelebihan orang berilmu seperti yang dinyatakan dalam surah Az Zumar ayat 9, “Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Seterusnya muncul institusi ilmu yang lebih pesat dan teratur khususnya ketika pemerintahan khalifah Harun Al Rasyid. Beliau menyedari peranan khalifah ialah sebagai pentadbir negara dan pada masa yang sama merupakan pemberi fatwa dalam urusan agama. Oleh itu, seorang khalifah mestilah berilmu dan mampu berijtihad.

Zaman khalifah Harun Al Rasyid adalah zaman perkembangan ilmu pengetahuan yang pesat. Majlis ilmu, diskusi dan penerokaan serta penjelajahan berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh penulis seperti Abu Nawas, Abul ’Atahiah dan Abbas Ibnu Ahnaf.

Perkembangan Islam melalui kabilah perniagaan berkembang melalui padang pasir kerana anjuran untuk berdakwah oleh Rasulullah saw. Di padang-padang pasir juga berlaku pertukaran pendapat dan perkembangan ilmu. Di sinilah bahasa Arab dan bahasa-bahasa ilmu yang lain berkembang dan muncul pula bidang baru dalam perkembangan ilmu yang dipanggil terjemahan. Ilmu pengetahuan dan maklumat yang dipusakai oleh bangsa Rom dan Parsi dapat disebarluaskan kepada masyarakat Arab melalui proses terjemahan.

Pendidikan yang berkesan dapat melahirkan pelajar yang sangat menghargai ilmu. Ketika kerajaan Islam Andalusia berkuasa, umat Islam berebut-rebut untuk memenuhkan dada mereka dengan ilmu dan pada masa yang sama memenuhkan perpustakaan dengan buku.

Kardova, sebuah kota yang indah di Andalusia adalah tempat kediaman ramai ulama Islam yang dahagakan ilmu. Salah seorang daripada mereka adalah Al Hadhrami. Beliau sering ke kedai-kedai buku untuk mencari sebuah buku yang sangat diminatinya. Buku tersebut bertulis tangan dan mempunyai isi kandungan yang bagus.


Oleh kerana sistem harga yang ditetapkan secara penawaran tertinggi, setiap kali Al Hadhrami meletakkan tawaran, harga tersebut diatasi oleh tawaran lawannya. Akhirnya, dia tidak mampu meletakkan tawaran yang tertinggi dan menyerahkan buku tersebut untuk lawan yang tidak dikenalinya itu.

Sebelum pulang, Al Hadhrami bertemu dengan pembeli tadi dan berkata, “Tuan ulama, kalau memang tuan memerlukan buku ini, biarlah saya mengalah. Tuan ambillah buku itu kerana saya tidak sanggup lagi mengatasi tawaran tuan.”

Orang itu menjawab, “Saya bukan seorang ulama malah saya tidak mengerti isi buku ini. Disebabkan saya ada sebuah perpustakaan dan terdapat tempat sebesar buku ini. Oleh kerana buku ini saya lihat tulisannya bagus, dijilidkan dengan baik, saya ingin membelinya walaupun harga yang ditawarkan tinggi bagi mengisi ruang yang masih kosong dalam perpustakaan yang saya buat ini.”

Kemajuan ilmu pengetahuan yang pesat ketika zaman kegemilangan tamadun Islam adalah kerana semangat yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu. Tekad dan kemahuan yang kuat ini telah membantu penuntut ilmu untuk menempuh segala halangan dan tidak mempeduikan susah payah.

Dorongan terkuat yang menggerakkan mereka adalah ayat-ayat al-quran, hadis, kata-kata mutiara dan peribahasa daripada para cendekiawan dan pemimpin-pemimpin Islam yang cintakan ilmu.

Kemahuan, keazaman dan tekad untuk belajar telah menggerakkan anak-anak muda yang cintakan ilmu untuk keluar merantau dari kampung halaman. Motivasi ayat-ayat al-quran, hadis dan kata-kata perangsang tadi yang diulang-ulang memberi keyakinan kepada mereka untuk mencari ilmu dan pada masa yang sama melenyapkan keraguan dan kemalasan.


Petikan ayat-ayat al-quran

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat dan (ingatlah) Alllah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al Mujadalah ayat 11)

“Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah Az Zumar ayat 9)

“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (Surah At Taubah ayat 122)

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” (Surah Toha ayat 114)

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah Al Nahl ayat 43)

Petikan hadis

“Sesiapa yang dikehendaki Allah swt untuk mendapat kebaikan maka Allah swt akan mengurniakannya pengetahuan yang mendalam tentang agama.”(Riwayat Bukhari)

Petikan kata-kata mutiara

“Manusia itu ada yang sudah berilmu dan ada yang sedang menuntut ilmu dan yang lainnya adalah orang-orang yang bodoh yang tidak berguna.” (Al Ashfihani)

“Ilmu pengetahuan itu akan menjadi perhiasan bagi pemiliknya dalam waktu makmur dan akan menjadi penolong dalam masa-masa krisis.” (Ibnu Muqaffa’)

Abdullah Ibnu Mubarak pernah ditanya, “Andaikata Allah swt memberitahumu bahawa kamu akan mati malam ini, apakah yang kamu akan lakukan hari ini?” Jawab Abdullah, “Aku akan pergi mencari ilmu pengetahuan.”

Pemimpin Islam

“Wahai Kamil, ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda kerana ilmu pengetahuan dapat menjaga kamu sedangkan harta benda itu engkau yang menjaganya, ilmu pengetahuan itu adalah pihak yang berkuasa sedangkan harta benda itu adalah pihak yang dikuasai. Dalam pada itu harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan sedangkan ilmu pengetahuan itu bertambah-tambah jika kita berikan kepada orang lain.” (Ucapan Ali bin Abi Talib kepada pemuda bernama Kamil)

Konsep Pendidikan Islam

Rasulullah saw meninggalkan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada umat Islam yang menjadikan mereka sentiasa berada di jalan yang lurus dan tidak akan sesat selama-lamanya.“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu al-quran dan sunnahku.” (Riwayat Abu Daud)

Ramai bijak pandai dan tokoh Islam menjadikan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada pendidikan Islam. Imam Al Ghazali menyatakan tujuan pendidikan Islam seharusnya kembali kepada Allah swt. “Bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk mendapatkan jabatan kepimpinan, bermegah-megah dan berlumba-lumba.”

Manakala Ibnu Khaldun membahagikan pendidikan Islam kepada dua iaitu tujuan keagamaan dan keduniaan. Tujuan keagamaan adalah membentuk peribadi yang taat beragama seperti firman Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 138 yang bermaksud,“Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadanya kita menyembah.”

Tujuan keduniaan menjurus kepada tingkah laku berdikari bagi menghadapi kehidupan di dunia. Potensi sumber manusia harus dibangunkan supaya matlamat akhir ialah keredhaan Allah swt dan merealisasikan ayat 105 surah At Taubah.“Dan katakanlah, bekerjalah kamu lalu Allah, rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang kamu kerjakan.”

Abdul Halim (1989) membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan cendekiawan Islam mempunyai pemikiran dan pendapat yang sama mengenai pendidikan Islam dengan meletakkan al-quran dan sunnah sebagai tempat teratas.


Oleh itu beliau merumuskan yang pendidikan Islam harus berperanan untuk membentuk peribadi yang memenuhi ciri-ciri insan kamil iaitu:

-Mempunyai keimanan yang teguh.
-Patuh dan tekun menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
-Mempunyai akhlak yang luhur.
-Mempunyai sikap sosial yang baik.
-Memiliki ilmu pengetahuan dan kematangan intelektual yang tinggi.
-Mampu berdikari dalam segala aspek khususnya di dalam mencari rezeki untuk kehidupannya sendiri dan orang yang menjadi tanggungjawabnya.
-Bersedia memikul tanggungjawab agama dalam segala aspek : peribadi, masyarakat, negara dan seluruh umat manusia.

Tujuan pendidikan umum ialah untuk membangun pemikiran termasuk minda dan personaliti secara menyeluruh, ia tidak memberikan kemahiran khusus tetapi membina personaliti yang menyeluruh (Syed Hussein Alattas, 2005).


Oleh itu, pendidikan Islam harus mengambil kira kepentingan dunia dan akhirat supaya kekuatan individu dan masyarakat yang dibina dapat memberi makna kepada pembentukan negara yang dihormati.

Ahmad Tafsir (1992) menyatakan kehairanannya apabila memikirkan orang ramai lebih memuji pencapaian sekolah kerajaan dan yang dikelolakan oleh pertubuhan Kristian di Indonesia. Sekolah yang dikendalikan oleh pertubuhan Muhammadiyah dan institusi Islam yang lain gagal menyerlah. Kajian dan pemerhatiannya mendapati pengelola sekolah Islam belum dapat mensintesiskan teori pendidikan Barat (disebut moden) dan teori pendidikan Islam yang berdasarkan al-quran dan sunnah.

Contohnya ialah keazaman pengelola sekolah pendidikan Islam untuk meningkatkan kualiti pengajaran; mereka menggunakan teori Barat tetapi dalam pembiayaan perjalanan pentadbiran sekolah seperti gaji guru, kemudahan dan perkhidmatan sangat sedikit.

Pendidikan Islam di Malaysia

Pendidikan Islam di Malaysia secara formalnya bermula pada tahun 1960-an apabila kerajaan melaksanakan undang-undang peraturan yang didasarkan kepada Laporan Rahman Talib. Laporan ini membentuk Akta Pelajaran 1961 yang menyatakan, “Seksyen 36 (1) tercatat bahawa pendidikan agama Islam hendaklah diberikan kepada murid-murid beragama Islam di setiap sekolah yang murid-murid beragama Islam berjumlah 15 orang atau lebih.”

Pelaksanaan pendidikan agama Islam diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran yang mengendalikan segala kegiatan yang berhubung dengan pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah.

Pengajaran pendidikan Islam di sekolah adalah manifestasi Perlembagaan Negara Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Kedudukan Islam telah berjaya ditempatkan pada kedudukan istimewa.

Pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi bermula secara formal pada tahun 1955 setelah Kolej Islam Malaya ditubuhkan di Klang, Selangor. Tahun 1959, Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya ditubuhkan sebagai hasil kerjasama di antara Kolej Islam Malaya dan Universiti Malaya. Seterusnya Kolej Islam Malaya digabungkan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali sebagai Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bahagian Pendidikan Islam, Universiti Teknologi Malaysia adalah universiti pertama yang menjadikan pendidikan Islam sebagai keutamaan. Unit Pendidikan Islam ditubuhkan pada tahun 1972 yang menyelaraskan kuliah pendidikan agama Islam kepada mahasiswa UTM. Kini hampir semua universiti awam mempunyai Pusat Islam masing-masing.

Pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi Malaysia diperkukuhkan dengan pengenalan Kursus Tamadun Islam yang diwajibkan kepada semua mahasiswa dengan tujuan setiap orang daripada warganegara Malaysia yang mendapat pendidikan tinggi di universiti akan mengenali Islam dan ajaran-ajarannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Ternyata pendidikan Islam telah diperkukuhkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan. Kurikulum dari sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pengetahuan dan diterapkan dengan nilai dan falsafah pendidikan Islam ini. Apakah kesan daripada proses pendidikan yang diterima jika kita melihat definisi dan harapan daripada Al Ghazali, Ibnu Khaldun dan tokoh-tokoh ulama Islam yang lainnya?

Kegagalan sistem pendidikan Islam kini adalah disebabkan nilai yang diterapkan tidak dapat membawa pelajar untuk mengenali Allah swt dan mencetuskan perubahan dalam diri mereka. Walaupun akal fikiran pelajar hari ini lebih baik dan dianggap maju, tetapi dalam hal pembinaan watak diri yang digelar ulul albab masih jauh daripada realiti sebenar. Pendidikan Islam yang ada tidak berupaya membentuk individu yang boleh bertafakur untuk merenung, mengamati, membuat kajian dan menganalisis peranan Tuhan dalam penciptaan alam dan kehidupan realiti.

Hala tuju pendidikan Islam harus menjadikan objektif pembentukan ulul albab sebagai salah satu hasil akhir dalam pencapaian seperti maksud firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 191,“(Ulul albab adalah) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”

Kejayaan ahli saintis Islam dahulu adalah kerana takwa dan keupayaan mereka bertafakur bagi menganalisis penciptaan alam (Danial Zainal Abidin, 2004) dan direalisasikan dengan galakan yang berterusan dan mantap daripada al-quran, hadis, kata-kata mutiara ulama dan sokongan padu khalifah Islam.

Ibu bapa berperanan memperkenalkan Tuhan kepada anak-anak melalui tiga keadaan sebaik sahaja mereka boleh bercakap.

Pertama, memperkenalkan Allah swt melalui sifat Maha Pencipta. Setiap benda yang tumbuh, menjalar dan bergerak di hadapan kita adalah makhluk Allah swt. Penciptaan siang dan malam silih berganti boleh diterangkan secara langsung supaya anak-anak merasai kehadiran Tuhan di dalam hidup mereka.

Kedua, diajar untuk mensyukuri nikmat diberi Allah swt dalam semua perkara. Bermula dengan bangun pagi, makan minum dan kesempurnaan tubuh badan boleh sahaja memberi impak yang besar ke atas corak pemikiran anak-anak dan sentiasa ingat bahawa setiap masa dalam hidup mereka, Allah swt bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Ketiga, mengenengahkan sifat Al Karim Allah swt. Mulia dan pemurahnya Allah swt merangkumi semua perkara. Harapannya ialah anak-anak akan merasai kecintaan dan menaruh harapan ke atas apa sahaja yang dilakukan kepada Allah swt.

Pendidikan Islam adalah pemangkin kepada pembentukan nilai dan keluhuran moral pelajar dan masyarakat Islam khususnya di Malaysia. Peranan pendidikan Islam ini telah terbukti berjaya melahirkan sebuah tamadun yang menguasai sepertiga dunia sehingga menjadi warisan pemodenan dunia hari ini. Kejayaan umat ini diakui oleh seorang tokoh usahawan Amerika Syarikat, Carleton S. Fiorina, CEO Hewlett-Packard Company pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.

“Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800 hingga 1600 Masihi.”

Masyarakat luar melihat pendidikan Islam yang dilaksanakan dahulu mampu membuat perubahan dan memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Kesimpulannya, matlamat pendidikan Islam harus memenuhi tiga perkara asas untuk menjadi umat yang disegani iaitu memelihara kesejahteraan, mewujudkan sistem sosial yang selamat dan dapat menyemai nilai kepercayaan.


Rujukan


Abdul Halim Hj. Mat Diah (1989). Pendidikan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus.2003. Gejala sosial dalam masyarakat Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Ahmad Syalabi (1973). Sejarah pendidikan Islam. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang. Edisi terjemahan oleh H. Mucktar Jayja dan M. Sanusi Latief.

Ahmad Tafsir (1992). Ilmu pendidikan dalam perspektif Islam. Bandung: PT Remaja Rosdakarya.

Azizah Othman (2003). Gejala sosial dalam masyarakat dan cara mengatasinya. Pendidikan Islam. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributor Sdn Bhd. Mardzelah Makhsin (editor).

Danial Zainal Abidin (2004). 7 formula individu cemerlang. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn Bhd.

Mahmud Yunus (1973). Tafsir quran karim. Jakarta: P.T. Hidayakarya Agung.

Syed Hussein Alattas (2005). Pemikiran dan falsafah pendidikan: mahasiswa abad 21. Kuala Lumpur: Fakulti Pendidikan UKM dan Yayasan Istana Abdul Aziz. Abdul Razaq Ahmad (editor).

Berita Harian,10 Disember 2006. Jangan salahkan sistem di sekolah.

Universal McCann Malaysia. Kajian Suara Pengguna. Advetorial The Star, 9 Disember 2006.