Thursday, July 31, 2008

Bisnes ikan air tawar

Falsafahnya dalam bisnes sangat hebat: kelulusan tinggi bukan penentu masa depan seseorang sebaliknya iltizam dan kecekalan diri adalah faktor dalam kejayaan.

Razidi, 33 tahun hanya lulusan Sijil pelajaran Malaysia (SPM), pernah menjadi buruh di Singapura dan berniaga kecil-kecilan. Namun impiannya sangat besar.

Bermula dengan modal RM500, dia membeli benih anak ikan dan membela ikan dalam lima sangkar ikan di dalam sungai belakang rumahnya. Ikan-ikan yang diternak ialah talapia, patin, keli, baung, haruan dan belut yang dijual di antara RM7 hingga RM14 kilogram.

Peringkat awal bisnes Razidi, beliau hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan bisnes ternakan ikan kerana tidak banyak wang untuk membeli keperluan ikan seperti makanan, kos untuk bersihkan sangkar dan merawat ikan-ikan yang sakit. Tambahan pula dia amat lemah dalam selok-belok pengurusan kewangan.

Disebabkan tidak mahu mengalah kepada cabaran ini, dia mengambil kursus pengurusan kewangan dari semasa ke semasa supaya aliran kewangan syarikatnya lebih terurus. Lebih-lebih lagi bilangan sangkar ikannya semakin bertambah kepada 20 buah.

Menjual ikan air tawar di Pasar Tani agak terhad kerana masa jualannya agak singkat. Lalu beliau menyewa kedai dan selesailah masalah pelanggan yang sukar mendapatkan bekalan ikan ini.

Bagaimana Razidi yang hanya lulus SPM mampu bertapak sedikit demi sedikit untuk meraih kejayaan?

Pertama, minat dan azam untuk berjaya menjadi resepi penting untuk beliau bekerja lebih kuat. Setiap cabaran dan susah-payah diatasi dengan pelbagai cara.

Kedua, mendapatkan nasihat daripada Jabatan Perikanan Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan kerajaan negeri Terengganu yang membantu membuat promosi dan pemasaran bisnes ikan tawarnya.

Oh ya! Razidi adalah pengedar utama ikan air tawar di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Tuesday, July 29, 2008

Sekolah ajar goda lelaki kaya Russia

MOSCOW: Berbeza dengan sukatan pelajaran seperti sekolah lain, sebuah pusat pengajian popular di Russia mengajar wanita profesional cara menggoda dan memikat lelaki idaman mereka dan pastinya berstatus hartawan.

Pengendali kursus itu, Evgeniya Steshova, berkata gadis memang mencari lelaki baik dengan standard sosial tinggi dan lelaki kaya adalah anugerah bagi mereka.

Pembelajaran bermula dengan memberi penilaian kepada sesama sendiri pada skala lima mengenai haruman, penjagaan kuku tangan, rambut, seluar dalam dan tarikan seksual.

Nasihat Steshova ialah supaya wanita sentiasa tampil terbaik ketika cuba memikat lelaki kerana golongan itu memberi reaksi kepada penampilan wanita.

“Pakai kasut tinggi dan warna cerah setiap masa. Berlagak malu-malu dan jika sedar berada dalam keadaan untuk melakukan hubungan seks tetapi tidak memakai seluar dalam yang menarik, tanggalkan saja dan beritahu anda lupa memakainya,” akhbar The Sun memetik beliau sebagai berkata.

Petua yang diberi pada hari pertama termasuk berpura-pura menjatuhkan pen ke lantai dan membongkok supaya lelaki dapat melihat bentuk badan. Hari kedua memberi fokus kepada bagaimana untuk menggoda lelaki dalam keadaan berbeza.

“Kuncinya ialah memainkan peranan berbeza. Seorang wanita muda yang mahu menggoda lelaki, jadi seorang wanita ketika di atas katil tetapi tukar watak kepada seorang gadis pada keesokan hari,” katanya.

Kursus itu nyata mendapat sambutan di kalangan wanita profesional.

“Semuanya yang kami belajar di sini ialah memberi fokus kepada lelaki tetapi saya rasa ia tidak merendahkan harga diri saya,” kata Anya Petrovich, 32, ahli perniagaan. - Agensi

[Berita Harian Online, 29/07/2008]

Saturday, July 26, 2008

Untung kafe siber lumayan

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Mampukah keuntungan diraih dengan hanya bayaran sebanyak RM2 sejam? Dapatkah kos operasinya ditampung dengan bayaran serendah itu sedangkan pelbagai aspek perlu diambil kira terutama membabitkan kos penyelenggaraan.


Itulah senario yang tidak disedari ramai dan menimbulkan tanda tanya mengenai keuntungan diperoleh pengusaha pusat kafe siber yang bercambah hampir di setiap kawasan. Tidak kira di tengah bandar mahupun di desa. Malah, kini di mana saja, premis yang memberikan kemudahan penggunaan komputer berinternet mudah didapati.

Jika 10 tahun dulu, bayarannya ada yang mencecah RM5 sejam, kini ia semakin murah apabila pelanggan hanya perlu membayar RM2 sejam, malah ada yang lebih menarik memberikan kemudahan itu dengan bayaran RM1 saja sejam.

Pelik memikirkan bagaimana pengusahanya boleh meraih keuntungan kerana melihat kepada peralatan digunakan di situ, rasanya bukan sedikit pelaburan yang perlu diperuntukkan. Setiap bulan pula, pastinya bukan sedikit belanja perlu dilaburkan untuk penyelenggaraan supaya peralatan terutama komputer berada dalam keadaan baik.

Namun, apabila Berita Harian meninjau dan mendapatkan maklumat sebenar daripada Ketua Pegawai Eksekutif Michaelsoft DDS Sdn Bhd, Michael Leong, mendedahkan bahawa keuntungan yang diperoleh sebenarnya cukup lumayan, malah boleh digandakan jika kena caranya. Memang modal untuk memulakan perniagaan itu agak tinggi kerana membabitkan pembelian peralatan yang setiap satunya bernilai ribuan ringgit. Belum lagi diambil kira kos untuk mengubah suai premis supaya sesuai digunakan bagi tujuan itu, selain membuat dekorasi bagi menarik perhatian pengunjung.

Malah, kepesatan pembangunan teknologi maklumat dan peralatannya meletakkan pengusaha pusat kafe siber sentiasa dalam persaingan untuk menyediakan kemudahan tercanggih, terutama membabitkan peralatan komputer dan perisian yang boleh memenuhi kehendak pelanggan, tidak kira pelayar internet atau penggemar permainan video.

Jika dulu, kebanyakan pusat internet ini hanya menyediakan komputer dengan monitor CRT yang lebih besar dan grafik yang tidak menarik, kini lambakan monitor LCD pula menguasai pasaran yang menampilkan bentuk lebih menarik dan kualiti gambar yang tajam, namun pastinya harganya juga lebih mahal.

Dulu, komputer hanya terhad menggunakan pemproses Pentium 4, itu pun sudah dikira cukup laju tetapi kini, ia sudah dianggap jauh ketinggalan kerana dengan kemunculan pemprosesan Intel Core 2 Duo, pemprosesan lama dianggap seakan wajib dibuang.

Justeru, isu modal dan penyelenggaraan perniagaan ini memang cukup tinggi, apatah lagi apabila berurusan dengan teknologi maklumat yang diketahui umum sentiasa berubah pantas mengikut zaman, setiap tahun pastinya ada teknologi dan ciptaan baru.

Modal permulaan? Michael memberi contoh sebuah kafe siber yang mahu dibuka dengan kuantiti sebanyak 50 komputer. Sekurang-kurangnya, RM200,000 diperlukan dan ia adalah jumlah minimum kerana ia bergantung kepada bagaimana pengusaha itu mahu memperindahkan premisnya, sama ada menggunakan perabot mahal atau murah.

Perkara paling utama yang perlu disediakan pastinya komputer yang anggarannya bernilai RM2,000 setiap satu. Nasib baik, harga alat itu sudah semakin murah lantaran terlalu banyak persaingan dalam penghasilan komputer terbaru.

Itu baru harga komputer yang belum dilengkapi perisiannya. Bagi setiap komputer itu pula perlu dilengkapi lesen Windows XP Home yang bernilai RM300.

Bagi membolehkan semua komputer dirangkaikan antara satu sama lain, suis rangkaian diperlukan yang disambungkan terus ke modem dan ia juga memerlukan tiga suis 24 rangkaian yang bernilai lebih RM1,000. Itu belum termasuk harga mesin kawalan operasi yang bernilai RM1,500 untuk membolehkan pengusaha mengawal operasi setiap komputer.

Itu antara perkara wajib, tetapi kos lain termasuk pendawaian, penyediaan perabot dan pengubahsuaian premis bergantung kepada kreativiti dan saiz kedai. Biasanya kos itu boleh mencecah lebih RM50,000.

Jika mahukan sistem yang digunakan boleh beroperasi tanpa sebarang masalah, setiap bulan perlu dibuat penyelenggaraan dan kosnya berbeza mengikut kaedah yang dipilih. Ada yang mencecah RM150 bagi sebuah komputer dan ada juga yang diselenggara sendiri oleh pengusaha jika memilih sistem tanpa cakera keras.

Jadi, bagaimana untuk mendapatkan keuntungan kerana jika semua kos itu diambil kira, belum dicampur bayaran lesen perniagaan, lesen permainan komputer yang bernilai lebih RM4,000 sebulan, dan bil streamyx, peruntukan yang perlu keluar setiap bulan pasti tinggi.

"Setiap bulan, puratanya pengusaha perlu memperuntukkan sebanyak RM10,000 tetapi dengan 50 komputer itu yang digunakan secara minimum (kiraan satu komputer digunakan 12 jam sehari) pengusaha boleh mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan selepas ditolak gaji pekerja.

"Jadi, perniagaan ini memang boleh menguntungkan. Tambahan pula, kini pusat kafe siber menjadi kegilaan remaja termasuk kanak-kanak yang suka menghabiskan masa bermain permainan komputer di situ. Sebenarnya, permainan komputer lebih mendapat sambutan daripada perkhidmatan internet," kata Michael sambil menunjukkan beberapa jenis permainan popular seperti War Craft dan Counter Strike.

Malah, katanya, bagi membolehkan keuntungan itu dilipatgandakan, ada pengusaha membuka premis mereka sehingga 24 jam sehari, meskipun melanggar peraturan.

Itu kiraan bagi 50 komputer, pastinya keuntungan akan menjadi lebih lumayan jika jumlah komputernya lebih banyak dan dekorasinya menarik perhatian ramai. Berapakah agaknya keuntungan pusat kafe siber yang mempunyai 500 komputer seperti yang ada di Damansara?

Rasanya, kerana digelapkan dengan keuntungan ini jugalah menyebabkan ramai pengusaha sesuka hati melanggar undang-undang dengan membenarkan pelanggan melayari laman web lucah, malah Michael mengakui, memang banyak kafe siber beroperasi tanpa lesen kerana proses permohonan lesen adalah peringkat paling sukar.

Teknologi terkini mampu kurangkan kos penyelenggaraan operasi

Pengusaha kafe siber kini berpeluang menggandakan keuntungan mereka dengan menggunakan satu teknologi baru yang membolehkan mereka mengurangkan lebih banyak kos termasuk modal operasi dan penyelenggaraan.

Melalui sistem terkini yang dibangunkan oleh Michaelsoft DDS Sdn Bhd, perisian pengurusan rangkaian digerakkan tanpa memerlukan cakera keras dan ia mampu menjimatkan banyak belanja terutama ketika mahu memulakan perniagaan ini.

Kelebihan utama sistem ini ialah keupayaannya mengendali dan menyalurkan pelbagai aplikasi perisian dan program dari satu server rangkaian ke beberapa stesen kerja pada sesuatu masa. Ia membolehkan stesen kerja dalam rangkaian itu beroperasi tanpa cakera keras tersendiri.

Dengan memusatkan data sistem pengendalian pada server rangkaian terbabit, sistem itu membolehkan semua operasi menaik taraf perisian dan penyelenggaraan dilakukan hanya pada storan utama dan secara langsung meningkatkan prestasi semua komputer yang dirangkaikan.

Antara faedah menggunakan sistem ini ialah memudahkan pemasangan serta peningkatan perisian pihak ketiga atau permainan komputer; tiada penyelenggaraan yang perlu dilakukan terhadap komputer lain; mempercepatkan prestasi rangkaian; prestasi yang mampan; membolehkan kawalan jauh dilakukan pada semua komputer; kebal kepada virus komputer kerana tidak menggunakan cakera keras serta kos pelaburan yang sangat rendah.

Kos meningkatkan perisian juga dapat dikurangkan kerana tidak perlu membayar upah selenggara yang boleh mencecah RM150 bagi setiap komputer setiap bulan, malah ia juga mempunyai keserasian dengan pelbagai perkakasan dan perisian, tidak kira apa saja jenama.

Sehingga hari ini syarikat yang beribu pejabat di Taman Danau Desa, Jalan Klang Lama, itu sudah memudahkan pembukaan beberapa pusat kafe siber yang berjaya beroperasi dengan baik menggunakan sistem mereka, malah mampu membekalkan sistem itu untuk pusat internet besar seperti Skyonline Rock Cafe di Subang yang mempunyai 400 komputer dan Wangsa Maju Internet Cafe (100 komputer).

Dengan sistem terbaru itu, pengusaha dijangka mampu memperoleh keuntungan lebih tinggi, malah mencecah tiga kali ganda daripada kaedah biasa yang digunakan secara konvensional di beberapa pusat internet lain.

[Berita Harian Online, 25/07/2008]

Friday, July 25, 2008

Sifat hati (12)

Takut akan Allah swt

Orang yang benar-benar mengenali Allah swt, dialah orang yang takut kepadaNya. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah Fatir:28)

Nabi saw bersabda:

"Akulah orang yang paling takutkan Allah Ta'ala daripada kalangan kamu."

Takutkan Allah swt bererti tidak berani melanggar perintah Allah kerana hukuman siksanya sangat berat, tidak ada siapa yang dapat melepas diri daripadanya.

Adanya sifat ini pada seseorang akan membawa kepada keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Sifat ini boleh mengalahkan tipu daya syaitan yang sentiasa hendak mencelakakan hidup manusia.

Adanya sifat takutkan Allah ini mendorong seseorang untuk berbakti dan mencintai Allah serta mengharapkan limpah kurniaNya kerana dengan mendapat limpah kurniaNyalah seseorang terselamat dari siksaNya. Takut di sini mendorong seseorang untuk lebih mendampingi Allah Ta'ala yang maha pemurah lagi penyayang.

Thursday, July 24, 2008

Penangkapan Radovan Karadzic: derita Bosnia semakin berakhir

Berita penangkapan pemimpin perang Serb Bosnia, Radovan Karadzic pada Isnin lepas disambut gembira oleh penduduk Muslim Bosnia-Herzegovina. Bunyi hon kereta, nyanyian dan sorak-sorai di jalanan mewarnai penahanan tersebut. Anak-anak muda yang bersemangat kebangsaan tidak menghiraukan hujan yang turun dengan mengibarkan bendera negara mereka.

Sesetengah daripada mereka dilihat melutut dan bersujud sebagai tanda syukur selepas melalui detik-detik hitam Perang Bosnia 1992-1995.

Karadzic berdepan dengan 15 pertuduhan jenayah perang termasuk pembunuhan dan perlakuan di luar perikemanusiaan ke atas masyarakat Islam Bosnia dan Croat.

Lebih 100,000 orang Bosnia disahkan meninggal dunia dan beratus ribu lagi diusir keluar dari kampung halaman mereka ketika kempen pembersihan etnik digerakkan oleh Karadzic dan pemimpin Serb Bosnia yang lain.

Reaksi masyarakat antarabangsa lebih cenderung kepada mengalu-alukan penahanan tersebut. Serge Brammertz, ketua pendakwa di Tribunal Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata penangkapan tersebut merupakan hari yang sangat penting bagi mangsa-mangsa perang yang telah lama menunggu keadilan lebih daripada sedekad. Beliau juga menyatakan ia merupakan hari bersejarah bagi keadilan antarabangsa kerana tidak ada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang dan sama ada cepat atau lambat, semua penjenayah yang menyembunyikan diri akan dibawa ke muka pengadilan.

Munira Subasic, seorang ibu yang kehilangan dua anak lelaki dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica menyifakan hari itu sebagai penyelesaian paling bermakna di dalam hidupnya.

Richard Holbrooke, bekas duta Amerika Syarikat yang menjadi perunding bagi menamatkan Perang Bosnia 1992-1995 menyifatkan Karadzic seorang pemimpin berintelektual.

"Dia dapat bergerak bebas kerana tentera keselamatan Yugoslavia telah memberi perlindungan kepadanya. Tetapi hakikatnya ialah dia lebih teruk daripada Milosevic."

Rumah Putih pula menyifatkan tindakan kerajaan Serbia sebagai cemerlang dan memuji operasi bagi menahan bekas pemimpin perang Serb Bosnia itu.

Sepanjang penyembunyiannya, karadzic menggunakan nama samaran Dr Dragan David Dabic dan menjalankan perkhidmatan perubatan alternatif.

Berikut adalah tarikh-tarikh penting berkaitan Radovan Karadzic:

19 Jun 1945: Lahir di Savnik, Yugoslavia yang mana kini dikenali sebagai Republik Montenegro.

12 Julai 1990: Mengasaskan Parti Demokratik Serbia (SDP) di Bosnia-Herzegovina.

27 Mac 1992: Menjadi presiden Majlis Keselamatan Kebangsaan Serbia.

6 April 1992: Bosnia diiktiraf sebagai negara bebas oleh PBB.

12 Mei 1992: Dipilih sebagai presiden Republik Serbia di Bosnia.

17 Disember 1992 – 19 Julai 1996: Berkhidmat sebagai presiden Republik Serbia di Bosnia. Beliau juga menjadi panglima agung dalam pasukan tentera.

1 Julai 1991 – 30 November 1992: Karadzic terlibat dalam jenayah perang untuk mengawal sebahagian Bosnia dan Herzegovina dengan menggunakan taktik ganas dan usaha pembersihan etnik.

1 April 1992 – 30 November 1995: Tentera Serb Bosnia terlibat dalam pengepungan bandaraya Sarajevoa selama 44 bulan. 11 – 18 Julai 1995: Beratus ribu masyarakat Muslim Bosnia terutama lelaki dibunuh di bandaraya itu.

1996: Karadzic hilang dari pandangan umum.

2003: Kerajaan Bosnia membekukan akaun bank dan aset Karadzic termasuk aset saudara mara yang disyaki memberi bantuan kepadanya.

Julai 2005: Isteri Karadzic, Ljiljana merayu Karadzic menyerah diri.

21 Julai 2008: Karadzic ditahan oleh pasukan keselamatan Serbia.

Wednesday, July 23, 2008

Perkhidmatan video/foto editing

Dari hobi dan separuh masa, bisnes ini berkembang menjadi bisnes yang profesional dan berjaya.

Jika anda melayari laman web berkaitan dengan perkhidmatan mengedit video, foto dan sebagainya, anda akan jumpa beberapa ayat yang menarik seperti "Rakamkan saat-saat manis anda untuk kenangan abadi," dan "Capturing the special moments of your life" yang menarik perhatian anda untuk mendapatkan khidmat ini.

Kekuatan utama bisnes ini ialah kemahiran, kreativiti dan kualiti. Apabila ramai yang bersaing, pelanggan akan membandingkan pula harga yang ditawarkan. Jika berbaloi dengan wang mereka, yang terbaiklah akan dipilih.

Bermacam-macam cara mereka yang mencari wang dengan bisnes ini lakukan untuk mencari pelanggan. Ada yang menggunakan YouTube.com untuk mengiklan khidmat mereka, ada pula yang menyediakan laman web sendiri dengan pakej menarik seperti pakej ekonomi yang merangkumi edit asas selama 30 minit dan dua keping CD, pakej semasa yang merangkumi edit separuh selama 45 minit dengan 1 klip video dan dua keping CD, pakej selesa iaitu edit penuh dengan dua clip video, dua keping CD dan temuramah. Bagi pakej mewah pula, biasanya perkhidmatan dan harga tertakluk kepada keperluan tambahan seperti kamera tambahan, hendakkan segera dan lebih berkualiti.

Bagi yang menggunakan YouTube.com untuk mencari pelanggan, hasil kerja mereka dapat dilihat secara langsung menggunakan video editor. Biasanya mereka ini baru berjinak-jinak dengan bisnes dan ingin memberi perkhidmatan yang terbaik.

Selain mengedit video dan foto, bisnes anda boleh dikembangkan kepada majlis rasmi, majlis konvensyen, majlis hari jadi dan ulang tahun sambutan jabatan. Bayarannya boleh mencecah RM800 hingga RM1500. Jika pelanggan anda berpuas hati, esok atau lusa dia akan memperkenalkan anda kepada rakan-rakannya yang lain. Di sinilah pentingnya kemahiran, kreativiti dan kualiti kerja yang dihasilkan.

Tuesday, July 22, 2008

Revolusi sistem pendidikan

Oleh Anuar Ahmad

Setelah menjajah hampir dua abad, kuasa kolonial Inggeris bukan sahaja mewariskan kepada kita sistem berpolitik dan pentadbiran negara, tetapi juga sistem pendidikan mereka.

Setelah 50 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang dilakukan di dalam sistem pendidikan kita kecuali menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak tahun 1819.

Antaranya, membina falsafah pendidikan negara yang dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan KBSR dan KBSM pada tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi mengekalkan warisan pendidikan kolonial.

Mungkin ada yang tidak bersetuju khususnya di kalangan pegawai Kementerian Pelajaran, tetapi jika diteliti, hakikat ini tidak dapat dinafikan. Antara yang ketara, kita masih mengekalkan sistem pendidikan vernakular berasaskan etnik, mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal.

Pengenalan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) walaupun dilihat seperti cuba melengkapi kelemahan ini, perlaksanaanya masih belum membuktikan apa-apa kejayaan setakat ini.

Soalnya, apakah mewarisi sistem kolonial itu menjadi satu kesalahan? Adakah kalau kita belum mempunyai sistem pendidikan beridentiti Malaysia itu satu kekurangan? Atau tidak bermutukah pendidikan kita jika tidak menggunakan model pendidikan kolonial British.

Persoalan ini sebenarnya sukar dijelaskan secara langsung tetapi perlu difahami terlebih dahulu latarbelakangnya. Sebagai contoh, sistem pendidikan vernakular misalnya walaupun sering dikatakan menjadi duri dalam daging untuk membina perpaduan telah berevolusi selama lebih 150 tahun dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan sudah menjadi salah satu tradisi di negara kita. Lihat misalnya jadual 1 hingga 3 berkaitan sekolah mengikut etnik di Malaysia pada tahun 1996-2006.

Setelah 50 tahun merdeka, sistem pendidikan masih mempunyai beberapa kekurangan yang sangat perlu kita selesaikan. Setelah mengumpul dan meneliti beberapa dokumen penyelidikan serta kertas perbincangan akademik berkaitan pendidikan kebangsaan, penulis dapat menyenaraikan lima isu utama pendidikan yang perlu direvolusikan oleh pemimpin di peringkat Kementerian Pelajaran.

Pertamanya, Kementerian Pelajaran perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum yang semakin tidak relevan di sekolah. Bayangkan, mengapa di dalam suasana pelajar sudah boleh mengakses kepada maklumat melalui Internet, kandungan kurikulum sejarah khususnya zaman kerajaan pra sejarah masih dimasukkan dengan begitu mendalam di dalam buku teks sejarah.

Pada masa yang sama, sejarah tahun 1970-an dan 1980-an sangat kurang disentuh di dalam kurikulum sejarah. Malah subjek sejarah juga sepatutnya disepadukan dengan kemahiran pembelajaran multibudaya sesuai dengan kehidupan masyarakat plural di Malaysia.

Sejarah tidak hanya dipelajari kerana kandungannya sahaja tetapi juga untuk memahami kumpulan etnik serta kumpulan agama yang lain agar hubungan etnik di kalangan rakyat akan sentiasa terjalin dengan harmoni.

Keduanya, kita juga menghadapi krisis pembangunan pendidikan bahasa. Walaupun program memperkasakan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah namun hanya pada akhir tahun ini saja keputusan akan diketahui sama ada projek ini akan diteruskan atau tidak.
Bagaimanapun jelas sekali di peringkat masyarakat massa, para guru, penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan penggunaan Bahasa Inggeris melalui subjek Matematik dan Sains bukanlah suatu keputusan yang bijak.

Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar bandar semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga semakin ketara di kalangan pelajar Melayu dan bukan Melayu.

Malah pelajar melayu khususnya, minat terhadap matapelajaran Sains dan Matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan sejak lima tahun lepas.

Pada masa yang sama, kita juga mengalami krisis kemerosotan keupayaan Bahasa Melayu di kalangan para pelajar Melayu dan bukan Melayu. Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa komunikasi, jelas sekali bahawa Bahasa Melayu semakin hilang sengatnya.

Kalangan remaja Melayu khususnya di bandar sudah mulai kurang bertutur bahasa Melayu kerana cara hidup yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Manakala di kalangan remaja bukan Melayu hanya menggunakan bahasa itu proses pembelajaran di bilik darjah.

Gemar

Mereka lebih cenderung untuk mengunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian. Malah pelajar juga dikatakan seringkali gemar menggunakan bahasa Melayu 'rojak' dan tidak berkemahiran menggunakan bahasa Melayu standard di dalam perucapan mereka.

Apakah kita rasa selesa dan tidak kisah dengan keadaan seperti ini berlaku kepada remaja kita? Maka itu, pihak kementerian perlu meneliti semula keupayaan serta meningkatkan kapasiti ruang untuk penggunaan bahasa Melayu merentasi kurikulum yang lain. Selain itu, pendidikan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan sistematik juga perlu dikemaskan kembali.

Ketiganya, keperluan rasa keinsafan dan keinginan bersungguh-sungguh khususnya di kalangan para pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di kalangan pelajar di pendalaman, luar bandar serta setinggan di bandar.

Peruntukan khas juga sememangnya diperlukan untuk membantu kumpulan ini secara berterusan.

Kumpulan ini sebenarnya memerlukan lebih daripada apa yang ada sekarang. Di atas dasar pendidikan untuk semua serta pendemokrasian pendidikan, kumpulan yang kurang bernasib baik kerana kemiskinan ibu bapa perlu dibantu sehingga mereka dapat keluar daripada lingkungan kedaifan untuk mendapat pendidikan. Perlunya satu dasar dan strategi yang besar untuk menyelesaikan isu ini di pihak Kementerian Pelajaran.

Sehingga kini, tiada satupun strategi yang dapat dinobatkan sebagai berjaya meningkatkan peluang pendidikan bagi mereka yang tinggal di pendalaman khususnya Sabah, Sarawak serta Kelantan. Begitu juga dengan kumpulan pelajar di luar bandar yang hidup serba kekurangan dan juga anak-anak di kawasan setinggan yang tertekan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti.

Isu ke empat ialah penekanan yang keterlaluan terhadap sains dan teknologi tidak akan melahirkan keseimbangan individu seperti yang diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara. Penekanan juga harus diberikan kepada pembangunan estetika dan seni budaya kepada para pelajar.

Ilmu muzik, tarian, seni tampak dan seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar para pelajar memiliki jiwa yang halus serta menghargai kehidupan dan budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah mengajar sains dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidak mempunyai minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi juga menipiskan jati diri serta identiti bangsa.

Pihak kementerian perlulah menyusun semula kurikulum agar lebih holistik dan menimbangkan pembangunan pelajar secara menyeluruh dan seimbang.

Akhir sekali, kita perlukan revolusi pendidikan yang besar jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak kita apabila mereka dewasa nanti. Kolonialisme telah berjaya memecahkan kehidupan orang Melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat berasingan antara satu sama lain.

Orang Melayu pada akhirnya dibentuk untuk mengamalkan sistem pendidikan ala barat tetapi kemudiannya kembali kepada Islam apabila tiba waktu untuk beribadat. Kejayaan kolonialisme telah menyebabkan kita memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan arus perdana di negara kita.

Peranan pendidikan agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau orang perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak melalui sekolah agama swasta atau belajar agama di rumah-rumah guru agama. Kecuali di negeri Johor yang berjaya menguruskan sistem pendidikan agama, di negeri lain termasuk di Kelantan dan Kedah yang terkenal dengan sistem pendidikan pondok pada suatu masa lalu, kini pendidikan agama diletakkan di dalam kelas yang lebih rendah daripada pendidikan arus perdana.

Manakala di sekolah, masa yang diperuntukan untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu adalah terlalu kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal, drastik dan berani perlu dilaksanakan supaya pendidikan Islam ditadbir urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem pendidikan arus perdana oleh pihak Kementerian Pelajaran.

Walaupun isu-isu di atas sentiasa dibualkan di kalangan rakyat, sejauh manakah tindakan telah diambil di dalam menangani isu ini. Tindakan secara sekali sekala atau ad hoc bukan sahaja akan menemui kegagalan tetapi juga seringkali menimbulkan keraguan di pihak ibu bapa.

Itulah sebabnya perlaksanaan konsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK), pendidikan nilai dan kewarganegaraan serta perlaksanaan Bahasa Inggeris di dalam matematik dan sains sering ditempelak, tidak lain dan tidak bukan kerana sifatnya yang ad hoc dan tidak dirancang secara teliti dan berhati-hati.

Walaupun pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan keupayaan pengurusan pendidikan, latihan guru serta lain lain hal yang berkaitan dengan pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan masyarakat massa menunjukkan lima isu di atas sudah sampai ke tahap yang perlukan pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem pendidikan untuk kebaikan anak-anak cucu pada masa depan.

[Utusan Online, 22/07/2008]

Monday, July 21, 2008

Salahudin penakluk Jerusalem

Penulis: Abdul Latip Talib
Tahun: 2007
Penerbit: PTS Fortuna, Batu Caves, Selangor
Muka surat: 289

Salahudin Al-Ayubi adalan antara contoh agung bagaimana ummah mampu mengalahkan musuh yang kelihatan gagah perkasa tetapi sebenarnya kontang dan tandus jiwa mereka. Justeru buku ini yang mengisahkan perjalanan hidup seorang pejuang yang gagah berani wajar menjadi contoh teladan kepada umat Islam sepanjang zaman.

Kelahiran Salahudin adalah ketika keadaan yang sukar kerana ayahnya diusir keluar dari Tikrit (Iraq) dan hilang kekuasaan. Ayahnya menceritakan bagaimana keadaan yang susah ketika itu dengan kata-kata berikut: "Anak itu lahir dalam keadaan yang benar-benar menyedihkan. Saya benar-benar merasa sial dengan kelahirannya."

Salahudin lahir pada 543H atau 1138M di Azarbaijan. Beliau berbangsa Kurdish.

Bagaimanapun perasaan sedih dan kecewa itu tidak dikongsi bersama oleh rakan-rakannya yang lain kerana mereka berpendapat anak tersebut akan menjadi seorang raja yang agung, namanya baik dan terkenal.

Perjalanan ke puncak kekuasaan Salahudin berlaku ketika perebutan kuasa dan jawatan sebagai perdana menteri kerana ramai yang hendakkan kedudukan berkenaan.

Salahudin dilantik menjadi perdana menteri oleh Khalifah Al-'Adhid bagi menggantikan Asadudin, seorang panglima tentera yang juga bapa saudara Salahudin.

Selepas menjawat kedudukan perdana menteri, Salahudin memulakan tugas pertama dengan menyederhanakan peraturan tentang pemilikan tanah bagi mengurangkan kuasa pemilikan keluarga kerajaan Fatimiyah. Seterusnya beliau menghapus dan menghilangkan tokoh-tokoh penyamun harta negara sama ada yang terang-terangan atau bersembunyi. Operasi pembersihan ini melibatkan seluruh pegawai kerajaan supaya maruah dan martabat pentadbiran kerajaan yang baru itu menjadi mulia dan dihormati.

Pembaharuan seterusnya dilakukan dalam angkatan tentera kerajaan.

Ketegasan Salahudin dalam pentadbiran mendapat sokongan daripada rakyat Mesir yang ketika itu hidup di bawah kerakusan perompak dan penyamun harta negara. Kaedah yang diguna ialah memecat sesiapa sahaja yang menyeleweng dan menyimpang daripada undang-undang dan hukum bagi menghentikan korupsi dan kezaliman.


Peribadi Salahudin yang tegas dan beragama diulas oleh Lane-poole, seorang ahli sejarah Inggeris sebagai "Seorang yang warak dan zuhud. Berpaling daripada hidup bersenang-senang kepada hidup yang sederhana serta menjadikan dirinya sebagai teladan kepada tenteranya. Sejak itu beliau mula menumpukan segala usaha dan tenaganya kepada satu tujuan yang besar iaitu membina empayar Muslim yang cukup kuat bagi menghalau keluar kaum kristian dari Baitul Maqdis."

Usia yang muda ketika menjadi perdana menteri membuatkan pegawai kerajaan yang lebih senior berasa iri hati dan mendendami Salahudin. Bagaimanapun pengaruh beliau yang cepat merebak dan peribadi yang diterima ramai menjadikannya sentiasa diberi sokongan. Kebijaksanaan dan kepintarannya menggunakan pendekatan yang sesuai membolehkan agenda perubahan yang hendak dilaksanakan mendapat sokongan ramai. Contohnya ialah ketika beliau menukar aliran Syiah kepada Sunni di Mesir ketika itu. Cara yang digunakan ialah melalui kesedaran beragama.

Selanjutnya buku ini menceritakan secara terperinci peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas Salahudin dari zaman kanak-kanak hinggalah saat kematiannya. Pembaca juga dapat menilai strategi yang diguna oleh Salahudin untuk berperang dan menawan kembali Palestin daripada tentera salib. Beliau menggabungkan elemen kepimpinan, komunikasi, pengurusan organisasi dan sentiasa mempastikan hubungan dengan Allah terus menerus.

Contohnya semasa keadaan tidak menentu akibat kepungan tentera salib, Salahudin mengajak tenteranya melakukan ibadat dan berdoa. Katanya "Malam ini malam Jumaat, mari kita lakukan amal ibadat sepanjang malam dan berdoa semoga Allah memberi kemenangan kepada kita."

Selepas solat Jumaat keesokan hari, Salahudin mengajak semua umat Islam mengerjakan solat sunat hajat bagi memohon kemenangan.

Sebagai pemimpin, Salahudin juga memperlihatkan betapa pentingnya setia kawan dan sokongan daripada masyarakat Islam seluruh dunia bagi mempertahankan Palestin.

Ulasan Editor: Salahudin Al-Ayubi memerintah dari Mesir hingga ke Yaman namun dia tidak hidup mewah. Ketika meninggal dunia, dia tidak memiliki walaupun sebuah rumah dan wang simpanannya hanya empat dinar. Namun, apakah kata-kata Salahuddin ini merupakan kebenaran jika umat Islam ingin menguasai dunia?
"Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia."

Friday, July 18, 2008

Sifat hati (11)

Taubat

Taubat dari segala dosa (kembali mengikuti ajaran Allah swt). Ada tiga rukun iaitu:

1. Menyesali maksiat yang telah dilakukan.
2. Berhenti dari melakukannya.
3. Berazam tidak akan mengerjakannya lagi.


Jika maksiat itu berhubung dengan makhluk (manusia) maka disyaratkan memulang, mengganti atau minta dihalalkan. Jika tidak berkuasa maka hendaklah dia bersungguh-sungguh mengikhlaskan taubatnya dan memohon kepada Allah supaya orang yang empunya hak itu meredhakannya pada hari akhirat kelak.

Taubat ialah permulaan jalan kepada orang yang menghendaki akhirat yang selamat dan wajib disegerakan.

Firman Allah swt:

"Allah mengasihi orang yang selalu bertaubat."

Sabda Rasulullah saw:

"Orang yang bertaubat dari dosa itu seperti orang yang tidak berdosa."

Sabda baginda saw lagi:

"Wahai manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah, sesungguhnya aku sendiri bertaubat kepadanya sehari seratus kali." (Riwayat Muslim)

Thursday, July 17, 2008

Kesedaran kenegaraan di kalangan mahasiswa bukan Melayu ke luar negara

Sejak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menambah bilangan biasiswa kepada bukan Melayu, ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang ditawarkan biasiswa berkenaan yang diambil daripada kouta pelajar Melayu. Jumlah 2,000 orang yang diperuntukkan oleh JPA, 45 peratus daripadanya adalah bukan Melayu (Cina, India dan lain-lain) manakala untuk Melayu, mereka berkongsi dengan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Artikel ini tidak akan mempersoalkan kewajaran JPA mengambil kouta biasiswa Melayu dan diberikan kepada bukan Melayu, sebaliknya ialah hendak melihat sejauh mana kesedaran kenegaraan pelajar bukan Melayu yang dipilih oleh JPA untuk menerima biasiswa berkenaan seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Kanada, Australia atau New Zealand.

Bagi pelajar yang terpilih, mereka dikehendaki menghadiri kursus kenegaraan mahasiswa ke luar negara yang dilaksanakan bersama Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri sebagai persediaan penting untuk melengkapkan diri mereka dengan rasa bangga dan sayang kepada negara. Kursus khas yang dijalankan selama lima hari ini memberi banyak pendedahan kepada peserta untuk menyegarkan kembali perjuangan pembentukan negara dan betapa mustahaknya menjaga kemerdekaan negara.

Dalam kursus ini juga mereka dipecahkan kepada kumpulan kecil dan digerakkan oleh dua orang fasilitator yang bertindak merangsang dan memimpin perbincangan bagi menambah kefahaman peserta terhadap isu-isu semasa dan ancaman yang sedang dihadapi.

Perubahan ketara kursus mahasiswa luar negara pada kali ini ialah kehadiran ramai pelajar Cina yang kadang kala begitu asing bagi fasilitator. Bagaimanapun ia dianggap sebagai cabaran kerana pelajar-pelajar Cina juga adalah warganegara Melaysia yang perlu diberi kesedaran tentang sejarah pembentukan negara dan bangsa Malaysia, tentang pengorbanan orang Melayu dan sosial kontrak yang memungkin Malaysia menjadi sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Penyelidik menemubual dengan beberapa orang peserta dari etnik Cina yang dipilih ke kursus berkenaan kerana pada fikiran penyelidik, kursus yang dianjurkan oleh JPA dan BTN ini mungkin memberi kelainan kepada mereka. Penyelidik juga ingin mengetahui dengan lebih lanjut apakah yang difikirkan oleh mereka terhadap BTN, sejauh mana kursus itu dapat menyedarkan mereka untuk menjadi rakyat Malaysia yang setia, adakah kursus ini sangat bermanfaat dan apakah peranan mereka sebagai seorang warganegara yang boleh membantu ke arah mewujudkan negara Malaysia yang kuat dan bersatu.

Semua persoalan ini menjadi asas kepada penyelidikan ringkas yang sedikit sebanyak dapat memberi gambaran awal terhadap nilai dan budaya berfikir peserta etnik Cina ke atas peranan BTN dan kursus kenegaraan yang diadakan itu.

Responden bagi kajian ini terdiri daripada pelajar seluruh negara dan telah diberi peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya Kanada dalam bidang kejuteraan dan bioteknologi.

Profil responden ialah gender, etnik, umur, negeri, kelulusan dan jurusan pengajian.

Latar belakang responden dari segi gender mencatatkan 64.5 peratus adalah lelaki dan 35.5 peratus adalah perempuan.

Kumpulan etnik Cina menunjukkan peratusan tertinggi iaitu 47.4 peratus, diikuti Melayu 42.1 peratus, India 7.9 peratus dan lain-lain 2.6 peratus. Kelompok ini termasuk Bidayuh, Dusun, Punjabi dan Kadazan.

Sebahagian besar responden berumur 19 tahun iaitu membentuk 80.9 peratus diikuti berumur 18 tahun sebanyak 15.1 peratus dan 20 tahun adalah 4.0 peratus.

Tempat kelahiran responden memperlihatkan responden dari tiga buah negeri yang mendominasi kursus ini iaitu Kuala Lumpur (19.1%), Perak (16.4%) dan Selangor (13.1%). Selain itu negeri Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing mencatatkan 7.9%. Negeri-negeri lain ialah Kelantan (6.6%), Johor (5.9%), Negeri Sembilan dan Terengganu (masing-masing 4.6%), Pahang (4%), Melaka (2.0%) dan masing-masing Sabah dan Perlis mencatatkan 0.7%.

Semua responden mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dengan minimum memperoleh 12A1.

Responden yang dipilih untuk menyertai kursus ini terdiri daripada jurusan kejuteraan iaitu 63.8 peratus, bioteknologi 14.5 peratus, sastera dan sains sosial 11.2 peratus, sastera ikhtisas 7.2 peratus dan sains perubatan veterinar 3.3 peratus.

Persepsi awal responden ialah mereka berasa gentar dan risau jika dilanyak dengan aktiviti minda yang bersifat ke arah menyokong kerajaan. Rata-rata mereka beranggapan bahawa adalah menjadi keperluan untuk patuh kepada setiap penerangan yang diberikan oleh fasilitator terpilih. Terdapat juga anggapan bahawa menjadi satu kemestian untuk mengiyakan setiap perkara yang dilontarkan oleh fasilitator semasa sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Oleh kerana persepsi negatif ini, kebanyakan responden mengambil jalan selamat dengan berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat sendiri.

Masalah yang agak ketara ialah kesediaan pelajar etnik Cina untuk berinteraksi kerana ada di kalangan mereka yang kurang fasih berbahasa Melayu dan lebih bersedia dengan berbincang dalam bahasa Inggeris. Kekangan bahasa tidak begitu ketara kepada pelajar etnik Melayu, India dan lain-lain.

Ketika responden diminta memberi pendapat mengenai perasaan mereka terhadap negara, masing-masing menunjukkan rasa bahagia dan bangga dengan Malaysia. Ada di antara mereka menyifatkan Malaysia telah memberi banyak peluang kepada mereka untuk hidup dan menyerlahkan potensi diri.

Perbincangan LDK yang bermula dengan mengenal diri membuatkan responden berasa lebih selamat dan yakin dengan kumpulan baru mereka. Asas keyakinan ini telah membuka ruang kepada penerokaan minda dan yang lebih luas dan rasional. Mengetahu personaliti dan kecenderungan diri menjadikan suasana perbincangan lebih meriah dan keadaan ini menggambarkan kepercayaan responden kepada kumpulan.

Kesedaran kenegaraan

Sebahagian besar kesedaran responden masih berada pada tahap rendah khususnya isu-isu semasa. Bagi isu yang menyentuh hak keistimewaan Melayu seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, responden mengambil sikap berdiam diri.

Jika diberi peluang memberi nilai kepada negara, agama, bangsa dan diri/keluarga, responden meletakkan aspek diri/keluarga lebih utama berbanding aspek yang lain. Kesedaran betapa perlunya menjaga diri dan keluarga sangat menebal. Ini memberi tafsiran bahawa corak berfikir responden adalah mementingkan diri sendiri dan keluarga berbanding negara. Bentuk pemikiran inilah yang akan diubah apabila responden melengkapkan kursus kenegaraan tersebut.

Apabila ditanya bagaimana mereka dapat memberi sumbangan kepada negara apabila tamat belajar kelak, sebahagian besar responden berkata bahawa mereka akan pulang dan bekerja di Malaysia. Kesungguhan ini dizahirkan melalui kata-kata semangat dan azam yang tinggi.

Kepentingan pendidikan

Ketika responden diminta memilih aspek yang tidak begitu penting bagi diri mereka, daripada empat aspek yang ditentukan iaitu politik, ekonomi, pendidikan dan sosial, semuanya memilih pendidikan sebagai sangat penting. Justeru pemikiran mereka mengesahkan betapa masa depan bergantung pada pendidikan. Ini sangat berkait dengan penentuan nilai sebelum ini di mana sebahagian besar memilih diri dan keluarga sebagai sangat penting.

Soal politik tidak difikirkan kerana ada yang beranggapan politik membenarkan kacau-bilau dan menyebabkan keharmonian masyarakat tergugat. Tanpa politik, masyarakat mungkin dapat hidup dengan lebih baik.

Meletakkan aspek pendidikan sebagai keutamaan bermakna telah menolak politik sebagai teras kepada penguasaan pendidikan bagi sesebuah negara. Responden yang beranggapan bahawa pendidikan lebih utama daripada politik sebenarnya masih berada di dalam keadaan "melihat dunia dari kaca mata burung" iaitu skop penglihatan yang kecil sedangkan dunia sangat pantas bergerak dan dinamik.

Rumusan


Menjadi pelajar terpilih untuk menerima biasiswa JPA adalah harapan setiap pelajar cemerlang. Melanjutkan pelajaran ke luar negara juga menjadi idaman setiap pelajar berkenaan bagi merealisasikan cita-cita yang telah dibina sejak kecil. Namun perubahan peraturan di dalam benak pemikiran pembuat keputusan di JPA menjadikan kouta pelajar Melayu semakin mengecil dan tidak menepati semangat kontrak sosial untukmelihat bilangan cerdik pandai Melayu lebih ramai.

Perubahan ini sangat menguntungkan pelajar bukan bumiputera kerana sejak sekian lama mereka dipinggirkan dan langsung tidak dapat menempatkan diri di universiti terkemuka dunia kerana kos pengajian yang mahal. Bagaimanapun JPA menjadikan cita-cita mereka suatu kenyataan dengan harapan untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Daripada kajian ringkas ini dapat disimpulkan betapa kursus kenegaran telah membuka ruang kepada JPA dan BTN untuk memberi input sayang dan cinta kepada negara supaya kesedaran berkenaan dapat kekal ketika responden belajar di luar negara. Kursus seperti ini wajar diperbanyakkan kepada peserta bukan Melayu supaya mereka dapat memahami sejarah dan peranan kontrak sosial yang memungkinkan mereka untuk menjadi seorang warganegara yang taat dan setia kepada Malaysia.

Wednesday, July 16, 2008

Jual baja pokok

"Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit," pepatah lama yang sentiasa ada benarnya. Dalam apa sahaja bidang bisnes yang diceburi, falsafah ini tetap relevan.

Contohnya dalam teknologi pertanian. Ia semakin berkembang seiring dengan keperluan orang ramai. Sumbangan teknologi ini berjaya meningkatkan potensi sektor pertanian sebagai penjana pendapatan kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengusahakannya.

Penggunaan baja di dalam penanaman padi telah lama dilakukan dan penyelidikan untuk menghasilkan baja terbaik sentiasa dibuat. Untuk menghasilkan wang dengan bisnes baja, anda tidak perlu menjadi seorang saintis atau mengeluarkan wang yang banyak untuk membiayai penyelidikan.

Anda hanya bekerja separuh masa menjual baja yang berkualiti di pasaran dan terbukti dapat menghasilkan pulangan yang memuaskan. Sama ada baja untuk nurseri flora, tanaman padi atau sawit, perminataan untuk baja tanaman sentiasa meningkat.

Baja yang berkualiti dapat meningkatkan pegeluaran lebih 30 peratus, mengurangkan kos ladang sehingga 20 peratus dan penggunaan tenaga yang efektif. Selain itu dapat menghapuskan masalah pokok yang tidak berbuah dan menggalakkan percambahan buah dan mengurangkan serangan serangga.

Semua petani hendakkan produk pembajaan tanaman yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran, memberi kualiti tanaman terbaik dan menyelesaikan masalah serangan serangga yang sentiasa membelenggu tanaman mereka. Penggunaan baja yang bersesuaian boleh menambah pendapatan dari RM9,000 kepada RM15,000 untuk tanaman padi seluas 1.2 hektar.

Di mana anda dapat mencari baja yang terbaik dan berkualiti untuk diedarkan kepada petani? Antaranya ialah di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Sasaran pasaran anda? Pengusaha ladang, padi, kelapa sawit, kebun buah-buahan dan sayur-sayuran di sekitar kawasan anda.

Jika anda malu-malu untuk menjual baja secara besar-besaran, anda boleh mula belajar jual baja kepada rakan-rakan, jiran dan saudara-mara yang berminat dengan perkebunan. Kemudian kembangkan pasarannya di kawasan pasar tani, pasar malam atau pekan sehari.

Seterusnya dapatkan peluang-peluang pasaran di kalangan petani dan pengusaha kebun yang ada di sekitar rumah anda. Insya Allah, permintaan baja anda akan bertambah dari semasa ke semasa.

Tuesday, July 15, 2008

Kerajaan lambang kekuatan rakyat

Oleh Sapora Sipon

Antara perbezaan rakyat negara Malaysia dengan rakyat di beberapa negara jiran ialah kebergantungan rakyat negara ini kepada pihak kerajaan dalam menjalani urusan kehidupan.

Kehidupan rakyat di beberapa negara jiran yang sudah biasa hidup tanpa bantuan kerajaan menyebabkan mereka boleh bersifat mandiri dalam menjalani kehidupan berekonomi dan pendidikan mereka.

Contohnya, bukanlah sesuatu yang asing jika rakyat di negara jiran melanjutkan pelajaran tanpa adanya pinjaman kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Begitu juga, bukanlah mereka dibiasakan dengan memohon pinjaman untuk menjalankan perniagaan. Pelajar-pelajar cemerlang juga sukar untuk diberikan biasiswa. Negara kita menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang antara lainnya dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Petronas dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Peluang juga diberikan kepada kaum Bumiputera bergerak untuk mengejar kaum lain dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi. Kesan penjajah menyebabkan kaum Bumiputera banyak ketinggalan dari pelbagai sudut kehidupan walaupun berada di tanah air sendiri.

Lantaran itu, dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DBP) dan Dasar Wawasan Negara (DWN) dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat negara ini. Ketiga-tiga dasar ini mencerminkan aspirasi negara yang telah digariskan dalam Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Terumbang-ambing

Bayangkanlah apakah yang akan menimpa nasib rakyat terutama sekali orang Melayu jika kerajaan yang ada terumbang-ambing dari segi kekuatan politik dan ekonominya? Bolehkah rakyat yang sudah biasa diberikan banyak bantuan dapat meneruskan kehidupan mereka jika pemerintahan sangat lemah dan negara berada dalam ketidakstabilan politik?

Mentaliti menerima bantuan dan subsidi bukannya sesuatu yang baik. Ia boleh menyumbang kepada sifat kebergantungan yang tinggi rakyat kepada pihak kerajaan. Rakyat perlu dididik supaya secara beransur-ansur keluar dari kepompong mentaliti subsidi ini.

Pasca PRU-12 menyaksikan banyak ketidaktentuan politik. Ditambah pula dengan senario kenaikan harga minyak yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan harga subsidi minyak. Harga bahan makanan turut naik. Senario politik semakin membimbangkan rakyat di mana banyaknya berlaku fitnah memfitnah dan sama menyaman di kalangan ahli politik.

Tunjuk-tunjuk perasaan juga menggusarkan rakyat dan mengakibatkan pelabur luar berfikir banyak kali sebelum datang melabur ke negara ini.

Rakyat sudah menjadi keliru akibat daripada keinginan melampau beberapa pemimpin yang begitu ghairah untuk memegang tampuk kuasa. Apakah keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat sudah tidak ada nilainya bagi pemimpin yang begitu sibuk inginkan kuasa tetapi tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat keluar dari kesengsaraan kehidupan.

Dalam sebuah negara yang mana kerajaan adalah kekuatan rakyat, penting sekali kerajaannya ialah sebuah kerajaan yang kuat. Rasanya, rakyat negara ini yang masih kuat bergantung hidup kepada kerajaan masih belum bersedia sepenuh untuk menjalankan kehidupan secara mandiri.

Mungkin, ada rakyat yang mampu berbuat demikian tetapi lebih ramai yang masih mengharapkan agar pihak kerajaan memperuntukkan subsidi dan bantuan.

[Utusan Online, 15/07/2008]

Friday, July 11, 2008

Cabaran perkembangan populasi dunia

Oleh Abdul Rahman Mahmud

Tarikh 11 Julai setiap tahun disambut sebagai Hari Populasi Sedunia. Sambutan ini mula diperkenalkan pada tahun 1989 oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu berkaitan dengan perkembangan populasi manusia.

Sehingga kini jumlah populasi manusia ialah 6.7 bilion. Kadar peningkatan populasi manusia pada ketika ini ialah 1.2 peratus setahun. Iaitu pertambahan sebanyak 212,036 manusia setiap hari. Populasi manusia dijangkakan akan terus meningkat sehingga 20 peratus menjadikan jumlahnya 9.2 bilion menjelang tahun 2050.

Statistik yang dikeluarkan oleh GeoHive menyatakan wilayah Afrika mempunyai kadar pertumbuhan populasi yang agak pantas berbanding dengan wilayah lain, ini diikuti wilayah Asia dan wilayah Amerika Latin.

Negara-negara wilayah Afrika diramalkan mengalami ledakan populasi yang tinggi. Kajian pada tahun 2000 meramalkan penduduk wilayah ini akan meningkat sebanyak 87 peratus pada tahun 2030 (1.5 bilion orang). Negara Afrika seperti Nigeria, Ethiopia, Uganda dan Tanzania mempunyai kadar pertumbuhan populasi melebihi dua peratus setahun.

Sementara itu dijangkakan Bangladesh, India dan Afghanistan yang terletak di sebelah selatan tengah Asia akan mencapai kadar perkembangan populasi yang tinggi berbanding negara-negara lain di Asia iaitu sebanyak 1.6 hingga tiga peratus setahun menjelang tahun 2030.

Peningkatan populasi manusia ini sudah pasti diiringi dengan peningkatan keperluan bahan asas untuk kehidupan seperti tempat tinggal, makanan dan minuman. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, manusia amat bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi.

Sekurang-kurangnya terdapat empat cabaran besar yang sedang dan bakal ditempuhi dalam meniti arus perkembangan populasi manusia. Cabaran-cabaran ini seharusnya dilihat secara serius untuk kita mengurus kehidupan dan menangani perubahan dengan baik pada masa hadapan.

Cabaran pertama adalah untuk mengecap tahap kesihatan yang baik dalam kehidupan manusia. Pada ketika ini manusia sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk penyakit yang semakin kompleks dan mencabar.

Di alaf baru ini kita dikejutkan dengan beberapa serangan penyakit baru yang muncul dengan pelbagai nama seperti wabak penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), selesema burung dan pelbagai penyakit pandemik yang amat merisaukan. Selain itu manusia juga terus berhadapan dengan peningkatan jumlah penghidap HIV (AIDS).

Selain itu penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis terus bertambah saban waktu. Amalan pemakanan dan gaya hidup yang jauh dari amalan kesihatan menyebabkan kehidupan manusia terus diburu dengan pelbagai masalah penyakit.


Cabaran kedua adalah untuk menikmati alam sekitar yang bebas daripada pencemaran. Masalah pencemaran alam sekitar pada ketika ini semakin meruncing. Impak pencemaran alam sekitar kini dirasai pada skala global. Pemanasan bumi merupakan isu sejagat yang bakal menghimpit hidup masyarakat dunia.

Para saintis meramalkan pelbagai bencana alam luar jangka seperti banjir besar dan ribut taufan akan bertambah andainya fenomena ini terus berlaku.

Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga akan mengakibatkan generasi akan datang berhadapan dengan krisis kekurangan sumber utama bahan asas kehidupan seperti air, tenaga dan makanan.

Cabaran ketiga yang bakal dihadapi oleh manusia ialah peningkatan masalah kemiskinan. Krisis inflasi dunia dijangka akan terus menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat termiskin di dunia.

Cabaran keempat, adalah untuk menikmati keamanan dunia yang jauh daripada sebarang penindasan dan peperangan. Peperangan telah menyebabkan kemusnahan manusia dan alam.

Sejak peperangan dunia kedua hingga kini krisis peperangan sering berlaku. Ia telah mengorbankan jutaan nyawa yang tidak berdosa.

Keempat-empat cabaran ini wajar diteliti oleh kita semua secara serius. Perkembangan populasi di Malaysia memerlukan perancangan strategik untuk memastikan kelestarian hidupan rakyat terus terjamin. Isu-isu yang boleh mengancam kesejahteraan hidup rakyat perlu ditangani secara bijaksana.

Hakikatnya ia tidak boleh dilihat sebagai suatu masalah, malah apa yang penting adalah bagaimana manusia pada hari ini menyusun kehidupan dan menilai cabaran mendatang untuk melakukan perubahan.

[Utusan Online, 11/07/2008]

Wednesday, July 09, 2008

Jual bahan bacaan dan CD di tempat seminar

Seminar, konferens, konvensyen, kolokium dan nadwah adalah tempat berkumpulnya ahli akademik, pembuat dasar dan golongan profesional. Kehadiran peserta untuk satu-satu masa biasanya ramai. Bilangannya dari 50 orang hinggalah 1,000 orang mengikut jenis program.

Jika ahli panel yang dijemput adalah orang terkenal, peserta tidak akan melepaskan peluang untuk datang mendengar ucapannya. Sebagai contoh, Anthony Robbins adalah seorang pakar motivasi yang dikenali ramai di Amerika Syarikat. Kadangkala bilangan peserta untuk program beliau adalah seramai satu stadium!

Di Malaysia, bilangan peserta yang begini ramai untuk seminar motivasi tidaklah sebanyak ini. Namun kekerapan program motivasi, pembangunan diri, pelajar atau konvensyen keluarga sentiasa tinggi. Dengan falsafah "di mana ada orang di situ ada bisnes," anda boleh menghidu peluang untuk menjual bahan bacaan seperti buku, poster, penanda buku yang kreatif, CD atau gambar-gambar yang merangsang minda kepada peserta seminar.

Tempat untuk seminar dibuat di merata tempat mengikut prestij dan tema. Katakan ia diadakan di hotel, peserta yang datang tentulah yang berkemampuan untuk membeli barangan jualan anda. Setakat RM20 hingga RM100 untuk beberapa buah buku, ia tidak menjadi masalah.

Buku-buku ini anda boleh dapatkan daripada pengedar setelah membuat perundingan harga dan komisen. Sukar bagi anda untuk menjadikan bisnes seperti untuk menjana pendapatan tetap dan besar kerana seminar atau konferens tidak dibuat setiap hari. Lagipun ia dianjurkan pada tempat-tempat berbeza yang menyukarkan anda untuk bergerak.

Walau bagaimanapun ia dapat memberi sedikit wang untuk anda membayar sewa rumah, kereta atau bil elektrik rumah anda. Syarat penting ialah anda perlu mencari maklumat di mana ada seminar, nadwah atau keraian supaya produk anda dapat dijual dengan cepat.

Bagi kawasan yang tidak ada program-program seperti ini, ceramah politik boleh dijadikan sebagai tempat untuk bisnes. Tetapi jangka masa berniaga tidak lama lebih kurang 2 hingga 4 jam untuk satu malam. Keuntungan bisnes bergantung kepada ramainya pengunjung yang hadir. Kalau 5,000 orang, jualan buku dan CD anda senang-senang mencecah RM500 hingga RM1,000 semalam.

Selain itu acara sukan, hari keluarga, majlis rumah terbuka dan karnival boleh dijadikan medan bisnes anda.

Tuesday, July 08, 2008

Liwatan vs letupan

Masyarakat Malaysia sedang diasak dengan pertempuran politik yang melibatkan dua kem iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengenai masalah peribadi masing-masing. Anwar Ibrahim dikaitkan dengan kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan manakala Najib Razak dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya. Kedua-dua kes ini sangat berat kerana melibatkan kesalahan jenayah.

Surat khabar arus perdana menyiarkan kisah liwat dan akuan sumpah setiap hari sehingga masyarakat naik muak. Mereka tidak mahu lagi melihat tilam diusung ke mahkamah kerana ia sangat memalukan – memalukan pasukan polis dan pendakwa serta orang yang kena tuduh sendiri. Begitu juga dengan akuan sumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam di mana kandungannya menyentuh mengenai hubungan seksual.

Tumpuan yang melampau ke atas kedua-dua isu ini menyesakkan pemikiran orang ramai. Anwar Ibrahim dilihat tidak langsung diberi ruang oleh media kawalan kerajaan untuk menangkis serangan kali ini berbanding Najib Tun Razak. Bagaimanapun maklumat di blog dan dunia siber lebih memihak kepada Anwar kerana masyarakat tidak menaruh kepercayaan yang tinggi kepada laporan media yang dikawal oleh Barisan Nasional.

Walaupun media tersebut berusaha untuk mengukuhkan kesahihan bahawa Mohd Saiful Bukhari diliwat, kajian bebas yang dijalankan menunjukkan 60 peratus responden percaya kes berkenaan merupakan satu lagi konspirasi politik. Kekuatan ini diperteguhkan lagi oleh kesediaan Anwar Ibrahim untuk masuk semula ke mahkamah, menyaman Saiful dan mahu bersumpah di hadapan ulama yang diiktiraf dari dalam dan luar negara.

Anwar juga sudah memulakan kempen penerangan ke seluruh negara yang mana ia bukan sekadar menerangkan kes liwat tetapi juga sebagai usaha untuk mengumpul sokongan rakyat ke atas beliau.

Tindakan yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim amat berbeza dengan isteri Najib, Rosmah Mansor. Namanya dimuatkan dalam akuan sumpah Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya. Rosmah hanya mengambil tindakan menafikan penglibatannya dan tindakan tersebut dilihat sebagai sangat tidak mencukupi untuk membuktikan dirinya tidak terlibat. Beliau juga tidak berhasrat untuk membuat laporan polis.

Mengambil mudah kandungan akuan sumpah hanya memberi peluang kepada masyarakat Malaysia memberi pelbagai tafsiran kepada Rosmah. Mungkin ada yang percaya 100 peratus apa yang dikatakan oleh Raja Petra Kamarudin itu walaupun tidak disertakan dengan bukti-bukti yang sahih. Keadaan ini berlaku kerana Rosmah sendiri yang memberi ruang tanggapan negatif orang ramai ke atas dirinya.

Kisah perilaku buruk pemimpin memang menjadi buruan media untuk didedahkan kepada pembaca. Dalam situasi sekarang, perilaku buruk yang ditonjolkan sebagai santapan minda memperlihatkan betapa kepimpinan negara sedang dimonopoli oleh mereka yang mengesampingkan soal moral. Fitnah menjadi sebahagian daripada kehidupan pemimpin-pemimpin ini kerana pentingkan kuasa.

Dari kaca mata sebahagian rakyat, Anwar dan Najib serupa sahaja dari segi moral kerana kedua-duanya dua kali lima. Cuma mereka berbeza parti politik. Kedua-duanya juga inginkan jawatan perdana menteri kerana kuasa yang ada pada jawatan tersebut. Tetapi bebanan lebih kepada Najib kerana Rosmah dikaitkan dalam kes Altantuya.

Analisis ke atas tindakan dan ucapan kedua-dua pemimpin juga menarik untuk kita kaji. Semasa Anwar Ibrahim dikaitkan meliwat Mohd Saiful Bukhari, Najib Razak berkata perkara pokok dalam dakwaan liwat Anwar ialah sama ada kejadian itu berlaku ataupun tidak.

Sebaik sahaja P. Balasubramaniam mendedahkan akuan sumpahnya yang diedarkan kepada umum, Najib Razak mulai kelihatan resah dan terpaksa pula menafikan kandungan akuan berkenaan. Lalu kita pun bertanya: perkara pokok dalam pertuduhan tersebut ialah sama ada hubungan seksual berkenaan berlaku ataupun tidak.

Salah laku yang melibatkan kedua-duanya perlukan strategi menang-kalah kerana kes seperti ini tidak boleh dibiarkan menang-menang iaitu sama ada kedua-duanya tidak bersalah atau kedua-duanya sama-sama tidak bermoral. Ketika liwatan Anwar menjadi bahan gurauan, letupan C4 semakin menjadi bualan di mana-mana sekarang ini. Anwar Ibrahim menggunakan pengaruh dan kepintaran berpidato dengan menggerakkan jentera parti dan rangkaian Pakatan Rakyat tetapi Najib masih terkial-kial untuk menafikan penglibatannya.

Rakyat Malaysia sudah tentu mula berfikir apa yang patut mereka putuskan dalam hal kepimpinan ini. Mereka beranggapan kepimpinan negara mula goyah dan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi negara. Apatah lagi ketika harga minyak naik, harga barang-barang juga turut naik. Ketika penyelidik singgah untuk makan tengah hari di sebuah gerai makan, penyelidik terdengar perbualan tiga orang pelanggan gerai yang berkata masa sekarang bukanlah untuk menentukan siapa yang akan menang di antara liwatan dan letupan, sebaliknya siapa yang dapat turunkan harga minyak dialah yang akan dipilih.

Perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi tidak boleh berdiam diri ketika emosi rakyat sedang mendidih kesan kenaikan harga minyak. Masa untuk beliau tidur sudah berlalu. Walaupun ada gurauan yang menyatakan beliau kerap dilihat ketiduran kerana hatinya senang, tetapi ketika harga barang semakin mahal dan perbelanjaan rumah semakin meningkat, sepatutnya Abdullah merasa sangat susah hati.

Kepimpinan adalah amanah. Tidak ada negara yang makmur jika pemimpinnya tidak amanah, kebas kekayaan negara atau tidak melaksanakan tanggungjawab. Pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang baik akhlaknya, berani dan bersedia dengan fakta dan bukti untuk menolak fitnah ke atas dirinya. Mengambil berat kebajikan rakyat menjadi keutamaan dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat.

Melihat pendedahan salah laku Anwar Ibrahim dan Najib Razak di media, apakah kesimpulan yang dapat kita lakukan sekarang? Ataupun adakah kita berfikir bahawa ada seseorang yang baru muncul sedang mengkucar-kacirkan kepimpinan politik negara?

Monday, July 07, 2008

Ringkasan Ihya' 'Ulumuddin

Diterjemahkan dari Mukhtashar Ihya' 'Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali
Penterjemah: Fudhailurrahman, Aida Humaira
Tahun: 2007
Penerbit: Sahara Publishers, Jakarta, Indonesia

Al-Ghazali adalah raksasa dalam peta pemikiran Islam. Orang yang menyemak peta ini secara sepintas lalu akan melihatnya. Bayang-bayang pemikirannya menaungi berabad-abad setelah kematiannya. Sehingga kini kita turut merasai kehadiran beliau di tengah-tengah masyarakat dengan penerbitan demi penerbitan buah pemikirannya dalam pelbagai bentuk. Sayap-sayap pemikiran tersebut sangat kuat menaungi pola berfikir, berbicara dan tingkah laku masyarakat hari ini. Al-Ghazali berdiri di pusat pemikiran dunia Islam manakala Ibnu Rusyd berdiri di pinggirannya.

Al-Ghazali menerangkan bahawa sejak kanak-kanak beliau telah memegang prinsip menjadi seorang pejuang di samudera ilmu. Beliau memeriksa keyakinan seluruh mazhab, menyingkap misteri semua aliran untuk mengetahui mana yang benar, mana yang salah dan masa yang sunnah dan bidaah. Beliau mengatakan "Aku tidak meninggalkan Bathiniyah kecuali setelah aku menyelami seluruh kebatinannya. Atau Zhahiriyah kecuali setelah menguasai inti kezahirannya. Atau filsafat kecuali setelah mengharungi kandungan filsafatnya. Atau ilmu kalam kecuali setelah benar-benar mendalami tujuan kalam dan retoriknya."

Al-Ghazali adalah batu karang yang kukuh, intelektual yang ikhlas dalam kata-kata dan tindakannya. Ketika keberanian intelektual membawanya ke gerbang keraguan, tanpa gentar beliau memasukinya. Beliau mengatakan "Ketika aku menyedari kelemahanku, usahaku tidak dapat diteruskan secara menyeluruh, aku pun bersandar kepada Allah selayaknya orang yang bungkam dan tidak ada pilihan. Maka, Tuhan – yang pasti menolong orang yang bungkam dan tidak punya pilihan itu – pun menolongku." Proses mencari keyakinan ini tidak semudah yang dibaca. Al-Ghazali berada dalam keraguan selama bertahun-tahun.

Al-Ghazali adalah cendekiawan yang menulis tidak untuk sekadar memenuhi lembaran buku dengan ungkapan yang indah atau melenakan pembacanya tetapi sebagai ilmuwan yang jujur, yang mengkaji setiap masalah dan pemikiran yang diajukan kepadanya secara komprehensif. Begitu juga kajiannya sering membawa kepada satu keputusan dan beliau mengimani dan membelanya dengan segala kemampuan yang beliau miliki.

Al-Ghazali memiliki keupayaan menulis yang hebat. Ketika hendak mengkritik sesuatu pendapat atau aliran, beliau menjelaskan dulu pendapat dan aliran itu dalam penerangan yang kadangkala lebih terang daripada yang dapat dijelaskan oleh pendukung aliran tersebut.

Puluhan buku ditulis oleh Al-Ghazali yang merangkumi bidang usul fiqh, tasawuf, tauhid dan falsafah. Tajuddin As-Subki menyatakan karya Al-Ghazali berjumlah 58 buah. Thasyi Kubra Zadeh menyebutkan sekitar 500 karya manakala di Perpustakaan Sheikh Abu Ishaq Asy-Syirazi terdapat 400 karya beliau.

Hasil tulisan Al-Ghazali sesuai untuk semua orang. Beliau tidak menulis untuk kalangan kelompok tertentu sahaja malah untuk seluruh umat muslimin. Gaya bahasanya adalah untuk membangunkan jiwa. Memulai kupasan dengan menyebut ayat al-quran, seterusnya hadis, perkataan para sahabat dan tabiin, seterusnya kisah dan hikayat yang menyentuh hati pembaca dan memberi gambaran mengenai sesuatu perkara tersebut. Daya imaginasinya sangat tinggi seperti mana beliau menggambarkan kebaikan dan keburukan sesuatu dengan bahasa sastera yang sangat tinggi, menggerakkan daya fikir dan menyenangkan hati.

Belantara pemikiran Al-Ghazali umpama pohon rendang yang menaungi umat muslimin berabad-abad lamanya. Beliau merangka jalan pintas bagi umat muslimin membentuk kehidupan sebagai seorang Islam yang lurus dan selamat. Kita hanya perlu menjejak langkah Al-Ghazali untuk menjadi demikian.

Al-Ghazali adalah manusia biasa yang tidak lekang daripada membuat kesilapan. Sebaliknya orang yang cuba mengkritiknya akan beratus kali ragu-ragu kerana perbezaan ilmu yang dimiliki.

Friday, July 04, 2008

Amaran tentang penipuan internet

UNICEF sangat mengambil berat tentang penipuan emel yang menggunakan nama dan logo kami.

Laman web atau emel yang menawarkan kerja bagi pihak UNICEF adalah satu penipuan. Tawaran yang dibuat adalah rekaan semata-mata dan telah dicipta oleh individu yang tidak beretika. Dengan menggunakan jenama UNICEF, pihak tersebut cuba memusnahkan kepercayaan orang awam terhadap UNICEF.

Semenjak penipuan emel ini tersebar secara meluas, kami telah mengambil tindakan dengan melaporkan hal ini kepada Jabatan Hal Ehwal Perundangan UNICEF. Pada masa yang sama kami ingin memberi amaran kepada orang awam supaya tidak memberikan maklumat peribadi mereka sewenang-wenangnya. Jangan terpedaya!

Berhati-hati dengan ‘phishing’

Ketika media memberi perhatian yang serius terhadap kecurian data-data peribadi, kebanyakan pengguna – begitu juga dengan penyokong kepada organisasi berbentuk kemanusiaan seperti UNICEF – amat bimbang tentang keselamatan dan juga integriti data-data peribadi mereka.

Oleh sebab itu adalah penting agar anda berwaspada terhadap perutusan penipuan yang dilakukan melalui internet, atau lebih dikenali sebagai ‘phishing’.

Phishing merupakan sejenis penipuan yang dilakukan melalui mesej-mesej emel, mesej segera dan laman-laman web yang digunakan untuk memperdaya individu-individu agar memberikan maklumat sulit dan peribadi mereka. Penipuan ini membolehkan orang ramai ‘terpedaya dengan umpan’ tersebut dan memberikan maklumat peribadi mereka, di mana ia boleh digunakan untuk penipuan kad kredit dan lain-lain penyalahgunaan maklumat sulit yang lebih serius.

Emel-emel ‘phishing’ selalunya kelihatan seolah-olah dihantar oleh organisasi-organisasi yang sah, ia meminta para pengguna agar memberi jawapan atau menggunakan jaringan laman yang dibekalkan untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka. Kadangkala ia mempunyai logo sesebuah organisasi serta alamat surat-menyurat, tetapi laman web yang diberikan, atau URL, tidak sama dengan laman web organisasi yang sah tersebut.

Antara maklumat-maklumat yang diminta oleh ‘phishers’ adalah nama dan alamat pengguna; nombor keselamatan sosial; nombor-nombor akaun dan juga kata-kata kunci; dan maklumat-maklumat tentang akaun bank dan kad kredit – kadangkala nama ibu pemegang akaun atau lain-lain maklumat sulit yang digunakan untuk tujuan-tujuan keselamatan.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengelakkan diri daripada tertipu oleh skim ‘phishing’:

-Berhati-hati dengan emel yang diterima secara mendadak, mesej segera, ‘voicemail’ atau faks daripada pihak yang menyatakan bahawa mereka daripada pihak bank, syarikat kad kredit, perkhidmatan internet atau organisasi-organisasi kebaijkan di mana anda merupakan ahli atau anda mempunyai akaun dengan badan tersebut.

-Sekiranya anda telah menerima mesej seperti di atas, sila hubungi nombor panggilan perkhidmatan badan organisasi atau syarikat tersebut (tetapi bukan nombor panggilan yang telah diberikan di dalam mesej) serta sahkan kesahihan mesej tersebut.

-Jangan memberi jawapan balik kepada mana-mana emel, telefon atau arahan melalui faks yang meminta anda memberikan butir-butir peribadi anda.

-Jangan layari mana-mana jaringan laman web yang diberikan di dalam emel tersebut; dengan melayari jaringan laman web tersebut boleh membawa kepada muat turun program-program ‘spyware’ di dalam komputer anda.

-Sila lakukan semakan perbankan online, kad kredit atau lain-lain akaun dan semak baki di dalam akaun anda untuk memastikan kesemua transaksi yang telah anda lakukan adalah sah dan benar.

-Gunakan ‘software’ anti-virus yang terkini – termasuklah saringan emel dan juga program-program ‘anti-phishing’, yang boleh membantu menyaring mana-mana emel atau laman-laman web yang kemungkinan bertindak sebagai ‘phisher’.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin [UNICEF Malaysia]

Thursday, July 03, 2008

Bersama Diplomat: Rakyat Finland tidak amal rasuah

Oleh Jamhariah Jaafar

Gaya hidup sederhana, struktur perundangan, kehakiman dan pentadbiran yang bersih daripada penyelewengan kuasa, penyertaan menyerlah wanita sebagai pembuat keputusan politik dan paling penting gaji rakyat yang mencukupi, adalah antara faktor meletakkan Finland sebagai negara paling bersih rasuah di dunia.

Duta Finland ke Malaysia, Lauri Korpinen, berkata semua faktor terbabit yang menjadi amalan negaranya sejak dua abad membuatkan negara yang berpenduduk hanya 5.2 juta itu hampir bersih daripada rasuah dan sebarang cubaan ke arah penyelewengan kuasa segera dikesan kerana setiap dokumen tidak pernah dilabel sebagai rahsia.

"Masyarakat Finland dan semua institusinya adalah telus dan hampir semua, kecuali beberapa dokumen, adalah tatapan umum.

"Perlembagaan Finland menyediakan sistem akses bebas untuk mendapat maklumat dengan peruntukan: 'Dokumen dan rakaman yang dimiliki pihak berkuasa adalah hak umum, kecuali percetakan mereka untuk beberapa alasan khusus dikekang oleh satu akta. Setiap orang berhak memperoleh dokumen dan rakaman awam'," katanya.

Kira-kira 100 peserta yang menyertai forum 'Menguruskan Integriti dan Menangani Rasuah Dalam Semua Sektor (awam, swasta, masyarakat sivil dan politik): Pengalaman Finland di Institut Integriti Malaysia di ibu negara baru-baru ini, kelihatan kagum dengan penerangan Korpinen.

Duta itu berkata, asas pertama Finland ialah menyemai nilai asas sejak dari kecil termasuk mengenai hidup secara sederhana, mengawal nafsu peribadi dan hak bersama.

Kekuatan utama negara yang menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 1995 dalam menangani rasuah ialah tindakan mengutuk sebarang usaha ke arah pemusatan kuasa dan mewujudkan jurang sosio ekonomi di kalangan rakyat, dikukuhkan dengan usaha meningkatkan budaya pentadbiran yang menggalakkan kekayaan yang seimbang.

"Beberapa kajian menunjukkan hubung kait positif antara darjah kepercayaan yang mendalam di kalangan rakyat dan kadar rasuah yang rendah.

"Pengalaman Finland membuktikan contoh moral cemerlang yang dipamerkan pembuat keputusan dan pegawai tinggi kerajaan adalah penting kepada pembangunan budaya etika pentadbiran. Apabila rakyat melihat pegawai tinggi dalam sesebuah agensi beretika dan bertanggungjawab, mereka hampir pasti mengikut contoh yang baik," kata Korpinen.

Di samping itu katanya, nilai 'sifat yang terbaik' seperti bertanggungjawab, jujur dan adil memang sejak sekian lama menjadi amalan sektor swasta Finland yang memang menduduki senarai antara negara dunia paling bersih daripada rasuah.

"Kebebasan media massa juga terbukti penting dalam senario ini kerana mereka membentuk sebagai kumpulan pendesak dan pemantau yang paling berkesan.

"Media adalah saluran paling penting rakyat Finland, kerana penyelewengan kecil di majlis rasmi juga mempunyai nilai besar dalam media - kadang-kala lebih besar daripada berita penting lain - kerana ia pantas mencetus kemarahan rakyat umum," katanya mengenai peranan media massa Finland dalam usaha membanteras rasuah di negara itu.

Faktor kedua ialah struktur perundangan, kehakiman dan pentadbiran yang ketat mengawasi dan mengawal sebarang usaha ke arah penyelewengan kuasa.

Korpinen menegaskan, usaha menangani rasuah memerlukan sistem perundangan yang mantap, sistem kehakiman yang telus, penguatkuasaan berkesan dan pengawasan penyelewengan yang proaktif, di samping pengurusan kewangan yang telus.

"Canselor Kehakiman dan Ombudsman Parlimen mengawasi tindakan kakitangan kerajaan sehingga ke peringkat tertinggi. Agensi ini diberi kuasa menyiasat tindakan menteri, ketua negeri dan ahli Parlimen. Keberkesanan dan prestasi baik kedua-dua agensi ini adalah penting bagi menghalang sebarang penyelewengan kuasa," katanya.

Paling menarik ialah faktor ketiga yang membabitkan penyertaan menyerlah wanita sebagai pembuat keputusan yang dianggap antara punca utama Finland hampir-hampir tiada rasuah.

"Menurut kajian Bank Dunia, perwakilan wanita di Parlimen dan pejabat penting kerajaan ada hubung kait dengan kadar rasuah yang rendah dan budaya pertanggungjawaban dalam pentadbiran. Hubung kait ini menunjukkan pentingnya kesaksamaan gender dalam usaha memerangi rasuah," katanya.

Satu daripada laporan menyebut Finland adalah negara industri maju yang mempunyai tahap hidup tinggi dan sistem kebajikan terbaik. Satu daripada keutamaan dalam agenda politiknya ialah memastikan wanita menikmati hak dan peluang yang sama.

Majoriti wanita Finland (85 peratus) bekerja dan aktif dalam politik. Yang menarik ialah daripada 200 ahli Parlimen, 83 adalah wanita. Lebih menarik ialah Presiden Finland hari ini ialah seorang wanita. Tarja Halonen, menjadi wanita pertama memegang jawatan paling penting itu di Finland.

"Wanita memang kumpulan penting dalam pentadbiran Finland. Pada 1906, Finland adalah negara pertama di dunia memberi hak kepada wanita untuk mengundi dan bertanding pilihan raya. Pilihan raya pertama pada 1907, 19 wanita dipilih sebagai Ahli Parlimen dan ia mencatat jumlah tertinggi di dunia.

"Finland hari ini mengekalkan kedudukan sebagai negara paling ramai ahli Parlimen wanita. Selain di Parlimen, separuh daripada menteri kabinet Finland terdiri daripada wanita dan satu pertiga ahli majlis perbandaran adalah wanita.

"Kuota gender ini telah diguna sepenuhnya bagi memastikan perwakilan yang seimbang dalam semua perkhidmatan awam negara saya," katanya dan mengaku wanita adalah kumpulan terbaik dalam menangani sebarang isu rasuah.

Faktor keempat; Finland dalam menangani rasuah ialah memastikan jurang pendapatan tidak keterlaluan di kalangan rakyat dan setiap pekerja menerima gaji yang mencukupi.

"Pendapatan tinggi meningkatkan perasaan puas hati terhadap pekerjaan dan sekali gus mengurangkan sebarang keinginan untuk menerima rasuah. Jurang pendapatan yang kecil secara tidak langsung mengekang sebarang perasaan tamak untuk menerima rasuah.

"Bagi Finland, amalan ini terbukti berkesan kerana sebarang amalan atau gaya hidup lebih mewah daripada pendapatan diterima akan cepat dikesan. Pernah ada pegawai kerajaan menerima rasuah dalam bentuk percutian ke luar negara bersama keluarga dan ia menjadi berita utama di Finland. Justeru, tidak ada siapa berani mengambil rasuah kerana ia akhirnya hanya akan membawa aib kepada mereka," katanya.

Menjawab soalan, Korpinen berkata, sikap benci rasuah ini bermula dari sistem pendidikannya yang menyemai sikap setiap rakyat untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan mengamal persamaan hak.

"Bukanlah saya kata Finland bebas rasuah sepenuhnya tapi statistik membuktikan ia hampir tidak wujud. Apa yang kami lakukan bukan tugas mudah, ia adalah hasil sistem pentadbiran selama dua abad, warisan daripada penjajahan Sweden yang begitu ketat dengan disiplin birokratnya," kata Korpinen.

[Berita Harian Online, 3/07/2008]

Wednesday, July 02, 2008

Jangan putus asa berdoa

Oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus

Saban hari umat Islam di seluruh pelosok dunia memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan segala permohonan diperkenankanNya. Namun tidak semua doa daripada seseorang insan itu termakbul. Lantaran itu, sesetengah pihak tertanya-tanya kenapa doanya itu tidak berhasil sedangkan Allah telah berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu (Ghaafir:60).

Disebabkan perasaan kecewa kerana tanggapan bahawa permohonannya itu seakan-akan tidak dimakbulkan, maka timbul perasaan putus asa. Sehingga ada yang meninggalkan amalan berdoa yang sebenarnya merupakan salah satu ibadah yang dimuliakan Allah. Nabi SAW bersabda: "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah dibanding doa" riwayat Tirmidzi).

Hakikatnya, Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Adil dan Dia sentiasa mengotakan janji-janjiNya. Namun hamba-hamba- Nya adakalanya gagal untuk memahami hikmah di sebalik segala keputusan Allah. Kita merasakan apa yang dipinta daripadaNya itu merupakan yang terbaik untuk diri kita sedangkan Allah lebih mengetahui segala-galanya dan setiap keputusanNya itu memiliki hikmah yang adakalanya tidak disedari oleh seseorang insan.

Ada ketikanya apabila Allah tidak memperkenankan sesuatu permintaan hambaNya disebabkan kerana Allah ingin memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang dipinta.

Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah dengan sebuah doa yang tidak berisi dosa dan permintaan untuk memutuskan silaturahim melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya salah satu dari tiga perkara: Allah akan segera memakbulkan doanya atau Allah akan menyimpan doanya sebagai pahala di akhirat atau Allah akan menghindarkan dirinya dari keburukan semisalnya. Mereka berkata: Kalau begitu kami harus memperbanyakan berdoa. Nabi bersabda: Apa yang Allah kurniakan kepada kalian lebih banyak dari yang kalian minta" (riwayat Imam Ahmad).

Begitulah resam seorang insan yang selalu lupa tentang apa yang telah dikurniakan Allah yang hakikatnya lebih banyak berbanding permintaannya yang dianggapnya tidak dimakbulkan itu. Malah menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa ada waktunya Allah menggantikan apa yang dipinta oleh hamba-hambaNya itu dengan menghindarkan diri mereka dari ditimpa kemalangan ataupun apa-apa jua bentuk musibah.

Ada ketikanya Allah menangguhkan untuk memperkenankan sesuatu permintaan dan dikurniakan sebagai ganti berupa ganjaran pahala di akhirat yang tentu sekali akan lebih memberi manfaat yang besar kepada hamba-hambaNya.

Insan tetap insan yang sebagaimana telah kita semua sedia maklum terbelenggu dengan pelbagai kelemahan. Kenapa tatkala merasakan Allah seperti tidak memperkenankan doa-doanya, seseorang insan itu tidak terlebih dahulu melihat kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.

Bagaimana mungkin Allah ingin menjawab permintaannya itu sekiranya seseorang itu sentiasa bergelumang dengan perbuatan maksiat serta meninggalkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, kamu harus mengerjakan segala yang baik (makruf) dan meninggalkan segala yang keji (mungkar), atau jika tidak Allah pasti akan menurunkan seksa ke atas kalian, nanti bila kalian berdoa tidak akan dimakbulkan" (riwayat Tirmidzi).

Tidak dapat dinafikan kelalaian seseorang dalam menurut perintah Allah dan juga tewasnya seseorang dengan godaan hawa nafsu merupakan penyebab utama terhalangnya kurniaan kebaikan (seperti mudah termakbulnya doa) daripada Allah terhadap hamba-hambaNya. FirmanNya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya (al-Ra'du: 11).

Mana mungkin Allah SWT akan memperkenankan sesuatu permohonan jika hamba-hambaNya tidak mempedulikan perkara halal dan haram dari segi sumber rezeki, pemakanan dan pakaian-pakaiannya dalam kehidupan seharian. Firman Allah: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-Mukminun: 51).

Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya (al-Baqarah: 172).

Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan panjang, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, dia berucap: Ya Rabbi, Ya Rabbi, sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan (riwayat Imam Muslim).

Sikap terburu-buru sesetengah insan dalam meminta doanya agar dimakbulkan segera sehinggakan wujud perasaan putus asa apabila permintaan tersebut tidak tercapai merupakan antara faktor yang menyebabkan terhalangnya doa itu diterima oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku (riwayat Imam al-Bukhari).

Sewajarnya setiap insan tidak putus harapan dalam berdoa dan tetap memperbanyakkan amalan berdoa. Keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa hamba-hambaNya juga merupakan faktor yang dapat mempermudahkan termakbulnya doa.

Sekiranya doa itu diyakini sebagai ibadah maka hendaklah kita menghadapkan doa itu ikhlas hanya kepada Allah SWT tanpa sebarang perantaraan yang bertentangan dengan syarak dan tatacara berdoa itu juga hendaklah bersesuaian dengan sunah Rasulullah agar ia diterima oleh Allah SWT. Doa itu hendaklah dibaca dengan perasaan penuh rendah diri di hadapan Allah dan dengan suara yang perlahan. FirmanNya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas (al-A'raaf: 55).

Justeru, hendaklah setiap insan melazimkan diri mereka dengan berdoa. Pada masa yang sama hendaklah setiap insan itu juga berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dalam menurut segala perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya agar ia dapat memudahkan termakbulnya doa.

[Utusan Online, 30/06/2008]

Pusat pekerja asing




Keperluan kepada pekerja asing sangat tinggi dalam beberapa sektor pekerjaan dan permintaannya sentiasa meningkat. Contohnya pekerja ladang, sekarang kebanyakan pekerja-pekerja ladang dibawa dari Indonesia atau Bangladesh.

Kos untuk membawa seorang pekerja asing ini boleh mencecah RM5,000 mengikut bidang kerja. Jika anda seorang yang melihat bisnes ini membawa masuk pekerja asing sebagai lubuk wang, syarat pertama ialah anda berupaya untuk berunding dengan rakan bisnes di luar negara.

Sebelum membawa masuk pekerja-pekerja ini, anda perlu menggunakan modal yang agak besar untuk berulang-alik di antara Malaysia, Indonesia atau Bangladesh. Pelaburan awal ini bagi memastikan bisnes anda dapat bertahan dalam jangka masa panjang melalui jaringan bisnes.

Kejayaan anda besar jika dapat menghidu peluang sebagai agen pengambilan pekerja asing ini jika kena gayanya. Halangan utama ialah mencari rakan niaga yang serasi dan dapat memberi perkhidmatan memuaskan, jadi kemahiran berunding dan mengenal pasti syarikat luar yang benar-benar layak untuk menyediakan pekerja yang bersesuaian.

Lain-lain proses ialah urusan dengan agensi kerajaan dan memastikan pekerja asing ini mendapat pekerja yang bersesuaian.

Setelah membawa masuk pekerja asing, peluang seterusnya ialah menyediakan kelas bahasa dari sebulan hingga tiga bulan sebagai proses penyesuaian apabila bekerja kelak. Pastikan perkhidmatan anda dapat memberi kepuasan kepada semua supaya bisnes anda akan terus berpanjangan.

Persaingan bisnes ini sangat sengit. Ada usahawan yang telah menjadi kaya-raya kerana membawa masuk pekerja dari India, Bangladesh, Nepal dan Vietnam dengan jumlah yang banyak. Contohnya di restoran makan.

Kebanyakan pekerja dari India tidak tahu berbahasa Malaysia dengan baik, lalu diadakan kursus bahasa selama tiga bulan di tempat yang disediakan. Sepanjang tempoh tiga bulan ini, pekerja berkanaan belajar bahasa, kaedah mengambil pesanan dan etika berpakaian secara insentif.

Bayangkan jika anda benar-benar serius dalam bisnes ini, untuk mendapat RM30,000 sebulan adalah terlalu mudah. Lebih-lebih lagi jika anda cepat membuat jaringan niaga dan mula mengenali potensi pelanggan di sekitar anda.