Saturday, July 26, 2008

Untung kafe siber lumayan

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Mampukah keuntungan diraih dengan hanya bayaran sebanyak RM2 sejam? Dapatkah kos operasinya ditampung dengan bayaran serendah itu sedangkan pelbagai aspek perlu diambil kira terutama membabitkan kos penyelenggaraan.


Itulah senario yang tidak disedari ramai dan menimbulkan tanda tanya mengenai keuntungan diperoleh pengusaha pusat kafe siber yang bercambah hampir di setiap kawasan. Tidak kira di tengah bandar mahupun di desa. Malah, kini di mana saja, premis yang memberikan kemudahan penggunaan komputer berinternet mudah didapati.

Jika 10 tahun dulu, bayarannya ada yang mencecah RM5 sejam, kini ia semakin murah apabila pelanggan hanya perlu membayar RM2 sejam, malah ada yang lebih menarik memberikan kemudahan itu dengan bayaran RM1 saja sejam.

Pelik memikirkan bagaimana pengusahanya boleh meraih keuntungan kerana melihat kepada peralatan digunakan di situ, rasanya bukan sedikit pelaburan yang perlu diperuntukkan. Setiap bulan pula, pastinya bukan sedikit belanja perlu dilaburkan untuk penyelenggaraan supaya peralatan terutama komputer berada dalam keadaan baik.

Namun, apabila Berita Harian meninjau dan mendapatkan maklumat sebenar daripada Ketua Pegawai Eksekutif Michaelsoft DDS Sdn Bhd, Michael Leong, mendedahkan bahawa keuntungan yang diperoleh sebenarnya cukup lumayan, malah boleh digandakan jika kena caranya. Memang modal untuk memulakan perniagaan itu agak tinggi kerana membabitkan pembelian peralatan yang setiap satunya bernilai ribuan ringgit. Belum lagi diambil kira kos untuk mengubah suai premis supaya sesuai digunakan bagi tujuan itu, selain membuat dekorasi bagi menarik perhatian pengunjung.

Malah, kepesatan pembangunan teknologi maklumat dan peralatannya meletakkan pengusaha pusat kafe siber sentiasa dalam persaingan untuk menyediakan kemudahan tercanggih, terutama membabitkan peralatan komputer dan perisian yang boleh memenuhi kehendak pelanggan, tidak kira pelayar internet atau penggemar permainan video.

Jika dulu, kebanyakan pusat internet ini hanya menyediakan komputer dengan monitor CRT yang lebih besar dan grafik yang tidak menarik, kini lambakan monitor LCD pula menguasai pasaran yang menampilkan bentuk lebih menarik dan kualiti gambar yang tajam, namun pastinya harganya juga lebih mahal.

Dulu, komputer hanya terhad menggunakan pemproses Pentium 4, itu pun sudah dikira cukup laju tetapi kini, ia sudah dianggap jauh ketinggalan kerana dengan kemunculan pemprosesan Intel Core 2 Duo, pemprosesan lama dianggap seakan wajib dibuang.

Justeru, isu modal dan penyelenggaraan perniagaan ini memang cukup tinggi, apatah lagi apabila berurusan dengan teknologi maklumat yang diketahui umum sentiasa berubah pantas mengikut zaman, setiap tahun pastinya ada teknologi dan ciptaan baru.

Modal permulaan? Michael memberi contoh sebuah kafe siber yang mahu dibuka dengan kuantiti sebanyak 50 komputer. Sekurang-kurangnya, RM200,000 diperlukan dan ia adalah jumlah minimum kerana ia bergantung kepada bagaimana pengusaha itu mahu memperindahkan premisnya, sama ada menggunakan perabot mahal atau murah.

Perkara paling utama yang perlu disediakan pastinya komputer yang anggarannya bernilai RM2,000 setiap satu. Nasib baik, harga alat itu sudah semakin murah lantaran terlalu banyak persaingan dalam penghasilan komputer terbaru.

Itu baru harga komputer yang belum dilengkapi perisiannya. Bagi setiap komputer itu pula perlu dilengkapi lesen Windows XP Home yang bernilai RM300.

Bagi membolehkan semua komputer dirangkaikan antara satu sama lain, suis rangkaian diperlukan yang disambungkan terus ke modem dan ia juga memerlukan tiga suis 24 rangkaian yang bernilai lebih RM1,000. Itu belum termasuk harga mesin kawalan operasi yang bernilai RM1,500 untuk membolehkan pengusaha mengawal operasi setiap komputer.

Itu antara perkara wajib, tetapi kos lain termasuk pendawaian, penyediaan perabot dan pengubahsuaian premis bergantung kepada kreativiti dan saiz kedai. Biasanya kos itu boleh mencecah lebih RM50,000.

Jika mahukan sistem yang digunakan boleh beroperasi tanpa sebarang masalah, setiap bulan perlu dibuat penyelenggaraan dan kosnya berbeza mengikut kaedah yang dipilih. Ada yang mencecah RM150 bagi sebuah komputer dan ada juga yang diselenggara sendiri oleh pengusaha jika memilih sistem tanpa cakera keras.

Jadi, bagaimana untuk mendapatkan keuntungan kerana jika semua kos itu diambil kira, belum dicampur bayaran lesen perniagaan, lesen permainan komputer yang bernilai lebih RM4,000 sebulan, dan bil streamyx, peruntukan yang perlu keluar setiap bulan pasti tinggi.

"Setiap bulan, puratanya pengusaha perlu memperuntukkan sebanyak RM10,000 tetapi dengan 50 komputer itu yang digunakan secara minimum (kiraan satu komputer digunakan 12 jam sehari) pengusaha boleh mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan selepas ditolak gaji pekerja.

"Jadi, perniagaan ini memang boleh menguntungkan. Tambahan pula, kini pusat kafe siber menjadi kegilaan remaja termasuk kanak-kanak yang suka menghabiskan masa bermain permainan komputer di situ. Sebenarnya, permainan komputer lebih mendapat sambutan daripada perkhidmatan internet," kata Michael sambil menunjukkan beberapa jenis permainan popular seperti War Craft dan Counter Strike.

Malah, katanya, bagi membolehkan keuntungan itu dilipatgandakan, ada pengusaha membuka premis mereka sehingga 24 jam sehari, meskipun melanggar peraturan.

Itu kiraan bagi 50 komputer, pastinya keuntungan akan menjadi lebih lumayan jika jumlah komputernya lebih banyak dan dekorasinya menarik perhatian ramai. Berapakah agaknya keuntungan pusat kafe siber yang mempunyai 500 komputer seperti yang ada di Damansara?

Rasanya, kerana digelapkan dengan keuntungan ini jugalah menyebabkan ramai pengusaha sesuka hati melanggar undang-undang dengan membenarkan pelanggan melayari laman web lucah, malah Michael mengakui, memang banyak kafe siber beroperasi tanpa lesen kerana proses permohonan lesen adalah peringkat paling sukar.

Teknologi terkini mampu kurangkan kos penyelenggaraan operasi

Pengusaha kafe siber kini berpeluang menggandakan keuntungan mereka dengan menggunakan satu teknologi baru yang membolehkan mereka mengurangkan lebih banyak kos termasuk modal operasi dan penyelenggaraan.

Melalui sistem terkini yang dibangunkan oleh Michaelsoft DDS Sdn Bhd, perisian pengurusan rangkaian digerakkan tanpa memerlukan cakera keras dan ia mampu menjimatkan banyak belanja terutama ketika mahu memulakan perniagaan ini.

Kelebihan utama sistem ini ialah keupayaannya mengendali dan menyalurkan pelbagai aplikasi perisian dan program dari satu server rangkaian ke beberapa stesen kerja pada sesuatu masa. Ia membolehkan stesen kerja dalam rangkaian itu beroperasi tanpa cakera keras tersendiri.

Dengan memusatkan data sistem pengendalian pada server rangkaian terbabit, sistem itu membolehkan semua operasi menaik taraf perisian dan penyelenggaraan dilakukan hanya pada storan utama dan secara langsung meningkatkan prestasi semua komputer yang dirangkaikan.

Antara faedah menggunakan sistem ini ialah memudahkan pemasangan serta peningkatan perisian pihak ketiga atau permainan komputer; tiada penyelenggaraan yang perlu dilakukan terhadap komputer lain; mempercepatkan prestasi rangkaian; prestasi yang mampan; membolehkan kawalan jauh dilakukan pada semua komputer; kebal kepada virus komputer kerana tidak menggunakan cakera keras serta kos pelaburan yang sangat rendah.

Kos meningkatkan perisian juga dapat dikurangkan kerana tidak perlu membayar upah selenggara yang boleh mencecah RM150 bagi setiap komputer setiap bulan, malah ia juga mempunyai keserasian dengan pelbagai perkakasan dan perisian, tidak kira apa saja jenama.

Sehingga hari ini syarikat yang beribu pejabat di Taman Danau Desa, Jalan Klang Lama, itu sudah memudahkan pembukaan beberapa pusat kafe siber yang berjaya beroperasi dengan baik menggunakan sistem mereka, malah mampu membekalkan sistem itu untuk pusat internet besar seperti Skyonline Rock Cafe di Subang yang mempunyai 400 komputer dan Wangsa Maju Internet Cafe (100 komputer).

Dengan sistem terbaru itu, pengusaha dijangka mampu memperoleh keuntungan lebih tinggi, malah mencecah tiga kali ganda daripada kaedah biasa yang digunakan secara konvensional di beberapa pusat internet lain.

[Berita Harian Online, 25/07/2008]

No comments:

Post a Comment