Wednesday, May 21, 2008

242 kanak-kanak hilang dari Januari hingga Mac

Sebanyak 242 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen.

Sambil melahirkan kebimbangan dengan jumlah tersebut, beliau berkata, fenomena itu menunjukkan kes kanak-kanak hilang tetap serius dan berterusan pada setiap tahun.

Jelasnya, ini dibuktikan, apabila sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,168 kes dilaporkan manakala pada 2006 pula, sebanyak 1,478 kes kanak-kanak hilang.

"Secara purata, sebanyak 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dalam sehari dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan. Angka ini amat membimbangkan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Dasar Perlindungan Kanak-Kanak dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak, di sini hari ini.

Selain kes kanak-kanak hilang, menurutnya, perangkaan kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga meningkat saban tahun.

Jelasnya, pada 2002, sebanyak 1,242 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan dan jumlah tersebut semakin meningkat kepada 2,279 kes pada tahun lalu.

"Peningkatan ini melibatkan hampir sekali ganda dalam tempoh lima tahun dan saya juga dimaklumkan lebih 60 peratus mangsa penderaan ialah kanak-kanak perempuan," ujarnya.

Rentetan daripada itu, Yen Yen memberitahu, kementerian bakal mengemukakan dasar dan pelan tindakan baru, perlindungan kanak-kanak kepada Kabinet selewat-lewatnya akhir bulan depan.

"Oleh itu, kita mengadakan bengkel selama dua hari dengan mengundang Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pakar akademik dan agensi kerajaan bagi mengusulkan pelbagai cadangan untuk membentuk dasar serta pelan tindakan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yen Yen berkata, kementerian telah pun memperkenalkan sebuah program baru bagi membantu kaum wanita dan juga ibu tunggal yang memiliki pendapatan di bawah RM2,000 sebulan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kita memperkenalkan program usahawan mikro untuk kaum wanita yang berminat menjadi peserta dan menjalani kursus selama enam bulan secara percuma bagi membuka pusat pengasuhan kanak-kanak di rumah," jelas beliau.

Menurutnya, bagi merealisasikan program itu, kementerian bekerjasama dengan Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Kebangsaan untuk memberi bimbingan kepada para peserta yang berminat.

Katanya, bagi memastikan program tersebut berjaya, para peserta bukan sahaja diberi kursus, tetapi akan dibantu untuk mempromosikan pusat asuhan mereka selain diberi lesen oleh kementerian.

[Utusan Online, 21/05/2008]

No comments:

Post a Comment