Kenaikan harga minyak mentah dunia antara AS$100 hingga AS$120 setong secara tidak langsung menyebabkan tanggungan subsidi kerajaan dijangka meningkat kepada RM45 bilion tahun ini. Daripada jumlah itu, RM18 bilion adalah bagi subsidi produk petroleum, RM7 bilion dalam bentuk pelepasan cukai dan RM20 bilion tanggungan subsidi gas Petronas.
Dengan arah aliran harga minyak dijangka terus naik, ia sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan untuk menanggung subsidi yang dianggarkan melebihi paras RM45 bilion. Oleh itu, penstrukturan semula skim subsidi memang wajar dilakukan dalam tempoh terdekat ini kerana keadaan semakin terdesak berdasarkan harga minyak mentah yang terus melonjak sehingga melebihi paras AS$123.53 setong semalam berikutan kebimbangan bekalan dan kelemahan dolar Amerika Syarikat. Kita akui selama ini ada golongan yang tidak sepatutnya menerima subsidi, terus menikmati kemudahan itu.
Namun, kita berasa lega dengan jaminan kerajaan bahawa golongan berpendapatan sederhana dan rendah akan terus mendapat manfaat apabila skim subsidi itu distruktur semula. Seperti dijelaskan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, semalam penyusunan semula itu akan mengambil kira keperluan pihak yang memerlukannya, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Pada asalnya, pemberian subsidi oleh kerajaan seperti petrol dan minyak masak adalah bagi membolehkan rakyat menikmatinya pada harga murah atau harga subsidi, untuk meringankan beban pengguna berpendapatan rendah. Keadaan ini berlaku kerana dalam pasaran bebas, semua barang dijual secara terbuka untuk dibeli oleh semua orang tanpa sekatan. Minyak masak dan petrol adalah barang yang mendapat subsidi kerajaan dan boleh dibeli oleh sesiapa saja.
Misalnya, seorang peniaga restoran berpendapatan tinggi akan membeli berpuluh botol minyak masak bersubsidi, sedangkan ia mampu membeli pada harga pasaran sebenar. Begitu juga mereka yang memiliki kereta mewah boleh membeli petrol di stesen minyak tanpa sebarang halangan. Ini bermakna kerajaan memberi subsidi kepada semua orang tanpa mengira tahap pendapatannya.
Hakikatnya, banyak negara di dunia memberikan subsidi kepada rakyat, tetapi di Malaysia pemberian subsidinya lebih besar dan meluas. Di negara kita, rakyat menikmati subsidi bagi pelbagai barang dan perkhidmatan seperti petrol, gas, minyak masak, baja (untuk petani), perumahan dan kesihatan.
Sesetengah negara melihat subsidi sebagai kaedah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Tetapi bagi kita, mungkin sudah tiba masanya kerajaan secara beransur-ansur atau berperingkat mengurangkan subsidi sehingga sampai pada satu masa yang mana subsidi bagi sesetengah barang dihapuskan. Tidak ada maknanya subsidi terus dipertahankan jika ia sudah lari daripada sasaran dan matlamatnya.
Hari ini, subsidi yang diberikan kerajaan lebih banyak dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi. Subsidi kini seolah-olah satu kesempatan untuk mendapatkan laba oleh mereka yang tidak berhak.
Oleh itu, kita berpendapat mekanisme subsidi dan sistem kawalan harga perlu dikaji serta diperkemaskan supaya penjimatan dapat dilakukan, selain keuntungan atau subsidi dapat disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan. Langkah itu membantu mengelakkan ketirisan sumber kewangan negara ketika berdepan fenomena inflasi global.
[Berita Harian Online, 9/5/2008]
No comments:
Post a Comment