Monday, May 19, 2008

48 prinsip kejayaan

Penulis: Z. Mohd. Ismail
Muka surat: 260

48 Prinsip Kejayaan! Itulah tajuk buku ini, suatu tajuk yang diharap dapat menarik perhatian setiap masyarakat. Kerana kejayaan adalah sesuatu yang diimpikan oleh semua orang.Kejayaan yang dimaksudkan dalam buku ini bukanlah bermaksud untuk duniawi semata-mata tetapi merangkumi kejayaan kehidupan akhirat juga.

Membaca buku ini seolah-olah anda berada dalam dunia yang penuh dengan semangat dan rangsangan. Ia menjadi panduan mudah untuk difahami, praktikal dan logikal bagi menyorot dimensi falsafah pemikiran manusia.

Buku kecil ini membimbing pembaca untuk menilai sama ada telah melalui kehidupan yang penuh dengan semangat atau mengaku kalah. Kisah-kisah yang dikongsi bersama secara tidak langsung menggerakkan pemikiran negatif kita kepada positif melalui perubahan persepsi terhadap sikap, cita-cita dan usaha.

Bagaimana buku ini membantu pembaca membuat transformasi?

Pertama, menanam keyakinan diri dengan menguasai pelbagai bidang kemahiran. Keyakinan tidak dapat dijayakan tanpa memahami bagaimana cara menggerakkan daya usaha ke arah keyakinan tersebut. Penulis buku menunjukkan kaedah mudah melalui pengalaman, cerita-cerita, kata-kata motivasi dan kajian yang menyentuh minda sedar dan minda separa sedar pembaca untuk mencapai kejayaan hidup.

Kedua, membina kredibiliti dengan melakukan perkara yang betul atas alasan yang baik. Kredibiliti sangat terikat dengan kebenaran, kejujuran dan sifat boleh dipercayai. Melakukan perkara yang betul menjimatkan masa dan tenaga tetapi untuk mempastikan perkara itu betul, ia perlukan penelitian dan pemahaman yang jelas. Semua maklumat yang penting mesti diperoleh dan diperhalusi satu demi satu. Bertindak melakukan perkara yang betul akan lebih berkesan jika dibuat kerana alasan yang baik. Terlalu banyak alasan baik yang boleh disandarkan seperti membantu, memberi khidmat, membimbing atau meringankan kesusahan orang lain.

Ketiga, menguasai keadaan di sekeliling. Hari ini suasana di sekitar kita sangat cepat berubah. Ambil saja teknologi telefon bimbit. Setiap bulan ada sahaja model baru yang dilancarkan dengan pelbagai aplikasi dan daya tarikan. Dengan keluarnya model baru, model lama tidak lagi menjadi pilihan walaupun harganya lebih rendah. Jika kita tidak senditif dengan perubahan, keadaan persekitaran akan menguasai kita sedikit demi sedikit.


Ulasan Editor: Buku ini ditulis sebagai panduan kepada pembaca yang inginkan maklumat untuk berubah. Ia memberi kerangka awal kepada hala tuju perubahan yang hendak dilakukan dan memberi resepi yang baik untuk memilih perubahan tersebut. Bagaimanapun yang paling utama ialah buku ini adalah panduan yang sangat berguna dan menunjukkan langkah demi langkah bagi menjadikan impian kepada kenyataan.

No comments:

Post a Comment