Wednesday, May 14, 2008

Dari nasi lemak ke kilang makanan








Nasi lemak sudah menjadi satu pilihan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia setiap hari. Dari pagi sehinggalah ke tengah malam, gerai nasi lemak kerap dipenuhi orang ramai atau lebih tepat lagi "pemburu nasi lemak."

Kegilaan kepada nasi lemak ini bukan sahaja di Malaysia malah sampai ke Singapura. Ada cerita di sekitar tahun 1990-an dulu tentang hebatnya daya tarikan nasi lemak ini, khususnya sebuah gerai nasi lemak di Damansara, Kuala Lumpur.

Seorang lelaki berbangsa Cina dari Singapura mengambil penerbangan awal pagi dari Changi, Singapura dan turun di Subang. Dari sana, dia terus mengambil teksi dan menuju ke gerai nasi lemak di Damansara. Dia menikmati keenakan nasi lemak tersebut, membeli dua hingga tiga bungkus nasi lemak dan mengambil penerbangan tengah hari untuk pulang ke Singapura.

Inilah kegilaan "pemburu nasi lemak," tidak peduli apa sahaja halangan asalkan dapat menikmati keenakan nasi lemak.


Potensi bisnes nasi lemak sangat besar. Ada peniaga nasi lemak yang berniaga di gerai tepi jalan telah menjadi usahawan yang berjaya. Mereka juga mempelbagaikan jenis masakan dan memiliki beberapa buah kilang. Untung perniagaan juga meningkat dari ribuan ringgit kepada puluhan dan ratusan juta ringgit. Pelanggan mereka bukan sahaja di Malaysia malah menjangkau ke Asean dan Timur Tengah.

Kisah kejayaan Rohani Borhan berniaga nasi lemak di Rawang, Selangor boleh dijadikan inspirasi kepada anda yang memasang impian menjadi usahawan nasi lemak.

Kejayaan beliau sehingga berjaya menubuhkan RHB Jaya Enterprise adalah impiannya yang memulakan jualan nasi lemak di gerai dengan modal RM50. Bangun setiap pagi, menyediakan nasi lemak dan membuat simpanan. Kerja lama sebagai kakitangan bank ditinggalkan dengan senang hati kerana yakin potensi bisnes ini akan berjaya satu hari nanti.

Daripada penjual nasi lemak di gerai tepi jalan, RHB Jaya Enterprise telah memiliki sebuah kilang yang mengeluarkan 60,000 bungkus nasi beriyani herbal, gam beriyani, beriyani tomato, beriyani bukhari dan kek coklat setiap bulan. Pasarannya juga semakin meluas di Malaysia dan luar negara.

Rahsia kejayaannya?

Kualiti. Beliau menggunakan bahan masakan dan nasi dari gred yang berkualiti tinggi sahaja.

Tidak berkompromi dengan kebersihan. Beliau pernah memecat pekerja yang mengabaikan kebersihan ini.

Sertai misi perdagangan. Menyertai lawatan dan mengambil bahagian dalam ekspo perdagangan antarabangsa seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

No comments:

Post a Comment