Wednesday, May 28, 2008

Penoreh getah kreatif








Alat yang murah dan mudah untuk menjana RM11,000. Modal yang kecil ini sangat berbaloi kepada penoreh getah untuk menoreh sepanjang tahun tanpa perlu risau apabila hujan.

Bahan-bahan untuk membuatnya pun senang: kain payung hujan, gelung gentian dan getah bitumin.

Kebaikan tambahan lain ialah melindungi susu getah daripada bercampur air hujan, percepatkan susu getah membeku dan menambah pendapatan. Di samping itu, alat yang diberi nama "pelindung susu getah" boleh bertahan lebih daripada setahun.

Idea daripada Khalid, seorang penoreh getah, tercetus ketika beliau melihat lampu tanglung. Kaitan di antara tanglung dan menoreh getah telah memberi ilham kepadanya untuk menyelesaikan masalah tidak boleh menoreh ketika hujan.

Proses penggunaan alat ini juga tidak sukar. Tempat yang hendak ditoreh dililit dengan kain payung yang dikembangkan dengan menggunakan gelung fiber. Manakala getah bitumin digunakan untuk meletakkan gelung fiber pada batang pokok.

Bagi pemilik kebun getah, inilah masanya untuk menambah pendapatan kerana harga getah pun sudah tinggi ketika ini. Kesempatan untuk mendapatkan pendapatan yang besar daripada industri getah tidaklah menjadi suatu yang sukar jika kita meletakkan matlamat yang hendak dicapai. Pekebun getah yang berpandangan jauh akan terus berfikir dan meracang bagaimana mereka boleh mempelbagai teknik torehan dan cara yang terbaik memaksimumkan pengeluaran susu getah.

Barangkali "pelindung susu getah" ciptaan Khalid boleh ditingkatkan kualitinya dengan kerjasama universiti tempatan supaya alat tersebut dapat dikomersialkan secara agresif. Manfaatnya adalah untuk golongan pekebun dan penoreh getah juga.

No comments:

Post a Comment