Friday, May 23, 2008

Bas Durian Burung tipu penumpang

Saya nak kisahkan di sini tentang mimpi ngeri saya baru-baru ini ketika menjadi penumpang bas ekspress Durian Burung. Diharap dengan pengalaman saya ini akan menjadi panduan kepada kawan-kawan yang lain agar berhati-hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat pengendali bas ekspres terutamanya bas Durian Burung.

Kisahnya begini....

Pada 17 Mei 2008 yang lalu saya telah membeli tiket untuk perjalanan ke Perlis bagi satu tugas rasmi di sana. Saya memilih bas Durian Burung kerana memandangkan bas tersebut digambarkan sebagai bas yang selesa dan tepat waktu perjalanannya. Saya membeli tiket untuk perjalanan pada pukul 10.30 malam di kaunter tiket Durian Burung. Bas yang akan saya naiki bernombor KBG 7000 seperti yang tercatat ditiket yang saya beli.

Lebih kurang jam 10.00 malam saya turun ke platform 15 stesen Puduraya untuk menaiki bas. Sehingga jam 10.40 malam saya tidak nampak bas Durian Burung berada di platform tersebut. Saya naik semula ke atas dan bertanya di kaunter tiket sama ada bas telah tiba. Saya diberitahu bahawa bas dalam perjalanan dan akan tiba pada bila-bila masa. Sehingga jam 11.20 malam bas masih belum kelihatan. Saya naik semula dan bertanyakan di kaunter. Jawapan yang sama saya terima iaitu bas masih dalam perjalanan masuk ke Puduraya dan akan tiba pada bila-bila masa. Saya turun semula ke platform 15 dan di sana terdapat 5 orang penumpang lain yang juga menunggu bas Durian Burung bernombor KBG 7000.

Salah seorang penumpang menceritakan kepada saya bahawa malam sebelumnya beliau juga mengalami masalah yang sama. Beliau menunggu sehingga jam 2.00 pagi dan akhirnya terpaksa membatalkan perjalanan kerana sudah tidak sanggup lagi menunggu bas yang sepatutnya beliau naiki pada jam 10.30 malam. Beliau telah ditawarkan untuk "ditumpangkan" kepada bas yang lain. Beliau sebaliknya menolak tawaran tersebut dan menunda perjalanan kepada malam ini. Atas sebab itulah beliau ada bersama-sama penumpang bas Durian Burung untuk perjalanan malam ini.

Lebih kurang jam 11.45 malam kami berlima telah diarahkan penjual tiket Durian Burung untuk keluar menunggu di luar perhentian Puduraya. Pada jam 12.15 pagi bas Durian Burung bernombor KBY 2000 tiba di tempat tersebut. Saya dan penumpang-penumpang untuk perjalanan 12.30 pagi diarahkan untuk menaiki bas tersebut. Apabila kami telah mendapat tempat duduk masing-masing tiba-tiba kami berlima dari bas KBG 7000 diarahkan turun kerana tidak cukup tempat duduk. Beberapa orang penumpang telah bertengkar dengan penjual tiket. Mereka tidak puas hati dengan apa yang telah dijanjikan. Saya sendiri tidak mahu masuk campur kerana saya telah keletihan dan ingin agar perjalanan dapat disegerakan. Penjual tiket tadi mula berkasar dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kami. Kami seolah-olah penumpang yang tidak dikehendaki di dalam bas tersebut. Antara kata-katanya ialah "Awak semua tak boleh naik bas ni sebab bas yang sepatutnya awak semua naik telah rosak. Bas ini adalah untuk yang membeli tiket untuk perjalanan pukul 12.30 ."

Beberapa penumpang lain yang panas hati kemudiannya meminta supaya wang mereka dipulangkan dan penjual tiket bersetuju berbuat demikian. Saya sendiri tidak bersetuju untuk membatalkan perjalanan kerana saya mempunyai tugas penting di Kangar pada jam 8.00 pagi nanti.

Penjual tiket itu mula mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada saya. Saya kemudiannya meminta penjual tiket tersebut supaya menjelaskan kepada saya di manakah bas Durian Burung bernombor KBG 7000 yang sepatutnya saya naik untuk ke Perlis. Dia dengan kasarnya berkata "Mana saya tahu bas itu pergi mana sebab bukan saya yang bawa bas tu."

Saya membuat rumusan bahawa tiket dijual untuk perjalanan yang tidak pasti waktunya. Tiket akan dijual untuk perjalanan jam 10.30 malam, tetapi disebabkan jumlah penumpang tidak mencukupi untuk sebuah bas maka ianya ditunda dari jam ke jam yang lain sehinggalah penuh untuk sebuah bas. Disebabkan taktik menjual tiket cara ini dilakukan di kaunter-kaunter di Kajang dan Puduraya akhirnya terjadilah kes terjual lebih tiket dari tempat duduk.

Oleh sebab saya dah penat dan tak mahu melengahkan perjalanan penumpang-penumpang yang lain maka saya meminta supaya saya diberikan tempat duduk pemandu ganti (reserve seat). Setelah berdolak dalik beberapa ketika akhirnya penjual tiket tersebut bersetuju dengan permintaan saya. Bas kemudiannya mula bergerak dan saya turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan tempat duduk yang dijanjikan. Apabila saya bertanyakan tempat duduk saya , pemandu bas menyuruh saya duduk sebentar di atas tangga dan berjanji akan memberikan tempat duduk kepada saya apabila bas telah keluar dari kawasan Kuala Lumpur. Saya bersetuju dan hanya duduk di atas tangga bas.

Apabila sampai di hadapan Kompleks Kotaraya bas tersebut tiba-tiba berhenti dan menumpangkan seorang lagi penumpang. Saya lihat penumpang tersebut menghulurkan wang RM20.00 kepada pemandu untuk perjalanan sehingga Butterworth. Penumpang tersebut juga duduk bersama-sama saya di atas tangga.

Apabila tiba di stesen minyak Shell selepas Tol Jalan Duta pemandu bas menawarkan sebuah kerusi plastik rendah untuk saya duduk. Oleh sebab kerusi tersebut terlalu sempit dan rendah maka saya mengambil keputusan untuk terus duduk di atas tangga. Saya langsung tidak dapat tidur sepanjang perjalanan sehinggalah tiba di Butterworth, Pulau Pinang apabila ada penumpang mula turun. Saya naik ke tingkat atas untuk mendapatkan tempat duduk. Saya kemudiannya tertidur sehinggalah bas tiba di stesen bas Alor Star. Semua penumpang turun kerana mereka mengambil tiket sehingga Alor Star sahaja. Saya kemudiannya diarahkan oleh pemandu untuk turun di sini. Saya bertanya kepada pemandu mengapa saya harus turun di Alor Star sedangkan saya mengambil membayar tambang sehingga ke Kangar, Perlis. Pemandu hanya berkata "Bas ini hanya sehingga sini saja."

Oleh sebab saya malas nak bertengkar dan saya ingin cepat sampai ke Kangar maka saya turun dan mengambil teksi untuk ke Kangar.

Hari ini saya telah membuat laporan bertulis kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan juga Biro Pengaduan Awam mengenai perkhidmatan bas Durian Burung dan sikap kurang ajar penjual tiket di kaunter tiket Bas Durian Burung, kaunter No. 39 Kompleks Puduraya, Kuala Lumpur. Saya juga ada mengepilkan salinan tiket, gambar-gambar bas yang saya naiki, kedua-dua pemandunya serta penjual tiket tersebut.

Saya berharap dengan laporan tersebut pihak-pihak yang berkenaan akan segera mengambil tindakan kepada syarikat-syarikat bas yang sudah banyak kali menipu penumpang. Saya mendapat maklum balas dari rakan-rakan yang lain bahawa bas Durian Burung memang terkenal dengan penipuan menjual tiket tanpa had dan waktu yang tetap. Tapi mungkin penumpang lain malas atau rasa tak berbaloi untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Atau mungkin juga laporan telah dibuat tetapi tiada tindakan susulan yang telah diambil.

Saya paparkan kisah ini supaya perkara ini tidak berulang pada masa akan datang kepada orang lain dan berharap anda menjauhi diri dari menjadi penumpang kepada bas ekspres Durian Burung.

[Dipetik dari relexjap@yahoogroups.com]
Post a Comment