Kasih ibu membawa ke syurga, itulah ungkapan yang sering kita dengar berkaitan dengan kasihnya ibu.
Ungkapan itu memang ada kebenarannya. Siapalah kita tanpa ibu yang melahirkan, tempat menumpang kasih selama sembilan bulan di dalam kandungan, suara lembut, halus yang membisikkan, mendodoikan dengan penuh kasih dan sayang.
Tidak kira manusia atau haiwan, spesies keturunan, kaum mahupun agama kepercayaan, naluri keibuan adalah asli, lahir secara semula jadi tanpa sebarang paksaan.
Mungkin bersempena dengan kasihnya ibu yang tiada batasan, Hari Ibu disambut oleh lapisan masyarakat di seluruh dunia. Negara berlainan menyambut Hari Ibu pada tarikh yang berlainan, mungkin kerana pada sejarah Hari Ibu yang berbeza menurut kepercayaan bangsa yang berlainan.
Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa Hari Ibu disambut kerana kepercayaan bangsa Greek kuno yang menyambutnya bersempena ibu kepada Tuhan kaum Greek, yang bernama Cybele. Sambutan ini dibuat di sekitar Vernal Equinoks, dan kebetulannya berada pada 15 hingga 18 Mac setiap tahun.
Kaum Roman kuno pula mengadakan Hari Ibu untuk ditujukan kepada Juno, seorang dewi perkahwinan bagi kaum Roman, merangkap ibu kepada Tuhan mereka. Mereka meraikannya dengan cuti umum yang dipanggil Matronalia.
Sejarah
Hari Ibu banyak berkisar dengan sambutan keagamaan kaum-kaum kuno terdahulu. Namun hakikatnya, Hari Ibu seharusnya sentiasa disambut dan diraikan, Seorang ibu seharusnya sentiasa mendapat layanan yang baik, tidak kira dari anak-anaknya, mahupun suami tercinta. Ini kerana tugas mahupun tanggungjawab seorang ibu itu terlalu luas dan universal.
Allah SWT telah menjadikan fitrah dalam diri manusia untuk mengembangkan keturunan, agar kesinambungan generasi manusia dipertahankan, terutama dalam menjalankan fungsi manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Allah telah menetapkan wanita sebagai tempat 'penyemaian' benih generasi.
Lantaran itulah, proses kehamilan, melahirkan, menyusukan serta mengasuh anak adalah di antara proses yang terindah dalam kitaran hidup seorang wanita.
Namun harus diingat, di dalam alunan hidup moden ini, wanita yang bergelar ibu turut dilambung gelora tuntutan tanggungjawab yang lebih mendesak.
Pada zaman ini, selain daripada tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, seseorang wanita itu turut memainkan peranan sebagai seorang anak kepada orang tuanya, pekerja kepada majikannya, malah mungkin sebagai majikan kepada pekerjanya. Semua itu menuntut pengorbanan yang lebih daripada biasa.
Namun dalam kesemua tanggungjawab yang harus dipikul, peranan sebagai seorang ibu adalah merupakan peranan yang tidak boleh diambil ringan.
Tanpa kerelaan dan keikhlasan seorang ibu yang memelihara janin selama sembilan bulan di dalam rahimnya, tidak akan lahir seorang anak di dunia ini. Kerelaan dan keikhlasan itu diteruskan lagi sewaktu menyusukan bayi, kesabaran mengasuh dan melayan 1,001 kerenah anaknya.
Keikhlasan
Tanpa kerelaan dan keikhlasan seorang ibulah wujudnya kes-kes pembuangan mahupun pembunuhan bayi-bayi yang tidak dikehendaki kelahirannya. Tanpa kerelaan dan keikhlasan seorang ibu untuk mengasuh anaknya jugalah lahirnya generasi yang haus dan dahagakan kasih hingga sanggup menghirup kasih dari takungan yang salah. Kadang-kadang kesibukan sang ibu memenuhi tuntutan hidup menyebabkannya seolah terlupa dan alpa dengan tanggungjawab utama untuk mendidik anak.
Hakikatnya, asuhan dan air tangan ibulah ubat paling mujarab untuk melembutkan hati anak yang fitrahnya sentiasa dahaga bimbingan dan asuhan orang yang mengandungkan dan melahirkan.
Seorang ibu jualah yang selalunya memainkan peranan untuk menentukan arah tuju generasinya sendiri seperti mana yang ia idamkan. Seorang ibu mempunyai senjata yang amat tajam untuk membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak asuhannya.
Seorang ibu juga memiliki kekuatan doa untuk anak-anak yang pastinya tidak akan dipersiakan. Hingga wujudnya peribahasa, 'Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu'.
Hari Ibu, sempena mengingati kerelaan dan keikhlasan seorang ibu. Namun demikian, sebagai insan yang selama ini berkorban apa sahaja untuk anak-anaknya, Hari Ibu seharusnya menjadi tuntutan dan diraikan sepanjang masa.
Membahagiakan hati seorang ibu adalah tuntutan terpuji. Anak-anak dan suami sentiasa boleh melakukan demikian secara berusaha sama membuat kerja-kerja rumah tangga yang tidak pernah habis. Anak-anak juga boleh sentiasa menjaga hati dan ketenteraman jiwa seorang ibu, hormat, tidak membuatnya susah hati, itu sudah cukup bagi seorang ibu.
Tidak salah membeli hadiah untuk seorang ibu sempena Hari Ibu, namun apa yang paling penting ialah 'hadiah' kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat ibu, wanita paling tinggi hierarkinya dalam tingkat kasih manusia sejagat.
[Utusan Online, 13/05/2008]
No comments:
Post a Comment