Monday, May 12, 2008

Jangan bersedih

Penulis: 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni
Tahun: 2004
Penerbit: Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur
Muka surat: 592

Buku ini merupakan panduan hidup bahagia, jauh dari kesedihan dan dukacita, membawa pembaca dekat kepada rahmat dan keampunan Allah swt. Jangan Bersedih dikategorikan dalam buku motivasi yang sangat unik kerana kesan yang mendalam kepada pembacanya.

Ia juga sebuah buku nasihat yang istimewa, menggabungkan kejayaan kebendaan dan kebahagiaan rohani.

Kedamaian jiwa, ketenteraman hidup dan berlapang dada dengan setiap peristiwa yang berlaku menjadi idaman setiap orang. Setiap tajuk telah diulas dengan ringkas tetapi mudah difahami supaya penyakit-penyakit hati ini dapat diubati.

Dukacita, sedih, resah, risau, sempit dada, kecewa dan putus asa sentiasa silih berganti dengan gembira, suka, bangga dan semangat ingin berjaya.

Teknik yang diguna pakai oleh penulis ialah membawa pembaca mengingati rahmat dan ampunan Allah swt yang sangat luas, bertawakkal dan berserah sepenuh hati, bersangka baik, beriman kepada qada' dan qadar serta optimis dengan kejayaan pada masa depan.

Setiap huraian yang penting diselang-seli dengan nas-nas al-quran dan hadis, contoh-contoh akhlak mulia yang boleh diikuti, kisah-kisah pengajaran, kata-kata hikmah yang menjadi penawar hati dan buah fikiran ahli bijak pandai.

Keseluruhan topik kecil adalah 334 buah yang menyentuh pelbagai fikiran, sikap dan tindakan orang yang kecewa. Salah satu topik yang diketengahkan ialah "Jangan biarkan hal-hal kecil merosakkan diri anda."

Penulis mengulas topik ini dengan kenyataan umum di mana kita sentiasa melihat keadaan tersebut dialami oleh kebanyakan orang yang sedih dan kecewa. Beliau beranggapan ramai orang yang bersedih hati hanya kerana hal remeh-temeh yang tidak penting. Masyarakat hari ini disibukkan dengan kecemasan dan kegelisahan supaya tidak ada kebencian suami dan isteri, tidak mendapat celaan atau mengalami keadaan yang menyedihkan. Kehidupan kelompok ini hanya setakat mengisi perut yang kosong, memiliki rumah mewah dan kenderaan yang selesa. Kecemasan dan pengetahuan mereka hanya pada kenderaan, pakaian, selipar dan makanan.

Keperluan sebenar ialah mengutamakan hal-hal yang mustahak dan segera kerana waktu hidup ini sangat singkat. Jika kita meletakkan soal remeh-temeh hanya untuk keselesaan diri tanpa ada perjuangan yang lebih besar, yang diperoleh ialah kebinasaan dan kegagalan.

Ulasan Editor: Buku "Jangan Bersedih" wajar menjadi bahan bacaan harian dan berkala oleh sesiapa sahaja. Jika dia tidak mendapat ujian getir, nasihat dan panduan yang ada di dalam buku ini boleh digunakan untuk menyelesaikan kesedihan hati orang lain.

Ada kala kesedihan berterusan selama beberapa bulan atau tahun, ada juga yang silih-berganti. Turun-naik emosi ini adalah tanda kehebatan Allah swt yang suatu ketika memberi kesedihan dan selepas itu mengkhabarkan berita gembira.

Ketenangan jiwa yang sebenar ialah kehidupan dengan iman. Tidak ada sesuatu yang dapat membahagiakan jiwa, membersih dan menyucikannya, membuatnya tenang dan menolak keluar kebimbangan selain daripada keimanan yang benar kepada Allah swt.

"Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." [An-Nahl:97]

3 comments:

  1. mcm mana nak dapatkan? ssh cari kat kedai

    ReplyDelete
  2. macam mana nak dapatkan naskah ni? kat pasaran ssh nak dapat..

    ReplyDelete
  3. Kedai buku sekitar jalan tunku abd rahman, kl

    ReplyDelete