Monday, May 19, 2008

Anugerah biasiswa dan hak istimewa Melayu








Pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 masih menjadi isu. Saban tahun juga isu ini akan berulang. Bagi pelajar yang berjaya mendapat biasiswa daripada kerajaan, mereka akan berasa puas dan bangga kerana susah-payah mentelaah pelajaran diakhiri dengan habuan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Bagaimanapun mereka yang gagal, hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi pilihan pasti belum terlaksana lebih-lebih lagi dalam bidang yang diminati dan menjadi idaman.

Selain Jabatan Perkhidmatan Awam, terdapat banyak agensi yang memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bank Negara contohnya, setiap tahun akan memilih pelajar terbaik untuk dianugerahkan biasiswa dalam pelbagai disiplin ilmu. Bank, syarikat telekomunikasi dan yayasan turut memperuntukkan sejumlah pembiayaan bagi meringankan beban kerajaan menanggung kos pengajian pelajar yang layak ke luar negara.

Berdasarkan jumlah pelajar yang mengambil SPM telah bertambah dari setahun ke setahun, bilangan pelajar yang mendapat 10 A hingga 20A turut bertambah. Bilangan yang ramai ini mewujudkan persaingan yang sengit kepada semua calon yang layak memohon biasiswa bagi merealisasikan impian masing-masing.

Keadaan ini berbeza ketika negara mencapai kemerdekaan atau 30 tahun yang lalu. Pada masa itu tidak ramai pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti kerana saluran ke situ sangat terhad. Bilangan pelajar yang memasuki universiti dari segi kaum juga menunjukkan perbezaan. Sebagai contoh, selepas satu dekad Malaysia merdeka, statistik menunjukkan 3,063 mahasiswa di Universiti Malaya yang mana hanya 1,038 adalah kaum Melayu. Keadaannya berubah selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa 13 Mei 1969 adalah sejarah buruk perpaduan kaum di Malaysia. Kejadian yang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor itu dibayangi sentimen dan emosi perkauman yang menjadi tema dalam kempen pilihan raya umum pada tahun berkenaan.

Laporan rasmi menyatakan 196 orang telah mati, 439 mendapat kecederaan, 39 hilang dan 9,143 ditahan. Kehilangan harta benda dan nyawa ketika tragedi ini menjadi sejarah hitam kepada negara.

Kekalahan teruk parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) dalam pilihan raya 1969 menyebabkan parti-parti pembangkang khususnya parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) meraikan kemenangan dengan berarak di jalan raya.

Perarakan meraikan kemenangan ini bertukar menjadi tidak terkawal kerana pengaruh sentimen perkauman di antara Cina dan Melayu. Perarakan untuk majlis pengkembumian bertukar menjadi kekacauan.

Tunku Abdul Rahman dalam buku "13 Mei Sebelum dan Selepas" menyentuh mengenai perarakan terbesar yang pernah dilihat di Kuala Lumpur pada 10 Mei 1969 untuk pengkebumian seorang pemuda Cina, Lim Soon Seng, 24 tahun yang mati ditembak polis. Tunku melihat kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh parti Buruh untuk berkempen.

Sebelum itu pada 24 April, Encik Kassim Omar seorang petugas UMNO telah dibunuh dengan kejam di Jelutong, Pulau Pinang. Mayatnya telah disimbah dengan cat merah. Pembunuhnya ialah pemuda-pemuda parti Buruh. Bagi mengelakkan sengketa, kerajaan meminta keluarga dan saudara-mara si mati yang berbangsa Melayu tidak menghebahkan kejadian berkenaan.

Gambaran-gambaran tentang apa yang sebenarnya berlaku sebelum dan selepas 13 Mei 1969 boleh diperoleh dalam buku tulisan Tunku Abdul Rahman itu. Di dalamnya disertakan gambar-gambar perarakan, kain rentang yang menghina kerajaan dan kaum Melayu serta penyusupan komunis yang cuba mewujudkan huru-hara di dalam masyarakat.

Tragedi 13 Mei adalah cermin kepada perasaan syak wasangka sesama kaum Melayu dan Cina. Rasa tidak aman terutama kaum bukan Melayu tentang masa depan hidup mereka menjadikan sentimen dan emosi sentiasa dipantau oleh agensi keselamatan negara. Masih terdapat generasi lama yang takut setiap kali pilihan raya diadakan. Mereka mengambil tindakan menyimpan bekalan makanan setiap kali pilihan raya diumumkan kerana masih trauma dengan pergaduhan peristiwa berkenaan.

Dekad-dekad 70-an hingga 80-an adalah tempoh genting untuk Malaysia yang cemerlang. Rakyat Malaysia telah menikmati kehidupan yang lebih baik kesan daripada dasar-dasar yang cekap dan pro kemajuan negara. Pembangunan ini sangat membanggakan. Dua tonggak kepada kemajuan negara dan perpaduan ini ialah kontrak sosial dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kontrak sosial

Kontrak sosial adalah persepakatan di antara Melayu dan bukan Melayu bagi memelihara kepentingan bangsa masing-masing sebagai asas rangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Ia juga dikenali dengan panggilan Pakatan Murni.

Pembentukan kotrak sosial hanya melibatkan pemimpin-pemimpin moderat dalam UMNO, MCA dan MIC yang menyentuh agama, bahasa, warganegara, kedaulatan raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Ia juga sebagai prasyarat untuk merdeka daripada Inggeris.

Nasionalis Melayu menganggap Tanah Melayu sebagai hak eksklusif bangsa Melayu dan mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai hak mereka manakala kaum Cina dan India turut mencabar hak berkenaan kerana tidak mahu lagi pulang ke China atau India.

Kontrak sosial merupakan kunci kepada kerjasama politik tiga kaum utama untuk mendapat kemerdekaan. Kemudiannya ia diterima pakai dalam penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sehinggalah sekarang. Kandungan penting adalah agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan raja Melayu terpelihara dan hak istimewa orang Melayu dikekalkan. Orang bukan Melayu pula mendapat hak kewarganegaraan yang membolehkan mereka menjadi rakyat Tanah Melayu.

Dasar Ekonomi Baru
Rahmat terbesar selepas peristiwa 13 Mei ialah pengenalan DEB khusus untuk membantu orang Melayu mendapat hak mereka dalam kek ekonomi negara. Ketika merdeka, 98 peratus kekayaan negara berada dalam tangan bukan Melayu. Orang melayu terpinggir di tanah air mereka sendiri.

Dasar ini dilaksanakan untuk mengagih kekayaan negara supaya tidak wujud lagi pengenalan kaum berasaskan kerja. Matlamat 30 peratus penguasaan ekonomi oleh orang Melayu dijayakan selari dengan dasar-dasar instrumen yang baru dan memperkenalkan langkah-langkah khas untuk memastikan matlamat-matlamat nasional DEB tercapai melalui segala kuasa perundangan dan pentadbiran serta sumber-sumber kewangan lainnya.

Dokumen DEB ini diterbitkan oleh Jabatan Perpaduan Negara turut menjelaskan dasar-dasar lain khusus bagi membangunkan bidang pertanian, perikanan dan perhutanan, perkilangan, perlombongan, pembinaan, perdagangan dan perniagaan, kehidupan bandar dan luar bandar serta pendidikan.

Salah satu kejayaan DEB ialah membasmi kemiskinan khususnya orang-orang Melayu. Kadar kemiskinan kaum itu berjaya dikurangkan kepada 16.5 peratus pada 1990.

Pendidikan termasuk dalam bidang yang diberi keistimewaan kepada orang Melayu mengikut perlembagaan Malaysia. Artikel 153 mengenai hak keistimewaan orang Melayu menyatakan biasiswa atau bantuan-bantuan lain dalam pendidikan mesti dilaksanakan selaras dengan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai penanungnya.

Pengerusi Institut Profesional Baitulmal (IPB), Tan Sri Hanafiah Ahmad berkata pemberian biasiswa pelajaran adalah antara hak keistimewaan orang Melayu. Jika ada pelajar Melayu yang berjaya ke universiti tetapi tidak mendapat biasiswa, perkara berkenaan bertentangan dengan hasrat dan kehendak artikel berkenaan.

Penguatkuasaan hak-hak keistimewaan Melayu khususnya dalam pendidikan telah melahirkan ramai golongan Melayu kelas menengah yang menjadi pengimbang kepada keadilan sosial di dalam masyarakat majmuk Malaysia. Generasi DEB telah diberi segala bantuan dan kemudahan bagi memajukan sektor ekonomi melalui penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara, pinjaman perniagaan dan keutamaan bagi menjayakan projek pelaburan kerajaan. Mereka lahir sebagai sebuah kumpulan yang bertenaga dan dinamik, memacu pembangunan negara seterusnya meninggalkan legasi yang sangat bererti. Kini mereka mengepalai syarikat-syarikat yang berskala besar dan mampu bersaing di peringkat global.

Perkhidmatan awam juga diisi dengan ramai kaum Melayu. Pada November 1968, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mengeluarkan statistik jumlah penjawat awam dalam perkhidmatan awam (tidak termasuk polis dan tentera) yang mencatatkan Melayu adalah 32.2% manakala bukan Melayu 63.74%.

Bagi perkhidmatan pentadbiran, Melayu mencatatkan 57.8% dan bukan Melayu 42.8%. Bagaimanapun jumlah ini sangat berbeza bagi perkhidmatan ikhtisas (tidak termasuk pelajaran) di mana Melayu hanya 19.2% dan bukan Melayu 80.8%, pegawai pelajaran pula menunjukkan bilangan Melayu sangat rendah iaitu 29.9% berbanding bukan Melayu 70.1%.

Perubahan ketara peratusan ini berlaku apabila Artikel 153 dilaksanakan bersungguh-sungguh. Pencapaian orang Melayu yang semakin baik dalam pellbagai bidang dapat menjamin keharmonian negara kerana tidak timbul rasa iri hati golongan majoriti ke atas minoriti.

Perkara yang lebih penting dalam pelaksanaan Artikel 153 ini ialah persepakatan tiga kaum terbesar di Malaysia bagi membolehkan Melayu dan bumiputera menikmati haknya dan bukan Melayu mendapat taraf kewarganegaraan.

Pemberian biasiswa adalah instrumen penting dalam pendidikan orang Melayu kerana sebahagian besar daripada mereka masih berada di kelompok miskin dan di luar bandar, berpendapatan rendah dan masih perlukan sokongan untuk membebaskan diri mereka daripada kemiskinan. Kemajuan dalam pendidikan akan mempercepatkan hasrat dan impian artikel berkenaan diperkenalkan.

Masyarakat bukan Melayu mesti didedahkan dengan bahagian-bahagian penting dalam perlembagaan berkaitan hak keistimewaan Melayu. Tujuannya adalah untuk menambah kefahaman tentang bagaimana menguruskan negara ini dalam keadaan masyarakat majmuk. Selain hak istimewa, kedudukan raja, agama Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu juga mesti dijelaskan. Pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan mempertahankan kandungan kontrak sosial ini adalah amat wajar.


Rujukan

Chamil Wariya. (2007). Malaysia: 50 fakta asas kenegaraan. Kuala Lumpur: Global Matrix Sdn Bhd.

Lembaga Penyelidikan Undang-undang. (2007). Perlembagaan persekutuan (hingga 5 Jun 2007). Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Mohamad Idris Saleh, Che Su Mustaffa & Fuziah Shaffie. (1994). Sejarah pembangunan bangsa dan negara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Tunku Abdul Rahman. (2007). 13 Mei sebelum dan selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Biasiswa hak istimewa Melayu. (2008). Dilayari pada 18 Mei 2008.
Laman web: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

Muin Abdul Majid. (2008, Mei 19). Jangan pertikai, politikkan apa yang termaktub dalam perlembagaan: Najib. Dilayari pada 19 Mei 2008. Laman web: http://www.bharian.com.my/Current_news/BH/Monday/Mutakhir/20080519134249/Article/index_html

1 comment:

  1. Anonymous3:27 PM

    Salaam... Penjelasan yang menarik dan agak neutral berdasarkan fakta dan kenyataan yang dipetik dari sumber yang boleh dipercayai. Ilmiah, padat dan sesuai untuk tatapan umum. Tahniah.

    ReplyDelete