Thursday, January 07, 2016

Kesepaduan sosial di restoran mamak








Restoran mamak berperanan besar dalam membentuk kesepaduan sosial rakyat Malaysia. Sumbangan restoran ini sangat penting kerana ia menjadi tempat pertemuan sosial pelbagai bangsa dan peringkat masyarakat.

Satu-satunya elemen kritikal yang menaikkan restoran ini adalah makanan selain petugas yang cergas dan penyediaan makanan yang pantas.

Shamsul Amri dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan restoran mamak sebagai tarikan kepada ramai orang pelbagai latar belakang kerana mampu menyedia dan menyediakan selera pelbagai budaya di bawah satu bumbung. Mereka boleh menyediakan pelbagai jenis makanan yang datang dari masyarakat Melayu, Cina dan India.

Pemandangan yang biasa setiap malam minggu ialah masyarakat Malaysia berkumpul di sini untuk menonton perlawanan bola sepak melalui layar besar yang disediakan.

Restoran mamak telah banyak berubah untuk menjadi peneraju makanan di Malaysia. Ia dibuka seawal jam enam pagi sehingga larut malam malah ada yang beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Sebaik sahaja kita masuk dan duduk di kerusi, akan datang seorang petugas bertanyakan makanan dan minuman yang kita mahu. Sama ada dia membawa buku nota atau tidak, ia tidak menjadi masalah kerana mereka boleh berkomunikasi secara langsung dalam bentuk yang unik. Makanan dan minuman akan sampai di hadapan kita dalam tempoh lapan hingga sepuluh minit. Jarang sekali makanan yang dipesan lambat datang.

Jumlah pekerja yang ramai di restoran mamak memudahkan mereka mengenal pasti setiap pelanggan yang masuk ke situ. Biar pun ada petugas yang baru beberapa hari bekerja, mereka mampu memahami permintaan pelanggan kerana telah menjalani latihan intensif sebaik tiba dari India. Keupayaan mereka ini telah meningkatkan keyakinan pelanggan untuk terus datang ke restoran mamak.

Kita perlu membuat kajian yang lebih menyeluruh tentang operasi restoran mamak dari pelbagai aspek seperti bentuk latihan, operasi kerja ataupun aspirasi pemilik restoran mamak supaya elemen pembentukan kesepaduan sosial yang wujud di situ dapat diperkukuhkan.


No comments:

Post a Comment