Monday, December 12, 2016

12 Tahap-tahap dalam dakwah







Oleh kerana perjalanan gerakan Islam terlalu jauh dan sukar, matlamatnya terlalu besar, maka beransur-ansur dalam semua tahap gerakan dan memberikan hak yang sepatutnya kepada setiap tahap akan membolehkan gerakan Islam mencapai matlamat yang diperjuang­kan.

Imam Hasan al-Banna telah membataskan tahap-tahap dakwah ini kepada tiga peringkat, iaitu:


1.    Peringkat di’ayah, ta’arif dan penyampaian Islam kepada semua lapisan masyarakat

Peringkat ini merupakan peringkat penyebaran fikrah Islam secara umum kepada masyarakat dengan cara memberi dan membangun­kan kesedaran, memberi bimbingan, mewujudkan badan-badan yang bermanfaat dan cara-cara lain yang praktikal.


2.   Peringkat takwin atau pembentukan

Yakni memilih penyokong-penyokong atau pembantu-pembantu dan menyediakan barisan pendakwah-pendakwah serta menyusun mereka dalam satu saf untuk melakukan kerja-kerja Islam.

Peringkat ini ialah peringkat pemilihan penyokong-penyokong dan pembantu-pembantu serta menggabungkan mereka di dalam barisan da’i untuk menjadi pekerja kebenaran bagi meneruskan usaha-usaha jihad untuk mengembalikan manusia kepada sistem Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bergerak secara berperaturan dan serasi dengan kehendak jama’ah.

Kata Fathi Yakan:

“... Sistem dakwah di peringkat ini adalah sistem sufi di sudut rohani dan sistem perajurit di sudut praktikal”.

“Di peringkat ini, orang-orang yang akan menggabungkan diri ialah orang-orang yang benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan memakan masa yang sangat panjang serta menempuh berbagai-bagai rintangan...”


3.    Peringkat tanfiz atau pelaksanaan

Peringkat pelaksanaan ialah peringkat jihad yang tidak mengenal rehat. Kerja-kerja di peringkat ini ialah kerja-kerja yang bert­erusan dalam usaha-usaha mencapai matlamat.


Dakwah di peringkat ini akan berdepan dengan berbagai-bagai ujian. Tidak akan mampu dan tidak akan sabar menghadapinya kecuali orang-orang yang benar-benar jujur berjihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
“Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerah kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar”, Fushshilat: 35


Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَمْحَقَ الْكَافِرِينَ
“Dan agar Allah membersihkan orang-orang beriman dan membinasakan orang-orang kafir”. Ali Imran: 141


Kejayaan di peringkat ini tidak akan terjamin kecuali jama’ah Islamiah memiliki orang-orang yang mempunyai ketaatan yang sempurna kepada siasah jama’ah dan kepimpinannya di dalam rangka patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengingatkan supaya taat dan jangan berpecah di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu’anhu yang bermaksud:


“Siapa yang keluar daripada ketaatan dan meninggalkan jama’ah maka matinya adalah sama dengan mati jahiliah....”


Ketiga-tiga tahap ini bergandingan antara satu sama lain. Dakwah memerlukan kesatuan dan kesepaduan ikatan antara ketiga-tiga peringkat ini.


Kepentingan Tarbiah

Tarbiah sangat penting untuk melahirkan orang-orang yang tidak menyeleweng daripada perjuangan Islam dan terus berji­had sehinggalah mereka kembali menemui Allah. Kerana itu Imam Hasan al Banna menjadikan tarbiah sebagai salah satu daripada rukun dakwah yang tiga iaitu ilmu, tarbiah dan jihad.

Tanpa ilmu mungkin da’i akan tertipu dengan golongan yang hanya melaung dan menjadikan Islam sebagai alat untuk tu­juan-tujuan tertentu. Namun, ilmu semata-mata, tanpa tarbiah, tidak mungkin lahir kehidupan da’i yang benar-benar sejajar dengan ilmu tersebut. Juga tidak pula lahir keikhlasan dan jihad yang berterusan, lebih-lebih lagi di peringkat pelaksanaan yang amat memerlukan kesungguhan, kesabaran dan pengorbanan. Tanpa jihad matlamat yang diharapkan tidak mungkin tercapai.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenarnya beriman hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dijalan Allah, mereka itulah orang yang benar-benar (beriman)”. Al-Hujurat: 15

Oleh: Abdul Hadi Othman
Post a Comment