Wednesday, December 07, 2016

7 Dakwah Islamiah dan peranannya dalam pembentukan ummah







Dakwah Islamiah

Dakwah Islamiah adalah dakwah yang suci bersih dari segala bentuk hawa nafsu dan tujuan-tujuan kepentingan peribadi. Dakwah Islamiah menuruti jalan-jalan yang telah digariskan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah: Inilah jalanku, aku dan pengikutku dengan penuh sedar mendakwahkan kamu menuju kepada Allah, Maha Suci Allah, aku tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang musyrik”. Yusuf: 108


Demikianlah suatu penegasan yang pernah dinyatakan oleh Imam Hasan al-Banna dalam Majmu’ah Rasail beliau.

Difahami dari ayat tersebut di atas bahawa pendakwah, sebelum mendakwahkan orang lain hendaklah pendiriannya sendiri jelas dan tegas tentang apa yang akan didakwahkannya. Dalam hal ini Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan jalan tertegaknya dakwah adalah di atas jalan Allah Subhanahuwata’ala, bukan di atas jalan musyrik. Tujuan dakwah pun jelas iaitu mengajak menusia agar berada di atas jalan Allah Subhanahuwata’ala dengan mengambil ajaran Allah Subhanahuwata’ala menjadi panduan hidupnya. Dengan ini jelaslah apakah pengertian dakwah Islamiah dan hala tujunya.

Dakwah Islamiah ialah mengajak orang lain untuk meyakini dan mengamalkan akidah dan syariat Islam yang terlebih dahulu telah diyakini dan diamalkan oleh pendakwah itu sendiri. Tujuan dakwah ialah membentangkan jalan Allah Subhanahuwata’ala di atas muka bumi ini agar dilalui oleh umat manusia.

Sehubungan dengan ini, Mustafa Masyhur di dalam bukunya, Tariq ad-Dakwah, telah membuat penjelasan bahawa bahawa matlamat dakwah adalah mulia dan tinggi, iaitu matlamat Allah Subhanahuwata’ala, beriman denganNya dan memperhambakan diri kepadaNya dalam seluruh aktiviti hidup, mencari keredhaanNya dalam semua amalan hidup dengan penuh keikhlasan serta yakin bahawa dengan berbuat demikian barulah terjamin kebahagiaan hakiki dan kejayaan abadi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ إِنِّي لَكُمْ مِنْهُ نَذِيرٌ مُبِينٌ
“Larilah (bersegeralah) kepada Allah, sesungguhnya aku adalah seorang pemberi ingatan yang nyata dari Allah untuk kamu”. Az-Zariyat: 50


Keluasan dan Besarnya Peranan Dakwah

Menyentuh soal peranan dakwah itu sekali lagi kita lihat bahawa Mustafa Masyhur membuat penjelasan bahawa peranan dakwah Islamiah adalah amat besar iaitu agar Islam menguasai dunia dan menunjukkan manusia seluruhnya kepada Islam yang meliputi semua aturan dan pengajarannya. Dunia tidak dapat mengecap kebahagiaan hakiki melainkan dengan kembali kepada Islam.

Peranan dakwah bukan sekadar juziyyah yang terbatas kepada suatu sudut bagi melaksanakan tujuan tertentu sahaja. Juga, bukan terbatas kepada daerah, iklim, bangsa atau watan  tertentu sahaja. Bahkan peranannya adalah merangkumi semua bidang hidup ini. Kebaikannya dirasai oleh semua makhluk, samada manusia mahu pun makhluk-makhluk yang lain. Sebenarnya kedatangan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah pembawa rahmat untuk seluruh isi alam ini. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat kesekalian alam”. Al-Anbiya’: 107


Dengan ini difahami bahawa dakwah Islamiah itu bersifat syamil, tidak terbatas kepada usaha-usahanya untuk memperbaiki sesuatu jurusan sahaja dalam kehidupan ini tanpa memperbaiki bidang-bidang lain.

Berkaitan dengan ini, Imam Hasan al-Banna telah membuat penjelasan bahawa satu sifat yang memberi pengertian yang menyeluruh kepada dakwah kita ialah: Islam.

Perkataan Islam itu mempunyai pengertian yang luas, tidak sesempit dengan pengertian yang difahami oleh sesetengah masyarakat kini. Kita penuh yakin bahawa Islam adalah suatu pengertian yang menyeluruh, menyusun semua bidang hidup, memberi fatwa dalam semua kemusykilan dan meletakkan sistem yang konkrik meliputi kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Fahaman ini bukanlah dakwaan kosong atau sengaja diada-adakan supaya sesuai dengan pendapat kita, tetapi inilah fahaman yang diambil dari Kitab Allah Subhanahuwata’ala dan inilah fahaman umat Islam yang terawal dahulu.

Oleh kerana dakwah Islamiah itu sempurna, maka mereka yang menerima dakwah ini tidak akan terbentuk hanya dengan satu aspek sahaja, tetapi akan terbentuk satu kesempurnaan pada peribadi. Kesan dakwah yang diterima adalah suatu kesan yang menyeluruh.


Hubungan Dakwah dengan Pembentukan Ummah

Mustafa Masyhur sekali lagi membuat penjelasannya bahawa peranan dakwah Islamiah begitu besar. Tanggungjawab dakwah yang berat memberi kesedaran kepada kita betapa pentingnya membuat persiapan menyediakan anggota-anggota Islam atau para du’at yang betul-betul sanggup membawa amanah besar itu serta melaksanakannya dengan sempurna.

Sebenarnya, penyampaian dakwah Islam kepada segenap lapisan masyarakat, jika tidak diikuti dengan pembentukan dan penyediaan kader-kader serta memperlengkapkan barisan muslimin, maka segala tenaga yang dicurahkan dalam penyampaiannya mungkin kehilangan tanpa mendatangkan natijah yang sebenarnya.

Sesungguhnya kesedaran Islam yang timbul dalam kalanganorang ramai setelah menerima dakwah itu tidak boleh dibiarkan menjadi lemah dan terus lenyap tetapi perlulah dididik dan dibimbing jiwa mereka itu sehingga lahir kesanggupan mereka sendiri untuk bekerja dan berjihad serta berkorban merubah dan memperbaiki hidup ini.

Medan pertama untuk membentuk dan merubah itu ialah bermula dari dalaman jiwa terlebih dahulu. Benarlah seperti Firman Allah Subhanahuwata’ala:


إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang terdapat di dalam mereka”. Ar-Ra’d: 11


Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam tidak memulakan dakwah baginda dengan merobohkan berhala yang terdapat di luar, walaupun ini juga merupakan musuh. Ia bukanlah sasaran pertama. Sasaran pertama baginda ialah berhala yang terdapat di dalam jiwa mereka. Patung-patung tersebut ialah hawa nafsu dan gharizah yang dipimpin oleh syaitan.

Dua berhala ini akan membawa manusia kepada melaksanakan ubudiyyah kepada yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Kebanyakan anggota masyarakat hari ini hidup dalam suasana dan persekitaran yang jauh daripada hakikat Islam sebenarnya. Suatu masyarakat yang telah dikuasai oleh tradisi dan adat resam  serta taqlid-taqlid yang berlawanan dengan Islam sehingga jiwa dan hidup mereka bersebati (sedarah sedaging dengan adat-adat resam dan taklid-taklid tersebut).

Oleh itu para pendakwah Islam hendaklah berusaha membersihkan jiwa masyarakat daripada tradisi (adat resam dan taklid yang membawa kerosakan) dan menghiaskan kembali dengan adab dan akhlaq Islam serta mencorakkan kehidupan mereka dengan corak Islam.

Perubahan ini hendaklah bermula dari dalam jiwa dengan menanamkan aqidah tauhid yang  merasakan halwatul iman (kemanisan atau kelazatan beriman), kemudian barulah akan terpancar dan lahir corak keimanan itu dalam setiap gerak laku dan aktiviti hidup ini.

Alangkah indahnya seperti yang diibaratkan oleh Hasan al-Hudhaibi:
“Tegakkan pemerintahan Islam di dalam dada kamu dahulu, Insya Allah akan tertegaklah pemerintahah Islam di tanah air kamu”.

Kita tidak menafikan bahawa bilangan umat Islam adalah ramai, tetapi yang sangat dikehendaki ialah Muslimin yang bernilai dan bermutu yang mampu untuk merubah dan memperbaiki keadaan dan suasana masyarakat yang telah rosak serta membangunkan ummah Islam yang benar-benar berdasarkan iman.

Kita menghendaki muslimin yang mempunyai aqidah yang betul, ibadah yang sempurna, akhlaq yang terpuji dan pemikiran yang berilmu, tubuh badan yang gagah, mampu bekerja, memberi manfaat kepada orang lain, sentiasa berjihad, sentiasa menjaga waktu dan teratur segala kehidupannya.

Untuk menyedia serta melahirkan anggota-anggota Islam yang bernilai dan bermutu itu maka memerlukan jihad dan pengorbanan dengan penuh kesabaran. Anggota-anggota Islam yang demikianlah yang akan membentuk keluarga-keluarga Muslim yang terpuji dan merekalah yang akan bergerak dan bekerja membangunkan mujtama’ (masyarakat) Muslim sehingga tersebar dan merata fikrah Islamiah dalam kalanganmasyarakat, maka terbentuklah suatu tapak asas yang kukuh untuk dibangunkan Ummah Islamiah.

Oleh itu kita tidak boleh memandang sepi terhadap usaha-usaha  mengadakan usrah, katibah, ceramah, seminar, sekolah, kelab, khemah-khemah kerja, bengkel, risalah, akhbar, majalah dan sebagainya kerana semua itu merupakan jalan-jalan untuk menyediakan dan membentuk angggota-anggota Islam serta mempertingkatkan mereka kepada tingkatan bernilai hingga menjadi mukmin yang bertanggungjawab dan mukmin yang mujahid di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Hendaklah kita sedar bahawa jalan-jalan yang umum di dalam dakwah Islamiah ini tidak boleh lari daripada tiga perkara iaitu:

1.   Keimanan yang mendalam
2.   Penyusunan yang rapi
3.   Jihad (kerja) yang berterusan

Dengan ini barulah kerja-kerja amal Islami berjalan dan bertambah peningkatannya selangkah demi selangkah dan akan lahirlah individu Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat Muslim, barulah dikatakan ada persediaan atau persiapan untuk membangunkan Hukumah (pemerintahan) Islamiah.

Sebenarnya kerja-kerja tersebut adalah mencontohi jalan-jalan yang pernah dilalui oeh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Baginda tidak semata-mata berdakwah dengan hanya semata memberi peringatan, bahkan baginda berusaha membina dan membangunkan ummah. Pada mulanya baginda seorangan, kemudian baginda berjaya membentuk jamaah para sahabat r.a. dan akhirnya baginda berjaya dengan izin Allah Subhanahuwata’ala. membangunkan hukumah Islamiah yang menjalankan syari’at Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya dalam semua urusan hidup mereka.

Jika dikaji hukumnya memang ternyata bahawa syari’at Islam mewajibkan kita membina atau membangunkan Ummah Islamiah. Dalil dan bukti yang menandakan kewajipan itu adalah banyak sekali dan tidak boleh disangkal lagi. Untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut bolehlah kita lihat apa yang dijelaskan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah, yang mana beliau telah membuat kupasan dengan panjang lebarnya mengenai kewajipan membina daulah Islamiah.

Oleh kerana syari’at Islam itu memerintahkan agar dibangunkan daulah Islamiah maka kita dapati dalam sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda mula membuat perancangan dan persediaannya semenjak baginda berada di Makkah lagi. Kemudian dengan izin Allah Subhanahuwata’ala baginda berjaya membangunkan Hukumah Islamiah itu di Madinah al-Munawwarah selepas baginda dan para sahabat baginda teruji dengan berlakunya peristiwa itu.

Oleh yang demikian maka kita sebagai umat Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, sudah semestinya mencontohi kerja-kerja yang telah dilakukan oleh baginda dalam usaha-usaha dakwah dan pembentukan ummah Islamiah. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya pada Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi kamu ititu bagi sesiap yang menharapkan ganjaran Allah dan balasan baik di hari qiyamah serta sentiasa mengingati Allah”. A-Ahzab: 21




Post a Comment