Thursday, December 08, 2016

8 Uslub dakwah Rasulullah s.a.w







Para pendakwah Islam yang sedar dan insaf memahami betapa perlunya satu metod dan sistem (manhaj) dakwah yang jelas untuk melaksanakan tugas mereka yang besar dan suci. Yakni, satu manhaj atau uslub yang tersusun dengan teliti, terperinci, jelas matlamatnya dan terang jalannya.

Kita perlu meyakini dasar-dasar, keistimewaan-keistimewaan dan ciri-ciri khas dakwah Islamiah yang telah ditunjukkan oleh pendakwah agung, iaitu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang telah dikurniakan kejayaan yang besar oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Kita sepatutnya menumpukan fikiran kita kepada suatu aspek khas di dalam sejarah Islam, dan meneliti sedalam-dalamnya, iaitu berhubung dengan kaedah mengajak manusia kepada Islam dan cara-cara latihannya seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Ini adalah suatu hakikat atau faktor yang amat penting untuk dijadikan pedoman dan garis panduan agar setiap pendakwah tidak meraba-raba di tengah-tengah perjalanan, tidak bersimpang siur dalam menghayun langkah dan tidak pula menghabiskan masa dan tenaga dengan sia-sia. Hendaklah setiap pendakwah janganlah melakukan sesuatu yang merugikan Islam padahal dia menyangka melakukan kebaikan terhadap Islam.


Titik Permulaan Dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Satu perkara asas bagi pendakwah yang ingin menegakkan kembali ajaran Islam dan mendaulatkan manhaj Ilahiyah di muka bumi ialah kembali mengikuti setiap jejak langkah mahaguru dan pendidik pertama iaitu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  adalah qudwah hasanah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  dalam dakwah baginda telah mengemukakan satu uslub yang tersusun rapi berdasar pimpinanan Allah Subhanahuwata’ala  yang sentiasa mengawal dan melindungi perjalanan baginda. Dengan kehendak dan kekuasaan-Nya, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam   telah menyarankan bahawa titik permulaan dakwah mestilah dimulakan dengan menegakkan ma’aruf  al-akbar (ma’aruf terbesar) dan di waktu yang sama meruntuhkan munkar al-akbar (munkar terbesar)

Inilah hakikat yang perlu difahami oleh setiap pendakwah. Sekiranya tidak tertegak ma’aruf  al-akbar, maka ma’aruf yang lain tidak akan dapat dilahirkan atau ditegakkan. Segala usaha-usaha kita tidak akan berhasil sama sekali. Umpama mencurahkan air di daun keladi. Setiap kerja kita akan sia-sia dan terbengkalai.. Masa yang kita habiskan, wang ringgit yang kita curahkan serta segala jihad dan pengorbanan tidak akan mendatangkan natijah yang betul lagi memuaskan untuk mencapai matlamat Islam sebenar.

Oleh yang demikian, permulaan dakwah kita ialah menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah Subhanahuwata’ala  semata-mata. Dakwah yang betul mestilah dimulakan dengan memerangi hakikat hidup yang menolak Islam sebagai ad-deen. Atas sebab inilah di awal-awal lagi, dakwah ini akan ditentang, diperangi dan dimusuhi sepertimana hal yang berlaku pada jama’ah pertama yang pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Seruan sebegini adalah bertujuan untuk mendaulat dan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata  dalam kehidupan. Pada masa yang sama membangunkan masyarakat yang bersih daripada pengaruh kemungkaran.

Sistem hidup jahiliah sentiasa menolak peraturan-pertauran dan syariat Allah Subhanahuwata’ala  daripada mengatur kehidupan manusia. Dalam usaha menegakkan ma’aruf  yang terbesar ini para sahabat telah mengorbankan pangkat, harta benda dan kedudukan mereka, bahkan ada di antara mereka terpaksa berpisah nyawa dari badan.

Satu lagi perkara yang mesti diyakini dan diberikan perhatian ialah, telah terbukti ketika mana tertegaknya keimanan kepada Uluhiyah Allah Subhanahuwata’ala  pada diri anggota-anggota ummah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka barulah Allah Subhanahuwata’ala  menurunkan syariatNya. Apabila diturun segala syariat, maka setiap undang-undang dan peraturan itu dipatuhi dengan mudah tanpa dipaksa-paksa dan tanpa perlu diawasi setiap masa. Bahkan mereka berlumba-lumba untuk mematuhi dan mentaati setiap perintah yang datang daripada Allah Subhanahuwata’ala dan RasulNya.


Cara Bergerak dan Bekerja

Cara bergerak dalam harakah Islamiah adalah berbeza dan tidak menyerupai mana-mana pergerakan dan pertubuhan biasa. Gerakan dan pertubuhan yang berasaskan ciri-ciri jahiliah selalunya mendokong mabda’ ciptaan akal fikiran manusia. Mereka membawa tafsiran yang salah terhadap sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam serta tidak jelas matlamat dan uslubnya.

Mereka yang tidak memahami hakikat ma’aruf  al-akbar dan munkar al-akbar ini akan terperangkap dengan kaedah yang menyatakan bahawa matlamat dapat membersihkan atau menghalalkan jalan. Fahaman ini bertentangan dengan konsep dakwah sebenar. Dakwah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  adalah bersih matlamat dan jalan-jalannya.

Setiap tindakan dan gerak kerja kita tidak boleh berlawanan dengan syarak dan sunnah  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Pendek kata kita tidak mengikuti apa jalan yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala .

Mana-mana pertubuhan, samada sedar atau tidak sedar, jika  mendukung mabda’ ciptaan aqal manusia sudah tentu berlawanan dengan konsep dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Pendakwah yang faham dan sedar, tidaklah boleh sama sekali terpengaruh atau cuba-cuba meniru sikap atau cara mereka dalam menjalankan apa-apa aktiviti dakwah. Meskipun pada zahirnya mereka mendapat sambutan ramai, popular dan mempunyai kekuatan kebendaan yang manakjubkan tetapi pendakwah mestilah tetap iltizam dan intizam dengan uslub yang sebenar.

Segala cadangan, saranan dan tindak-tanduk yang hendak dilaksanakan mestilah dirujuk terus kepada syarak. Sesuatu keputusan dan tindakan yang diluluskan syarak sahaja yang boleh dilaksanakan manakala yang menyeleweng daripada syarak adalah tertolak. Apa yang baik  bagi syarak maka baiklah bagi kita  dan apa yang buruk bagi syarak maka buruklah bagi kita.

Kita mestilah mengikut langkah-langkah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam   samada dalam dakwah, dalam  pembentukan Ummah  mahupun dalam perlaksanaan hukum-hukum  Islam.


Penekanan Tauhid di Tahap Awal

Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam   memulakan dakwah dengan mengajak manusia mengikrarkan kalimah tauhid: لا اله الا الله.

Apabila konsep ini benar-benar difahami dan meresapi serta menjiwai hati-hati umat Islam maka tertegaklah ma’aruf  al-akbar seperti yang telah dijelaskan di atas. Ini kerana di atas keteguhan akidah akan dibina syari’ah Islamiah dengan penuh gigih dan berani tanpa takut kepada apa jua halangan dan rintangan. Mereka juga tidak mudah dipujuk dengan harta kekayaan, pangkat dan kebesaran. Bahkan mereka tidak mengalah sama sekali dengan jahiliah. Maka berfungsilah di muka bumi ini syariat Allah Subhanahuwa’atala.

Setelah akidah لا اله الا الله benar-benar menjiwai dan bertapak kukuh di hati generasi muslim pertama di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, setelah terbentuk satu barisan yang benar-benar mendukung konsep dakwah yang dibawa oleh baginda, maka gugurlah sistem jahiliah, adat resamnya, nilai-nilainya dan konsep-konsepnya.

Inilah satu revolusi yang meruntuhkan segala bentuk ciri-ciri jahiliah dan membangunkan semula kedaulatan Allah Subhanahuwata’ala. Kita perlu mendalami dan meneliti akan hakikat dakwah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak memulakan dakwah dengan meruntuhkan berhala-berhala atau adat-adat resam jahiliah, bahkan langkah pertama baginda ialah membina akidah dan keimanan kepada Rabb Yang Maha Esa.

Baginda tidak juga memulakan dakwah dengan memerintah para sahabat terlibat dalam arena politik, pembangunan ekonomi dan aktiviti sosial. Baginda tidak juga terus menegakkan pemerintahan dan pentadbiran dengan tujuan untuk mengambil alih pucuk pimpinanan ketika itu. Dengan lain perkataan, baginda tidak memulakan dakwah dengan menyelesaikan permasalahan cabang atau ranting, tetapi baginda memulakannya dengan menegakkan akidah dan keyakinan terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Allah Subhanahuwata’ala  tidak menghendaki perkara-perkara cabang dan ranting itu ditegakkan sebelum akidah dan keimanan benar-benar sebati dalam jiwa raga para sahabat, sehinggalah setiap amalan dan tindakan semata-mata lahir daripada pancaran akidah. Mereka hanya menerima sesuatu yang diperkenankan oleh akidah dan menjauhkan diri daripada apa jua perkara yang bertentangan dengan akidah.

Sebagai pendakwah, kita tidak layak mengabaikan sunnah yang penting yang didapati dari perjuangan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kecuaian kita dalam aspek ini boleh membawa kepada penyelewengan daripada uslub yang telah diwahyukan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Jika kita memandang sepi terhadap faktor ini, maka ia boleh mendatangkan bahaya kepada dakwah dan juga pendakwah.

Kita tidak sewajarnya mudah terpengaruh dengan trend yang ada dalam masyarakat sehingga menjadi pendakwah yang memuja politik dan kekuasaan. Bukan pendakwah bagi akidah Islamiah. Jangan kita menumpukan sepenuh perhatian kepada politik  tanpa memperdulikan aspek yang penting dalam dakwah. Kita adalah penegak panji-panji لا اله الا الله. Kita bukan penegak politik semata-mata.

Kita perlu sedar bahawa saudara-saudara kita adalah jujur dan ikhlas dengan dakwah Islamiah. Kita takut, dalam usaha menuju kepada matlamat Ilahi, secara tidak sedar, mereka  terjatuh ke dalam kerja-kerja yang merugikan mereka sendiri dan merugikan Islam.


Tahap-Tahap dalam Dakwah

Tanggungjawab dakwah yang paling besar dan segera ialah menyediakan saudara-saudara kita dengan persediaan Islam yang tulen tanpa bercampur dengan fikrah rekaan manusia. Dakwah Islamiah sekali-kali tidak menerima campur aduk. Jika dakwah ini bercampur-aduk dengan fahaman kebangsaan, demokrasi dan ideologi-ideologi lain, maka akan jauhlah dakwah ini daripada hakikat Islam sebenar.

Dakwah kita hendaklah mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam   yang telah melalui beberapa tahap dakwah sehingga baginda menikmati kejayaan yang gemilang bersama-sama sahabat-sahabat baginda. Pada masa yang sama mereka mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala 

Pada dasarnya dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  melalui tiga tahap. Tahap-tahap tersebut ialah:

1. Tahap penyebaran, pengenalan dan penyampaian fikrah Islamiah kepada  
    masyarakat agar lahir kefahaman dan kesedaran Islam sebenar.

2. Tahap pembentukan dan pemilihan ansar serta memperkemaskan barisan
    dalam kalangan mereka yang menerima dakwah.

3. Tahap penghasilan dan perlaksanaan natijah daripada usaha-usaha yang
    telah dijalankan seperti di atas.

Walaupun tahap-tahap ini dibahagikan sedemikian rupa, namun dari segi pelaksanaannya, ia boleh berjalan serentak dari semasa ke semasa.

Islam kini sangat memerlukan barisan pendakwah yang mampu mengenengahkan ajaran Islam dengan bahasa yang mudah difahami. Pendakwah yang dapat mendekatkan manusia (bukan menjauhkan) dengan  Islam. Juga pendakwah yang mampu memberi penjelasan dengan jelas dan terang bukan  kabur lagi membingungkan. Pendakwah itu pula menjadi contoh yang baik untuk manusia.

Suatu perkara yang menyedihkan apabila terdapat pendakwah yang memburukkan-burukkan Islam dengan fahaman yang sempit dan keliru. Mereka merosakkan Islam meskipun mereka menyangka melaksana dan berbuat baik terhadap Islam. Memang tepat kata-kata Hasan al-Basri (yang bermaksud): “Orang yang bekerja tanpa pengetahuan dan perancangan sama seperti orang yang berjalan meraba-raba di luar jalan raya yang terbentang. Dan orang yang bekerja tanpa tujuan lebih banyak merosakkan daripada membangun”.

Kata ulama yang lain: “Sesiapa menempuh jalan tanpa pertunjuk maka ia akan sesat dan barangsiapa yang berpegang teguh kepada sesuatu yang bukan pokok (dasar) tentu akan gagal”.

Marilah kita berdoa pada Allah Subhanahuwata’ala agar diberi petunjuk dan hidayah dalam usaha-usaha kita yang kecil agar kita sentisa berjalan di atas landasan yang diredhaiNya.



Post a Comment