Saturday, December 17, 2016

17 Kewajipan penyebaran fikrah Islamiah dalam semua keadaan







Fikrah Islamiah ialah Islam sebagai deen Allah Subhanahuwata’ala  yang sempurna dan mencakupi semua bidang (kamil dan syamil). Manusia tidak ada kuasa atau hak untuk menambah dan mengurangkan mana-mana bahagian dari deenNya. Manusia juga  tiada kuasa atau hak untuk mendahuluinya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ 
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya. Al-Hujurat: 1


Oleh itu jelaslah, kita hamba-hamba Allah tidak boleh mendahului Islam. Sikap kita ialah menjadi pengikut Islam bukan mubtadi’ (pereka). Kita wajib memahami Islam sebagaimana ia mesti difahami bukan mengikut selera kefahaman sendiri. Kita wajib berada di belakang Islam.

Kebanyakan manusia hari ini menyesuaikan Islam dengan hawa nafsu mereka, bukan menyesuaikan hawa nafsu dengan Islam. Kita perlu meneliti kehendak Islam yang sebenar dan tidak boleh mencampuradukkan Islam dengan fikrah-fikrah lain seperti kapitalis, sosialis, nasionalis, komunis dan sebagainya. Fikrah-fikrah ini adalah fikrah-fikrah yang mendatang. Fikrah-fikrah ini memasuki pemikiran orang-orang Islam kini kerana permasalahan pokok iaitu aqidah Islamiah tidak selesai. Jika selesai permasalahan aqidah, maka tidak akan berlaku campur aduk sedemikian.


Membentangkan Islam dengan Jelas

Islam bersifat syumul dan lengkap. Jahiliah juga merupakan suatu millah (anutan). Kita perlu sedar akan nama-nama atau istilah-istilah asing yang dimasukkan ke dalam Islam. Kita mesti faham bahawa nama-nama atau istilah-istilah itu dimasukkan ke dalam Islam untuk mempengaruhi kita. Kita mesti bentangkan fikrah Islamiah dengan jelas dan tidak boleh berkompromi dengan kehendak  penganut-penganut fikrah lain.

Maksud membentangkan Islam dengan jelas dan terang ialah para du’at mestilah berdiri, beramal dan bertindak dengan sifat-sifat Islam yang sebenar. Jika seseorang itu bercakap  fikrah tetapi tindak tanduknya tidak berdasarkan fikrah, maka dia dikatakan tidak fikrah juga. Kita dapati wujud dalam masyarakat Islam hari ini orang yang memperkatakan Islam dengan betul tetapi tidak beramal selaras dengan fikrah yang diperkatakan. Ini bukanlah hakikat fikrah Islam yang betul.

Kita perlu jelaskan fikrah Islam tanpa kesamaran atau berbelit-belit. Kita perlu menjadi mithali Islam di segi lisan dan perbuatan. Apabila kita memperkatakan Islam kita hidupkan kesyumulan Islam dalam amalan kita walaupun kita keseorangan. Begitulah caranya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdakwah.
Matlamat Bersih dan Jalan Bersih

Kita tidak boleh sama sekali menggugurkan satu huruf, satu segi, satu aspek dan satu perkara pun dari Islam, meskipun di atas hasrat untuk meraikan dakwah-dakwah lain. Kaedah kita ialah - matlamat tidak menghalalkan cara atau matlamat tidak membersihkan jalan.

Tidak boleh berlaku musawwamah ‘alal fikrah (bertolak ansur dalam fikrah). Musawwamah ‘alal fikrah  dikira sebagai satu kesalahan besar, dianggap sebagai jenayah besar dan dikira sebagai terlalu berani dengan Allah Subhanahuwata’ala (yakni  berani menggugurkan sebahagian daripada Islam lantaran untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat).

Kita perjuangkan Islam dengan mengikut kaedah-kaedah yang diatur dan disusun oleh Islam sendiri. Apabila kita bertolak dari sini, sekiranya kita sampai kepada matlamat Islam, maka Alhamdulillah. Jika kita gugur dan kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala  maka kita telah pun dikira berjaya kerana telah di atas jalan Islam.


Deen adalah Milik Allah Subhanahuwata’ala

Sebab-sebab kita tidak boleh bertolak ansur dalam fikrah ini kerana kita tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Deen Islam adalah milik Allah Subhanahuwata’ala, bukan milik kita. Apa yang perlu kepada kita ialah menerima Islam seperti yang dikehendaki dalam keadaan syumul.

Orang-orang Islam kini sebenarnya tidak ditarbiah untuk menerima Islam yang syumul. Mereka memasuki Islam secara warisan kerana ibu bapa mereka menganut Islam. Bukan bermakna kita menyalahkan warisan  tetapi orang-orang Islam perlu dididik kembali supaya memiliki kefahaman dan kesedaran sebenar (sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  dalam mendidik para sahabat baginda).


Kesalahan Mencampuradukkan Islam dengan Fikrah lain

Kesalahan mencampuradukkan Islam dengan fikrah lain merupakan kesalahan yang besar. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dalam rangka berdakwah kepada Islam, telah diuji dan diduga oleh pembesar Quraisy untuk menerima sedikit tuntutan mereka iaitu apabila mereka solah jangan ada bersama mereka orang-orang fakir miskin. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak melayan permintaan mereka kerana baginda tidak mahu berkompromi dengan masyarakat jahiliah. Baginda pernah bersabda (yang mafhumnya antara lain):

 “Sekiranya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku nescaya aku tidak tinggalkan Islam”.


Kita perlu Mendalami Fikrah Islam

Apa yang dinyatakan di sini merupakan garis panduan sahaja. Kita perlu memahami dan mengetahui fikrah Islam secara detail. Kita perlu meneliti buku-buku  fikrah untuk tujuan ini. Kita perlu mengawasi pembacaan kita agar tidak terpengaruh dengan mana-mana buku yang dikarang oleh penulis yang berampuraduk fikrahnya. Buku-buku karangan ulama muktabar sahaja yang patut kita terima dan baca dalam rangka untuk mendalami fikrah Islam sebenar.


Bersyukur kerana kita menjadi Du’at (Barisan Pendakwah)

Berdakwah, yakni menyeru manusia kepada Islam adalah tugas yang wajib dilaksanakan. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala  kerana kita terpilih sebagai du’at. Maka, kita perlu menyiapkan diri kita untuk menjadi du’at di jalan Allah Subhanahuwata’ala, lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat yang dikuasai jahiliah.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bemaksud):

“Islam itu bermula dengan gharib (dagang), dan ia akan kembali gharib sepertimana permulaan. Bertuahlah mereka yang berpegang dengan Islam ketika gharib”.


Islam dalam masyarakat kini telah menjadi dagang. Walaupun masyarakat tidak dagang dari sudut melaksanakan solah dan ibadah-ibadah khusus, namun mereka dagang dari sudut melaksanakan Islam yang syamil dan kamil. Sehinggakan  mereka yang mendapat ijazah dalam pengajian Islam pun mengalami kedagangan Islam dalam banyak hal.

Kesyukuran kita kepada Allah Subhanahuwata’ala tidak memadai dilahirkan secara lisan sahaja, bahkan kesyukuran kita itu mesti dibuktikan dengan menjalankan usaha dan kerja dakwah mengajak manusia kembali ke pangkuan Islam.

Kita perlukan Jamaah

Usaha-usaha dakwah tidak boleh dilakukan seorang diri, kerana seorang pendakwah secara bersendirian pasti tidak akan mampu untuk memikul tanggungjawab dakwah yang besar. Tugas untuk menghapuskan kefasadan yang bermaharajalela di muka bumi  tidak mungkin akan mampu dilakukan secara bersendirian atau berseorangan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri tidak pernah berdakwah seorang diri. Baginda mengumpulkan para sahabat baginda dan membentuk jamaah bagi melaksanakan tanggungjawab dakwah.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan,  menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, mereka itulah golongan yang berjaya. Ali Imran: 104


Oleh itu kita ditugaskan memikul tanggungjawab dakwah. Kita juga ditugaskan untuk mendidik orang-orang yang menerima dakwah sehingga mereka juga menjadi pendakwah. Dengan wujudnya barisan pendakwah, maka barulah kewajipan dakwah ini dapat dilaksanakan secara berpasukan seperti yang dituntut oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat di atas.

Kaedah Al-Harb

Kita menggunakan kaedah Al-Harb dalam berdakwah (harb bermakna peperangan. Peperangan yang dimaksudkan di sini ialah peperangan fikrah).

Pada tahap sekarang ini, kita melawan dan berperang dengan jahiliah dengan cara Harb Al-Fikri (peperangan fikrah). Harb Al-Fikri terbahagi kepada dua:

1)     Menyebarkan fikrah Islamiah
2)     Mendedahkan kekufuran

Pada tahap ini, kedua-dua cara peperangan ini mesti dilaksanakan dalam menlancarkan peperangan kita dengan jahiliah.

Penyebaran Fikrah Islamiah tiada Hudnah

Hudnah bermakna berhenti sementara atau menangguhkan peperangan. Dalam penyebaran fikrah Islamiah kita tidak boleh berhudnah (berhenti atau tangguh). Ini bermakna penyebaran fikrah Islamiah adalah kerja-kerja yang perlu berjalan terus menerus tanpa henti sama ada dalam suasana susah atau senang, aman atau terancam dan bersendirian atau berkumpulan. Atau dengan kata lain, kita sama sekali  tidak boleh berhenti daripada tugas menyampaikan Islam kepada manusia.

Setiap tindakan kita sebagai pendakwah hendak mendokong risalah dakwah. Atau dengan kata lain, setiap kerja kita hendaklah mengarah kepada penyebaran fikrah Islamiah. Jika kerja-kerja kita tidak mengarah kepada penyebaran fikrah Islamiah maka kerja-kerja itu dianggap sebagai ‘amal dha’if (kerja yang lemah).

Semua tindakan kita seharusnya tindakan yang melancarkan peperangan dengan jahiliah (dalam konteks ini ialah penyebaran fikrah Islamiah). Ini bermakna setiap diri kita mestilah sentiasa berada dalam peperangan fikrah. Kita boleh menyebarkan fikrah Islamiah melalui pelbagai cara yang mungkin dan munasabah apabila berdepan dengan realiti yang kita hadapi. Kita boleh memilih cara yang sesuai untuk berdakwah seperti melalui ceramah, penyebaran risalah, memberi khidmat, ziarah, bimbingan dan sebagainya.

Setidak-tidaknya kita boleh berdakwah dengan cara memperlihatkan sahsiah Islam yang sempurna. Kita mendokong sahsiah Islam yang menjadi contoh yang baik (qudwah hasanah) kepada manusia lain. Bahkan berdakwah melalui qudwah hasanah ini sangat berkesan untuk mempersaksikan Islam secara amali kepada masyarakat. Masyarakat akan mempelajari Islam dari semasa ke semasa melalui qudwah hasanah atau mithal amali yang dipamerkan oleh kita.

Justeru itu kita mestilah mendokong sahsiah Islamiah kamilah. Atau dengan kata lain, kita mestilah sentiasa memelihara tarbiah terhadap diri kita sendiri (atau iltizam dengan tarbiah) agar sahsiah Islamiah itu kekal dan mantap pada diri kita.

Mendedahkan Kekufuran ada Hudnah

Untuk mendedahkan kekufuran atau keburukan jahiliah (dalam realiti sekarang) kita boleh berhudnah pada masa atau zuruf tertentu. Apabila zuruf munasabah maka kita mendedahkan kekufuran atau keburukan jahiliah kepada manusia. Namun apabila zuruf tidak munasabah maka kita boleh tangguhkan (atau berhudnah). Inilah kaedah yang telah ditentukan oleh syarak. Kita berkerja di atas kaedah syarak.

InsyaAllah, Allah Subhanahuwata’ala  akan menolong kita, apabila kita mengikut syarak. 


Post a Comment