Thursday, December 15, 2016

15 Konsep ittisal fardi






Dalam memperkatakan ittisal fardhi, marilah kita sama-sama merenung firman Allah Subhanahuwata’ala:


عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ
أَنْ جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ
وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ
أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَىٰ
أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَىٰ
فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّىٰ
وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ
وَأَمَّا مَنْ جَاءَكَ يَسْعَىٰ
وَهُوَ يَخْشَىٰ
فَأَنْتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ



“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling (kepada pembesar Quraisy), kerana telah datang seorang buta (Abdullah Bin Ummu Maktum) kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya  (dari dosa) atau ia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya? Adapun orang yang merasakan dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Pada hal tiada (celaan) ke atasmu kalau ia tidak membersihkan diri. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang ia takut (kepada  Allah), maka kamu mengabaikannya. Sesekali jangan (demikian), sesungguhnya ajaran Tuhan itu satu  peringatan, maka barangsiapa yang mengkehendaki, tentulah Dia memperhatikannya, di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (utusan) yang mulia lagi berbakti“.  ‘Abasa: 1-16


Ayat ini diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala sebagai teguran kepada sikap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap Ibn Maktum, seorang sahabat buta, yang mengharapkan agar baginda membacakan kepadanya wahyu yang telah diterima dari Allah Subhanahuwata’ala. Ketika itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sedang berbicara dengan pemuka-pemuka Quraisy dan baginda berharap agar mereka menerima Islam.

Dari ayat tersebut menunjukkan kepada kita cara Allah Subhanahuwata’ala mentarbiah RasulNya untuk melaksanakan ittisal fardhi. Walaupun Ibn Maktum seorang yang buta, tetapi beliau ikhlas datang kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk mempelajari Islam.


Konsep Ittisal Fardhi

Ittisal fardhi ialah berhubung secara individu. Yang dimaksudkan dengan individu dalam konteks ini ialah mad’u yang menjadi sasaran dakwah. Ittisal fardhi merupakan  muqaddimah bagi  tarbiah Islamiah  dalam usaha menjelaskan Islam kepada manusia.

Hubungan yang dibina dengan mad’u adalah dalam jangka masa tertentu supaya kita dapat melihat setiap perkembangan yang berlaku ke atasnya. Hubungan ini berterusan dan dirancangkan dengan baik  tanpa pengetahuannya. Daripada hubungan sebegini akan diketahui hati-hati yang ikhlas untuk dibawa masuk ke dalam proses tarbiah Islamiah harakiah.

Aktiviti dalam ittisal fardhi boleh dijalankan berdasarkan realiti orang yang kita hubungi.  Misalnya dalam suasana kampus, kita boleh ziarah, belajar bersama, membeli belah bersama dan makan bersama. Manakala bagi mereka yang berjauhan kita boleh berhubung melalui surat atau telefon.


Contoh-Contoh Ittisal Fardhi

Pertama, ittisal fardhi banyak berlaku dalam sirah para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Misalnya dalam kisah Abu Zar Al-Ghifari.

Suatu hari, Abu Zar Al-Ghifari, yang masih muda, memasuki kota Makkah dengan tujuan untuk mengenali Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan risalah yang dibawa baginda.  Beliau terus menuju ke Ka’abah  dan duduk di situ sambil memerhatikan orang ramai. Ada di antara mereka didekati oleh Abu Zar untuk bertanyakan tentang Muhammad. Tetapi tiada seorang pun yang mengetahui di mana Muhammad berada.  Pada masa yang sama, Sayyidina Ali memerhatikan Abu Zar. Sayyidina Alimendekati beliau dan bertanya khabar tanpa menyentuh sesuatu mengenai  Islam.  

Abu Zar dilayan oleh Sayyidina Ali dan dijamu makanan. Perkara ini berlangsung selama tiga hari. Setiap kali Sayyidina Ali hendak pulang maka Abu Zar akan bertanyakan tentang Muhammad. Namun Sayyidina Ali tetap tidak menjawab apa-apa. Pada hari ketiga, barulah Sayyidina Ali mengajak Abu Zar ke markaz Arqam bin Abi Arqam. Abu Zar disuruh berjalan di belakang agar tidak membahayakan dirinya. Abu Zar kemudiannya dapat bertemu Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan beriman dengan baginda.

Di sini dapat kita perhatikan cara Sayyidina Ali melakukan ittisal fardhi yang  mengambil masa beberapa hari untuk mengenali hati Abu Zar. Oleh itu mengenali sahsiah orang yang dihubungi merupakan tugas asas dalam ittizal fardhi.

Kedua, ittisal fardhi juga berlaku dalam dakwah Ikhwanul Muslimin.

Seorang pemain kugiran mengenali seorang murabbi Ikhwan. Beliau mengingatkan rakan-rakannya yang lain agar jangan mengadakan hubungan dengan murabbi tersebut. Tetapi salah seorang ahli kugiran itu merasakan bahawa ada sesuatu yang tersirat (ekoran dari peringatan kawannya). Maka pada suatu hari, beliau menggagahkan dirinya untuk bertemu dengan murabbi Ikhwan tadi. Beliau tertarik dengan peribadi murabbi itu. Murabbi itu terus berhubung dengannya dan berbual tanpa menyentuh secara langsung tentang Islam. Beliau diajak minum dan berbincang mengenai dirinya. Akhirnya ahli kugiran itu diberikan Allah Subhanahuwata’ala petunjuk dan hidayah sehingga beliau dapat mengikuti tarbiah dan memutuskan hubungannya dengan kumpulan kugirannya. Beliau kemudiannya menjadi salah seorang mu’azzin di sebuah masjid di Mesir.


Post a Comment