Thursday, December 01, 2016

1 Niat dan sifat-sifat pendakwah







Terdapat beberapa perkara dasar yang perlu diberikan perhatian oleh da’i.

Pendakwah perlu menentukan qasad atau niat yang betul dalam berda’wah dan beramal. Qasad kita dalam berda’wah dan ber‘amal ialah kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا الَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚوَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan keta’atan kepada-Nya dalam (menjalankan) din yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solah dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah din yang lurus.” Al-Bayyinah: 5


Imam Syafi’i menyatakan: “Jika saya berdebat dengan seseorang, maka saya lebih suka sekiranya kebenaran itu dari pihaknya.”

Semasa berdebat Imam Syafi’ tidak bermatlamat untuk mendapatkan kemenangan, tetapi untuk mendapatkan kebenaran. Beliau bersikap seperti ini supaya niat atau qasadnya terkawal.

Para pendakwah perlu memiliki sifat dan budipekerti mulia. Perkara ini selalu kita ulangi agar menjadi malakah pada diri kita. Antaranya: bersifat penyayang, sabar, manis muka, warak, mengelakkan diri daripada ketawa besar sewaktu berdakwah, menjauhkan diri daripada hasad, mengelakkan diri daripada riyak, mengelakkan diri daripada ‘ujub, dan, tidak memandang rendah orang lain.

Menghormati mereka yang terdahulu berada dan terus iltizam di atas jalan dakwah iaitu mereka yang lama dan istiqamah bersama-sama dengan dakwah dan jama’ah.

Para pendakwah perlu faham bahawa Allah Subhanahuwata’ala adalah matlamat dan terlaksananya ‘ubudiyah hanyasanya kepada Allah Subhanahuwata’ala juga adalah matlamat. Manakala jama’ah atau daulah adalah wasilah untuk menuju kepada matlamat itu. Begitu juga segala perkara yang berkaitan dengan pembinaan kekuatan jama’ah dan daulah dikira sebagai wasilah seperti penyusunan tandzim, mengatur strategi, memperolehi kuasa dan seumpamanya. Semua wasilah itu mestilah bertujuan untuk sampai kepada matlamat ‘ubudiyah.

Perlulah dipastikan agar wasilah tidak bertukar menjadi matlamat. Contohnya ialah mendapatkan kuasa. Janganlah keinginan untuk mendapat kuasa itu menjadi matlamat. Bahkan matlamat sebenarnya ialah untuk tegakkan syariat Islam agar lahir ‘ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hakikat ini penting untuk dipegangi dan diyakini agar matlamat sebenarnya tidak hilang di pertengahan jalan. Kealpaan dari sudut ini telah banyak berlaku dalam realiti. Banyak jama’ah hilang matlamat asalnya apabila berkuasa, meskipun di peringkat awalnya menonjolkan matlamat yang jelas.

Berpegang kepada matlamat yang tidak berubah. Yang berubah ialah wasilah mengikut zuruf, tempat dan masa. Namun perubahan wasilah itu pun berpijak di atas dasar-dasar yang tetap.

Kita perlu mengurangkan perselisihan sesama muslim dan dengan orang-orang yang berdakwah di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Eloklah kita mengang­gap bahawa kita hanya berada di satu penjuru daripada penjuru-penjuru Islam.

Hassan Al Banna ada berpesan: Tolong menolong dalam perkara yang kita persetujui, dan maaf bermaafan dalam perkara yang kita berbeza pendapat.

Janganlah memperkecilkan nasihat dan perkataan yang baik. Kita faham bahawa hati manusia ada kuncinya. Yang Maha Mengetahui ialah Allah Subhanahuwata’ala. Kita tidaklah bakhil untuk menyampaikan kali­mah thayyibah atau nasihat yang baik. Kemungkinan nasihat salah seorang daripada kita menjadi kunci kepada hati seseorang. Ke­mungkinan juga ada yang menganggap sesuatu nasihat itu sudah lapuk, tetapi kita tidak tahu kesannya di sisi Allah Subhanahuwata’ala dan di sisi manusia lain.


Oleh: Abu Muhammad - 13/8/95  



Post a Comment