Friday, December 16, 2016

16 Tujuh marhalah dakwah fardhiyah







Petaka Meninggalkan Dakwah

Melalui dakwah, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengangkat mertabat manusia menjadi makhluk yang mulia.  Dakwah telah berjaya menyebarkan kebahagiaan, kedamaian dan ketenteraman yang hakiki. Jejak langkah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diikuti oleh para sahabatnya dan diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Walaupun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah wafat, namun tanggungjawab dakwah tidak berhenti. Tanggungjawab dakwah adalah tanggungjawab kita yang berterusan.

Meninggalkan dakwah mengundang bahaya yang banyak. Yakni, bahaya kepada individu, keluarga, masyarakat dan manusia seluruhnya. Antara bahaya-bahaya meninggalkan dakwah ialah:


Mendapat Dosa

Meninggalkan dakwah bererti meninggalkan kewajipan. Al-quran telah menggariskan betapa tugas dakwah adalah wajib, antaranya:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah (manusia) kepada jalan Rabmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. An Nahl: 125


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. At-Taubah: 71


Kenikmatan Ibadah Terancam

Ada orang mengatakan bahawa yang penting ialah “saya menjadi seorang yang salih dan menjalankan ibadah dengan baik”. Dia tidak mempedulikan kemungkaran yang terjadi, baik di dalam keluarga mahupun masyarakat.  Dia lupa bahawa jika dia tidak mempedulikan urusan dakwah dan membiarkan maksiat bermaharajela, maka apabila tiba gilirannya, ibadah yang dilakukannya akan berdepan dengan rintangan dan masalah. Ini kerana kemaksiatan dan kemungkaran adalah lawan kepada kebajikan dan ibadah.


Tujuh Marhalah dalam Dakwah Fardhiyah (Ittisal Fardi)

Marhalah Pertama: Mengenali Mad’u dan Membina Hubungan


Pada tahap ini kita harus berusaha agar mad’u merasakan bahawa kita mengambil berat tentang mereka. Bertanya khabar di kala mereka tidak ada. Kita belum lagi berbicara secara langsung tentang dakwah, agar hati mereka lebih terbuka dan bersedia untuk menerima apa yang diperkatakan. Pada tahap ini, lagi banyak perhatian yang diberikan kepada mad’u maka akan lebih banyak penerimaan yang akan diperolehi daripada mad’u (InsyaAllah). Langkah-langkahnya adalah:

1)    Mengadakan hubungan silaturrahim.
2)    Berta’aruf dengan mad’u.
3)    Menunjukkan kepadanya bahawa kita kenalnya.
4)    Menunjukkan kepadanya bahawa kita mementingkannya.
5)    Kita menziarahinya di rumahnya dan selalu membawa hadiah.
6)    Memberikan perhatian dan kemesraan kepadanya.
7)    Menghormati dan memuliakannya.
8)    Lakukan pelbagai usaha untuk menariknya.


Marhalah Kedua: Membersihkan Akidah dan Membangkitkan Iman


Pada tahap ini perbicaraan terhadap masalah iman dilakukan secara tidak langsung, secara tabi’i dan seolah-olah tidak sengaja.  Masa-masa tertentu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya seperti ketika melihat seekor burung terbang, melihat serangga dan apa sahaja ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Di kesempatan ini ajaklah mad’u untuk berbicara tentang kekuasaan, keindahan dan keagungan ciptaan Allah Subhanahuwata’ala.

Pada tahap ini diutarakan juga bahawa walau bagaimana hebat manusia namun ia tidak mampu menandingi Allah Subhanahuwata’ala, contohnya saintis yang paling bijak pun tidak mampu untuk menciptakan walau sebiji benih, apatah lagi untuk menumbuhkannya. Mereka mungkin membuat penemuan-penemuan baru tetapi bukan ciptaan baru. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian pada tahap ini ialah:

1)   Menjaga segala pembicaraan dengan baik.
2)   Berbicara tentang iman secara tidak langsung.
3)   Menggunakan segala peluang dan kesempatan untuk dikaitkan dengan betapa kudrat kuasa Allah Subhanahuwata’ala seperti:

a)    Ketika melihat seekor burung sedang terbang.
b)    Ketika melihat seekor serangga sedang melintas lalu.
c)    Ketika melihat pokok kayu atau rumput.
d)    Ketika melihat bagaimana tumbuh-tumbuhan berbeza pada batang, akar, daun, bunga dan baunya.
e)    Kemukakan soalan-soalan  seperti:  Mampukah para saintis dari semua jurusan mencipta sebiji padi? Kemudian kita jelaskan bahawa rahsia hidup adalah hak Allah Subhanahuwata’ala.

4)   Memjelaskan bahawa mencipta dan menghidupkan  itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. FirmanNya:

 وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ ۚ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ ۚ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ
Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kokoh tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. An-Naml: 88


5)   Memberi misalan-misalan yang menarik dan menawan hati. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

هَٰذَا خَلْقُ اللَّهِ فَأَرُونِي مَاذَا خَلَقَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ ۚ بَلِ الظَّالِمُونَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata. Luqman: 11


6)   Mengadakan perbincangan lanjut dan berulang-ulang mengenai penciptaan Allah Subhanahuwata’ala.
7)   Mengajak dia  memikirkan tentang makhluk Allah Subhanahuwata’ala di mana-mana sahaja . 
8)   Membawa dia memikirkan bahawa penciptaan Allah Subhanahuwata’ala bukanlah sia-sia.
9)   Membawa dia mengingati kurniaan Allah Subhanahuwata’ala untuk orang-orang yang beriman.
10) Membawa dia mengingati akhirat.
11) Mendorong dia berdo’a kepada Allah Subhanahuwata’ala  supaya menjauhkan diri daripada neraka (‘Azab Allah Subhanahuwata’ala).
12) Kita kenangkan kepadanya kemuliaan yang telah dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala terhadap manusia. Malangnya banyak manusia mensia-siakannya.
13) Manusia banyak melayan tuntutan jasmani.  Mereka tidak melayan dan tidak memberi perhatian kepada rohani dan akidah.
14) Dengan kita membawa dan menyentuh sedikit tentang iman dan akidah Islam, semoga dia mula sedar dan iman mula bertapak.
15) Pada tahap ini, mad’u dibimbing agar:

a)    Bertambah kagum dan memuji Allah Subhanahuwata’ala:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Rab kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami daripada siksa neraka. Ali 'Imran: 191


b)  Bermulalah hatinya itu hidup dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala.
c)  Dia bersedia untuk beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan hari akhirat.
d)  Dia mulai ingin memahami tugas, tanggungjawab dan tujuan hidup.
e)  Dia ingin tahu dengan jelas akan tujuan dia diciptakan (bahawa manusia tidaklah dijadikan dengan sia-sia, bahkan adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).
f)   Dia inginkan akidah salimah (akidah yang sejahtera) dan benar.  Kebahagiaan di akhirat bergantung kepada akidah yang salim.
g)  Dia rasa hanya dengan bertaubat dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja akan dapat menyelamatkannya.
h)  Dia mula tertarik dan mudah mengikut ajaran-ajaran Islam dengan penuh iltizam.


Marhalah Ketiga: Mengislahkan Akhlak

  
Pada tahap ini kita membantu mad’u memperbaiki akhlaknya dengan memperkenal atau mendedahkan mereka kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ketaatan kepada  Allah Subhanahuwata’ala dan ibadah-ibadah yang diwajibkan.

Juga, membantu mad’u melatih dan membiasakan diri mereka dalam ketaatan dan disiplin melaksanakan ibadah, menjauhkan diri daripada segala kemaksiatan dan menghiasi diri dengan akhlak Islamiah. Langkah-langkahnya ialah:

1)   Menolongnya dan memperkenalkannya akan urusan dinnya.

2)   Menolongnya menyelesaikan permasalahan mentaati Allah Subhanahuwata’ala dalam menjalankan ibadah-ibadah yang ditentukan.

3)   Dia dibekalkan dengan buku-buku yang mudah baginya, yang menyentuh permasalahan:
a)    akidah
b)    ibadah
c)    akhlak
d)    sejarah Islam (sirah)
e)    lain-lain yang bersesuaian.

4)   Dia dibawa ke majlis ilmu:
a)    ceramah islam
b)    nasihat ulama yang salih

5)   Mengajak dia berkenalan dengan orang-orang yang salih dan ikhlas, menjauhkannya daripada orang-orang  jahat.

6)   Sentiasa  memimpin dia kepada suasana yang baik.

7)   Kita terus memperhatikan tindak-tanduknya (keperibadian Islamnya).

8)   Jangan kita biarkan dia tanpa bimbingan dan pertolongan, kerana ditakuti dia lemah dan futur.

9)   Pada tahap ini, mad’u dibimbing agar:

a)    Dia beramal dengan segala perkara yang baru dikenalinya dari hukum-hukum syariat Islam.
b)    Dia menggabungkan dirinya didalam perlaksanaan ibadat dan menjauhkan dirinya dari segala maksiat.
c)    Dia menghiasi dirinya dengan akhlak Islam.
d)    Kita nampak peribadi Islamnya mula tegap, kukuh, mantap dan tidak mudah goyang


Marhalah Keempat: Menghayati Hidup Beribadah yang Syumul


Diperjelaskan kepada mad’u bahawa ibadah tidak terbatas kepada solah, puasa, zakat dan haji sahaja. Ibadah merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadah, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Ibadah mestilah memenuhi dua syarat utama iaitu niat yang benar dan menepati kehendak syarak.

Pada tahap ini kita lihat dia akan merasa terikat dalam seluruh kegiatan hidupnya, gerak-gerinya dan diamnya dengan syariat Allah Subhanahuwata’ala.  Dunia menjadi mihrab dan tempat ibadah yang besar. Di atas dunia kita melaksanakan amal dengan niat yang mulia dan cara yang betul. Langkah-langkah di marhalah ini ialah:

1)   Mad’u perlu mendapat penjelasan tentang pengertian ibadah yang syumul (bukan juz-i) dengan cara:

a)    Menjelaskan makna ibadah bersumberkan al-Quran dan al-hadis.
b)    Menjelaskan pengertian-pengertian yang terdapat di dalam tafsiran-tafsiran ulama muktabar.
c)    Menjelaskan fungsi ibadah dalam kehidupan dengan mempraktikkan Islam sepenuhnya.

2)   Memperbetulkan ibadah dengan mengawasi:

a)    niat yang semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala.
b)    cara melaksanakannya yang sesuai dengan syariat Islam.

3)   Mad’u difaham dan disedarkan bahawa selagimana niat ditentukan kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka setiap amalan akan dikira sebagai ibadah, selagimana amalan itu tidak haram menurut Islam.

4)   Amalan-amalan kita adalah sebagai alat untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala yang menjadikan kita khalifah di muka bumi ini.

5)   Ma’du dibawa untuk berfikir tentang kesan niat yang betul terhadap amalan-amalan harian, seperti:

a)   Makan minum adalah bertujuan untuk mendapat tenaga agar dapat mentaati Allah Subhanahuwata’ala atau beribadah  kepadaNya. Dengan ini seseorang itu akan mendapat pahala di sisi Allah Subhanahuwata’ala.
b)   Mencari rezeki dengan niat yang betul akan menjadi ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
c)   Kita akan mendapat pahala dari segala usaha dan harta yang digunakan untuk membangunkan Islam. 
d)   Kita akan mendapat pahala dari masa yang diberikan untuk kemajuan Islam.
e)   Kita akan mendapat pahala jika berkorban untuk mencapai kemahiran ilmu iktisas demi untuk kepentingan Islam dan umat Islam.
f)    Seterusnya dalam semua aktiviti hidup diniatkan untuk Islam dan demi mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, seperti:

i)     mencari rezeki agar boleh mengeluarkan zakat, sadaqah dan hadiah.
ii)    berkahwin untuk mendirikan rumah tangga muslim kerana rumah tangga muslim adalah tiang yang kuat  untuk membangunkan Daulah Islamiah.
iii)   bersenam, riadah dan memelihara kesihatan agar mampu dan kuat memikul tugas Islam dan tanggungjawabnya menggerakkan dakwah Islam.

g)   Membawa mad’u berfikir bahawa semua kerja hendaklah sesuai dengan syariat Allah Subhanahuwata’ala. Adalah tidak menasabah bagi seseorang yang  makan dan mendapat rezeki dengan cara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, bertujuan untuk  menguatkan taqwa dan mentaati Allah Subhanahuwata’ala.


Marhalah Kelima: Menghayati Hidup dan Memahami Pengertian Ummah


Pada tahap ini diperjelaskan kepada mad’u bahawa din Islam adalah din jama’i. Islam adalah sistem kehidupan, hukum, perundangan, kenegaraan, jihad dan kesatuan ummat. Pemahaman terhadap perkara ini akan mendorong beliau bersedia memikul segala kewajipan dan tanggungjawab semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala agar masyarakat berdiri di atas prinsip-prinsip Islam dalam segala aspek kehidupan. Maka:

1)   Beliau dijelaskan bahawa tidak mencukupi dengan hanya menjadi muslim untuk diri sendiri sahaja.

2)   Beliau perlu sedar bahawa Islam adalah merangkumi urusan-urusan jama’ah dan masyarakat. Islam  merupakan sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta penuh dengan nikmat dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ 
Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu deenmu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redha Islam itu menjadi deen bagimu. Al-Maidah: 3


3)   Beliau mestilah dapat merasai kesempurnaan dan segala nikmat Allah Subhanahuwata’ala ini. Rasa hatinya ditingkatkan dengan kefahaman, kesedaran dan keyakinan.

4)   Di atas dasar rasa hati sebegini, maka dia mula faham bahawa dia hendaklah terlibat dengan berusaha, berjuang dan menyampaikan berita gembira dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala kepada manusia lain.

5)   Dia merasai bahawa dia tidak boleh hidup sebagai seorang muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna jika dia mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimnya yang lain dan tidak memperdulikan segala apa yang terjadi terhadap mereka - segala gangguan, fitnah dan serangan musuh terhadap mereka.  Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala datang dari berbagai sudut dan ceruk rantau bumi ini untuk menyerang umat Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انْتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim. Al-Baqarah: 193

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من لم يهتم للمسلمين فليس منهم

Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin, maka dia bukanlah dari golongan mereka.


6)   Dia mula merasai bahawa kita adalah sahabat dia. Tugas dan tanggungjawab kita adalah tugas dan tanggungjawab dia. 

7)   Dia mula merasai tanggungjawab  umum terhadap Islam dan kaum muslimin.

8)   Dia mula beransur-ansur keluar daripada pengasingan sekularnya, memecahkan tempurungnya dan menghapuskan kongkongannya.

9)   Seterusnya dia dapat hidup di dalam Islam secara jama’i.

10) Pada tahap ini dia perlu diperjelaskan tentang tuntutan dakwah Islamiah pada masakini, iaitu:

a)   wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah Islamiah.

b)   wajib mengetahui tipu helah musuh Islam yang sentiasa ingin menghancurkan umat Islam.

c)   wajib mengetahui tentang bencana yang menimpa umat Islam hari ini.

d)   wajib mengetahui tentang perpecahan dalam kalangan umat Islam.

e)   wajib sedar bahawa anak-anak orang Islam telah lama dibentuk mengikut cara yang bukan Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem hidup bukan Islam.

f)    wajib sedar bahawa musuh-musuh Islam telah lama merosakkan kehormatan  orang Islam dan wanitanya.

g)   wajib sedar bahawa hanya Daulah Islamiah sahaja yang mampu menyerang balas sepenuhnya anasir-anasir jahat  dan musuh-musuh Islam. Hanya daulah yang mampu menyatupadukan umat dan melaksanakan ajaran Islam yang lengkap. (Konsep Daulah Islamiah ialah bercontohkan Daulah Islamiah yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).

h)   tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada umarak (pemerintah) dan ulama sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab bagi setiap lelaki dan wanita  Islam di zaman kebangkitan dakwah ini.

i)    seluruh muslimin, di mana jua, akan menanggung dosa besar, sekiranya mereka tidak berusaha dan bekerja untuk membangunkan Daulah Islamiah.

j)    semoga dia mula berfikir  dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk menunaikan amanah dan masuliyyah ini serta melaksanakan segala tuntutannya.

Marhalah Keenam: Memahami Keperluan Berjama’ah

  
Pada tahap ini, kita menjelaskan kepada mad’u bahawa semua kewajipan yang dinyatakan di atas tidak mungkin dapat dilaksanakan secara individu. Bahkan, sebuah jama’ah diperlukan untuk menggabungkan semua potensi dan kekuatan bagi memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu mad’u dibimbing agar:

1)   Memahami hahawa kewajipan membangunkan Islam tidak dapat dilaksanakan secara fardhi (secara individu).

2)   Memahami bahawa jama’ah adalah satu kemestian demi untuk menyatupadukan segala usaha fardhi. Mad’u perlu memahami usaha secara jama’i adalah (berorganisasi) berdasarkan kaedah Islam yang terkenal:

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
Bahawa sesuatu yang wajib tidak akan terlaksana melainkan terlebih dahulu melalui suatu jalan tertentu, maka suatu jalan yang tertentu itu juga menjadi wajib. 


Membangunkan daulah Islam adalah wajib. Daulah Islamiah tidak dapat dibangunkan melainkan terlebih dahulu diwujudkan jama’ah Islam yang kuat, maka mewujudkan jama’ah Islam yang kuat itu adalah wajib.

Bagaimana mungkin kerja Islam yang besar dapat dilakukan secara individu? Bagaimana mungkin syariat Allah Subhanahuwata’ala akan terlaksana kalau tidak dibangunkan satu ummah yang bersedia untuk melaksanakannya? Ini adalah persoalan-persoalan pokok. 

Banyak dalam kalangan orang Islam sudah tidak menyedari keperluan untuk menggabungkan diri di dalam jama’ah Islam dalam rangka untuk menegakkan syariat Allah Subhanahuwata’ala. Mereka telah ditipu oleh berbagai-bagai helah musuh dan digoda dengan berbagai tarikan musuh.  Mereka takut untuk bergabung dengan jama’ah Islam kerana mereka berpendapat itu adalah satu bebanan hidup. 

Bagi jiwa yang sedar, penggabungan ke dalam jama’ah Islam adalah untuk menyahut  panggilan Allah Subhanahuwata’ala, sebagai wasilah untuk memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahuwata’ala dan sebagai usaha untuk mendapatkan ganjaran yang hakiki daripada Allah Subhanahuwata’ala.

3)  Sedar bahawa kebanyakan orang Islam kini lebih mengutamakan kesenangan, kerehatan dan keselesaan.  Hati mereka tidak mahu bertembung dengan musuh Allah Subhanahuwata’ala atau musuh Islam. Kebanyakan mereka tidak sannggup berhadapan dengan gangguan-gangguan musuh.

4)  Sedar bahawa kebanyakan orang Islam takut digugat oleh musuh Islam jika mereka berada di dalam jama’ah Islam.

5)  Sedar  betapa besarnya tugas dan tanggungjawab  yang mesti dipikul oleh setiap muslim terhadap  Islam.

6)  Sedar bahawa tugas dan tanggungjawab Islam adalah terlalu besar dan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa jama’ah.

7)  Faham, sedar dan yakin betapa besar pula pahala dan faedah yang akan diperolehi daripada usaha-usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam bersama-sama jama’ah.


Marhalah Ketujuh: Apakah Jama’ah Islam yang Sahih
  

Tahap ini memang rumit. Ia memerlukan hikmah, kekuatan alasan dan penjelasan yang meyakinkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan terdapat banyak jama’ah yang mengajak agar bergabung dengan mereka untuk mencapai apa yang dikatakan ’matlamat Islam’. Pada tahap ini:

1)  Mad’u mula bertanya tentang jama’ah Islam. Marhalah ini penting dan cukup sensitif. Ia memerlukan hikmah (kebijaksanaan).  Penerangan mestilah jitu dan memuaskan.

2)  Mad’u akan nampak banyak jama’ah yang bergerak. Masing-masing menyeru para pemuda-pemudi menyertainya. Masing-masing ada cara tersendiri untuk menarik para pemuda-pemudi kepadanya.

3)  Mad’u perlu  faham bahawa urusan amal Islami adalah urusan yang asasi. Dia mestilah pandai membuat pilihan dan keputusan untuk memastikan keselamatan bagi hidupnya.

4)  Dia tidak perlu tergesa-gesa untuk masuk dan terus bekerjasama dengan mana-mana jama’ah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam.

5)  Dia mestilah sentiasa ingat bahawa dia hanya mempunyai satu umur dan satu jiwa sahaja.

6)  Dia perlu mengkaji dan menimbang semasak-masaknya sehingga nyata jama’ah Islam yang hendak dimasukinya di sepanjang hidupnya itu adalah jama’ah  Islam yang sebenar.

7)  Dia hendaklah mengikuti jalan dan madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ialah madrasah yang mengasaskan akidah ke dalam jiwa dan kemudiannya mendidik manusia dengan al-Qur’an. Dari madrasah ini terbentuklah para penjuang akidah (dari kalangan para sahabat lelaki dan wanita).

8)  Dia wajib berkeyakinan bahawa akidah Islam menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa para sahabat. Inilah asas kehidupan mereka. Para sahabat sanggup mengorbankan waktu, usaha, kesihatan, fikiran, harta, malah nyawa mereka untuk terus mempertahankan akidah Islam.

9)  Dia wajib berkeyakinan bahawa para sahabat tetap berpegang teguh dengan  akidah Islam dan rela menanggung segala gangguan dan penyiksaan. Mereka  tidak pernah undur walau apapun yang akan terjadi terhadap diri mereka.

10) Dia melihat bahawa  para sahabat terus menyebarkan dakwah Islam, mempertahankannya dan berjihad  di jalannya dengan harta dan jiwa mereka.

11) Dia berkeyakinan bahawa para sahabat telah menjadi tiang dan teras yang kuat bagi Daulah Islamiah yang pertama.

12) Dia dapat merasai bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mempersaudarakan  para sahabat dan menyusun kehidupan mereka.

13) Dia melihat bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengikat janji setia dengan mereka untuk sama-sama membela din dan segala apa yang menjadi hak mereka.

14) Dia faham dengan jelas bahawa kekuatan akidah adalah kekuatan yang pertama, diikuti dengan kekuatan kesatuan dan akhirnya kekuatan tangan/ senjata. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. Al-Hajj: 39


15) Dia berkeyakinan bahawa telah berlaku proses pembentukan asas yang kuat dalam kalangan para sahabat walaupun sedikit bilangannya.

16) Dia semakin jelas dan yakin bahawa mana-mana jama’ah yang tidak mengutamakan tarbiah dan penyatuan tetapi hanya mempergunakan kekuatan yang lain (seperti jumlah dan laungan-laungan), adalah jama’ah yang memperjudikan nasib dan usahanya. Keadaan jama’ah yang mengabaikan tarbiah akan membahayakan amal Islami.

17) Dia berkeyakinan bahawa usaha-usaha dakwah tanpa tarbiah yang betul akan menjadi satu kerugian terhadap amal Islami. Jama’ah-jama’ah yang bergerak melalui parti politik, yang mengabaikan tarbiah, sebenarnya hanya merupakan satu pertaruhan, malah merupakan satu kerugian terhadap amal Islami, walaupun mungkin ia berkembang dan membesar. Usaha-usaha sebegini tidak mantap dan tidak berkesan untuk mengasaskan Islam.

18) Dia berkeyakinan bahawa pembinaan Islam mestilah didahului dari asas, bukan dari puncak. Bangunan yang besar dan tinggi memerlukan asas yang dalam dan luas. Iman yang mendalam sahajalah yang mampu menjadi asas bagi bangunan Islam yang besar dan tinggi.

19) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah pilihannya adalah jama’ah yang berpegang dengan Islam yang syumul (sempurna dan menyeluruh). Islam yang meliputi akidah, ibadah, akhlak, undang-undang, perlembagaan, siasah, jihad dan segala aspek kehidupan yang lain.

20) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah pilihannya ialah jama’ah yang alamiah, mempunyai banyak pengalaman dan mengalami berbagai ujian. Itulah jama’ah yang dipercayainya.  Jama’ah itu ialah jama’ah yang teratur rapi (munazzamah) di dalam satu ikatan yang teguh dan perpaduan yang utuh. Segala perancangannya penuh perincian. Bukan jama’ah seperti bidan terjun (irtijal) dan terdedah kepada bibit-bibit perpecahan.

21) Seterusnya, jama’ah pilihannya itu mengandungi:

a)    iman yang mendalam
b)    penyusunan yang rapi
c)    jihad yang berterusan

Dan juga memiliki:

a)    manhaj tarbiah Islamiah harakiah
b)    qudwah hasanah
c)    bi’ah salihah

Maka mad’u kita itu sudah bersedia untuk dimasukkan ke dalam halaqah. Dia dimasukkan berdasarkan kepada kefahaman, kesedaran, keyakinan dan penglibatannya yang terus menerus. Dia sudah bersedia untuk taat dan patuh dengan ajaran Islam.  Dia merupakan kekuatan yang telah diproses dan diuji. Dia akan menyelesaikan masalah dan bukan menimbulkan masalah.


Sifat-Sifat Da’i Demi Menjayakan Dakwah Fardhiyah

1)   Paling utama adalah ikhlas kepada Allah subhanahuwata’ala. Tanpa keikhlasan ini segala amalan akan sia-sia.

2)   Merasai bahawa tugas dakwah amat besar. Ia memerlukan perhatian yang lebih dan sentiasa mengharapkan balasan daripada Allah Subhanahuwata’ala.

3)   Bersikap bijak, berhati-hati memilih teknik pendekatan, memberi nasihat yang baik dan berbahas dengan cara yang ahsan (cara yang terbaik).

4)   Bersikap lembut, berakhlak mulia, bersabar, dapat menahan diri dan tidak emosional terhadap segala kesulitan di jalan dakwah.  Sentiasa menyerah diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Menjadikan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan orang-orang yang mengikuti baginda sebagai contoh ikutan.

5)   Mengenali masyarakatnya secara menyeluruh. Mengetahui segala permasalahan dan aliran yang ada dalam masyarakat. Berusaha untuk memahami realiti orang yang didakwahkan.

6)   Seorang da’i mesti memiliki pemahaman terhadap din dengan mendalam. Sentiasa menimba ilmu agar pemberiannya kepada mad’u lebih sempurna. Kata pepatah Arab (bermaksud):


”Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan sesuatu”.


7)   Hendaklah mengkaji sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda yang mulia. Juga mengkaji sejarah Islam secara mendalam agar dapat dijadikan bekalan ketika berhadapan dengan permasalahan di jalan dakwah.

8)   Hendaklah menghafal al-quran sesuai dengan kemampuannya agar dapat digunakan sebagai dasar-dasar dakwah. Kaedah dakwah dan penceritaan berdasarkan al-quran mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa manusia.

9)  Dalam dakwah dan perbicaraan jangan hanya bersifat rasional sahaja. Bahkan perlu mempunyai unsur-unsur emosi. Ini kerana kekuatan sentuhan emosi sering dapat memberi kesan lebih mendalam kepada jiwa manusia melebihi sentuhan akal.


Rujukan utama: Mustafa Masyhur, Dakwah Fardhiyah.

Post a Comment