Wednesday, December 14, 2016

14 Dakwah ‘ammah







Dakwah ‘ammah ialah dakwah yang disampaikan kepada umum dengan cara pidato, ceramah, seminar dan kuliah-kuliah pelajaran. Ia dipersembahkan dengan kaedah yang baik dan bersungguh-sungguh supaya ia benar-benar dapat menggerakkan mental dan perasaan serta menyentuh pintu hati dan meresap ke dalam hati manusia. Ini kerana hati adalah umpama ‘raja’. Apabila baik dan sihat hati maka akan baik dan sihatlah seluruh tubuh dan tenteranya.

Amir bin Qais pernah berkata:

“Ucapan yang lahir dari hati maka ia akan menusuk ke hati. Andaikata ia hanya keluar dari lidah, maka ia tidak melebihi telinga”.

Saidina Hasan Radhiallahu ‘anhu pernah mendengar seorang berpidato dan memberi nasihat kepada orang ramai, tetapi nasihat itu tidak masuk ke dalam hatinya. Lalu beliau berkata kepada orang itu:

Apakah di dalam hati anda ada keburukan atau di dalam hati saya?

Pidato, ceramah, seminar dan kuliah-kuliah ini hendaklah disampaikan dengan:

1)    Nada suara yang baik
2)    Bahasa yang menarik
3)    Berwaspada dan mera’ikan kemampuan sasaran yang terdiri daripada pelbagai peringkat manusia.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyarankan supaya kita menyampaikan Islam sesuai dengan kadar kemampuan akal manusia. Lebih-lebih lagi para da’i menyeru dan mengajak manusia kepada:

1)    Matlamat yang sungguh mulia iaitu mardhatillah
2)    Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala
3)    Mendokong sahsiah Islamiah
4)    Membangunkan masyarakat Islam
Kepelbagaian Tajuk

Sebaik-baik ceramah, kuliah dan pidato hendaklah ada follow-upnya dalam bentuk bersiri dengan tajuk-tajuk yang dipelbagaikan merangkumi tauhid, fiqh, ibadah, tafsir, hadis, sirah, mu’amalah dan lain-lain. Dakwah ‘ammah tidaklah semata-mata memperkatakan hukum-hakam atau membangkitkan semangat. Dakwah ‘ammah perlulah mencontohi al-quran yang mempelbagaikan tajuk. Namun semuanya dihubungkan dengan aqidah dan Islam itu sendiri.

Tujuan kepelbagaian tajuk ini ialah supaya sasaran dakwah mendapat gambaran atau konsep Islam yang jelas, merasa mulia dengannya dan ingin membangun serta menjulangnya. Dakwah ‘ammah hendaklah dapat menimbulkan rasa cinta yang dapat memberi kesan yang mendalam di hati bahawa masa depan Islam tetap bersinar dan menjauhi sama sekali rasa putus asa.


Teknik yang Baik

Antara teknik yang baik yang sentiasa dapat meninggalkan kesan di hati manusia ialah al-iqnaq al-‘aqidi. Iaitu dimulakan dengan membuktikan wujudnya Allah Subhanahuwata’ala dan menerang hakikat perutusan kita ke dunia ini (Dari mana kita datang? Untuk apa kita didatangkan ke dunia ini? Dan ke manakah akhirnya kesudahan kita?).

Seterusnya membuktikan dan menerangkan bahawa Islam adalah sistem hidup yang syumul dan melaksanakan kehidupan secara Islam adalah wajib ke atas setiap muslim. Dakwah yang disampaikan hendaklah diteliti dan diawasi supaya tidak sahaja dapat memenuhi mental manusia dengan ilmu pengetahuan bahkan hendaklah wujud ikatan antara ilmu dan amal agar manusia beramal dengan Islam.


Dakwah ‘Ammah Disusuli dengan Dakwah Fardhiyah

Para da’i hendaklah memerhatikan tanda-tanda perhatian dan minat manusia kepada Islam. Orang-orang yang berminat dan memberikan perhatian yang lebih kepada apa yang disampaikan hendaklah terus dihubungi. Mereka dijemput atau diajak bersama-sama untuk ditingkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan terhadap Islam. Mereka dididik untuk bersama-sama menjadi da’i yang menjalankan dakwah.

Kata As-Syahid Hasan Al-Banna:

“Da’i berdakwah, di dalam masa yang sama memilih dan mendidik. Di waktu yang sama juga berkerja dan melaksanakannya. Tidak diragui lagi bahawa matlamat akhir atau natijah yang sempurna tidak mungkin lahir kecuali sesudah dakwah tersebar luas dan ramainya pembantu serta rapinya pembentukan”.


Oleh: Ustaz Abdul Hadi bin Othman  

Post a Comment