Wednesday, March 23, 2016

Tradisi pengurusan kelahiran dan kematian pelbagai etnik di Malaysia







1.0       Pengenalan

Kepelbagaian bangsa Malaysia ialah memiliki pelbagai kaum dan adat. Kepentingan adat resam dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

Bagi kaum Melayu, terdapat pelbagai pantang larang ketika mengandung dan selepas melahirkan bayi. Bagi kematian juga, kaum Melayu mempunyai pelbagai adat dan tatacara penyempurnaan mayat. Selain kaum Melayu, kaum Cina juga mempunyai adat dan pantang larang ketika seseorang wanita mengandung sehingga melahirkan anak. Pada upacara kematian juga, kaum Cina mempunyai pantang larang serta adat-adat yang perlu dilakukan. Kaum India juga mempunyai pelbagai adat dan pantang larang yang harus dilakukan semasa menunggu kelahiran bayi sehingga kelahiran. Pada upacara kematian juga, pelbagai adat dan cara-cara yang perlu dilakukan pada si mati.


1.1       Objektif Kajian

Objektif bagi kajian ini ialah mengenali kepelbagaian tradisi masyarakat pelbagai etnik, mengenal pasti tahap kefahaman masyarakat terhadap pengurusan kelahiran dan kematian serta cadangan untuk meningkatkan kefahaman terhadap tradisi kelahiran dan kematian yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia.


2.0       Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan  soal selidik untuk mendapatkan maklumat. Kaedah ini dapat mengetahui pandangan responden terhadap soalan yang dikemukakan oleh penyelidik. Borang soal selidik diberi sendiri oleh penyelidik. Kaedah ini juga adalah satu cara ringkas untuk mendapatkan maklumat. Maklumat yang terdapat dari borang soal selidik itu telah menjadi pengumpulan data kajian.


3.0       Hasil Kajian

3.1       Tradisi Kelahiran Pelbagai Kaum

3.1.1    Melayu   

Bagi masyarakat Melayu, adat melenggang perut ini masih diamalkan oleh sesetengah masyarakat Melayu yang berpegang teguh kepada adat khususnya di kawasan pedalaman. Adat melenggang perut dilakukan bagi bakal ibu yang mengandung anak pertama atau anak sulung ketika kandungan itu berusia tujuh bulan. Adat ini bertujuan memelihara anak dalam kandungan dan dipercayai sempurna sifatnya apabila lahir kelak. Jika amalan melenggang perut tidak dilakukan dipercayai akan memudaratkan ibu yang mengandung. Kemungkinan ibu akan mengalami kesulitan semasa bersalin.
      
Dari sudut lain pula, amalan melenggang perut adalah sebagai langkah menempah bidan bagi ibu mengandung yang hendak melahirkan anak di rumah. Dengan cara ini, seseorang bidan yang telah ditempah bertanggungjawab terhadap keselamatan ibu mengandung semasa bersalin nanti. Bagi menjalankan upacara ini beberapa bahan perlu disediakan. Antara bahan-bahan tersebut ialah anak kelapa yang baru tumbuh, anak tebu yang baru tumbuh, anak pisang yang baru tumbuh, air sebuyung, mayang pinang, kain batik, tepung tawar, bertih, limau nipis, kelapa muda dan kelapa tua, bunga tujuh jenis seperti bunga melur, kenanga, bunga cina dan lain-lain, sirih sepiak, pucuk kelapa muda dan benang mentah.
      
Adat melenggang perut sebaik-baiknya hendaklah dilakukan pada waktu pagi iaitu pada hari Jumaat. Waktu yang baik untuk melaksanakan upacara ini ialah antara jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari, sebelum masuk waktu zuhur. Tempahan bidan hendaklah diberitahu terlebih dahulu bagi memberi kesempatan kepada bidan membuat persediaan yang diperlukan untuk upacara melenggang perut itu.
      
Setelah ditentukan harinya, langkah pertama yang dilakukan ialah menggolek buah kelapa di atas perut ibu mengandung. Kelapa itu mestilah dibuang sabutnya dan dikupas licin. Kelapa itu akan digolekkan pada perut ibu mengandung, bermula dari kanan ke kiri. Perlakuan ini dilakukan oleh bidan dan hanya disaksikan oleh ahli keluarga yang terdekat sahaja.  
   
Setelah selesai mandi bunga, ibu mengandung akan diberi persalinan. Apabila selesai menukar pakaian, ibu mengandung disuruh berlunjur lurus (kaki dirapatkan) dan bidan akan melaksanakan upacara menghalau dan menjauhkan kuasa ghaib. Mayang pinang muda yang masih di dalam kelopak dijampi. Bidan berdiri tegak di belakang ke paha ibu mengandung sambil menjampi mayang. Kemudian, mayang akan dipukul di atas tangan kiri bidan tersebut sehingga pecah kelopaknya. Upacara ini dilaksanakan kerana dipercayai si ibu akan bersalin sebagaimana mudahnya mayang pecah.
   
Sebaik sahaja upacara tepuk mayang selesai, kelapa muda akan dibelah. Air serta isi kelapa tersebut diberi minum kepada ibu mengandung. Kelapa yang tua pula dibuat minyak. Minyak kelapa ini digunakan untuk menguat bakal ibu tersebut. Tujuan membelah kelapa ini hampir sama dengan upacara tepuk mayang tadi.
     
Perkataan 'pelepas' bermaksud adat menghalau atau menjauhkan penunggu dan memuhihkan semangat bakal ibu tersebut. Di antara peralatan yang diperlukan ialah benang, daun kelapa, sirih sepiak dan kemenyan. Bidan akan membuat lingkaran simpul lepas daripada daun kelapa. Kemenyan pula akan dibakar, manakala sirih dan benang akan diletakkan di dalam piring. Bidan akan menjampi dan simpulan daun kelapa tadi dileraikan. Apabila simpulan tersebut dililitkan pada tengkuk (bukan lilit mati) ia akan ditarik pada puncanya. Apabila upacara pelepas selesai, tuan rumah akan mengadakan sedikit jamuan  kepada para tetamu yang hadir dalam upacara tersebut. Kelazimannya jamuan yang diadakan ialah pulut kuning atau jamuan nasi. Apabila selesai jamuan tersebut, maka berakhirlah upacara melenggang perut.

3.1.2    Cina 

Pelbagai adat resam dan pantang larang tertentu diamalkan oleh masyarakat Cina dalam aspek ini dan ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung dan selepas lahir. Dalam masyarakat Cina, ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.
     
Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung. Antaranya mereka tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Di samping itu mereka juga digalakkan bekerja bagi memudahkan proses bersalin. Sewaktu mengandung sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai.
        
Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang “tajam” seperti nanas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Bagi menentukan sam ada kandungan itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang di kandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.
  
Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.
      
Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin di samping menguatkan semula tenaga.
       
Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu. Masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut. Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.
    
Nama orang Cina terdiri dari tiga perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi dalam kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna, unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir. Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan. Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur yin dan yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, sam ada akan ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan. Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa merujuk kepada kitab-kitab tertentu.

3.1.3    India   

Kelahiran anak juga merupakan suatu peristiwa yang penting dalam kalangan kaum India. Setelah bayi itu dilahirkan, si bapa akan memberitahu saudara mara dan sahabat handai tentang kelahiran tersebut secara lisan atau melalui sura . Pada masa kini, banyak lagi alat komunikasi yang boleh digunakan. Selama enam belas hari, bermula bayi dilahirkan, keluarga itu dianggap tidak suci. Suatu upacara diadakan pada hari yang keenam belas untuk merasmikan penamaan anak itu. Pada hari itu, rumah dan buaian dihiasi dan kenduri khas diadakan untuk para jemputan. Nama yang akan diberi kepada bayi itu biasanya dipilih dengan teliti setelah merujuk kepada takwim Hindu dan menentukan bintang hari kelahirannya. Nama yang diberikan kepada bayi itu bermula dengan huruf yang bersesuaian dengan bintang tersebut. Waktu memberi nama, bayi itu dipangku oleh orang-orang tua bergilir-gilir dengan iringan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kaum wanita. Saudara mara yang datang biasanya menghadiahkan gelang tangan dan gelang kaki.  Pada suatu hari yang sesuai (misalnya hari yang ketiga puluh) bayi itu dibawa ke rumah berhala yang mana satu majlis kesyukuran dan doa selamat diadakan.
       
3.1.4    Iban   

Kaum Iban banyak mengamalkan pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang. Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja. Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak. Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah. Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan. Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar.Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh. Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan.

3.1.5    Bajau

Adat kelahiran masyarakat Bajau pula ialah sewaktu mengandung,terdapat beberapa adat yang dijalankan antaranya ialah seperti berpantang. Bagi mengelakkan bahaya sewaktu mengandung, wanita tersebut perlu menjalani beberapa pantang larang tertentu.Ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya serta kandungan di samping memudahkan proses kelahiran kelak. Antara pantang larang tersebut ialah wanita hamil tidak boleh berjalan malam kerana dikhuatiri akan diganggu oleh makhluk halus, wanita hamil juga tidak boleh meminum atau mandi dengan air hujan yang jatuh dari bumbung kerana dibimbangi tembuni akan terus mati terutama bagi mereka yang mengandung sulung. Semasa bersalin pula, apabila sudah tiba masanya, bidan akan segera dipanggil dan peralatan tertentu turut disediakan. Adakalanya di bawah rumah tersebut, duri dan benda-benda tajam akan diletakkan bagi mengelakkan gangguan makhluk halus terhadap si ibu dan bayi. Selepas kelahiran, si ibu akan sekali lagi menjalani beberapa pantang larang. Antaranya ialah si ibu harus memakai sarung yang berwarna gelap, biasanya hitam kerana warna yang terang tidak baik untuk kesihatan mata bayi.

3.2       Tradisi Kematian Pelbagai Kaum

3.2.1    Melayu

Bagi kebanyakan masyarakat Melayu, wajib bagi mereka menuruti kaedah pengkebumian berasaskan garis panduan al-Quran dan as-Sunnah dan diselitkan dengan sedikit adat-adat kemelayuaan. Pertamanya,semasa berlakunya kematian, keluarga si mati akan menghebahkan kematian kepada imam atau siak yang berada di masjid seterusnya masyarakat sekitar. Hal ini bertujuan mendapatkan pertolongan daripada orang yang lebih arif untuk menguruskan jenazah si mati. Di samping itu,untuk menghebahkan kematian si mati.
      
Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar. Tambahan pula, semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin.
           
Kemudian, mayat akan dibersihkan melalui upacara mandi wajib (kecuali mati syahid). Proses memandikan jenazah hanya akan dilaksanakan oleh kaum sejantina si mati. Biasanya daripada kalangan keluarga si mati itu sendiri. Ianya meliputi membersihkan seluruh bahagian badan si mati menggunakan kapur barus dan mengeluarkan sisa-sisa perkumuhan dari tubuhnya. Ini kerana ianya sejajar dengan tuntutan agama yang menyatakan bahawa si mati perlu bertemu dengan tuhannya (Allah swt) dalam keadaan bersih.
             
Selesai memandikan mayat, jenazah akan dikafankan. Kafan di sini mendukung maksud membalut badan jenazah dengan aturan tertentu. Proses mengafankan melibatkan penggunaan kain putih yang mencukupi beserta dengan tali, juga berwarna putih untuk mengikat seterusnya mengukuhkan lagi balutan kain kafan tersebut. Balutan lapisan bagi mayat lelaki ialah lima lapisan manakala mayat perempuan tujuh lapisan. Sesudah jenazah dikafankan, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat sebagai tanda penghormatan terakhir tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah.
            
Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda, seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini. Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut. Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak digalakkan dalam Islam.
            
Sebelum dikebumikan jenazah akan disolatkan di masjid atau surau yang berhampiran dahulu sebelum dikebumikan. Selesai sembahyang mayat, biasanya diedarkan sedekah berupa wang atau benda contohnya seperti kain pelekat kepada mereka yang telah menyembahyangkan mayat itu. Selesai sahaja solat mayat,mayat dengan kerandanya itu akan dibawa dan dimasukkan ke dalam kubur yang disedia. Sebelum dikebumikan, siak masjid atau sesiapa akan turun ke dalam kubur membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat itu serta membukakan ikatan di kepala. Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya. Selesai kubur itu ditimbus, dipacakkan sebatang ranting pohon sebagai tanda untuk memacakkan batu nesan pada kemudian hari. Dua batang batu nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai tanda.
             
Seterusnya upacara membaca talkin dan membaca doa kepada si mati akan dijalankan oleh tuan haji, lebai atau tuan alim. Selepas talkin dan doa habis dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur.

Biasanya selepas kematian si mati, kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.

3.2.2    Cina

Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.
    
Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam. Lazimnya tangisan yang dilakukan perlu diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat jasa. Tangisan yang mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan tersiksa. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan. Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.
     
Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat dengan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Lazimnya ukiran tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada golongan berada, ukiran lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa. Namun pada zaman sekarang mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan dimasukkan ke dalam lori kecil yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah perkuburan.
     
Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lagu tersebut adalah berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka mendendangkan lagu kegemaran si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut ditempah khas untuk mengiringi jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah sehinggalah mayat dikebumikan. Biasanya iringan muzik tidak akan berhenti-henti supaya si mati dapat dihiburkan sehingga berada di alam akhirat. Pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring  yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.
     
Mayat akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang sedia digali dan lubang tersebut haruslah besar supaya boleh memuatkan keranda. Bagi masyarakat Cina tradisional, mereka memasukkan pelbagai jenis harta milik si mati. Oleh itu liang lahad perlu besar untuk menampung harta milik si mati. Ini adalah penting untuk menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak. Kini amalan tersebut telah berkurangan kerana telah banyak kejadian menggali lubang kubur dilaporkan sehingga amalan tersebut tidak dilakukan lagi. Hanya kertas yang bercop bentuk duit sahaja digunakan bagi mengelak kejadian mengorek lubang kubur oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
     
Bagi masyarakat Cina, kawasan perkuburan yang strategik memainkan peranan penting kerana menjadi lambang kebahagiaan yang bakal dikecapi apabila seseorang telah meninggal dunia. Kawasan perkuburan yang terletak di kawasan yang tinggi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tanah yang rata. Kebanyakan tanah perkuburan terletak di kawasan yang berhampiran jalan raya. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan memudahkan roh si mati menemui jalan pulang.Selain itu tanah perkuburan juga dihias dengan menarik. Terdapat beberapa hiasan yang cantik sama ada daripada ukiran, warna, atau bentuk. Ukiran ini sebagai melambangkan kekayaan si mati ketika hidup. Kubur atau jirat yang besar dan mempunyai bentuk yang menarik menjadi lambang kemewahan. Ini bermakna si mati layak menikmati kemewahan selepas mati seperti ketika hidup. Oleh itu tidak hairanlah masyarakat Cina menyediakan jirat yang besar dan mewah untuk ahli keluarga yang meninggal dunia.
    
Selepas kematian, ahli keluarga akan menjalani adat berkabung. Baju hitam dipakai beberapa hari sehinggalah hari perkabungan tamat. Setelah itu barulah pakaian warna lain boleh dipakai. Bagaimanapun bagi isteri yang kematian suami atau suami yang kematian isteri akan terus memakai baju tersebut lebih lama sebagai berkabung.

3.2.3    India

Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.
     
Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dan dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang. Setelah itu barulah si mati dibalut dengan menggunakan kain. Kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki.
    
Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suaminya meninggal dunia.
     
Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati sama ada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Pembawa kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. Pada pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat.
     
Selepas selesai upacara pengebumian, beberapa adat dilakukan seperti membersihkan rumah, mengumpul abu mayat dan berkabung.

3.2.4    Iban

Masyarakat Iban menguruskan sesuatu kematian itu mengikut adat-adat tertentu. Setiap adat yang dilakukan mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu. Orang Iban menguruskan mayat dengan penuh kemuliaan. Apabila ada kematian, semua saudara mara dan sahabat handai menghadirinya.

Perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja mendapati seseorang itu mati ialah merapatkan mulutnya. Ini dilakukan oleh ahli keluarganya. Kemudian mayat dimandikan, disikat dan dikenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa pulang roh si mati. Kemudia mayat diletakkan di tengagh-tengah rumah panjang dan dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat. Semua barang yang mahu dibekalkan bersama-sama mayat disediakan. Barang-barang itu dianggap sebagai bekalan si mati di dunia keduanya kelak (dunia selepas mati). Mayat itu juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan membaca doa. Dengan doa itu, roh si mati dipercayai dapat dibawa ke syurga tanpa sebarang halangan. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari rumah panjang. Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, orang tua-tua akan berbincang tentang jangka masa berkabung dan berpantang. Apabila mayat itu dimasukkan ke dalam keranda, mayat itu disuakan makanan menggunakan pinggan. Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai. Mayat itu kemudiannya ditaburi beras supaya petara tidak menyeksa mayat itu. Keranda itu diperbuat daripada kayu yang baik oleh tukang mahir di kampung itu. Keranda itu biasanya dihias dengan ukiran yang mempunyai motif tradisional.
        
Setelah kawasan kubur ditetapkan, seekor ayam dikorbankan di atasnya. Darah ayam itu dikatakan sebagai persembahan kepada sempulang gana supaya menerima mayat itu. Ketika ini kaum wanita dilarang memasuki kawasan perkuburan. Lubang kubur digali tanpa menggunakan sebarang senjata tajam. Hanya tangan dan kayu sahaja yang boleh digunakan. Biasanya lubang itu sedalam tiga kaki sahaja kerana penggali kubur tidak boleh memasuki lubang itu. Apabila sudah digali, daun atau rumput hijau dielakkan dai memasuki lubang. Hal ini kerana masyarakat Iban percaya roh akan menganggu orang yang masih hidup. Sebuah pondok juga didirikan bagi melindungi kubur. Barang-barang milik si mati akan diletakkan di dalam pondok tersebut, contohnya jika si mati seorang pahlawan, senjata kepunyaannya akan diletakkan di dalam pondok.
        
3.2.5    Bajau

Bagi adat kematian kaum Bajau, apabila seseorang itu meninggal dunia, doa akan dibaca dan mayatnya akan ditutup dengan kain. Pada masa itu, tawak-tawak patai atau pukulan gong akan dibunyikan sebagai tanda seseorang itu telah meninggal dunia. Mengikut adat Bajau, mereka mesti menangisi kematian tersebut kerana ia melambangkan kesedihan mereka. Seterusnya, mayat tersebut akan diuruskan sepenuhnya mengikut peraturan agama Islam. Semasa pengebumian,selepas disembahyangkan si mati akan di kebumikan. Adat naja-naja iaitu berjalan berulang-alik di bawah keranda si mati oleh keluarga dan saudara-mara terdekat akan dilakukan.

Apabila mayat hendak dikebumikan, adakalanya bersama-sama mayat tersebut disertakan beberapa biji buah pinang untuk mewakili anak cucu si mati yang masih kecil. Pinang tersebut dibungkus dalam sehelai kain putih yang sama dan diletakkan di sisi mayat. Tujuannya adalah supaya semangat mereka akan bersama si mati ke alam baqa. Seterusnya upacara keagamaan seperti yang dilakukan oleh masyarakat Islam lain akan diadakan. Biasanya dari hari pertama hingga hari ketujuh selepas kematian, keluarga dan masyarakat setempat akan mengikuti beberapa pantang larang. Antaranya ialah dari hari pertama sehingga hari ketujuh, rumah si mati tidak boleh dicuci.


4.0       Kesimpulan
     
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan mengamalkan adat resam yang berbeza-beza. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berasa bangga akan keunikan pelbagai adat resam yang kita warisi sejak turun-temurun. Masyarakat pelbagai etnik dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling  bantu-membantu antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negara Malaysia. Masyarakatnya hidup dalam  keadaan  kepelbagaian  budaya dan menarik perhatian ramai pelancong luar  ke negara ini.
   
    
Rujukan

http://snsk-k2.blogspot.my/2012/11/adat-kematian-kaum-melayu.html
http://kamiltri.tripod.com/adat_kelahiran.htm
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/5725-warisan-budaya-cina.html
http://bmpengurusan2010.blogspot.my/2010/09/kaum-bajau.html
https://bizniz87.wordpress.com/2011/01/08/adat-iban/



MZ Zainudin, Yuvarajan A/L Saravanan, Mohamad Farkhan Nordin, Siti Nabiha Zainol,  Shazatul Athirah Mohd Salleh, Nurhusna Aqila Azman, Norfaiszatul Ismail, Nur Azmina Izzati Abd Rahim            



Post a Comment