Tuesday, March 08, 2016

Perubatan tradisional Melayu







1.0       Pengenalan

Perubatan tradisional Melayu adalah warisan turun temurun nenek moyang kita dan masih lagi diperlukan dalam kalangan masyarakat juga tidak mungkin akan hilang begitu sahaja selagi masih ada pewaris kerana ianya berupaya dan menjadi penawar kepada pelbagai penyakit yang berbahaya. Perubatan ini mendapat perhatian masyarakat di Malaysia kerana tidak menggunakan bahan-bahan kimia yang berbahaya malah merupakan kaedah yang selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.

Sesetengah rawatan perubatan tradisional mendatangkan kesan yang baik, khasnya dalam mengubati tulang yang patah dengan menggunakan kepakaran dan kelebihan yang ada pada mereka tanpa melalui proses rawatan seperti perubatan moden. Rawatan tradisional lebih menyakinkan masyarakat. Antara contoh perubatan tradisional Melayu ialah  penggunaan herba Melayu. Penggunaan herba di dalam perubatan tradisional adalah sebagai pelengkap kepada rawatan untuk pelbagai penyakit.

Selain itu, urut Melayu merupakan teknik rawatan cara mekanikal untuk memanipulasikan tisu badan, terutamanya otot. Ia digunakan sebagai satu kaedah untuk merehatkan badan, memberi rangsangan atau memulihkan seluruh badan. Antara bahan yang biasa digunakan dalam mengurut ialah minyak urut atau minyak angin yang diperbuat daripada minyak kelapa dan beberapa jenis tumbuhan yang mempunyai khasiat ‘panas’.  Ubat yang digunakan dalam urut kebiasaannya merupakan hasil buatan mereka sendiri. Tumpuan utama pengurutan biasanya dikenali umum bagi merawat perempuan lepas bersalin.

1.1       Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan mengupas serta menerangkan konsep perubatan tradisional Melayu agar masyarakat luar lebih memahami dan tidak mempunyai tanggapan yang buruk terhadap perubatan ini. Selain itu, mengetahui amalan perubatan tradisional Melayu masa kini kerana masyarakat zaman sekarang kurang didedahkan akan konsep ini dek kecanggihan teknologi kini yang kian meningkat. Seterusnya, mengetahui sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap perubatan tradisional Melayu.


2.0       Asal Usul Perubatan Tradisonal Melayu

Asal usul perubatan tradisional Melayu tidak dapat ditentukan bila dan bagaimana orang-orang pada masa lampau mengubati penyakit kerana berdasarkan kajian tiada bukti bertulis yang lengkap tentang kewujudan perubatan tradisional ini. Menurut Gimatte (1915), perubatan tradisional berasal daripada seorang lelaki yang bernama Akmal Hakim sebagaimana yang dijelaskan oleh seorang bomoh dari Kelantan. Namun, pendapat lain mengatakan bahawa perubataan tradisional berasal dari perkataan ‘pawang’ yang pertama kali digunakan di dalam buku mitos yang dipercayai pawang pertama adalah Muhammad Saleh (Abdullah, 1927).

Seterusnya diperakui oleh pengamal kini bahawa Lukmanul Hakim merupakan bomoh pertama dalam kalangan manusia. Perakuan ini disebabkan kepercayaan terhadap Lukmaul Hakim yang dikatakan mempunyai segala pengetahuan mengenai perubatan yang dikurniakan oleh Allah swt khususnya pengetahuan tentang khasiat tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Seterusnya, pendapat seorang bomoh di Alor Setar mengatakan Lukmanul Hakim adalah nama sebuah kitab namun tidak dapat disahihkan kerana tidak mengetahui siapa yang menulis buku tersebut.

Pengamal perubatan tradisional dipercayai mengamalkan shaminisme iaitu agama primitif penduduk yang tinggal di kawasan Selat Behring yang berkembang ke Scandinavia, kemudiannya ke Tibet, China dan akhirnya sampai ke Tanah Melayu. Seterusnya, pengaruh Hindu-Budha dahulunya berlaku semasa zaman Sri Vijaya yang meluaskan pengaruhnya pada abad ke-13. Oleh kerana pengaruh Hindu-Buddha yang sangat meluas pada masa itu, keadaan ini menyebabkan banyak kesan ditinggalkan khususnya kepada budaya Melayu terutamanya kepada amalan perubatan. Contoh istilah dan konsep yang masih digunakan sehingga kini adalah amalan ‘tepung tawar’ batu nisan sebelum di bawa ke tanah perkuburan (Abdul Majid,1927).

Namun, dengan kedatangan Islam pada akhir abad ke-14 telah mengubah sedikit kepercayaan dan amalan perubatan Melayu disebabkan oleh Islam yang bersifat fleksibel memudahkan masyarakat Melayu menerima perubahan amalan perubatan yang diperkenalkan oleh Islam. Terdapat pelbagai jenis buku karangan Arab yang dijadikan panduan kepada amalan perubatan, ilmu hisab dan sebagainya yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu bagi memudahkan pengamal perubatan kini menjadikannya sebagai rujukan. Hal ini menyebabkan, amalan perubatan Melayu menerima banyak unsur falsafah Arab dan perubatan Islam yang mana merupakan asas kepada penyesuaian unsur-unsur pemikiran Galen (Hairudin Harun, 1990).

2.1       Definisi Perubatan Tradisional Melayu

Perubatan Tradisional Melayu sebenarnya sudah berabad lamanya wujud dan ianya diamalkan oleh bomoh dan Tok Dusun dahulu kala. Memang tidak hairan kalau perubatan ini mendapat sambutan dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia disebabkan bahan-bahan yang digunakan mempunyai khasiat yang tinggi serta tidak meninggalkan kesan sampingan yang merbahayakan tubuh badan manusia. Dianggarkan terdapat 13,000 jenis tumbuh-tumbuhan yang berpotensi untuk menjadi penawar bagi pelbagai penyakit.

2.2       Sistem  Perubatan Tradisional Melayu

Perubatan tradisional Melayu terbahagi kepada dua amalan petua iaitu amalan suruhan dan juga amalan tegahan. Amalan ini dipraktikkan adalah kerana bagi membantu dalam pemeliharaan dan pemuliharaan tahap kesihatan seseorang individu. Amalan suruhan ini berhubung dengan kuantiti  yang perlu diambil dan khasiat yang terdapat di dalam tumbuhan. Amalan ini bertujuan untuk mendapat keseimbangan serta membantu untuk mengelakkan sebarang penyakit. Seterusnya, amalan tegahan pula merupakan amalan untuk melarang pesakit daripada mengambil sesuatu makanan yang juga dikenali sebagai tempoh berpantang yang bertujuan untuk memelihara kesihatan secara berterusan.

Selain itu, pengamal perubatan tradisional Melayu kebanyakannya mewarisi ilmu perubatan tradisional Melayu ini daripada keturunan secara turun-temurun, guru, buku,  melalui mimpi atau ilham dan sebagainya. Dalam kalangan bangsawan, terdapat satu buku yang dipercayai menjadi rujukan ilmu perubatan iaitu kitab Tib dari Parsi. Perubatan tradisonal Melayu ini sememangnya telah lama digunakan oleh golongan cendekiawan dan bangsawan dahulunya, namun, kehadiran perubatan Barat menyebabkan perubatan tradisional Melayu semakin dilupakan. Hal ini kerana, masyarakat Melayu pada masa itu amat mempercayai perubatan Barat disebabkan kajian yang dilakukan lebih saintifik terhadap sesuatu penyakit.

Seterusnya, pengamal perubatan tradisonal Melayu kebanyakannya mengkategorikan punca penyakit adalah bersangkutan dengan dua unsur utama iaitu darah dan angin. Dua unsur ini perlu berada dalam keadaan  yang baik agar kesihatan seseorang individu itu dapat dikekalkan. Sehubungan dengan itu, dua unsur ini telah digunakan di dalam kaedah pengurutan bagi menolak angin untuk melancarkan perjalanan darah. Sistem perubatan tradisonal Melayu turut mengamalkan penggunaan tumbuhan semula jadi secara meluas kerana di dalam tumbuhan dipercayai mengandungi zat yang membantu dalam pemeliharaan dan pemuliharaan kesihatan tubuh badan manusia. Terdapat tiga jenis zat tumbuhan yang kebiasaanya digunakan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu iaitu zat besi untuk menguatkan darah, zat kawi untuk menstabilkan perjalanan tubuh dan zat kapur untuk menyejukkan badan.

2.3       Ciri-Ciri Perubatan Tradisional Melayu
            
Ciri-ciri perubatan tradisional Melayu merangkumi pengamal perubatan, cara mengamalkannya serta bahan-bahan dan peralatan yang digunakan.

Pengamal perubatan

Para pengamal perubatan tadisonal Melayu terdiri daripada lelaki dan perempuan. Pengamal perubatan ini dikenali dengan pelbagai nama, tetapi sering digelar sebagai bomoh, dukun dan pawang yang membawa maksud yang hampir sama.

Jenis perubatan

Terdiri dariapda bomoh akar kayu, bomoh kebatinan, bomoh jampi doa, bomoh solat hajat serta bomoh roh dan wali.

Pantang larang
        
Pantang larang merupakan larangan terhadap sesuatu perbuatan atau percakapan untuk mengelak daripada berlaku perkara yang tidak baik. Pantang larang terdapat dua jenis iaitu pantang larang dalam perhubungan dan pantang larang dalam kesihatan.

2.4       Penerimaan Perubatan Tradisional Dalam Masyarakat Sekarang

Menurut kajian dan soal selidik yang dilakukan, perubatan tradisional masih lagi tersemat di hati para pengamal sejak sekian lama. Perubatan tradisional ataupun alternatif lain merupakan aliran perubatan yang selain perubatan moden yang diguna pakai di klinik-klinik dan hospital-hospital sekarang, walau bagaimanapun kedua-dua kaedah perubatan mempunyai matlamat yang sama iaitu menyembuh penyakit, mencegah daripada berlakumya sakit dan menambah baik tahap kesihatan atau mengekalkan kesihatan sedia ada. Cuma jalan dan haluan yang berbeza.

Menurut perubatan tradisional, penyakit adalah akibat ketidakseimbangan di antara diri dan persekitaran yang disebabkan gaya hidup seseorang itu. Perubatan tradisional lebih menumpukan perhatian kepada unsur-unsur tersebut seperti unsur tekanan, emosi, persekitaran serta kekeluargaan pesakit tersebut. Pendekatan holistik ini merawat pesakit secara menyeluruh dan fungsi badan dilihat sebagai suatu gabungan yang harmonis dan seimbang antara jasad, akal dan roh lalu menekankan tanggungjawab individu dalam mengekalkan kesihatan yang baik.

Isu yang lazimnya berbangkit melalui kaedah perubatan ini ialah apabila proses perubatan tersebut dilakukan dengan unsur-unsur syirik atau tidak masuk akal dengan bertujuan perubatan harus dilakukan secara holistik, unsur-unsur ini telah menjarakkan perubatan tradisional dengan masyarakat sekarang.

Secara umum untuk diketahui, malah turut diakui oleh doktor-doktor perubatan bahawa perubatan moden sehingga kini masih gagal merawat beberapa penyakit dengan sempurna khususnya penyakit kronik, hal ini berlawanan dengan perubatan tradisional walaupun peratusan berjaya sembuh tidak begitu banyak tetapi memberi peluang dan harapan untuk terus berusaha dan sembuh. Maka perkara ini juga termasuk tidak masuk akal kerana tiada bukti yang jelas. Di samping itu, peningkatan kos hidup yang mendadak telah mendesak para pesakit mencari alternatif yang lebih mengikut kemampuan masing-masing, kos perubatan moden amat mahal malah ada yang tidak masuk akal maka perubatan tradisional telah menjadi jalan alternatif.

Memang diakui perubatan moden memberi keputusan dengan pantas serta logik diterima akal manakala bagi perubatan tradisional keputusan akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang serta usaha dan kepercayaan yang berkekalan, mahupun begitu perubatan tradisional mampu dalam terus menyembuhkan penyakit tidak seperti perubatan moden yang memerlukan bantuan ubat sepanjang hayat.


3.0       Rumusan

Kajian ini merumuskan bahawa perubatan tradisional Melayu masih mendapat tempat di dalam masayrakat. Ilmu rawatan tradisional Melayu yang kini masih lagi dipraktikkan. Di samping itu, melalui kajian ini didapati perubatan tradisional sebenarnya adalah pelengkap kepada perubatan moden dan jauh sekali dalam mengambil alih fungsi perubatan moden. Hak asasi pesakit juga harus dihormati dalam memilih kaedah perubatan yang terbaik tanpa paksaan. Lantaran itu, penerimaan masyarakat sekarang terhadap perubatan tradisional ialah masih memberangsangkan malah makin berkembang mengikut peredaran waktu.


MZ Zainudin, Muhammad Firdaus Zakaria, Muhammad Wafi Ismail, Noor Syafika Aziz, Najihah Osman, Wan Zulaikha Wan Yaacob


Post a Comment