Monday, March 21, 2016

Kefahaman masyarakat terhadap perayaan kaum Iban di Sarawak







1.0       Pengenalan

Malaysia merupakan satu negara yang terdiri daripada masyarakat yang terbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Oleh itu, kajian ini telah dijalankan bagi memahami tahap pengetahuan masyarakat umum terhadap perayaan kaum Iban di Sarawak. Melalui kajian ini, kita dapat menilai kefahaman masyarakat terhadap perayaaan kaum Iban iaitu Hari Gawai, juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Perayaan ini kebiasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal Jun setiap tahun dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian dan minuman tuak ‘arak beras’.

Tujuan perayaan ini adalah untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan kekayaan. Selain itu, salah seorang akan membaca satu puisi khas semasa pesta Gawai sebelum mereka merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai. Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Tarian Ngajat sangat popular dalam kalangan orang Iban di Sarawak. Penari akan memakai pakaian tradisi seperti ‘sirat’, ‘gagung’ atau baju burung dan memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung.

1.1       Latar Belakang Kajian

Terdapat banyak kajian mengenai migrasi kaum-kaum di Sarawak terutama sekali bagi kaum Iban. Apa yang pasti kebanyakan migrasi kaum-kaum-di Sarawak bertitik tolak daripada adat “berjalai” iaitu satu proses yang mana ianya dilakukan bagi mencari peluang yang lebih baik contohnya bagi mencari tanah yang luas dan hidup di dalam keamanan serta makmur. Terdapat tiga teori yang menyatakan asal usul kedatangan kaum Iban ke Sarawak iaitu pertama, datang ke Sarawak melalui Tajung Datu di Lundu, kedua, datang ke Sarawak melalui Bukit Merudu yang terletak tidak jauh dai Brunei, dan ketiga, datang dari Lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang.

Apa yang akan diketengahkan oleh Borneo Oracle adalah tentang asal-usul teori yang ketiga iaitu yang lebih dominan kerana terdapatnya sumber-sumber lisan yang membuktikan bahawa sebahagian besar dari kaum Iban berhijrah dari Lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang. Kaum Iban Sarawak menurut cerita legendanya adalah berasal daripada Singalang Burung yang digambarkan sebagai dewa kepada segala burung enggang di alam mistik dan merupakan Tuhan Perang bagi masyarakat iban tradisional (Sandin, 1977). Ianya bersangkutan dengan Aki Lang Sengalang Burong Jagu Menaul Tuntung (burung helang) yang ditugaskan oleh petara untuk memimpin segala kerja perang bagi masyarakat Iban kerana beliau memiliki semua jenis pengaruh kesaktian yang tiada tolok bandingnya. Berdasarkan kepercayaan kepada suatu peristiwa yang berlaku yang mana Singalang Burung telah turun ke bumi daripada kayangan maka bermulalah episod di mana Singalang Burung telah mewariskan keturunannya yang membentuk masyarakat Iban sekarang.

Kaum Iban tradisional sebenarnya lebih dikenali sebagai Dayak Laut dan mereka pada asalnya berasal daripada Kalimantan, Indonesia dan kemudiannya berpindah ke Sarawak pada masa yang hampir sama dengan kedatangan bangsa Eropah ke Asia Tenggara (Kedit, 1984). Mereka memasuki Sarawak melalui Batang Air Kapuas, jalan masuk paling mudah bagi melintasi sempadan Sarawak-Kalimantan (Jensen, 1966). Pada asalnya Singalang Burung iaitu nenek moyang kaum Iban dengan pengikutnya telah mendiami sepanjang Sungai Kapuas dan anak-anak sungainya di barat daya Pulau Borneo (Sandin, 1966). Tetapi kemudian cucu Singalang Burung yang bernama Sera Gunting lebih berminat untuk mendiami Banjaran Tiang Laju di bahagian barat Pulau Borneo. Walau bagaimanapun, dikatakan Singalang Burung tidak menggemari kawasan tersebut maka telah diadakan satu persidangan dengan pengikut-pengikutnya di Merakai iaitu salah satu anak Sungai Kapuas untuk mengusulkan perpindahan kaum Iban ke Batang Ai. Setelah kata sepakat diambil akhirnya, pengikut-pengikut Singalang Burung telah memulakan penghijrahan mereka dan tempat yang kali pertama mereka jejaki adalah daerah Kumpang, Sarawak dan terus menetap di Kumpang (Richards, 1949).

Sebahagian daripada kaum Iban ini telah dipengaruhi oleh seorang pemimpin yang lain iaitu Lelang Belayan untuk mula membuat eksplorasi ke hulu Sungai Kumpang iaitu menghala ke Lubok Antu dan Engkilili dan seterusnya menetap di kawasan Sungai Batang Lupar yang lebih dikenali sebagai Batang Ai. Dari Batang Ai, suku kaum Iban berpindah ke anak-anak sungai di Ulu Ai dan mula membuat penempatan mereka dengan membina rumah panjang mereka yang unik di kawasan yang dikenali sebagai Delok, Mepi, Jinggin, Engkari, Skrang dan Lemanak. Setelah itu sekali lagi sebahagian daripada kaum Iban ini telah mula membuat eksplorasi dengan berpindah dan lalu menetap di Sungai Undup dan Wong Tempangau (Sandin, 1994). Kaum Iban yang berpindah ini adalah mereka yang dipimpin oleh Kajup dan mereka dikenali sebagai Iban Undup.

Ternyata sekali perpindahan awal kaum Iban Sarawak adalah taburannya agak berselerak di kawasan hulu Sungai Batang Lupar dan Batang Saribas di bahagian Sri Aman dan perpindahan ini berlaku sejak awal abad ke-19 dari Hulu Batang Lupar melalui sempadan Kalimantan menuju ke daerah Rejang (Vinson, 1989). Sementara itu satu lagi pemimpin anak buah Singalang Burung iaitu Gelungan telah membawa pengikut-pengikutnya keluar dari Merakai dan menuju ke Undup serta mendiami Bukit Balau. Kaum Iban daripada pimpinan Gelungan ini disebut sebagai Iban Balau kerana menetap di kawasan Bukit Balau iaitu penempatan terawal masyarakat Iban di Sri Aman. Kemudian sekali lagi Gelungan telah membawa pengikut-pengikutnya untuk berpindah ke Sebuyau dan sebahagian generasi kaum Iban ini dikenali sebagai Iban Sebuyau. Sepatutnya penghijrahan masyarakat Iban terhenti di kawasan Sebuyau namun setelah kematian pemimpin Gelungan, Iban Sebuyau dikatakan telah berpecah dan ada yang berpindah ke Meredang, Gayam, Lundu dan Samarahan. Ketua-ketua suku kaum Iban yang lain seperti Lanong, Kanyong, Meringgai dan Manggi telah membawa pengikut-pengikut mereka berpindah ke Rantau Langkong, Tanjung Merarang, Sungai Skrang dan Tisak.

Oleh kerana itulah sememangnya bahagian Sri Aman mempunyai jumlah penduduk Iban yang tertinggi dibanding dengan tempat-tempat lain di Sarawak diikuti dengan Kapit, Kalaka (Saratok), Mukah, Kuching, Saribas, Baram, Song dan Sarikei. Inilah sekelumit sejarah asal usul kaum Iban di Sarawak yang ternyata perjalanan nenek moyang kaum Iban terdahulu sudah tentu penuh dengan onak nan berduri bagi memastikan kelangsungan penghidupan kaum iban sekarang. Ianya adalah satu hakikat bahawa kaum Iban telah pun mendiami segenap pelusuk Sarawak Bumi Kenyalang dengan membawa bersama segala budaya dan sastera mereka sekali yang ternyata terlalu unik seperti kain pua dan lain-lain yang banyak berhubung kait dengan dunia mistik dan tumbuh-tumbuhan.


1.2       Objektif Kajian

Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk mengkaji kefahaman masyarakat terhadap perayaan kaum Iban di Sarawak merangkumi mengenal pasti latar belakang perayaan Iban di Sarawak, mengenal pasti kefahaman masyarakat terhadap perayaan kaum Iban dari segi tujuan, tarikh, minuman, dan tarian trasdisional kaum Iban serta mengenal pasti makanan, pakaian dan alat- alat muzik tradisional di perayaan Iban.


2.0       Sorotan Literatur

Windy Inki dalam “Kesan modenisasi terhadap perayaan Gawai Dayak di Daerah Bau, Sarawak” mengandaikan bahawa kehadiran modenisasi memberi kesan dalam melenyapkan keaslian upacara dan adat istiadat tradisional perayaan Gawai Dayak yang disambut oleh penduduk-penduduk yang menyambut perayaan Gawai Dayak di Daerah Bau. Namun begitu, perubahan persekitaraan yang memberi kesan terhadap sambutan perayaan Gawai Dayak merupakan salah satu daripada permasalahan kajian. Jadi, dalam dunia yang semakin modenasi ini, berapa orang mengetahui tentang adat istiadat dan budaya kaum Iban?


3.0       Metodologi Kajian

Kajian ini telah menggunkan beberapa kaedah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar. Pertama, kaedah temu bual, kaedah ini merupakan lebih terbuka kerana responden bebas mengeluarkan pandangan mereka tentang soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh penyelidik. Sasaran temu bual termasuklah mahasiswa dan mahasiswi UTeM. Kedua, menggunakan soal selidik. Borang soal selidik diedarkan secara dalam talian atau secara rawak kepada responden kajian. Maklumat yang terdapat dari borang soal selidik itu telah menjadi pengumpulan data kajian.


4.0       Hasil Kajian

Aspek 1: Kefahaman masyarakat terhadap nama perayaan kaum Iban
Rajah 1: Peratusan kefahaman masyarakat terhadap nama perayaan kaum Iban

Rajah ini menunjukkan majoriti responden bersetuju bahawa ialah sebanyak bahawa Hari Gawai ialah perayaan yang disambut oleh orang Iban (88.9%), manakala 8.3% menjawab Hari Keamatan dan 2.8% iaitu seorang responden sahaja yang memilih jawapan Hari Raya Aidifiltri.


Aspek 2: Kefahaman masyarakat terhadap tarikh kesambutan perayaan kaum Iban
Rajah 2: Peratusan kefahaman masyarakat terhadap tarikh kesambutan perayaan kaum Iban

Rajah di atas menunjukkan sebanyak 72.2% responden memilih Jun ialah bulan yang menyambut Hari Gawai manakala 19.4% respoden memilih bulan September dan sebanyak 8.3% respoden menjawab bahawa Hari Gawai disambut pada bulan Mac.


Aspek 3: Kefahaman masyarakat terhadap tujuan kesambutan perayaan kaum Iban
Rajah 3: Peratusan kefahaman masyarakat terhadap tujuan kesambutan perayaan kaum Iban

Rajah ini menunjukkan majoriti responden amat setuju sebanyak 94.4% bahawa Hari Gawai Dayak disambut bertujuan untuk menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baru, manakala 2.8% menjawab bahawa Hari Gawai disambut disebabkan orang Iban ingin meminta penyembuhan orang yang sakit dan memajak semula tanah yang tidak subur lagi.


Aspek 4: Kefahaman masyarakat terhadap minuman tradisi perayaan kaum Iban
Rajah 4: Peratusan kefahaman masyarakat terhadap minuman tradisi perayaan kaum Iban

Rajah di atas menunjukkan bahawa semua responden mengetahui bahawa tuak ialah minuman tradisi yang wajib ada semasa Hari Gawai.


Aspek 5: Kefahaman Masyarakat terhadapTarian Perayaan Iban
Rajah 5: Peratusan kefahaman masyarakat terhadap tarian tradisi perayaan kaum Iban

Rajah di atas menunjukkan bahawa 75% responden mengenali Tarian Ngajat ialah tarian tradisi yang ditarikan semasa Hari Gawai. Selain itu, sebanyak 13.9% yang memilih jawapan Tarian Datun Julut manakala 8.3% lagi memilih jawapan Tarian Zapin. Setelah meneliti laporan kajian di atas dapat disimpulkan bahawa terdapat segelintir masyarakat masih tidak memahami tentang perayaan orang Iban terutamanya dalam aspek nama perayaan, tujuan, tarikh, minuman dan tarian tradisi sehingga hari ini. Namun tidak cukup dengan itu, turut dinyatakan juga beberapa maklumat penting serta perbincangan mengenai dapatan kajian.


5.0       Kesimpulan

Kebudayaan Iban yang unik ini ialah warisan turun-temurun yang berkaitan rapat dengan amalan hidup masyarakat Iban awal. Sehubungan dengan itu juga, kebudayaan ini juga turut berkait rapat dengan kepercayaan tradisional masyarakat Iban kerana beberapa kebudayaan yang mengandungi unsur-unsur ritual yang berkaitan rapat dengan kepercayaan. Malah kebudayaan ini dilihat sebagai asas pembinaan ketamadunan Iban walaupun ia tidaklah menonjol namun tetap menarik perhatian untuk dikaji. Seperti dalam perayaan yang mempunyai unsur ritualnya sendiri, dalam upacara miring yang merupakan persembahan kepada Tuhan Adat sehinggakan ke dalam upacara ngayau, menyabung ayam dan juga tenunan yang mempunyai unsurunsur ghaibnya yang tersendiri. Namun perubahan zaman secara tidak langsung telah menghakis amalan budaya tradisi masyarakat Iban kerana masyarakatnya perlu fleksibel dengan perubahan bagi menjamin kelangsungan hidup yang sungguh mencabar ini. Namun yang demikian, ia masih tidak pupus malah kebudayaan Iban ini masih dikekalkan walaupun secara asasnya ia tidaklah setulen kebudayaan Iban yang lama. Seharusnya kebudayaan adalah sesuatu yang sangat bernilai kerana ia adalah identiti dan juga sebagai warisan asal usul kewujudan satu-satu kaum ataupun bangsa. Tanpa budaya tradisi yang sejati, maka bangsa tersebut tidak akan tahu asal usul dan identiti mereka kelak.


Rujukan


Bernama. (2015-06-01). “Masyarakat Dayak Sambut Gawai Dengan Harapan Gayu Guru Gerai Nyamai” Diambil daripada http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2015/06/01/hari-gawai/

Chek Sian. (2015-01-23). "Jenis- Jenis Gawai di Sarawak" Diambil daripada https://ibanology.wordpress.com/2013/04/08/jenis-jenis-gawai-disarawak/

dehe klate. (Monday, March 23, 2009). “Perayaan Iban” Diambil daripada http://perayaaniban.blogspot.my/

Heidi Munan. (2005). Cerita Rakyat Iban.

Maruwiah Ahmat. (2013). Siri adat dan budaya kaum utama Kadazandusun dan Iban.

Vinson H. Jr Sutlive. (1978). The Iban of Sarawak.

Wikipedia. (2015-10-02). “Gawai Dayak”. Diambil daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Gawai_Dayak

Wina Zawani. "Makanan Tradisi Iban". Diambil daripada http://www.academia.edu/5851156/
Makanan_tradisi_iban

Windy Inki. (2007). Kesan modenisasi terhadao perayaan Gawai Dayak di Daerah Bau, Sarawak.


MZ Zainudin, Amirah Muhammad Amin, Kalegeswaree a/p Nadarajan, Hii Hie Kee, Tang Soon Heng, Ghee Yih Farn



No comments:

Post a Comment