Thursday, March 10, 2016

Persepsi generasi muda terhadap amalan pantang larang etnik di Malaysia







1.0       Pengenalan

Dalam kehidupan kita seharian, pantang larang telah diwujudkan dan tetap dipatuhi oleh masyarakat sejak turun-temurun agar dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Pantang larang yang diamalkan dengan pelbagai bentuk kepercayaan yang berbeza dalam setiap etnik telah diwujudkan di negara Malaysia yang berbilang kaum.

Amalan pantang larang merupakan suatu bentuk peraturan yang diwarisi secara turun temurun sejak berkurun-murun lamanya. Pantang larang juga boleh dikatakan sebagai kepercayaan masyarakat pada zaman lampau yang berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Menurut Sheikh Othman bin Seikh Salim dalam Kamus Dewan Edisi Yang Ketiga (hlm. 975), pantang larang secara ringkasnya bermaksud suatu kepercayaan yang meliputi dari sejak manusia itu dilahirkan sehinggalah manusia itu dewasa dan akhirnya meninggal dunia. Kewujudan pantang larang juga adalah untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan dalam kehidupan mereka. Namun, kebanyakan generasi muda kini tidak tahu pantang larang etnik diri sendiri dan etnik lain di Malaysia. Hal ini akan menjejaskan keharmonian hidup dan dapat mempengaruhi hubungan etnik di Malaysia.

1.1       Objektif Kajian

Objektif pelaksanaan kajian ini adalah seperti berikut iaitu mengenal pasti sejauh manakah kepekaan terhadap amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda, mengetahui faktor-faktor mempengaruhi amalan pantang larang, memahami implikasi terhadap amalan pantang larang dalam kalangan generasi  muda dan mengetahui kepentingan amalan pantang larang terhadap masyarakat.


2.0       Metodologi Kajian

Kajian ini merupakan kajian kualitatif. Pandangan dari orang lain adalah penting dalam kajian ini. Kaedah pertama yang dijalankan adalah mencari maklumat tentang amalan pantang larang melalui rujukan artikel dan laman sesawang.  Kaedah yang kedua dalam melaksanakan kajian ini adalah temu bual dengan gologan muda yang berbilang kaum dan menganalisis persepsi mereka terhadap amalan pantang larang. Melalui kaedah-kaedah tersebut, kajian ini dapat dilaksanakan dengan lancar.


3.0       Hasil Kajian   

Kajian ini telah menemubual tiga orang responden. Responden terdiri daripada kaum Cina, Melayu dan India yang bergolongan antara umur 20 hingga 25 tahun. Tindakan ini adalah untuk mendapatkan persepsi mereka terhadap amalan pantang larang pelbagai etnik di Malaysia. Justeru itu, sebanyak lapan soalan kajian telah ditanyakan kepada tiga orang responden ini.

Soalan 1: Apakah pandangan anda terhadap amalan pantang larang?

Soalan ini adalah berkaitan dengan objektif yang pertama iaitu dapat mengenal pasti bahawa sejauh manakah kepekaan terhadap amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda .Melalui temu bual, responden Cina menyatakan bahawa pantang larang merupakan sesuatu amalan tradisional yang kita harus ikut dan ia merupakan amalan yang diutamakan oleh masyarakat pada zaman dahulu. Responden Melayu menyatakan bahawa amalan pantang larang adalah satu amalan tradisional untuk mencegah perbuatan buruk dan menjaga tingkah laku seseorang. Menurut Ani Haji Omar (2014), pantang larang merupakan salah satu warisan budaya masyarakat Melayu tradisional yang amat tinggi nilainya. Manakala responden India pula menyatakan bahawa amalan pantang larang ini adalah amalan tradisional daripada nenek moyang pada zaman dahulu untuk mendidik sikap peribadi seseorang. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, pantang larang merupakan kepercayaan masyarakat zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun- temurun.

Soalan 2: Pada pandangan anda, bagaimanakah amalan pantang larang dapat memainkan peranan dalam generasi muda pada masa kini?

Soalan ini berkaitan dengan objektif yang keempat iaitu dapat mengetahui kepentingan amalam pantang larang. Responden Cina berpendapat bahawa pantang larang dapat mengawal sikap generasi muda kini dan memastikan seseorang tidak akan membuat sesuatu yang tidak baik. Amalan ini mengajar seseorang remaja untuk berdisiplin dan menjaga sikap mereka setiap hari. Amalan pantang larang dapat mengelakkan seseorang melakukan sebarang perkara yang tidak disiplin dengan kepercayaan yang diwarisi daripada nenek moyang. Responden Melayu berpendapat bahawa media teknologi dapat membantu amalan pantang larang memainkan peranan dalam generasi muda kini. Pada pandangannya, amalan pantang larang merupakan salah satu alternatif bagi mengajar ataupun menjadi panduan bagi generasi muda menjalani hidup yang lebih baik dengan akhlak yang baik. Responden India berpendapat bahawa pelbagai kaum mempunyai pantang larang yang tersendiri, amalan ini yang diwarisi oleh nenek moyang merupakan perbuatan yang sopan. Jika seseorang tidak mengamalkan pantang larang, akan dianggap sebagai tidak sopan.

Soalan 3: Pada pandangan anda, mengapakah pantang larang semakin diabaikan?

Soalan ini berkaitan dengan salah satu objektif tugasan iaitu dapat mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pantang larang. Merujuk kepada responden Cina, beliau telah menjawab bahawa pantang larang diabaikan pada masa kini adalah kerana ibu bapa tidak memainkan peranan yang penting dalam mengamalkan pantang larang. Hal ini kerana mereka kurang percaya terhadap pantang larang disebabkan ia tidak mempengaruhi kehidupan mereka pada zaman moden kini. Merujuk responden Melayu pula, beliau menjawab bahawa bukan semua keluarga pada masa kini mengamalkan amalan pantang larang terutamanya di kawasan bandar. Sekiranya sesebuah keluarga tidak mengamalkan amalan pantang larang, generasi muda dalam keluarga tersebut tidak akan tahu apa itu pantang larang serta kepentingannya dan tidak akan mengamalkan selama-lamanya. Merujuk kepada responden India pula, beliau menjawab bahawa amalan pantang larang diabaikan adalah kerana masyarakat kini semakin mengejar zaman kekayaan dan bersikap materialistik. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk melakukan amalan pantang larang yang sepatutnya diaplikasikan.

Soalan 4: Bilakah pantang larang sesuai diaplikasikan dalam kehidupan seharian dasawarsa ini?

Soalan ini adalah berkaitan dengan objektif yang ketiga iaitu memahami implikasi terhadap amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda. Responden Cina menyatakan pantang larang sesuai diaplikasikan sejak kecil lagi. Hal ini kerana jika amalan ini diamalkan sejak kecil nescaya mereka akan mengamalkannya sampai ke dewasa. Responden Melayu pula menyatakan bahawa amalan pantang larang perlu diaplikasikan pada zaman dahulu dan pada zaman kini. Hai ini kerana amalan pantang larang mengandungi adat dan kepercayaan kaum masing-masing yang dapat mengajar kita untuk menjadikan sikap dengan lebih baik. Responden India menyatakan bahawa amalan pantang larang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian melalui perayaan, perkahwinan serta dalam rumah. Generasi muda akan tahu cara yang sopan dan baik dalam melakukan setiap perkara. Hal ini dapat melahirkan pemuda yang berpengetahuan dan rasional.

Soalan 5: Di kawasan manakah pantang larang semakin diabaikan pada masa kini sama ada kawasan bandar atau pedalaman?

Soalan ini berkaitan dengan objektif pertama iaitu dapat mengenal pasti bahawa sejauh manakah kepekaan kepada amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda. Responden Cina menyatakan bahawa kebanyakan orang dari kawasan bandar mengabaikan pantang larang berbanding dengan orang di kawasan pedalaman kerana fikiran orang bandar lebih moden dan pantang larang tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Responden Melayu berpendapat bahawa orang kawasan bandar terdedah kepada teknologi ataupun kemudahan-kemudahan yang zaman sekarang dan rasa mereka tidak memerlukan amalan pantang larang. Responden India menyatakan bahawa kawasan bandar semakin mengabaikan amalan pantang larang ini kerana mereka yang sibuk bekerja dan menyebabkan tidak ada masa untuk mendidik anak-anak mereka amalan pantang larang. Dalam masyarakat yang kompetitif, banyak orang dewasa memilih meluangkan kebanyakan masa untuk kerja. Masalah ini telah menenggelamkan kebudayaan yang semakin kurang difahami dan dikenali oleh golongan muda pada zaman kini.

Soalan 6: Sejauh manakah amalan pantang larang mempengaruhi kualiti hidup anda?

Soalan ini berkaitan dengan objektif tugasan ini iaitu dapat mengetahui kepentingan amalan pantang larang. Responden Cina berpendapat bahawa pantang larang dapat mengelakkan sesuatu kemalangan berlaku pada beliau dan akan sikap lebih positif dalam kehidupan dengan mengamalkan pantang larang. Responden Melayu berpendapat bahawa amalan pantang larang telah mendidik beliau untuk mengekalkan kehidupan yang baik sejak kecil lagi. Menurut Ummu Iman (2013), pantang larang digunakan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Merujuk kepada responden India pula, beliau menjawab bahawa amalan pantang larang mempengaruhi kehidupannya dengan melahirkan seseorang yang lebih bersopan santun, berdisiplin dan hormat terhadap orang-orang tua. Selain itu, amalan ini juga mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga.

Soalan 7: Adakah anda rasa bersalah jika tidak mengikut pantang larang masyarakat anda?

Soalan ini adalah berkaitan dengan pengetahuan mengenai kepentingan amalan pantang larang. Responden Cina menyatakan bahawa jika beliau tidak mengikut amalan pantang larang, beliau akan rasa bersalah. Beliau menyatakan bahawa amalan pantang larang adalah satu budaya tradisional dan jika tidak mengikutinya generasi yang akan datang juga tidak akan mengamalkan amalan pantang larang. Responden Melayu pula menyatakan perasaan rasa bersalah itu bergantung kepada individu masing-masing. Jika keluarganya terdiri darpida orang yang mengamalkan budaya amalan pantang larang maka mereka akan rasa bersalah jika tidak mereka akan rasa tidak bersalah. Namun, keluarga beliau tidak mengamalkan amalan ini, maka beliau tidak berasa bersalah. Responden India pula menyatakan bahawa beliau akan rasa bersalah. Ini kerana,beliau menyatakan amalan pantang larang ini adalah amalan warisan kaum dan jika tidak mengikutinya menujukkan bahawa beliau tidak hormat kepada kaumnya.

Soalan 8: Bagaimanakah pantang larang dalam masyarakat anda dapat dikekalkan?

Soalan ini berkaitan dengan objektif pertama iaitu dapat mengenal pasti bahawa sejauh manakah kepekaan kepada amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda. Responden Cina berpendapat bahawa peranan ibu bapa penting dalam memupuk amalan pantang larang ini. Sebagai ibu bapa, mereka harus memupuk anak-anak mereka mengamalkan pantang larang sejak kecil lagi dan memberitahu anak mereka kepentingan atau kebaikan amalan pantang larang. Responden Melayu menyatakan bahawa menganjurkan aktiviti ataupun program di kawasan perumahan dapat mengekalkan amalan pantang larang. Melalui aktiviti-aktiviti ini, generasi muda terutamanya di kawasan bandar yang mengabaikan amalan ini dapat diajar amalan pantang larang. dengan teliti. Seterusnya, responden India berpendapat bahawa pantang larang dalam masyarakat boleh dikekalkan oleh pihak ibu bapa khususnya mengaplikasikan dan menjadi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka supaya amalan ini dapat diwarisi dalam keturunan mereka.


4.0       Kesimpulan dan Cadangan

Dalam kajian ini, kita telah memahami persepsi generasi muda terhadap pantang larang pelbagai etnik di Malaysia pada masa kini. Melalui kajian ini, kita juga telah  mengenal pasti bahawa kebanyakan generasi muda kini masih peka terhadap amalan pantang larang kerana mereka menerangkan amalan pantang larang merupakan warisan nenek moyang yang penting dan harus diamalkan oleh generasi muda kini terutamanya yang di kawasan bandar. Kajian ini telah menjelaskan bahawa peranan ibu bapa dan keluarga merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda kini melalui ketiga-tiga responden ini. Kajian ini juga telah menonjolkan bahawa implikasi amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda adalah baik.

Kepentingan amalan pantang larang juga telah diterangkan melalui kajian ini. Amalan pantang larang merupakan amalan yang penting dan baik melalui persepsi generasi muda kini. Masalah amalan pantang larang harus dibendung dalam masa yang singkat supaya amalan ini dapat dikekalkan selama-lamanya. Semua pihak haruslah bersatu-padu mengamalkan amalan pantang larang pada zaman kini agar amalan ini terus membawa manfaat kepada kita dan mempercepatkan negara Malaysia  mencapai Wawasan 2020 dengan maju.

Dalam memastikan golongan muda mengamalkan amaln pantang larang, pihak kerajaan harus mengadakan kempen-kempen yang berkaitan amalan pantang larang di kawasan penempatan masyarakat dan memberi tumpuan dalam penyebaran pengetahuan amalan pantang larang pelbagai etnik melalui media massa. Guru-guru harus mengajar para pelajar tentang amalan pantang larang pelbagai kaum di Malaysia serta memberitahu kepentingan amalan tersebut kepada mereka. Ibu bapa perlu memupuk amalan ini terhadap anak mereka sejak kecil lagi. Akhirnya, pemikiran golongan generasi muda terhadap amalan pantang larang haruslah berubah dan harus sedar bahawa amalan ini merupakan warisan nenek moyang mereka.


Rujukan

Uthaya Sankar SB (2012). Kepercayaaan ‘karut’ kaum India. Diambil 5 November 2015,       dari www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/03/26/kepercayaan-karut-kaum- india/

JELANI, H. (2009). Blog sumber guru pendidikan sivik dan kewarganegaraan sekolah rendah: kepentingan mengekalkan budaya warisan bangsa. Psksksd.blogspot.my. Diambil 5 November 2015, dari psksksd.blogspot.my/2009/08/kepentingan-mengekalkan-buadaya-warisan.html

Zegaugustin1228.blogspot.my,. (2015). Usaha Mengekalkan warisan budaya. Diambil 5 November 2015, dari zegaugustin1228.blogspot.my/

Temu bual bersama En Hew Khai Sheng, En.Varneshwaran a/l Seathuraman serta
En.Fazal Amsyar bin Suznan pada  31 Oktober dan 2 November 2015.

Iman, U., Iman, U., & profile, V. (2013). Yang Istimewa.....Pastinya Teristimewa.: PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU - SUBJEK EDU3106. Pendidik-istimewa.blogspot.my. Diambil 5 November 2015, dari pendidik-istimewa.blogspot.my/2013/02/pantang-larang-masyarakat-melayu-subjek.html

Academia.edu,. (2015). Konsep bdya, msyarkt, kbdyaan. Diambil 4 November 2015, dari http://www.academia.edu/6329359/Konsep_bdya_msyarkt_kbdyaan

Bmk12010.blogspot.my,. (2010). Pantang Larang Kaum Melayu, Cina,dan India. Diambil 5 November 2015, dari bmk12010.blogspot.my/



MZ Zainudin, Chong Hong Leong, Yap Joon Ping, Adam Syafiq Mohd Ghazali, Mohd Imran Suran, Muhammad Affan Abibullah


Post a Comment