Monday, March 14, 2016

Variasi makanan jana perpaduan kaum







1.0       Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Setiap kaum yang terdapat di Malaysia mempunyai budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Antara budaya yang diwarisi ialah budaya makanan. Keunikan makanan tradisional mewakili kaum-kaum tertentu. Keunikan ini hanya dapat dilihat apabila kita mengkaji makanan di Malaysia dengan lebih mendalam. Contohnya, mi kari yang dipopularkan oleh golongan peniaga Cina. Mi yang asalnya dari orang Cina tetapi kari yang diadun asalnya dari orang India. Jadi kombinasi ini telah menjadikan mi kari sebagai makanan yang sangat popular dan mempunyai cita rasa yang tersendiri. Kini mi kari ini telah dipraktikkan oleh orang Melayu dan India keseluruhannya.

Kuew teow adalah makanan yang dibawa oleh orang Cina, namun apabila diadun dengan cita rasa keMalaysiaan, ianya menjadi hidangan pelbagai rasa. Contohnya, kuew teow goreng yang digoreng dengan cita rasa rempah serta kari. Jika di Pulau Pinang, makanan ini memang tidak asing lagi dan tidak lengkap ke Pulau Pinang jika tidak merasai makanan ini yang juga begitu popular di Taiping.

Banyak lagi makanan yang boleh diperkatakan di sini selain daripada di atas seperti roti canai dan teh tarik. Roti canai sebenarnya berasal dari India namun makanan ini telah melalui pelbagai kelainan dari segi pengadunan dan telah menjadi makanan pagi yang sangat popular di Malaysia. Teh tarik yang juga diperkenalkan oleh masyarakat kaum India.  Inilah yang membuat kita terasa betapa uniknya Malaysia. Kini tosai, capati juga telah mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia sebagai makanan sarapan pagi.

1.1   Latar Belakang Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, lokasi kajian yang dipilih  ialah Melaka International Trade Centre (MITC), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan sekitar Ayer Keroh, Melaka. Terdapat 30 orang responden yang telah diplih secara rawak.

1.2   Objektif Kajian

Tujuan kajian ini ialah untuk mengkaji makanan etnik dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik.  Selain itu tujuan kajian ini juga adalah untuk mengenalkan makanan trasisi satu etnik kepada etnik yang lain. Seterusnya untuk mengkaji tahap persefahaman masyarakat atas makanan tradisi etnik lain. Akhir sekali, untuk mengkaji interaksi yang berlaku antara satu etnik dengan etnik yang lain melalui makanan.

1.3   Kepentingan Kajian

Kepentingan kajian ini ialah untuk mengetahui sejauhmana masyarakat etnik mengenali makanan-makanan tradisi masing-masing.


2.0   Sorotan Kajian

Nasi lemak harus dijadikan makanan kebangsaan Malaysia kerana keunikan dan popularitinya. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut digemari oleh kaum Cina dan India malah menjadi menu hidangan kepada pengunjung yang bertandang ke negara ini. Nasi lemak jika dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini telah dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel.  

Keunikan nasi lemak adalah bergantung kepada keenakan sambalnya dan terdapat pelbagai jenis sambal yang digunakan sebagai penyedap nasi lemak. Antara sambal cili yang biasa digunakan ialah ikan bilis, sotong, kerang, daging lembu, daging kambing dan sebagainya. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan seperti kari ayam, rendang (ayam dan daging),  ayam goreng, paru goreng, kacang tanah goreng, telur (rebus dan goreng), timun dan sebagainya. Uniknya makanan ini adalah menu tambahannya yang menjadi penyeri dan penyedap. Keenakan nasi lemak dapat dirasai terutamanya nasi lemak yang dibungkus menggunakan daun pisang. Ini kerana dengan keharuman daun pisang ia mampu menjadi daya penarik dan kesedapan nasi lemak itu sendiri. Selain itu, makanan ini tidak terhad kepada sesetengah menunya tetapi bergantung kepada kehendak pelanggan.

Char kuey teow merupakan mi yang sangat popular di Malaysia. Ia diperbuat daripada mi beras yang leper, digoreng dengan haba yang tinggi dengan sos kacang hitam, cili, udang, kerang, telur dan kacang taruk. Kadangkala beberapa keping daripada “chinese sausage” dan kek ikan dimasukkan. Ia digoreng di dalam lemak babi yang mana akan membawa rasa yang unik dan sedap semasa dimakan. Char kuey teow terdiri beberapa jenis dan daripada beberapa kawasan. Antara yang sangat terkenal ialah Penang char kuey teow iaitu char kuey teow yang biasanya didapati di Pulau Pinang. Versi dari Penang char kuey teow ini kadangkala dicampurkan dengan telur itik (untuk rasa sedap) dan daging ketam (untuk kemanisan). Satu evolusi char koay teow ialah digoreng dengan tiada minyak babi. Impak evolusi ini telah mempopularkan char kuey teow dalam kalangan masyarakat muslim dan semua masyarakat di Malaysia. Oleh yang demikian, semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa dapat menikmati hidangan char kuey teow ini. Impak besar daripada situasi ini dapat mewujudkan perpaduan dan toleransi di dalam masyarakat Malaysia itu sendiri.

Roti canai merupakan makanan kegemaran penduduk Malaysia. Nama roti canai berasal dari kawasan Chennai di India. Makanan ini turut dikenali sebagai roti prata. Roti canai adalah makanan tradisional kaum India di Malaysia.  Roti canai biasa dijual di restoran mamak. Makanan ini sangat disukai bukan sahaja kaum India tetapi rakyat Malaysia. Buat masa ini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Roti canai merupakan sejenis roti nipis yang diperbuat daripada tepung. Kini, pembuat roti canai telah mengadakan inovasi pada ramuan roti tersebut sehingga terdapat pelbagai jenis seperti roti telor, roti tisu, roti sardin, roti bawang, roti pisang, roti boom dan lain-lain. Roti canai biasa disaji bersama dengan sambal cili, sambal ikan bilis, kari ikan atau kari ayam.


3.0       Metodologi Kajian

3.1       Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian berfungsi sebagai panduan dalam membantu penyelidikan dalam mengumpul, menganalisis dan membuat satu kesimpulan dan pentafsiran hasil daripada penyelidikan yang dijalankan. Reka bentuk kajian ialah satu model tatacara bagi membolehkan penyelidik membuat satu inferens berkenaan pemboleh ubah yang dikaji. Kajian yang berbentuk tinjauan ini mengumpulkan data berdasarkan kepada borang soal selidik yang diedarkan dan dijawab oleh responden. Populasi kajian terdiri daripada jantina lelaki dan wanita dari pelbagai jenis umur dan etnik. 

3.2  Sampel Kajian

Ketika melakukan tinjauan, borang kaji selidik telah diedarkan. Sampel terdiri daripada responden di sekitar Melaka. Seramai 30 orang responden pelbagai bangsa telah dipilih secara rawak bagi menjalankan kajian ini. Responden yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India seramai 14 orang.

3.3  Instrumen Kajian
                                               
Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik yang telah diedarkan kepada responden sekitar Melaka. Data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan graf dan carta pai.


4.0       Hasil Kajian

Bahagian A ialah soalan berdasarkan latar belakang responden. Gambarajah di bawah menunjukkan taburan dan bilangan peratusan responden mengikut demografi. Daripada 30 orang responden, seramai 25 orang (83.3%) adalah lelaki, manakala selebihnya 5 orang (16.7%) adalah perempuan. Dalam pada itu, seramai 7 orang (23.3%) berumur antara 15 tahun sehingga 19 tahun, 21 orang (70%) berumur antara 20 tahun sehingga 24 tahun, seorang (3.3%) berumur antara 25 tahun sehingga 29 tahun dan  seorang (3.3%) adalah dalam lingkungan usia 30 tahun ke atas.

Selain itu, terdapat taburan bangsa, pekerjaan dan tempat tinggal responden. Daripada 30 orang responden, seramai 16 orang (53.3%) adalah bangsa Melayu, 13 orang (43.3%) adalah bangsa Cina dan seorang (3.3%) adalah bangsa India. Dalam pada itu, seramai 2 orang (6.7%) responden yang telah bekerja, 3 orang (10%) adalah responden yang tidak bekerja dan selebihnya 25 orang (83.3%) responden adalah pelajar. Tambahan pula, seramai 14 orang (46.7%) responden tinggal di kawasan bandar, 7 orang (23.3%) tinggal di luar bandar dan 9 orang (30%) responden tinggal di kawasan taman perumahan.
          
Bahagian B terdiri daripada enam soalan yang berbentuk pertanyaan pendapat responden terhadap penyataan-penyataan mengenai kefahaman tentang makanan etnik setiap kaum mampu menjana perpaduan kaum di Malaysia. Jadual di bawah menunjukkan tahap persetujuan respondan tentang makanan etnik mampu menjana perpaduan kaum dan seramai 28 orang (93.3%) bersetuju manakala dua orang (6.7%) tidak bersetuju bahawa makanan etnik mampu memupuk perpaduan kaum, kekerapan respondan menjamu selera makanan kaum lain, keselesaan respondan melihat kaum lain makan makanan etnik kaum respondan dan seramai 27 orang (90%) selesa manakala tiga orang (10%) tidak selesa melihat kaum lain menjamu selera makanan kaum responden. Selain itu, terdapat juga pertanyaan cara atau alat makan yang respondan selesa digunakan, makanan etnik kaum lain yang respondan pernah makan dan yang terakhir ialah kekesalan andai kerajaan menghapuskan makanan tradisional kaum dan seramai 29 orang (96.7%) berasa kesal dan seorang (3.3%) tidak berasa kesal jika kerajaan menghapuskan makanan tradisional kaum ini.


5.0  Kesimpulan

Makanan merupakan keperluan asas tidak mengira kaum yang terdapat di Malaysia.  Makanan  juga boleh memupuk perpaduan kaum etnik di Malaysia.  Dalam negara Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan yang melambangkan kaum yang berada di negara ini. Makanan-makanan ini kebanyakannya disajikan semasa upacara tradisional seperti perayaan mahupun upacara istiadat setiap kaum. Disebabkan kempen 1 Malaysia, makanan-makanan tradisional ini dapat dinikmati bukan sahaja oleh satu kaum tetapi boleh disajikan kepada kaum-kaum yang lain semasa mengadakan rumah terbuka. Dengan ini, rakyat negara ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan dan tidak lagi menimbulkan isu perkauman agar dapat hidup dengan aman serta harmoni bagi menjayakan kempen 1 Malaysia. Makanan juga merupakan alat penghubung antara kaum yang berkesan kerana memahami budaya dan cita rasa. Selain itu sebagai topik perbualan antara kaum dan medium untuk membezakan kaum.


Rujukan

Dayangku Fadariah, Mohd Faizullah & Rape’ah Ahamed. (2014). Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat.
Haliza Jelani. Kepentingan Perpaduan Kaum, diakses dari http://psksksd.blogspot.com/2010/07/kepentingan-perpaduan-kaum.html
http://she1012012.blogspot.my/2012/05/makanan-masyarakat-india-roti-canai-dan.html
http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/03/perpaduan-kaum-melalui-makanan-tradisi.html


MZ Zainudin, Muhammad Nur Syazwan Mohd Yusoff, Nur Rabiatul Adawiyah Salman, Mohamad Norsyahmi Ramli, Nurul Nadia Nabila Zulkefli, Norasmayani Md Tajudin


No comments:

Post a Comment