Friday, April 01, 2016

Makanan tradisional etnik di Malaysia







1.0       Pengenalan

Makanan tradisional adalah makanan dan minuman yang biasa dimakan oleh masyarakat tertentu dengan cita rasa khas yang diterima oleh masyarakat tersebut. Bagi masyarakat Malaysia umumnya amat diyakini khasiat, aneka makanan tradisional seperti karipap, nasi lemak, roti canai dan sebagainya. Di samping berkhasiat, makanan tradisional juga mengandung segi positif yang lain seperti bahan-bahan yang bervitamin, bergizi tinggi, serat, murah dan mudah didapat, sesuai dengan selera masyarakat sehingga diyakini mempunyai potensi yang baik sebagai makanan.

Dengan beragam dan bervariasinya bahan dasar, maka dapat dihasilkan bermacam-macam jenis makanan tradisional yang sedemikian rupa sehingga menjadi makanan yang lazat dan gizi seimbang. Demikian juga cara pembuatannya dilakukan dengan beragam dan bervariasi seperti membakar/memanggang, pengasapan, pemepesan, pengukusan, menggoreng dan menumis.

Makanan tradisional dipengaruhi oleh kebiasaan makan masyarakat dan menyatu di dalam sistem sosial budaya berbagai-bagai golongan etnik dan kaum di daerah-daerah. Makanan tersebut disukai kerana rasa, tekstur dan aromanya sesuai dengan seleranya. Demikian juga dengan kebiasaan makan khas daerah umumnya tidak mudah berubah, walaupun anggota etnik bersangkutan pindah ke daerah lain. 

Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang istimewa kerana dihuni oleh masyarakat yang berbilang etnik. Etnik Melayu, Cina dan India merupakan etnik utama di Malaysia. Selain itu, Malaysia juga mempunyai kira kira 80 kaum etnik lain seperti Baba Nyonya, Kadazandusun dan Iban. Etnik Melayu merupakan kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 57 peratus penduduk negara ini. Orang Melayu adalah beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan Melayu. Orang Melayu terkenal dengan sifat lemah lembut, sopan santun dan peramah serta mempunyai kemahiran kesenian yang tinggi. Penduduk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi. Oleh yang demikian, pelbagai budaya yang berbeza dari setiap etnik akan saling mempengaruhi dan seterusnya menghasilkan gabungan variasi budaya Malaysia yang unik.

Terdapat banyak aspek dalam mewujudkan kepelbagaian budaya antaranya cara pemakanan, sambutan perayaan, pemakaian tradisional dan banyak lagi. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kaum di Malaysia ini mempunyai sejarah tentang makanan tradisional kaum masing-masing. Pada hari ini, makanan juga memberi impakyang besar dalam mewujudkan variasi etnik di Malaysia. Sebagai contoh, roti canai, nasi lemak, lontong, tosei, capati serta yong tau fu bukan hanya di makan oleh etnik Melayu, Cina dan India sahaja malahan semua makanan ini dimakan oleh sesiapa sahaja tidak terkecuali bangsa asing yang datang berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan mahupun melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Bagi menjayakan kajian ini, empat orang responden telah dipilih secara rawak yang terdiri daripada etnik luar dari Malaysia bagi mengenal pasti pandangan mereka tentang makanan tradisional di Malaysia. Objektif kajian ini terbahagi kepada tiga iaitu mengetahui makanan tradisional setiap etnik, mengetahui penerimaan makanan tradisional sesuatu etnik kepada etnik lain serta mempromosikan makanan tradisional sesuatu etnik kepada etnik lain.

Kepentingan kajian ini adalah untuk mengetahui makanan tradisional mengikut etnik dan penerimaan makanan tradisional sesuatu etnik terhadap etnik yang lain serta daya tarikan setiap makanan tradisional mengikut etnik. Selain itu, untuk mengetahui apakah makanan tradisional etnik lain yang datang dari luar Malaysia.


2.0       Sorotan Kajian

Perpaduan merupakan aset yang penting kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati di Malaysia. Menurut kajian Institut Penyelidikan Belia Malaysia, masyarakat pada hari ini tidak lagi menampilkan ciri-ciri perkauman yang melampau dalam aspek-aspek kehidupan mereka. Ini adalah petanda yang positif bagi masa depan sebuah negara yang berbilang kaum di Malaysia serta mencerminkan penerimaan mereka yang baik tanpa prejudis terhadap kaum-kaum yang berada di Malaysia.

Sikap masyarakat pada hari ini juga mampu menambah baik masa depan ekonomi negara, dengan ini tentulah akan dapat mengekalkan keharmonian di antara kaum. Berdasarkan kajian ini, ia juga dapat membuktikan bahawa majoriti menyatakan keadaan ekonomi semakin baik jika perpaduan terjalin antara masyarakat di Malaysia. Dengan melihat kembali sejarah dan pengalaman negara ini, masalah ekonomi dapat memberi kesan kepada kewujudan jurang antara kaum dan jika tidak dapat dibendung akan dapat mencetuskan rasa cemburu sehingga membawa kepada permusuhan antara kaum.

Pada hari ini juga, kita dapat melihat sesuatu kaum menjual atau membeli makanan yang bukan dari kaum mereka sendiri. Sebagai contoh, kaum Cina membeli nasi lemak atau asam laksa, manakala kaum Melayu menjual yong tau foo, roti canai, roti nan, tosai dan sebagainya.

Makanan tradisional sangat digemari oleh masyarakat yang kaya dengan pelbagai adat dan budaya serta mempunyai pelbagai makanan mengikut kaum di Malaysia. Makanan tradisional terbahagi kepada makanan basah dan makanan kering. Antara makanan basah ialah nasi lemak, capati dan yong tau foo. Manakala makanan kering ialah dodol, karipap dan bahulu. Makanan tradisional ini semakin digemari hingga ke peringkat antarabangsa. Industri makanan tradisional ini hendaklah dimajukan agar mempelbagaikan produk makanan yang sedia ada. Hal ini akan menyebabkan pelanggan tertarik kepada kepelbagaian produk makanan yang disediakan.

Contoh makanan orang Melayu yang sering kali menjadi sambutan dari pelbagai kaum adalah nasi lemak. Ia bukan sahaja digemari oleh pelbagai kaum, bahkan dapat memberi kesan kesepaduan kaum di Malaysia. Nasi lemak sering kali dihidang pada waktu pagi tetapi pada masa kini ia dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Bagi kaum India, putu mayam ialah sejenis makanan manis yang kerap dimakan ketika sarapan pagi ataupun sebagai snek. Makanan ini juga digemari oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Nasi ayam adalah makanan yang dipelopori oleh kaum Cina. Makanan ini telah diminati oleh semua rakyat Malaysia kerana rasa ayam yang telah dikukus dengan rempah yang sebati.

Perayaan utama yang disambut oleh setiap kaum di Malaysia akan menghidangkan makanan tradisional mengikut kaum tersendiri. Ketika perayaan mereka akan berkunjung ke rumah dan dihidangkan dengan makanan tradisional. Dalam masa yang sama, perhubungan antara kaum atau bangsa dapat dieratkan. Perhubungan yang jitu di antara kaum akan menghasilkan keharmonian dan perpaduan di Malaysia. Semua ini akan terus menjadi ikon atau identiti sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.


3.0       Metodologi Kajian

Kaedah dan cara kajian ini dijalankan ialah melalui pemerhatian terhadap etnik di sekeliling, melalui temu bual secara langsung kepada individu berbeza etnik latar belakang dan hasil yang telah diperolehi dokumentasikan sebagai laporan hasil kajian.

Reka bentuk kajian dalam kajian ini antaranya ialah pendekatan kajian, kaedah persampelan, cara pengumpulan data, teknik memproses dan menganalisis data serta penulisan laporan. Reka bentuk kajian kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui kaedah tinjauan. Dalam kajian ini, tinjauan dibuat di sekitar kawasan terpilih di Melaka untuk mendapatkan pandangan beberapa responden tentang hal-hal berkaitan dengan makanan tradisional menikut kaum.

Manakala reka bentuk kajian kualitatif yang digunakan ialah kajian etnografi dan kajian sejarah. Dalam kajian kes, kajian etnografi digunakan bagi mengkaji ciri-ciri makanan tradisional etnik di Malaysia. Kajian sejarah pula digunakan bagi mengkaji rekod dan penulisan lampau antaranya dapatan daripada jurnal untuk dikaitkan dalam kajian berkenaan makan tradisional etnik di Malaysia. 

Ketika melakukan tinjauan, tiga soalan kaji selidik telah dikemukakan kepada responden. Sampel terdiri daripada empat responden dari pelbagai etnik yang datang dari luar negara telah dipilih secara rawak bagi menjayakan tinjauan ini. Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak berstruktur. Data-data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS.


4.0       Hasil Kajian

Hasil daripada kajian melalui temu bual, responden pertama bernama Abdul Rahman Bakri berumur 23 tahun dan berasal dari negara Yaman serta berketurunan Arab. Menurut responden, makanan tradisional di Yaman adalah asidah dan kabsa. Asidah diperbuat daripada campuran gula merah dan tepung gandum yang memiliki rasa manis melekit dengan sedikit aroma rempah dan dihidangkan bersama lelehan mentega. Kebiasaannya asida dinikmati dengan teh manis atau kopi. Manakala bagi kabsa pula, ia adalah nasi yang berlaukkan daging atau ayam yang dimasak menggunakan rempah ratus. Menurut respondan, makanan yang menjadi kegemaran beliau di Malaysia adalah nasi goreng daging dan putu piring kerana rasa yang sedap dan manis serta mempunyai rasa dan rupa yang seakan-akan sama dengan makanan di negara asalnya.

Seterusnya untuk respondan kedua, beliau bernama Muhammad Khalid berumur 21 tahun dan berasal dari negara Sudan serta berketurunan Arab (Sudanese). Berdasarkan temu bual bersama respondan, wekah dan kisrah menjadi makanan tradisional bagi penduduk di negara Sudan. Wekah adalah campuran kacang bendi dan bawang putih yang dikisar sehingga hancur dan kebiasaannya dimakan bersama roti manakala kisrah pula adalah sejenis roti yang diuli dan diadun lembut yang mempunyai rupa seperti roti naan. Sementara itu, dapatan daripada respondan, makanan yang menjadi kegemaran beliau di Malaysia adalah nasi goreng sotong.

Selain itu, respondan ketiga bernama Abu Bakar berumur 23 tahun dan berasal dari Chad, Arab Saudi serta berketurunan Afrika. Menurut responden, makanan tradisional di Chad adalah sejenis sate kambing yang dihidangkan bersama kuah kacang kuda yang dikisar sehingga hancur dan juga roti. Makanan yang menjadi kegemaran respondan di Malaysia adalah nasi ayam merah.

Masakan Arab ditakrifkan sebagai pelbagai masakan serantau di dunia Arab yang menjangkau dari Maghribi dan Tunisia ke Yaman dan Somalia serta menggabungkan Levant, Mesir dan yang lain. Ia juga dipengaruhi ke suatu tahap oleh masakan Turki, Afghanistan, Iran, India, Barbar dan budaya-budaya lain rantau itu sebelum Arabisasi kebudayaan dibawa oleh orang Arab mengikut salasilah sewaktu penaklukan Arab Islam. Terdahulunya, orang Arab dari Semenanjung Arab banyak bergantung dengan diet kurma, gandum, barli, nasi dan daging, dengan sedikit kepelbagaian, dengan penekanan pada yogurt, seperti labneh (لبنة) (yogurt tanpa lemak mentega). Apabila kaum Semitik asli mula mengembara, sama juga dengan cita rasa dan ramuan yang digemari mereka.

Banyak daripada rempah yang digunakan dalam masakan Semenanjung Arab juga menyerupai jenis yang ditekankan dalam masakan India. Hal ini merupakan akibat perdangangan yang bergerak rancak di antara kedua-dua rantau dan juga samanya dengan keadaan kini di negara-negara yang kaya dengan minyak yang mana banyak para pekerja Asia Selatan bekerja di negara Teluk Arab.

Responden keempat bernama Ahmad Sayid bin Suparlan berumur 42 tahun serta berasal dari Ponorogo, Indonesia. Beliau adalah dari etnik Jawa. Makanan tradisional bagi etnik Jawa ialah rawon dan bakso. Rawon adalah daging atau ayam yang direbus sehingga lembut dan dimasak bersama isi buah kepayang serta dikisar bersama rempah ratus yang menghasilkan warna kehitaman manakala bakso adalah sup yang mengandungi bebola daging yang disajikan bersama mi kuning dan bihun. Makanan yang menjadi kegemaran respondan di Malaysia adalah nasi lemak.

Masakan Indonesia adalah salah satu tradisi kuliner yang paling kaya di dunia dan penuh dengan cita rasa yang kuat. Kekayaan jenis masakannya merupakan cermin keberagaman budaya dan tradisi nusantara yang terdiri dari sekitar 6.000 pulau berpenghuni dan menempati peranan penting dalam budaya nasional Indonesia secara umum. Hampir seluruh masakan Indonesia kaya dengan bumbu berasal dari rempah-rempah seperti kemiri, cabai, temu kunci, lengkuas, jahe, kencur, kunyit, kelapa dan gula aren dengan diikuti penggunaan teknik-teknik memasak menurut bahan, dan tradisi-adat yang terdapat pula pengaruh melalui perdagangan yang berasal seperti dari India, Cina, Timur Tengah, dan Eropah.

Pada dasarnya tidak ada satu bentuk tunggal “masakan Indonesia” tetapi lebih kepada, keanekaragaman masakan daerah yang dipengaruhi secara lokal oleh kebudayaan Indonesia serta pengaruh asing. Sebagai contoh, beras yang diolah menjadi nasi putih, ketupat atau lontong (beras yang dikukus) sebagai makanan pokok bagi majoriti penduduk Indonesia, namun untuk bahagian Timur lebih umum dikonsumsi sagu, jagung, ubi kayu dan ubi jalar. Bentuk penyajian umum sebagian besar makanan Indonesia terdiri daripada makanan pokok dengan lauk-pauk berupa daging, ikan atau sayur di sisi piring.


5.0       Kesimpulan

Kebanyakan etnik yang ada di Malaysia yang pada asalnya bukanlah etnik asal negara ini tetapi datang secara hijrah disebabkan sebab-sebab tertentu tahu mengenai makanan tradisional etnik di negara kita. Namun begitu, mereka tidak dapat menjelaskan dengan lebih terperinci sesuatu makanan itu berasal dari etnik mana kerana kurang pendedahan berkenaan makanan tradisional mengikut etnik. Terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini antaranya dunia hari ini sudah terdapat pelbagai jenis makanan segera dan makanan baru yang berbagai-bagai bentuk dan warna sehingga menyebabkan kurangnya tarikan terhadap makanan tradisional. Selain itu, kebanyakan masyarakat sekarang terlalu sibuk dengan kerja sehingga kurangnya masa untuk menyediakan sendiri makanan tradisional etnik di rumah dan selalunya mereka memutuskan untuk membeli makanan diluar.

Oleh hal yang demikian, generasi akan datang tidak akan dapat mempelajari cara penyediaan makanan tradisional etnik mereka sendiri dan mereka tidak dapat lagi menikmati keenakan makanan tradisional etnik mereka sendiri yang bukan sahaja kaya dengan zat dan khasiat tetapi mempunyai rasa yang tiada tolak bandingnya jika dinilai dengan makanan segara yang semakin hari semakin popular. Menerusi kajian ini, terdapat terlalu banyak makanan tradisional etnik yang ada tidak kira dalam negara kita mahupun bagi etnik di luar negara. Namun begitu, setiap satu makanan tradisioanal tersebut mempunyai keunikan dan rasa yang tersendiri.


MZ Zainudin, Azizan Tahir



Post a Comment