Sunday, March 20, 2016

Etnik Bugis di Malaysia







1.0       Pengenalan

Etnik Bugis merupakan salah satu etnik yang terdapat di Malaysia. Menurut sejarah, masyarakat Bugis terkenal dengan kepakaran dan kehandalan dalam bidang maritim dan ilmu laut. Mereka juga terkenal dengan sifat kepahlawanan dan lanun yang digeruni pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tujuan kajian dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan muda generasi kini dari segi sejarah, kebudayaan, amalan tradisional etnik Bugis yang kian ditelan zaman moden. Melalui pemahaman yang baik terhadap budaya sesebuah etnik, kerjasama dan perpaduan dalam sesebuah masyarakat dapat dipupuk. Hubungan harmonis antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat Malaysia yang teguh dan dapat merealisasikan impian 1Malaysia. Dalam proses mengkaji dan menganalisis ciri-ciri yang membentuk kumpulan etnik Bugis, aspek akar umbi kepada motivasi yang membentuk batas kumpulan perlu difahami.


1.1       Objektif Kajian

Ojektif kajian ini adalah mengetahui asal usul serta latar belakang masyarakat Bugis di Malaysia, mengetahui penguasaan orang Bugis dalam pentadbiran di Malaysia pada abad ke-18 dan mengenal pasti adat, budaya, kesenian serta sosial etnik Bugis di Malaysia. Hasil daripada kajian yang dijalankan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang etnik Bugis di Malaysia. Individu yang memahami budaya lain tidak akan mempunyai masalah untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan individu yang berlainan agama dan bangsa. Selain itu, individu itu juga tidak akan mengalami kejutan budaya jika berada di kawasan masyarakat yang berlainan bangsa dan agama.


2.0       Metodologi Kajian

Kajian ini telah menggunakan kaedah kualitatif untuk mengumpulkan maklumat agar dapat menghasilkan satu laporan kajian yang lengkap. Maklumat berkaitan tajuak kajian diperolehi  melalui rujukan interner, berita dan jurnal. Namun, rujukan internet merupakan rujukan utama dan paling berkesan untuk mencari maklumat. Melalui informasi dan maklumat yang diperoleh, kajian ini dapat dianalisis secara mendalam untuk memperkukuhkan tajuk kajian kami melalui sumber-sumber yang kami perolehi.

Di samping itu, rujukan kedua adalah melalui rujukan buku ilmiah. Antara buku ilmiah yang dirujuk  adalah  “Modul Hubungan Etnik” edisi kedua terbitan Shamsul Amri Baharuddin untuk memahami lebih mendalam konsep kesepaduan etnik dalam sesebuah masyarakat untuk membentuk kesejahteraan serta keharmonian dalam masyarakat.  

Rujukan ketiga yang digunakan adalah melalui artikel. Rujukan artikel yang diambil adalah dari sumber yang boleh dipercayai seperti artikel terbitan universiti awam lain. Artikel ini dianalisis dan dibandingkan supaya tepat dan sahih.

Rujukan terakhir adalah melalui temu bual. Kaedah ini telah dijalankan ke atas pelajar-pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berketurunan Bugis. Kaedah temu bual ini dijalankan dengan sesi soal jawab merangkumi keempat-empat aspek kajian iaitu asal usul etnik Bugis, perayaan, makanan serta cabaran yang dihadapi etnik Bugis pada masa kini.


3.0       Dapatan Kajian

3.1       Sejarah dan latar belakang etnik Bugis di Malaysia

Masyarakat Bugis mempunyai suatu tradisi dalam kehidupan mereka iaitu belayar, mengembara, berdagang dan merantau. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penghijrahan mereka, salah satunya ialah penjajahan Belanda di Indonesia. Terdapat dua tahap migrasi orang Bugis ke Tanah Melayu. Tahap pertama ialah migrasi pada pertengahan kurun ke-16 akibat tekanan penjajah. Migrasi tahap kedua berlaku ketika Sulawesi mengalami kemiskinan dan gejala sosial yang serius. Pada masa yang sama, faktor tarikan dari Tanah Melayu seperti peluang pekerjaan dan pembukaan tanah baru yang menjamin masa depan.

3.2       Penguasaan orang Bugis dalam politik dan pentadbiran di Johor, Kedah dan
            Perak

Penglibatan orang Bugis di Johor

Sultan Abd. Jalil IV dan puteranya, Raja Sulaiman berperang dengan Raja Kechil (Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah) dan dimenangi oleh Raja Kechil. Raja Sulaiman dilantik  menaiki takhta kerajaan menggantikan Sultan Abd Jalil IV dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Kenaikan takhta Sultan Sulaiman ini secara langsung telah mengiktiraf penglibatan orang Bugis dalam politik di Johor. Orang Bugis telah mengubah sistem kerajaan Johor kerana Sultan Sulaiman yang telah menjadi sultan Johor bukan lagi keturunan diraja tetapi keturunan bendahara. Secara tidak langsung, ia telah menghapuskan warisan Kesultanan Melayu Melaka di Johor. Perkahwinan lima Bugis bersaudara dengan kerabat Diraja Johor telah mengukuhkan lagi pengaruh mereka dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya peranan orang-orang Bugis dalam politik dan pentadbiran Johor.


Penglibatan dan penguasaan orang Bugis di Kedah

Perang saudara antara adik-beradik Raja Kedah telah menyebabkan wujudnya orang Bugis di Kedah. Perang ini melibatkan Raja Kedah yang tua dan Raja Kedah yang muda. Raja Kedah yang tua telah meminta bantuan dari orang Bugis dan sebagai pembalasan, baginda telah memberi habuan kepada orang Bugis berbentuk wang ringgit sebagai tanda terima kasih. Selain itu, Daeng Perani dinikahkan dengan adik Raja Tua Kedah.  Peristiwa ini menunjukkan penglibatan dan penguasaan orang Bugis terhadap politik dan sosial Kedah.


Penglibatan dan penguasaan orang Bugis di Perak

Pada tahun 1728, Daeng  Merewah dan Yamtuan Muda Johor bersama-sama orang Bugis telah membantu Sultan Perak untuk memerangi abangnya Sultan Alauddin Mughayat Syah di Selangor. Malangnya, Daeng Merewah terbunuh dalam peperangan tersebut dan jawatan Yamtuan Muda diserahkan kepada Daeng Chelak. Justeru itu, orang-orang Bugis telah melibatkan diri mereka dalam bidang politik, pentadbiran dan sosial di negeri Perak. Di samping itu, pertabalan Sultan Mahmud sebagai Sultan Perak pada tahun 1766 mengukuhkan lagi penguasaan Bugis di Tanah Melayu terutamanya di Selangor.

Bahasa dan tulisan orang Bugis

Bahasa Bugis adalah salah satu bahasa nusantara yang terdapat dalam austronesia iaitu salah satu bahasa yang dikatakan berasal dari keluarga Malayo-Polynesia ataupun dikenali sebagai bahasa ugi. Tulisan Bugis dikenali sebagai lontara atau aksara Bugis. Lontara adalah tulisan kuno Bugis yang ditulis di atas sejenis daun palma kering dan ditulis dengan garisan-garisan tajam.


Kegiatan sosioekonomi orang Bugis

Kegiatan komuniti Bugis di Sulawesi adalah menjalankan pertanian secara aktif. Antara tanaman utama mereka adalah padi, jagung, pelbagai jenis ubi, kekacang dan sayur-sayuran. Orang-orang Bugis juga menceburi dalam bidang perdagangan dan perikanan. Orang-orang Bugis adalah antara saudagar-saudagar yang terbaik di kepulauan Timur dan nilai kargo mereka sangat tinggi sehingga menyebabkan kaum peniaga sentiasa menunggu-nunggu ketibaan mereka.

Orang-orang Bugis juga memonopoli kawasan bijih timah dan penanaman gambir di Tanah Melayu. Mereka mula melibatkan diri dalam aktiviti perlombongan bijih timah sedekad lebih awal sebelum orang-orang Cina membukanya secara besar-besaran pada abad ke-20.


Agama dan adat budaya orang Bugis

Dalam konteks agama, masyarakat Bugis di Sulawesi mempercayai Tuhan yang digelar Dewa.  Masyarakat Bugis di Sulawesi mempercayai dewa tertinggi yang dinamakan sebagai Patoto‘e (Dewa Yang Menentukan Nasib) atau Dewata seuwa’e (Dewa Yang Tunggal). Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa pada awalnya komuniti Bugis di Sulawesi beragama Buddha sebelum memeluk Islam. Komuniti Bugis dan Makassar telah meninggalkan kepercayaan asal mereka dan akhirnya memeluk Islam.

Pada awal abad ke-17, orang-orang Bugis telah memeluk agama Islam bersama-sama orang-orang Aceh dan Minangkabau dari Sumatera, orang-orang Melayu dari Mindanao, orang-orang Banjar dari Borneo dan orang-orang Sunda dari Jawa Timur. Setelah memeluk Islam, amalan, adat dan budaya yang diwarisi oleh etnik Bugis sejak zaman berzaman kebanyakannya sudah ditinggalkan dan ditukar dengan budaya lain serta ditambah dengan permodenan. Antaranya ialah adat perkahwinan dan adat naik buai bagi bayi yang baru dilahirkan. Orang-orang Bugis juga amat menggalakkan perkahwinan sesama etnik untuk mengekalkan budaya dan bahasa mereka. Di samping itu, mereka juga mahu kekayaan yang mereka perolehi hanya dapat dikekalkan dalam kalangan keluarga mereka sahaja.

Konsep budaya dalam masyarakat Bugis adalah berteraskan tiga konsep utama iaitu pisse (sikap setiakawan yang kukuh),  siri’ ( harga diri dan maruah diri)  serta syara (syariat Islam). Tiga konsep utama ini telah menjadikan masyarakat Bugis hidup bermuafakat, mempunyai jati diri yang kuat di samping menjalani kehidupan mengikut landasan Islam.


Makanan dan seni tarian orang Bugis

Barongko adalah makanan penutup khas suku Bugis, dibuat daripada adunan pisang yang dihaluskan, santan dan telur yang kemudian dibungkus dengan daun pisang. Ais pallu butung adalah makanan yang dibuat dari pisang matang dan dimasak dengan santan yang dicampur gandum, gula pasir, vanila, daun pandan dan sedikit garam, kemudian disajikan dengan ais kisar dan sirap. Lawa adalah makanan khas daerah Luwu yang dibuat daripada jantung pisang yang ditumbuk halus, dicampur dengan ikan segar dan kelapa parut.

Bagi seni tarian pula, tarian pelangi atau dikenali dengan tarian hujan kerana tujuannya untuk memanggil hujan. Tarian paduppa bosara, biasanya dilakukan untuk menunjukkan tanda hormat dan kesyukuran terhadap tetamu. Tarian pattentung yang melambangkan wanita sedang menenun, juga melambangkan ketekunan dan kesabaran wanita-wanita Bugis.


3.3       Hasil Temu Bual

Kajian ini berjaya menemubual empat pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berketurunan Bugis dan satu temu bual panjang berjaya direkodkan sebagai bukti kajian ini. Tiga daripadanya berasal dari Johor dan seorang dari Sabah. Hasil daripada temu bual tersebut, didapati ketiga-tiga pelajar dari Johor tidak mengetahui serta tidak mengamalkan budaya dan adat Bugis. Mereka hanya mengaku berketurunan Bugis melalui pertalian dengan ahli keluarga. Pelajar yang berasal dari Sabah mengetahui serba sedikit serta masih mengamalkan adat Bugis kerana saudara-saudara beliau masih berpegang dengan gaya hidup etnik Bugis. Ada beberapa perkampungan Bugis di Semenanjung yang masih mengamalkan budaya etnik Bugis. Manakala di Sabah, penempatan orang-orang Bugis terletak di Tawau.


4.0       Kesimpulan

Kajian ini dapat memberikan maklumat dengan lebih terperinci tentang etnik Bugis. Hasil daripada kajian ini menunjukkan kehebatan orang Bugis pada zaman terdahulu dan keunikan bahasa mereka. Ilmu-ilmu laut yang mereka dapati membuatkan mereka terkenal dalam kalangan pedagang. Barang-barang yang mereka dagangkan hasilnya baik dan mereka mendapat reputasi yang tinggi dalam kalangan pedagang-pedagang di kepulauan Timur. Perisai dan senjata yang mereka gunakan juga mempunyai ciri-ciri unik tersendiri. Senjata mereka yang terkenal ialah badik. Bahasa mereka iaitu bahasa ugi, merupakan salah satu bahasa yang unik.


MZ Zainudin, Muhammad Naim Omar, Mohammad Nizarman Jusoh, Haqeem Shah Firdaus Shamsudin, Mohammad Amar Mohd Rosli, Mohd Zulfadhli Noor Azman


Post a Comment