Sunday, March 13, 2016

Analisis rusuhan kaum 13 Mei 1969








1.0       Pengenalan

Rusuhan kaum merujuk kepada rusuhan di mana ketegangan hubungan kaum dan etnik menjadi faktor utama (Merriam-Webster, 2015). Ia merupakan gangguan sivil yang terdiri daripada kumpulan yang tidak teratur dan mengamuk secara tiba-tiba serta bertindak melakukan keganasan, laku musnah atau jenayah lain. Sepanjang sejarah, rusuhan kaum berlaku sebagai reaksi kepada kesedihan tertentu atau rasa tidak puas hati. Contohnya, rusuhan kaum berlaku akibat sesuatu kaum tidak berpuas hati dengan keadaan kerja serta taraf hidup yang teruk berbanding dengan kaum lain yang terdapat di negara tersebut. Rusuhan kaum juga akan berlaku jika konflik antara kaum atau konflik antara agama muncul. Bagi menganalisis bahawa rusuhan kaum meruntuhkan sesebuah negara, kertas kerja ini akan menelusuri rusuhan kaum dalam sejarah seperti peristiwa 13 Mei 1969 di Malaysia dan “Black Power 1966” di Amerika Syarikat.

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi yang banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Peristiwa 13 Mei 1969 ini mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969” dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Ini disebabkan oleh rusuhan kaum merupakan tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

1.2       Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor rusuhan kaum dan kepentingan perpaduan kaum bagi negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Ini disebabkan oleh perpaduan kaum merupakan faktor yang amat penting untuk mengekalkan keamanan and keharmonian sesebuah negara. Perpaduan kaum juga dapat mendorong negara menuju ke arah kecemerlangan.

Objektif kajian yang seterusnya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan-kesan rusuhan kaum dalam kalangan generasi muda. Ini dapat menghalangkan dari berulangnya peristiwa rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969 dan pemberontakan hamba oleh Nat Turner pada 1831. Peningkatan kesedaran tersebut juga membantu dalam mengatasi masalah pergaulan antara kaum.

Objektif kajian yang terakhir adalah untuk mengenal pasti polisi dan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah rusuhan kaum. Polisi yang diambil oleh kerajaan berperanan penting kerana jika polisi tersebut tidak efektif, negara akan mengalami keruntuhan dan ia akan mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa.


2.0       Hasil Kajian

2.1       Faktor-Faktor Menyebabkan Rusuhan Kaum

Isu perpaduan di negara kita berkait rapat dengan penjajahan Inggeris. Dasar “pecah dan perintah” yang dilaksanakan oleh pihak British telah meyebabkan kewujudan jurang antara kaum dari sudut ekonomi dan juga menyebabkan pola penempatan kaum. Pada masa itu, orang Cina biasanya tinggal di bandar untuk menjalankan perniagaan. Mereka juga bekerja sebagai pelombong. Sebaliknya, kaum Melayu tinggal di luar bandar dan bekerja sebagai petani atau nelayan manakala kaum India tinggal di kawasan ladang dan bekerja sebagai buruh kasar. Kegiatan ekonomi kaum Melayu dan kaum India bercorak untuk bersara diri. Akibatnya, kedudukan ekonomi masyarakat menjadi tidak sama rata. Ini telah melahirkan perasaan prasangka antara kaum dan menyebabkan hubungan antara kaum di Tanah Melayu menjadi terbatas suatu ketika dahulu. Keadaan ini telah membantu penjajah British untuk mengukuhkan kedudukan dan mengekalkan kuasa mereka.

Faktor seterusnya yang menyebabkan rusuhan kaum ialah perbezaan dalam agama dan budaya. Di Malaysia setiap kaum mempunyai agama dan kebudayaan yang tersendiri.  Masalah  perpaduan  bukan  bermula  daripada  agama  tetapi  bermula  daripada  sikap  jahil penganut terhadap  agama-agama  lain.  Perkara yang  dilakukan secara  tidak  sengaja  telah  menyinggung  emosi  penganut  agama  lain. Ini akan menyebabkan rusuhan kaum berlaku.

Kegiatan ekonomi yang berbeza juga telah menwujudkan jurang pendapatan perbezaan antara kaum. Situasi ini telah menimbulkan perasaan yang tidak berpuas hati antara kaum dan persaingan ekonomi secara tidak sihat. Ketidakseimbangan di Malaysia telah menyebabkan setiap kaum saling mencemburui antara satu sama lain. Sebagai contohnya, orang Melayu mencemburui kemewahan dan kejayaan orang Cina manakala orang Cina dan orang India mencemburui hak keistimewaan orang Melayu yang mendapat peluang perkhidmatan dalam sektor pentadbiran (Tatiuc, n.d.).

Selain itu, faktor perbezaan pangkat dan darjat yang ketara akibat dari dasar pecah dan perintah penjajah telah menimbulkan perasaan tidak puas hati sehingga mencetuskan konflik seperti 13 Mei 1969. Di mana masyarakat telah dikelaskan kepada pekerjaan dan penempatan menjadi faktor penghalang kepada proses integrasi kaum yang lebih baik.

Faktor kegagalan sistem keselamatan negara turut menyebabkan pertumpahan darah selama empat hari bermula dari 13 Mei 1969 sehingga darurat diisytiharkan pada 16 Mei 1969. Pihak tentera gagal menerima maklumat mengenai khabar angin yang mengatakan mengenai kekacauan yang akan berlaku menyebabkan kegiatan risikan tidak dijalankan oleh pihak tentera yang pada ketika itu menjalankan tugas sekunder mereka. Tugas sekunder tentera pada lewat tahun 6o-an ialah menjaga ketenteraman awam dalam menangani masalah Parti Komunis Malaya (PKM).

 2.2      Kesan-Kesan Rusuhan Kaum

Rusuhan kaum jika dibiarkan berterusan boleh mengancam kestabilan politik dan keamanan negara. Sebagai contoh di Malaysia, rakyatnya pernah mengalami peristiwa berdarah akibat dalam Peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa tersebut telah menyebabkan kerajaan terpaksa untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara kita. Rusuhan kaum juga boleh menyebabkan pengasingan kumpulan-kumpulan tertentu dari aspek pelajaran, perumahan dan pekerjaan.

Di samping itu, rusuhan kaum juga akan menjejaskan ekonomi sesebuah negara. Jika rusuhan kaum menjadi lebih serius, aktiviti-aktiviti ekonomi akan berhenti dengan serta-merta. Hal ini akan menyebabkan negara tersebut mengalami kerugian atau kekurangan yang mana perbelanjaan melebihi pendapatan. Kerajaan akan terpaksa membelanjakan banyak duit untuk mendamaikan negara dan membaiki kemudahan awam yang rosak akibat rusuhan kaum. Sementara itu, pendapatan negara akan dikurangkan sekiranya ekonomi terbantut.

Selain itu, banyak pelabur akan menghentikan pelaburan mereka di negara tersebut untuk mengelakkan kerugian. Pelabur asing yang berpotensi juga akan membatalkan hasrat mereka dan memindahkan lokasi perniagaan ke negara lain untuk melindungi harta dan perniagaan mereka. Hal ini akan menyebabkan mata wang negara jatuh teruk. Akibatnya, ramai orang yang gelisah dan risau akan masalah tersebut akan meninggalkan negara tersebut untuk mencari tempat yang lebih selamat. Ini akan membantutkan aliran kewangan negara (Jass, 2010).

Pelabur asing akan menghentikan pelaburan di negara kita akibat berlakunya rusuhan kaum kerana risau mengalami kerugian. Pelabur luar negara yang ingin melabur di negara kita juga akan membatalkan hasrat mereka. Hal ini telah menyebabkan mata wang negara kita jatuh secara tidak langsung apabila ramai akan meningalkan negara kita untuk mencari tempat yang lebih selamat.

Tambahan pula, rusuhan kaum juga akan menimbulkan perasaan benci dan dendam dalam masyarakat yang mampu menggugat keamanan negara. Perbuatan ini akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

2.3       Langkah-Langkah untuk Memupuk Perpaduan Kaum

2.3.1    Saranan dan pengaruh daripada ibu bapa

Bak kata pepatah melentur bulur biarlah dari rebungnya. Ibu bapa merupakan orang yang paling awal mendekati anak-anak mereka. Oleh itu, fikiran dan kelakuan ibu bapa akan mempengaruhi anak-anaknya. Contohnya, jika ibu bapa bersifat rasis, anak-anak mereka juga berpeluang tinggi untuk bersifat demikian. Ibu bapa perlulah sentiasa memupuk semangat perpaduan kaum terhadap anak-anak mereka.

2.3.2    Program dan polisi perpaduan kaum tidak dipolitikkan

Setiap warga Malaysia wajar melihat dan mentafsir program dan polisi nasional secara rasional, objektif dan bijaksana. Contohnya, program pendidikan yang diperkenalkan ialah pelaburan yang berupaya untuk menjamin masa depan warga muda. Oleh itu, pendidikan tidak harus dipolitikkan. Program pendidikan dan polisi perpaduan kaum yang dipolitikkan ialah perbuatan yang paling tidak bertanggungjawab. Ia hanya akan memusnahkan masa hadapan anak-anak dan memporak-perandakan negara.

2.3.3    Peranan media massa dan elektronik

Peranan media massa, media eletronik dan media cetak mendorong masyarakat ke arah perpaduan kerana media merupakan saluran komunikasi yang paling berkesan untuk menyalurkan pelbagai maklumat kepada masyarakat. Contohnya, rancangan siaran langsung semasa perarakan Hari Kebangsaan wajar disiarkan melalui saluran televisyen untuk mendorong perpaduan kaum dalm kalangan rakyat. Mesej-mesej yang memupuk perpaduan kaum juga harus disiarkan melalui radio. Media cetak pula haruslah menjayakan Program Promosi yang dianjurkan oleh kerajaan bagi memperluaskan hebahan  agar kesedaran orang ramai terhadap kepentingan perpaduan  nasional  yang  sentiasa subur di tanah air kita.

2.3.4    Peranan masyarakat

Pemupukan sikap bersatu padu adalah peranan penting bagi setiap individu dalam kalangan masyarakat. Sebagai anak Malaysia, masyarakat perlulah membuangkan sikap yang negatif seperti sikap apati, prejudis, diskriminasi, stereotaip dan etnosentrisme. Masyarakat patut sentiasa memupuk semangat kejiranan dengan kaum lain supaya masyarakat berada dalam keadaan yang damai dan kesejahteraan. Masyarakat haruslah mengamalkan nilai-nilai kejiranan seperti bertolak ansur dan hormat-menghormati. Kerana nilai-nilai tersebut membantu masyarakat untuk memahami dan menghormati agama dan budaya kaum lain. Ini dapat mengukuhkan perpaduan di dalam kalangan masyarakat (Zaharuddin Sani, 2013).

2.3.5    Pendidikan awal dari kecil

Pendidikan moral atau pendidikan agama seperti sifat-sifat saling hormat-menghormati haruslah ditanam kepada genarasi muda sejak kecil lagi. Hal ini tidak sahaja harus dididikan dalam sekolah manakala peranan ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak atau generasi yang baru kerana kebanyakan masa mereka akan berada di dalam rumah pada masa kecil. 


3.0       Kesimpulan dan Cadangan

Sama ada ketidakselesaan terhadap kaum berbeza atau perasaan perkasa terhadap kaum sendiri, rusuhan kaum ialah fitrah manusia dan fakta yang tidak dapat dielakkan kerana anggapan yang telah ditanamkan oleh persepsi sejarah dan lalu diperkuatkan oleh faktor-faktor luaran. Rusuhan kaum merupakan senjata yang mengancam keharmonian rakyat dan juga meruntuhkan sesebuah negara. Berikutnya, ekonomi negara seperti di Malaysia yang masih bergantung pada pelabur asing juga akan mundur. Oleh itu, semua pihak perlu memiliki sifat tanggungjawab untuk mengurangkan dan membanteras rusuhan tersebut, terutamanya pihak kerajaan dan pihak masyarakat. Pihak dahulu mempunyai kuasa rasmi untuk mempersatukan rakyat-rakyat di sesebuah negara manakala pemupukan nilai murni dalam masyarakat ialah sokongan yang kuat daripada pihak yang kemudian.

Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia, kita diseru agar mempertahankan maruah bangsa dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan. Bak kata pepatah “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” kerana perpaduan kaum hanya akan wujud apabila semua kaum dapat menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolar-unsur.


Rujukan

Arkib Negara Malaysia. (2015). Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia. Diperolehi pada 23 June 2015, daripada http://www.arkib.gov.my/web/guest/pilihan-raya-umum-ketiga-tahun-1969.

Flurry, G. (2014). Where America's Race Riots Are Leading. The Trumpet. Diperolehi pada 17 July 2015, daripada https://www.thetrumpet.com/article/12158.32877.169.0/society/race/where-americas-race-riots-are-leading.

Jass (2010). Peristiwa 13 Mei. Diperolehi pada 10 Julai 2015, daripada   http://www.slideshare.net/jass388/peristiwa-13-mei.

Matheson, V., & Baade, R. (2004). Race and riots: A note on the economic impact of the Rodney King Riots. Urban Studies, 41(13), 2691-2696. doi:10.1080/0042098042000294628.

Melvister (2014). Kepentingan Perpaduan Kaum Tugasan Sejarah PT3 2014 | Melvister. Diperolehi pada 10 Julai 2015, daripada http://www.melvister.com/2014/07/kepentingan-perpaduan-kaum-tugasan-sejarah-pt3-2014.html.

Naqvi, M.  (2015). Political tensions fuel religious riots between Muslims and Hindus in Trilokpuri. Diperolehi pada 16 July 2015, daripada http://www.huffingtonpost.com/2014/11/10/trilokpuri-hindu-muslim-riot_n_6110940.html.

Tatiuc (n.d). Peristiwa 13 Mei dan Kesannya Dari Sudut Ekonomi. Diperolehi pada 10 Julai 2015, daripada http://tatiuc.edu.my/syahrul/peristiwa_13_mei.htm.

Tyler, W. (2015). The American's Creed. UShistory. Diperolehi pada 23 June 2015, daripada http://www.ushistory.org/documents/creed.html.

Webster, M. (2015). Race riot | A violent fight between people of different races : A riot that is caused by racial anger, hatred, etc.. Diperolehi pada 16 July 2015, daripada http://www.merriam-webster.com/dictionary/race%20riot.

Zaharuddin Sani, A. (2013). Negara Akan Terus Maju Jika Perpaduan Kaum Dapat Dikekalkan - Kolumnis | MStar. Diperolehi pada 10 Julai 2015, daripada http://www.mstar.com.my/kolumnis/2013/03/13/negara-akan-terus-maju-jika-perpaduan-kaum-dapat-dikekalkan/.



MZ Zainudin, Tan Ren Jie, Tang Hong Kwong, Muhammad Faiz Azman, Muhammad Syahmi Zainal Kifli, Mohamad Zawawi Mohd Akhir


No comments:

Post a Comment