Thursday, March 03, 2016

Kepelbagaian manfaat kelapa dalam masyarakat Malaysia







1.0       Pengenalan

Kelapa atau dikenali juga sebagai nyiur adalah tumbuhan yang senang untuk didapati dan mempunyai pelbagai kegunaan yang boleh dimanfaatkan. Pokok kelapa mempunyai pelbagai bentuk bergantung kepada jenis dan variasi. Pokok kelapa kebiasaannya mempunyai batang yang kurus, buah dan pelepah daun sepanjang 4-7 meter. Asal usul pokok kelapa tidak dapat dikenal pasti kerana terlampau banyak pendapat yang telah menjadi perbahasan. Antaranya mendakwa bahawa kelapa berasal dari semenanjung Asia Tenggara manakala selebihnya mendakwa ianya berasal daripada Amerika Selatan. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ianya telah tersebar di sebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa juga mudah didapati di Malaysia.

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar. Sebatang pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun, dengan itu ianya mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Sebagai contoh buah kelapa boleh diminum dan digunakan dalam masakan, batang kelapa boleh dijadikan titi, tempurung kelapa juga boleh digunakan dalam aktiviti keagamaan dan lain-lain lagi.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Majoriti daripada masyarakat Malaysia menggunakan elemen daripada pokok kelapa dalam kehidupan harian mereka. Ini adalah sebab kerana kelapa mudah didapati, murah dan mempunyai pelbagai kegunaan. Pokok kelapa boleh dikategorikan sebagai keperluan asas harian rakyat Malaysia.  Pada zaman kini, terdapat pelbagai pembaharuan terhadap pokok kelapa.


2.0       Kegunaan Pokok Kelapa Kepada Kaum-Kaum Di Malaysia

2.1       Masyarakat Melayu

Kelapa dikenali sebagai pokok seribu guna kerana ianya mempunyai pelbagai kepentingan kepada masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Kepentingan kelapa terbahagi kepada beberapa aspek seperti ubatan, makanan, adat dan tradisi, permainan dan akhir sekali pembinaan dan kraftangan. Dari segi ubatan, seperti yang kita tahu kelapa sememangnya kaya dengan khasiat dan zat yang penting yang diperlukan dalam setiap badan manusia seperti vitamin, serat, potasium dan antioksidan. Masyarakat Melayu kebanyakannya menggunakan air kelapa dalam pengubatan dalam menyembuh penyakit dan mengembalikan tenaga semula dalam badan. Mereka mempercayai bahawa air kelapa muda boleh menjadi penawar kepada demam campak ataupun keracunan makanan dan apabila menghidap alergi terhadap ubat tertentu.

Kebanyakan para wanita pada zaman dahulu menggunakan santan yang diperoleh daripada kelapa sebagai produk kecantikan dan dicampur dengan bahan lain supaya lebih berkesan penggunaannya. Ianya juga diyakini dapat menyingkirkan dan menggantikan sel kulit yang mati dengan lebih cepat. Bukan itu sahaja, minyak yang diperoleh daripada sabut kelapa juga diproses untuk menghasilkan produk kosmetik dan farmasi. Selain itu, air kelapa merupakan air isotonik semula jadi yang mengandungi mineral untuk mengatasi masalah lesu dan pucat di muka.

Dagi aspek makanan dan minuman pula, kebiasaannya isi kelapa parut dijadikan sebagai inti ataupun penyalut kuih-muih untuk menambahkan selera dan dijadikan hiasan supaya kuih-muih tersebut lebih menarik. Santan selalunya dijadikan bahan utama makanan tradisional Melayu kerana kelemakan serta keunikan perisanya.  Santan kelapa digunakan oleh masyarakat Melayu untuk membuat lauk masakan seperti kari, bubur, dan nasi pulut. Santan yang diperoleh daripada kelapa juga diletakkan dalam pelbagai juadah apabila menjelangnya hari raya ataupun perayaan lain. Umbut kelapa muda boleh dimasak sayur lemak yang kebiasaannya dibuat pada sesuatu majlis seperti majlis kenduri.

Bukan isi kelapa sahaja yang dijadikan makanan, malahan bunga kelapa juga mengandungi khasiatnya yang tersendiri. Bunga kelapa mengandungi cecair manis yang boleh dibuat gula ataupun minuman. Tandan kelapa pula dibelah dan akan mengeluarkan satu cecair yang dipanggil nira. Rasa nira itu sangat manis dan boleh dijadikan sebagai minuman. Apabila nira itu disimpan terlalu lama, air nira tersebut boleh bertukar menjadi cuka ataupun tuak sewaktu proses penapaian berlaku. Nira juga diproses menjadi gula Melaka, cuka atau todi. Kelapa tua diproses untuk dijadikan minyak masak untuk makanan harian dalam pelbagai jenis kuih-muih. Minyak daripada sabut kelapa diproses untuk dijadikan minyak pelita.

Di samping itu, mengikut adat dan tradisi masyarakat Melayu sejak turun-temurun, kelapa biasanya akan digunakan dalam majlis cukur rambut bagi bayi yang baru lahir. Nama lain bagi majlis cukur rambut juga disebut sebagai adat potong jambul. Adat ini dilakukan pada hari ketujuh setelah bayi dilahirkan. Sebiji kelapa muda akan dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelilingnya. Rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Akhirnya kelapa tersebut ditanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Selain itu, bunga mangga yang biasanya dilihat dalam majlis kenduri kahwin itu sebenarnya diperoleh daripada daun pokok kelapa yang disiat ataupun dikaut sehingga menghasilkan lidi. Terdapat beberapa kepercayaan masyarakat Melayu sejak dulu yang dipanggil lenggang perut. Ianya adalah bertujuan bagi memastikan jantina bayi di dalam kandungan. Kelapa akan diguling atas perut hingga ke kaki untuk menentukan jantina bayi tersebut.

Dengan adanya pokok kelapa, terhasilnya beberapa permainan tradisional Melayu sejak dulu yang berasaskan penggunaan kelapa tersebut. Antara permainan yang berasaskan penggunaan kelapa ialah permainan tarik upih, boling padang dan akhir sekali lari tempurung. Kesemua permainan ini menggunakan pokok kelapa sebagai contoh permainan tarik upih yang menggunakan daun kelapa untuk menarik penumpang yang akan duduk di atasnya. Bagi permainan boling padang pula menggunakan buah kelapa sebagai bola boling untuk menjatuhkan tin. Akhir sekali permainan lari tempurung yang menggunakan tempurung kelapa yang dibelah dua dan seterusnya diikat dengan menggunakan tali. Pemain akan meletakkan kaki mereka di atas tempurung tersebut dan lari bergilir-gilir.

Kegunaan pokok kelapa bukan sahaja penting dalam aspek kesihatan, makanan, budaya dan permainan tradisional masyarakat Melayu malah ianya juga boleh dijadikan sebagai kraftangan dan digunakan untuk pembinaan. Tempurung kelapa boleh diukir serta diwarnakan dan kemudian dijadikan sebagai barang perhiasan. Batang kelapa boleh dijadikan senduk, sudip dan lain-lain. Batang kelapa juga boleh diproses menjadi kayu untuk kegunaan industri pembinaan dan perabot. Ianya juga boleh dibuat titi serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai. 

Bukan itu sahaja, tempurung kelapa juga berkebolehan untuk dijadikan sebagai bahan bakar. Ianya akan diproses menjadi arang teraktif, bahan bakar dalam pembuatan ubat nyamuk. Serbuk sabut boleh dibuat bahan reput dan bahan komposit dalam pertanian. Bagi orang dulu-dulu, mereka menjadikan tempurung kelapa sebagai gayung. Ianya juga boleh dijadikan sebagai tabung untuk menyimpan duit. Daun kelapa biasanya digunakan oleh para peniaga untuk dijadikan pembalut makanan seperti ketupat dan lain-lain. Lidi kelapa boleh dibuat penyapu dan dijadikan sebagai penyucuk satay. Sabut kelapa pula boleh dijadikan sebagai tali. Jelas di sini bahawa kelapa sememangnya mempunyai pelbagai kepentingan dalam pelbagai aspek kepada masyarakat Melayu sejak turun-temurun sehingga kini.

2.2       Masyarakat India

Pokok kelapa sangat berguna untuk kaum India. Buah kelapa digunakan oleh kaum India dalam masakan lauk-pauk dan kuih-muih tradisional kaum mereka. Mereka menggunakan santan, kelapa parut dan minyak masak. Makanan yang paling popular ialah putu mayam. Putu mayam bukan sahaja popular dalam kalangan kaum India malahan kaum lain pun ada yang menyukainya. Putu mayam ialah makanan sampingan bagi kaum India. Cara cara membuat putu mayam ialah menggoreng tepung secara halus seperti buhum lalu bentukkannya menjadi bulat. Putu mayam mempunyai dua tiga jenis warna tetapi kebiasaannya warna putih.  Kelapa parut dan gula merah selalunya akan diletakkan di atas putu mayam sebagai perasa.

Di samping itu, kelapa dijadikan bahan utama dalam masakan hidangan sampingan kaum India ini iaitu chutney. Chutney mempunyai dua jenis iaitu chutney yang berwarna hijau dan berwarna putih. Chutney yang berwarna hijau mempunyai banyak kandungan cili api dan sedikit kandungan kelapa di dalam masakan tersebut. Manakala, chutney yang berwarna putih pula melebihi kelapa daripada bahan yang lain. Chutney tersebut selalunya dimakan bersama tosai dan idili. Ia merupakan hidangan utama ketika menyambut Deepavali. Selain itu, kuih athirasam merupakan salah satu jenis kaum India yang menggunakan kelapa sebagai bahan. Kuih athirasan merupakan kuih yang dikenali oleh pelbagai kaum. Kuih ini senang dijumpai di kedai Melayu atau India di seluruh Malaysia. Kuih ini diperbuat daripada kelapa parut, gula merah dan tepung beras. Seterusnya, laddu merupakan makanan yang popular dalam kalangan kaum India. Laddu adalah sajian utama manisan yang berbentuk bola kecil. Ia disediakan ketika menyambut perayaan atau majlis. Laddu mempunyai simbolik yang tersendiri iaitu kemakmuran dan kemanisan hidup. Upacara atau majlis seperti perkhawinan, Laddu adalah hidangan utama diberikan sebagai tanda menghormati tetamu. Nama laddu diambil daripada ladduka dan lattika yang bermaksud bola kecil.

Bagi aspek adat dan kepercayaan, kaum India percaya bahawa kelapa memberi seribu satu kelebihan kepada mereka. Bagi mereka daun kelapa dapat menyatupadukan ahli keluarga agar semakin rapat dengan cara mengikat daun kelapa pada pagar rumah mereka ketika perayaan. Kaum India merupakan kaum di Malaysia yang paling banyak menggunakan kelapa dalam upacara ataupun perayaan mereka kerana mereka menganggap buah kelapa dapat menyucikan hati mereka kerana isi kelapa yang berwarna putih sebagai simbol kesucian.

Selain itu, mereka juga menggunakan kelapa ketika menyambut perayaan Thaipusam dan perayaan Aadi Perukku dengan memecahkan buah kelapa tersebut ke tanah. Tujuan memecahkan buah kelapa tersebut adalah kerana mereka mempercayai bahawa tempurung kelapa yang keras dan isi kelapa yang putih dan manis itu merupakan simbolik kepada kemanisan hidup setelah melalui kepahitan dan keperitan dalam kehidupan. Ia juga membawa maksud apabila sudah bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh, kelak akan memperoleh kesenangan hidup. Mereka juga meminta kepada Tuhan mereka untuk memecahkan realiti pahit kehidupan dan digantikan kepada kebahagiaan akan datang dan menggunakan kelapa kerana isi kelapa yang putih itu untuk bertujuan menyucikan dan membersihkan hati mereka.

Manakala bagi aspek kesihatan, kaum India juga mempunyai ubat tradisional. Kaum India menggunakan air buah kelapa untuk menyembuhkan penyakit demam campak dan penyakit bintik-bintik merah ditubuh badan pesakit. Bagi mereka, air kelapa sangat bagus untuk merawat demam campak. Selepas minum air kelapa pesakit itu tidak lagi akan menghadapi penyakit demam campak seumur hidup. Selain itu, bagi ibu yang hamil air kelapa merupakan minuman yang sihat kerana dapat meredakan morning sickness dan dapat mencegah muntah-muntah yang berlarutan.

Akhir sekali, pada zaman dahulu kebanyakan kaum India menggunakan daun kelapa untuk dijadikan atap rumah kerana kos sara diri pada zaman itu sangat tinggi bagi mereka. Kaum India kebanyakkannya tinggal di kawasan estet dan ladang yang penuh dengan pokok kerana itu kaum India membina sebuah rumah dengan menggunakan bahan yang mudah didapati iaitu bahan utama rumah mereka pada zaman itu ialah daun pokok kelapa. Mereka juga membuat penyapu lidi menggunakan daun pokok kelapa pada zaman itu.


3.0       Pembaharuan Kegunaan Kelapa

Pada era masa kini, pembaharuan terhadap kelapa semakin meningkat dalam masyarakat. Masyarakat menggunakan kelapa untuk membuat makanan tambahan, perhiasan, kesihatan dan sebagainya. Di Malaysia, rata-ratanya menggunakkan kelapa untuk dijadikan minuman dan makanan tambahan serta pencuci mulut. Contohnya sangkaya dan coconut shake, minuman ini sangat terkenal di Malaysia dan menjadi pilihan masyarakat terutama pada musim panas. Minuman ini terhasil daripada isi kelapa dan air kelapa yang dicampur dengan perisa tambahan untuk menghasilkan minuman yang lazat dan dapat mengurangkan dahaga.

Sangkaya merupakan aiskrim yang diperbuat daripada isi kelapa yang dikisar halus dan ditambah dengan perisa yang lain bagi menambahkan kelazatan terhadap sangkaya tersebut untuk memenuhi selera pelanggan yang merasainya. Sangkaya digemari kerana cara penyediaanya yang menarik dan rasa yang berjaya menarik selera pelanggan yang menikmatinya. Bagi orang yang gemarkan kelapa, pasti akan tertarik dengan sangkaya ini kerana sangkaya ini 90 peratus adalah kelapa. Di Malaysia, sangkaya boleh didapati di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor Bharu, Seremban dan Melaka. Seperti di Melaka, sangkaya telah pun mengembangkan sayapnya terutamanya di pusat membeli belah AEON di Bandaraya Melaka, Dataran Pahlawan dan Jonker Walk.

Seterusnya coconut shake bermaksud kelapa goncang, nama ini diberi kerana air kelapa dan ini kelapa dikisar bersama aiskrim valina di dalam satu pengisar untuk menyatukan rasa valina dengan air kelapa. Coconut shake merupakan sejenis minuman dan adakalanya dijadikan sebagai pencuci mulut. Coconut shake selalunya menjadi pilihan orang ramai ketika di waktu tengah hari dan petang kerana boleh menghilangkan dahaga. Coconut shake yang terkenal di Malaysia boleh didapati di Klebang. Selain daripada itu, terdapat juga coconut shake Alai terletak di perkampungan Alai dan coconut shake Batu Berendam yang terletak di Batu Berendam.

Akhir sekali, pembaharuan terhadap kelapa ini semakin terkenal dalam kalangan masyarakat kini tidak mengira umur ataupun usia. Pembaharuan seperti ini yang kita mahukan untuk generasi akan datang supaya mereka tidak seperti ‘katak dibawah tempurung’ mengenai kelapa.



MZ Zainudin, Nurfarah Afiqah Nazli, Nur Hazimah Hassan, Nur Baiduri Zulkepli, Umi Umairah Lokman, Siti Maisarah Shahrul Nuwii  


No comments:

Post a Comment