Sunday, March 06, 2016

Merancang kewangan







Perubahan gaya hidup mengundang pelbagai impak ke atas pengurusan kewangan individu dan keluarga. Di Malaysia, impak ketara yang dapat dilihat adalah peningkatan kadar berhutang kerana rakyat negara itu banyak berbelanja untuk memenuhi keperluan hidup. Apatah lagi kos hidup yang semakin bertambah dari tahun ke tahun menjadikan gaji bulanan yagn diterima semakin kecil.

Laporan Kajian Sentimen Pelabur Manulife (MISI) baru-baru ini menunjukkan 68 peratus rakyat Malaysia menghadapi bebanan hidup akibat hutang. Peratusan ini adalah paling tinggi dalam kalangan negara yang dikaji iaitu China, Filipina, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura dan Taiwan.

Jumlah ini juga amat membimbangkan kerana keselamatan kewangan pada masa hadapan akan terjejas.

Terdapat tiga aspek hutang rakyat Malaysia telah dikenal pasti iaitu perbelanjaan keperluan hidup (60 peratus), sewa kediaman (44 peratus) dan pendidikan anak-anak (37 peratus).

Belanja untuk keperluan hidup merangkumi makan minum, tempat tinggal dan pakaian. Jika sebuah keluarga memiliki kenderaan, sudah tentu perlu menyediakan bayaran ansuran bulanan dan minyak.

Pendidikan anak-anak amat penting sebagai pelaburan jangka masa panjang. Sebuah kelaurga yang mempunyai tiga orang kecil dan masih bersekolah perlu menyediakan lebih daripada seribu ringgit bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik.

Justeru, berapakah simpanan yang boleh dilakukan oleh sebuah keluarga kecil jika mengambil kira keperluan harian, kediaman dan pendidikan? Sudah tentu tidak banyak.

Simptom pengurusan kewangan keluarga yang lemah ialah tidak dapat mengenal pasti aliran perbelanjaan wang setiap bulan, tidak peka dengan hutang, menghadapi masalah membayar bil-bil bulanan, menimbun hutang lama dengan membuat pinjaman peribadi, memulakan kerja sampingan untuk mengurangkan beban kewangan, bergantung kepada kad kredit untuk membayar keperluan hidup dan tidak mempunyai tabiat menyimpan.

Terdapat banyak cara untuk mengurus kewangan keluarga. Pertama, membuat rekod pembelian dan perbelanjaan bulanan supaya kita dapat menjejaki perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan. Tarikan membeli barang bukan keperluan sangat kuat apabila kita mengunjungi pasar saya terutama ketika membawa anak-anak. Biasanya keinginan anak-anak sukar ditolak, jadi di sinilah wang yang patut digunakan untuk barangan keperluan ‘ditelan’ oleh keinginan anak-anak.

Membuat rancangan simpanan bermula dengan mengurangkan perbelanjaan simpanan bulanan. Bermula dengan bulan pertama, seharusnya perbelanjaan dapat dikurangkan pada bulan kedua, ketiga dan seterusnya.

Kedua, membuat potongan gaji bulanan secara tetap. Sejumlah potongan gaji wajar dijadikan sebagai satu tabiat supaya bagi tempoh jangka masa panjang, simpanan itu dapat dijadikan pelaburan. Katakan kita membuat potongan bulanan sebanyak lima hingga sepuluh peratus dan tidak diusik, ia menjadi tabiat apabila kita dapat mencongak jumlah yang akan diperoleh dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Keinginan untuk menyimpan muncul apabila kita dapat melihat kesan positif jumlah yang dapat disimpan itu.

Jika kita tidak dapat menyimpan wang ini secara sendirian, kita boleh menggunakan perkhidmatan di institusi kewangan melalui pelbagai skim simpanan. Katakan kita mengambil skim simpanan selama 25 tahun dengan kadar potongan gaji bulanan sebanyak RM100. Sudah tentu jumlah yang bakal diterima nanti sangat banyak.

Ketiga, memulakan perniagaan sampingan dengan modal kecil. Kecil di sini bermaksud di bawah RM500. Banyak jenis perniagaan yang modalnya sangat kecil seperti makanan atau minuman, ataupun perkhidmatan. Peringkat awal pastikan perniagaan itu dapat menjana pulangan modal, seterusnya keuntungan secara berkala sama ada harian atau mingguan. Untung harian dan mingguan ini boleh memberi dorongan untuk lebih bersemangat dalam berniaga. Sekiranya kita tidak tahu di mana hendak mencari pelanggan, mulakan dulu dengan rakan-rakan sekerja, jiran tetangga dan rakan jaringan sosial dalam facebook atau whatsapp. Dalam seribu orang, tentulah sepuluh atau dua puluh yang akan tertarik bertanyakan produk kita.

Dalam hidup hari ini, tidak ramai yang bebas daripada hutang, namun kita mesti merancang bersungguh-sungguh untuk bebas hutang. Kebebasan berhutang menjadikan hidup kita lebih aman, ibadah lebih fokus dan mendamaikan hati. Jadikanlah hari ini sebagai permulaan untuk kita membuat strategi kewangan yang berkesan supaya setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan akan membawa berkat.

  
Post a Comment