Tuesday, March 01, 2016

Subetnik Semai Perak








1.0       Pengenalan

Secara umumnya, subetnik Semai Perak merupakan golongan masyarakat orang Asli yang tinggal di kawasan Melayu dan mengamalkan cara hidup seperti masyarakat Melayu. Dari segi kepercayaan, sebilangan besar masyarakat Semai Perak berpegang kepada fahaman animisme. Masyarakat Semai Perak juga mengamalkan gaya hidup seperti hidup secara nomad iaitu berpindah-randah. Anak-anak mereka juga dididik sepenuhnya dengan cara hidup masyarakat mereka. Unsur-unsur positif ini juga memberi impak kepada subetnik Semai Perak yang masih lagi mengamalkan beberapa adat resam keturunan mereka.


2.0       Sorotan Literatur

Orang Semai merupakan cabang etnik yang berasal dari kelompok Senoi. Kaum Semai terbentuk dari suku Hoabinhnian dan Neolitik. Suku kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Bancian pada tahun 1993 menunjukkan jumlah mereka telah meningkat lebih daripada 42,000 orang. Masyarakat subetnik Semai merupakan suku kaum Orang Asli yang mempunyai populasi terbanyak. Kebiasaannya, mereka boleh ditemui di seluruh Semenanjung dan sempadan antara Malaysia dengan Utara Thailand hingga ke Selat Johor di Selatan.

Hidup secara bermasyarakat, sebuah kampung biasanya terdiri daripada 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu atau “Batin” yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti ketua adat, pawang serta bomoh. Sebagai suku kaum Orang Asli atau masyarakat peribumi, merekalah generasi yang mula mencorakkan sesebuah negara. Secara umum, istilah Orang Asli merujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik natif sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan sepenuhnya, lama sebelum wilayah itu wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat (Hasan Mat Nor, 1998). Definisi yang hampir sama diberikan kamus Longman (edisi kedua, 1997) yang mentakrifkan Orang Asli sebagai aboriginal iaitu para penduduk asal (aborigines) yang telah wujud di sesuatu negeri sejak awal lagi.

Masyarakat Semai Perak menganggap objek-objek di sekeliling mereka mempunyai kuasa ghaib luar biasa yang boleh mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka amat menekankan hubungan yang mesra dan baik dengan alam semesta. Menurut mereka, kewujudan hubungan yang baik antara manusia dengan alam sekitar akan menjadi kunci kepada kesejahteraan hidup yang harmoni. Selain itu, Orang Semai percaya bahawa terdapat empat unsur yang membentuk tubuh manusia iaitu jasad, semangat, roh dan malaikat. Kehidupan manusia dikawal oleh makhluk superhuman yang dipercayai wujud di sekeliling mereka. Secara keseluruhannya makhluk superhuman terbahagi kepada tiga iaitu Nyenaang, Maklikat dan Nyaniik. Nyenaang ialah kuasa yang menyerupai tuhan manakala Maklikat pula berperanan sebagai orang suruhan kepada Nyenaang.

Konsep tenghaak pula meletakkan ahli-ahli masyarakat yang melakukan sesuatu dosa dalam keadaan bersalah. Konsep ini dikaitkan dengan pembalasan oleh makhluk-makhluk superhuman yang dipercayai terdapat di sekeliling mereka. Pembalasan tersebut biasanya diterima oleh pesalah berkenaan semasa beliau masih hidup. Bentuk-bentuk pembalasan itu termasuklah bencana penyakit seperti gila, lumpuh, kemalangan, tidak murah rezeki, papa kedana dan banyak lagi. Konsep tersebut mampu menjauhkan ahli-ahli masyarakat ini daripada berbuat sebarang kesalahan, meski perbuatan itu tidak diketahui oleh orang lain. Kesalahan-kesalahan ini bukan terbatas sesama manusia sahaja, sebaliknya merangkumi keseluruhan makhluk yang ada di dunia ini.

Konsep terlaij juga berperanan membentuk kehidupan sosial subetnik ini. Konsep terlaij merujuk kepada satu bentuk denda yang dilakukan oleh Engku (guruh/petir) kerana menimbulkan kemarahan makhluk berkenaan. Antara kesalahan besar yang boleh menyebabkan bencana terlaij ini adalah perbuatan mempersendakan atau mentertawakan binatang-bintang kesayangan Engku seperti rama-rama dan kupu-kupu, cacing, patung-patung, beruk yang dihiasi seperti manusia dan mentertawakan benda-benda ganjil seperti orang cacat, binatang yang sedang mengawan, gambar-gambar dan seumpamanya.

Ngooi pula merujuk kepada penyakit yang timbul akibat Nyaniik menawan ngooi (bau) manusia. Nyaniik (hantu) ngooi adalah bersifat binatang seperti kerbau, gajah, babi dan lain-lain yang biasanya terdapat dalam hutan. Nyaniik ini berjaya menangkap ngooi seandainya seseorang itu tertinggal sesuatu barang yang dipakainya seperti baju, kain, kasut, parang dan seumpamanya di dalam hutan. Penyakit-penyakit yang ditimbulkan oleh Nyaniik ngooi ialah sakit-sakit tulang, urat, sendi, kelenjar dan sebagainya. Kepercayaan ini telah mendorong ahli-ahlinya setiasa cermat terutamanya semasa berada di dalam hutan. Umumnya ketakutan terhadap penyakit ini dapat mengelakkan Orang Semai daripada menjadi seorang yang pelupa.

Mereka juga mempunyai pantang larang yang wajib dipatuhi oleh setiap masyarakat Semai. Sebagai contoh, masyarakat ini melarang anggota-anggotanya bersuka-ria atau membuat bising sewaktu nyaap iaitu ketika waktu senja. Larangan ini berkaitan dengan kepercayaan bahawa waktu senja bagi manusia adalah waktu pagi bagi Nyaniik. Pantang larang yang sama juga dikenakan ketika hujan panas. Masyarakat ini dilarang bermain air hujan panas kerana mereka percaya bahawa air hujan panas merupakan air mata Nyaniik, khususnya kikmoij (hantu manusia). Masyarakat ini juga percaya bahawa air hujan panas berasal daripada teguran ataupun pertanyaan kikmoij. Mereka ditegah bermain air hujan panas kerana dengan berbuat demikian, orang tersebut akan dirasuk oleh kikmoij tersebut. Mengikut kepercayaan mereka, setiap teguran Nyaniik akan menjadi penyakit kepada ahli masyarakat mereka.

Masyarakat ini juga mestilah mematuhi beberapa pantang larang semasa membuat rumah. Sebagai contohnya, gelegar rumah tersebut mestilah dibuat separas dengan dinding. Pantang larang ini adalah berhubung dengan kepercayaan terhadap Nyaniik Maai Lalu yang melarang anak cucunya berbuat sedemikian. Masyarakat ini juga dilarang menghubungkan tali ampaian dengan tiang rumah mereka kerana dipercayai ianya akan mengganggu perjalanan Nyaniik Maai Lalu ini. Selain itu, mereka hendaklah menanam pokok pemulih di setiap penjuru rumah supaya Nyaniik mengenali rumah tersebut sebagai rumah anak cucunya dan seterusnya tidak akan mengganggu kehidupan mereka. 

Di samping itu, masyarakat Semai juga tidak boleh membuat rumah pada hari Rabu kerana mengikut kepercayaan, rumah tersebut akan menjadi “panas” sekiranya larangan ini dilanggar dan sebagai akibatnya, penghuni rumah tersebut akan selalu mendapat penyakit, tidak ada rezeki dan pelbagai lagi perkara-perkara buruk akan menimpa mereka.

Subetnik Semai Perak juga mempunyai beberapa peraturan yang telah ditetapkan sebelum mereka berkahwin. Terdapat empat jenis kategori syarat bertemu jodoh yang diamalkan oleh subetnik ini. Kategori pertama merujuk kepada perlakuan sumbang mahram serta hubungan lain yang dilarang keras iaitu perkahwinan di antara pasangan adik beradik atau anak dengan ibu bapa. Kategori kedua pula ialah perkahwinan yang sangat tidak digalakkan. Kategori ini merujuk kepada pasangan lelaki dan perempuan yang mempunyai pertalian darah yang rapat seperti adik-beradik ibu, sama ada lelaki atau perempuan, dengan anak saudara mereka. Selain itu, perkahwinan yang tidak digalakkan pula merujuk kepada pasangan lelaki dan perempuan yang mempunyai pertalian darah yang agak rapat. Akhir sekali, perkahwinan yang digalakkan pula merujuk kepada pasangan lelaki dan perempuan yang mempunyai pertalian darah yang jauh atau tidak mempunyai tali persaudaraan langsun.

Kaum Semai juga turut mempunyai hari perayaan sendiri seperti Hari Genggulang atau lebih dikenali sebagai Hari Menyambut Tahun Baru, Hari Menuai dan Hari Membuka Ladang Baru. Hari Genggulang kebiasaannya disambut oleh Suku Kaum Semai yang tinggal di kawasan Perak Tengah, Hilir Perak dan Selatan Perak pada akhir tahun iaitu akhir bulan Disember atau di awal tahun pada bulan Januari atau Februari. Perayaan tersebut merupakan upacara tahunan yang paling meriah dan penuh tradisi. Mengikut kepercayaan turun-temurun Suku Kaum Semai, Hari Genggulang diadakan untuk kesejahteraan dan keselamatan kampung. Namun begitu pada masa kini upacara tersebut sudah beransur berubah mengikut peredaran masa. Kaum Semai menyambut hari menuai padi dengan mengadakan kenduri pada hari pertama padi dituai. Hari itu merupakan hari yang paling sibuk kerana setiap orang menjalankan berbagai-bagai aktiviti seperti menangkap ikan, memburu, mengutip sayur, menuai dan menumbuk padi sebagai persediaan untuk kenduri besar.

Selain itu, membuat ladang merupakan tugas yang mesti dilakukan oleh Orang Asli sebagai punca pendapatan mereka. Setiap tahun mereka akan membuka ladang baru untuk mendapatkan makanan. Mengikut kepercayaan setiap hutan tebal, gunung, gaung, bukit, dan anak sungai ada keramat dan penunggu yang boleh mendapatkan bencana atau bala. Oleh itu, untuk keselamatan diri dan tapak ladang, mereka akan mengadakan kenduri sebagai menjamu penunggu atau keramat di daerah itu. Kenduri ini biasanya diiringi oleh sewang diwaktu malam hingga ke siang hari.


3.0       Metodologi

Kajian ini dilakukan melalui kaedah soal selidik yang dijalankan di sekitar kawasan Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Borang soal selidik diagihkan secara rawak kepada 30 pelajar UTeM mengikut tiga jenis bangsa iaitu iaitu Melayu, Cina dan India. Selepas itu, borang soal selidik dikumpulkan untuk analisis seterusnya.


4.0       Hasil Kajian

i) Tahap pengetahuan terhadap subetnik Semai Perak.

Didapati bahawa majoriti mahasiswa dan mahasiswi UTeM tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai subetnik Semai Perak. Hal ini demikian kerana tempat pengajian mereka jauh daripada kawasan penempatan masyarakat ini. Responden kurang berpeluang mengenali kebudayaan subetnik ini. Namun begitu, terdapat juga responden yang mengenali kawan yang berketurunan Semai Perak. Responden tersebut dapat berinteraksi dengan mereka seterusnya meluaskan lagi pemahamam tentang subetnik ini.

ii) Pengetahuan terhadap agama subetnik Semai Perak.

Didapati bahawa majoriti responden dapat menjawab dengan betul iaitu sebilangan besar subetnik ini mengamalkan fahaman animisme. Selain itu, terdapat juga responden berpendapat bahawa subetnik Semai Perak ini beragama Islam kerana kaum ini memakai baju kebaya yang juga merupakan salah satu pakaian tradisional orang Melayu.

iii) Sambutan perayaan subetnik Semai Perak.

Majoriti responden memilih Hari Menuai Padi sebagai perayaan yang disambut oleh subetnik ini manakala beberapa orang responden pula berpendapat bahawa mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai perayaan mereka. Kesimpulannya, majoriti daripada jumlah responden berpendapat bahawa subetnik ini menyambut perayaan Hari Menuai Padi kerana sebilangan besar daripada mereka membuat penempatan tetap di kawasan yang subur dengan sawah padi. Secara tidak langsung, sudah semestinya mereka akan mengusahakan sawah padi tersebut seterusnya mengadakan perayaan sempena hari penuaian padi di situ.

iv) Pengaruh ke atas cara membesarkan anak.

Majoriti daripada jumlah responden menjawab dengan betul iaitu kaum Semai Perak mempunyai cara dan adat resam tersendiri dalam membesarkan anak mereka. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai pantang larang dan kepercayaan yang mesti dipatuhi dalam kalangan mereka. Sebagai contohnya, bulu kening anak-anak mereka akan dipalit dengan arang yang telah dijampi sebelum mereka tidur, untuk mengelakkan anak mereka daripada mendapat mimpi buruk ketika tidur.

v) Perkahwinan

Majoriti daripada jumlah responden menjawab dengan betul iaitu cara perkahwinan masyarakat ini lebih kurang sama dengan cara perkahwinan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana kebanyakan daripada kaum ini juga mengamalkan gaya hidup seperti masyarakat Islam iaitu merisik, melamar, bertunang dan bernikah.


5.0       Kesimpulan

Secara kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa gaya kehidupan subetnik Semai Perak mempunyai kebudayaan yang unik dan menarik yang perlu dipelihara oleh masyarakat itu sendiri supaya keunikan budaya mereka tidak semakin dipingggirkan. Keunikannya telah menjadikan masyarakat ini lebih stabil dari sudut sosial, ekonomi dan politik. Tidak ada unsur-unsur hasad dengki, khianat, sabotaj, kedekut, dendam dan sebagainya. Mereka menjaga hubungan baik dengan ketiga-tiga unsur di dunia ini iaitu makhluk supernatural, manusia dan alam sekitar.

Kewujudan subetnik Semai Perak di Malaysia juga telah mewarnai serta menyerikan lagi variasi kebudayaan di Malaysia. Ini membuktikan bahawa kebudayaan yang berbilang dalam sebuah negara itu dapat mengharmonikan serta mengeratkan perpaduan rakyat itu sendiri.

Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa tidak semua golongan masyarakat mengambil cakna dengan kewujudan dan sosiobudaya subetnik Semai Perak yang terdapat di Malaysia ini. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil beberapa inisiatif yang sewajarnya agar masyarakat di Malaysia dapat mengenali kaum masyarakat Semai Perak ini dengan lebih mendalam.


Rujukan

Azhar Mad Aros. (2000). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
http.//www.kempadu.gov.my/jheo/orang/20asli/ekonomi.htm
http.//www.ukm.edu.my
http.//www.upm.edu.my/ekologi-manusia
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2000). Nong Pai (Haluan Baru). Bahagian Penyelidikan dan Penerangan, JHEOA.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2001). Nong Pai (Haluan Baru). Bahagian Penyelidikan dan Penerangan, JHEOA.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2002). Orang Asli Berjaya. Bahagian Penyelidikan dan Penerangan, JHEOA.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2003). Orang Asli Berjaya Edisi II. Bahagian Penyelidikan dan Penerangan, JHEOA
https://ms.wikipedia.org/wiki/Suku_Semai
http://www.researchgate.net/publication/261395552_Digital_inclusion_among_the_indigenous_people_(Orang_Asli_Semai)_of_Perak_Malaysia
http://www.perakgis.my/jakoa/index.php/kenali-orang-asli/suku-kaum-orang-asli/kaum-semai
http://orangaslimalaya.blogspot.my/2012/03/v-behaviorurldefaultvmlo.html


MZ Zainudin, Nurul Hidayah Nursimin, Nurul Madihah Md Noor



No comments:

Post a Comment