Geng
04, Geng 08 dan Geng 36 adalah nama-nama kumpulan kongsi gelap yang diumumkan
kerajaan Malaysia. Dalam ketiga-tiga geng ini, kumpulan Geng 04 adalah paling
aktif dan bergerak di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Kerajaan
Malaysia mengumumkan 49 kongsi gelap yang paling berbahaya dan menjadi ancaman
dalam negara. Kegiatan mereka dikesan dalam pelbagai jenayah berat seperti
pembunuhan, pergaduhan, pengedaran dadah dan peras ugut. Jumlah keseluruhan ahli
kongsi gelap ialah 40,313 orang. sekiranya setiap orang ahli dapat merekrut
seorang ahli baru setiap bulan, jumlah ini akan meningkat sekali ganda hanya
dalam tempoh 30 hari.
Sebanyak
28 kongsi gelap aktif di Semenanjung Malaysia khususnya Geng 35 dan Geng 303.
Tiga negeri yang mencatatkan bilangan kongsi gelap paling aktif ialah Kuala
Lumpur, Selangor dan Johor, justeru tidak hairanlah ketiga-tiga negeri ini
mencatatkan masalah jenayah yang lebih banyak berbanding negeri-negeri lain.
Pendedahan paling menarik ialah tidak ada penglibatan kongsi gelap secara aktif
di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang. Jika ada pun, ia hanya melibatkan
Geng Double 7 dan Geng 30 yang dikesan bergerak di seluruh Semenanjung Malaysia.
Daripada
jumlah 28 ini, sebelas kongsi gelap menjadikan “Geng” sebagai identiti mereka
yang dikaitkan dengan angka seperti Geng 30, Geng 36 dan Geng 303. Kongsi gelap
Cina adalah paling banyak iaitu 15, diikuti India 5 (Geng 04, Geng 08, Geng 35,
Geng 303 dan Geng Satu Hati) dan Melayu 3 (007, Tiga Line dan Geng 30). Empat kongsi
gelap yang mempunyai gabungan ahli Cina dan India iaitu Geng 24, Geng 18, Geng
36 dan Geng 21.
Penglibatan
masyarakat India adalah paling ramai dalam Geng 04 dengan jumlah ahli seramai
5,240 orang diikuti Geng 08 iaitu 4,423 orang. Kegiatan mereka sangat aktif di
enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan
Melaka.
Banyak
faktor yang menyumbang kepada penyertaan aktif dalam kongsi gelap khususnya
masyarakat Cina. Dalam artikel yang bertajuk “Sejarah Upacara Ahli Baru Kongsi
Gelap Di Tanah Melayu, penulis Victor Purcell 1947 menerangkan
asal-usul kewujudan kongsi gelap dan proses penerimaan ahli baru.
Persekitaran
dilihat menjadi punca utama kepada tarikan kuat untuk menjadi ahli kongsi
gelap. Anak-anak yang datang dari keluarga bermasalah lebih mudah terpengaruh
dengan aktiviti songsang ini kerana di sini mereka dilayan dan mendapat
perlindungan sosial kerana mendapat habuan dalam pelbagai bentuk.
Terjebak
kerana hutang juga mungkin asas kepada penglibatan pelajar dan golongan remaja
kerana berdasarkan laporan media, usia suspek yang ditembak mati dan ditangkap
berada di bawah 30 tahun. Terjebak dengan hutang boleh berlaku di peringkat
awal remaja seperti kerap berhutang dengan kedai kafe internet yang menawarkan
judi haram. Oleh kerana remaja ini tidak mempunyai untuk membayar hutang
bermain judi internet, mereka disuruh mencuri supaya dapat bayar hutang
berkenaan. Aktiviti mencuri kecil-kecilan ini akan menjadi kebiasaan seterusnya
terjebak dalam skala jenayah yang lebih besar seperti rompakan dan ragut.
Penguatkuasaan
terhadap jenayah mencuri, merompak dan peras ugut kurang berkesan dilaksanakan
di Malaysia. Penjenayah yang dibebaskan kembali melakukan jenayah yang sama dan
ia menjadi kitaran ganas yang meresahkan masyarakat. Sering kali terjadi pihak
polis menangkap orang yang sama dan selepas diteliti terdapat beberapa kes
jenayah lampau yang dilakukan suspek. Sepatutnya pelaksanaan hukuman dapat
membantu mengurangkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.
Proses
pencegahan yang sedang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia melalui Op Cantas
sedikit sebanyak membantu mengurangkan pergerakan anggota kongsi gelap. Kehadiran
anggota polis yang lengkap bersenjata berat, uniform dan berkumpulan telah
membantu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap usaha polis ini. Strategi
mengawal, melemah dan memusnahkan sel-sel kongsi gelap wajar diteruskan
sehingga ketenteraman awam kembali dinikmati dan masyarakat bebas bergerak tanpa
rasa takut.
No comments:
Post a Comment