Tuesday, August 28, 2012

Renungan politik di Jakarta





oleh Karim Raslan

Rakyat Malaysia sudah cukup mengenali Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebagai pemimpin nombor satu Indonesia sehinggakan sukar bagi kebanyakan daripada kita untuk membayangkan penghuni lain di Istana Negara, Jakarta.

Meskipun demikian, dalam masa kurang dua tahun dari sekarang, Indonesia akan mengundi bagi menentukan dewan legislatif (April 2014) dan Presiden baru (Julai 2014). Seperti Korea Selatan, ekonominya tetap bertumbuh pesat meskipun pemimpin mereka dilanda beberapa masalah dalaman.

Namun, lima peristiwa yang berlaku baru-baru ini, nampaknya memberikan indikasi bahawa autoriti mantan jeneral tentera ini – meskipun masih popular – telah berkurangan:

Pertama, kes pendakwaan ahli perniagaan terkemuka, Siti Hartati Murdaya, selaku suspek oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK). Beliau telah dituduh merasuah seorang pegawai di Buol untuk mendapatkan konsesi tanah bagi perusahaan kelapa sawitnya di Sulawesi Tengah.

Beberapa pegawai menyatakan beliau mungkin akan ditahan atas tuduhan tersebut. Kes pendakwaan ini mempunyai impak politik yang besar kerana beliau dikatakan akrab dengan Presiden Yudhoyono. Malah, Hartati merupakan antara pembiaya aktif dan terawal bagi Parti  Demokrat pimpinan Presiden Yudhoyono. Beliau juga merupakan bekas ahli lembaga penasihat Parti Demokrat dan ahli Jawatankuasa Ekonomi Nasional (KEN). Majalah Globe Asia baru-baru ini, telah menempatkan Hartati sebagai wanita ke-6 paling berpengaruh di Indonesia bagi tahun 2011.

Hartati telah menolak pendakwaan terhadapnya dan melepaskan semua jawatan umum yang dipegang. Namun, kes rasuah ini pasti akan memberikan kesan negatif terhadap Parti Demokrat, yang sering dikejutkan dengan dakwaan-dakwaan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin kanan parti – terutamanya apabila melibatkan Anas Urbaningrum, ketua umum parti.

Kedua, insiden temu ramah bekas ketua KPK, Antasari Azhar, oleh Metro TV pada 9 Ogos 2012. Antasari, yang kini dipenjarakan atas kesalahan bunuh; menyatakan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Yudhoyono pada Oktober 2008 untuk berbincang mengenai isu kontroversi bailout Bank Century. Kes bailout Bank Century oleh kerajaan Indonesia tersebut menyimpan pelbagai kontroversi oleh kerana kosnya yang mencecah RM2.21 bilion (IDR6.76 trillion) dan dakwaan penyelewengan.

Perjumpaan tersebut dikatakan turut dihadiri oleh mantan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, mantan gabenor Bank Indonesia (kini Timbalan Presiden) Boediono dan pegawai-pegawai kanan yang lain. Dakwaan ini bertentangan sama sekali dengan kenyataan Presiden Yudhoyono bahawa beliau tidak mengetahui akan implikasi buruk daripada bailout tersebut, dan pihak istana lekas menyangkal dakwaan Antasari.

Ketiga, prestasi mengejutkan oleh Datuk Bandar Solo sandaran PDI-P, Joko Widodo, dalam pusingan pertama pemilihan gabenor Jakarta pada Julai lalu menunjukkan bahawa rakyat – sekurang-kurangnya di Jakarta – telah terbuka dengan idea perubahan.

Keputusan ini menjadi ujian getir bagi Yudhoyono demi mengekalkan kekuasaan parti di ibu negara Indonesia ini dengan memastikan bahawa seluruh parti bergerak seiring di belakang gabenor Jakarta sandaran Parti Demokrat, Fauzi Bowo, sewaktu pusingan kedua pemilihan nanti pada 20 September 2012.

Ujian pahit yang terpaksa ditempuh semasa proses kempen baru-baru ini – dengan dakwaan palsu memburukkan hal peribadi calon dan terhadap etnik-agama Joko dan calon pasangan keturunan Cina Indonesia beliau, Basuko Tjahaja Purnama – menunjukkan betapa pentingnya Jakarta dalam pertimbangan kedudukan parti politik di Indonesia.

Keempat, kejadian pada 1 Ogos 2012 telah menyaksikan Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto memberi syarahan umum di Singapura apabila beliau memenuhi jemputan oleh Rajaratnam School of International Studies. Keesokan harinya, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Pertemuan tersebut menunjukkan bahawa negara-negara jiran turut memerhati proses perubahan yang berlaku di Indonesia. Mungkin ada yang bertanya: mungkinkah Prabowo turut merancang lawatan ke  Amerika Syarikat pada masa terdekat?

Akhir sekali, hal pengumuman Belanjawan Negara baru-baru ini di mana Presiden Yudhoyono seolah-olah telah berputus asa dalam usaha menarik balik subsidi – termasuk rancangan membelanjakan RM89.9 bilion (IDR274.7 trilion) untuk subsidi tenaga dan RM5.6 bilion (IDR17.2 trilion) untuk subsidi makanan. Keputusan tersebut mencadangkan bahawa beliau hanya sekadar mahu mengekalkan populariti pentadbirannya berbanding matlamat pembangunan negara.

Apakah Presiden Yudhyono sekarang hanya menjadi Presiden tidak berkuasa atau lame duck di penghujung era pentadbirannya? Sungguhpun begitu, tiada siapa harus memandang rendah keupayaan beliau mengangkat kembali martabat Parti Demokrat dan masa depan parti. Dalam politik, anak emas hari ini boleh disisihkan esok, hero hari ini boleh menjadi penjahat hari esok.

Indonesia sekarang berdepan dengan kerajaan yang lemah, pilihan raya yang bakal menjelang, serta perasaan kurang senang di peringkat akar umbi. Dapatkah anda merasakan persamaannya?


(Sinar Harian, 28 Ogos 2012)



No comments:

Post a Comment