Wednesday, August 01, 2012

Dasar sosial




Kebajikan warga emas diambil kira dalam dasar sosial


Dasar-dasar yang dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan dinamakan dasar awam. Dasar-dasar ini digunakan oleh kerajaan untuk menangani pelbagai isu utama yang ada impak ke atas hal ehwal sosial, ekonomi, persekitaran dan politik. Di seluruh dunia, kerajaan menggunakan pelbagai dasar untuk menyelesaikan masalah dan fungsi yang kompleks. Dasar digubal untuk mengawal undang-undang dan arahan, mempastikan keselamatan negara, mengurus pembangunan  ekonomi, melindungi alam sekitar, menggalakkan komunikasi dan mengawal kadar pertumbuhan perbandaran (Midgley dan Livermoore, 2009).
 
Dasar yang digubal untuk meningkatkan kebajikan atau kesejahteraan manusia dinamakan dasar sosial. Ia mengambil berat kebanyakan aspek kebajikan sosial seperti kesihatan, pendidikan, pendapatan, pemakanan dan sebagainya. Dasar sosial juga dirangka untuk memenuhi keperluan sekumpulan manusia seperti kanak-kanak, orang kurang upaya, keluarga berpendapatan rendah dan warga emas. Sesetengah dasar sosial dilaksanakan melalui sistem cukai dan program-program perkhidmatan sosial yang memberi manfaat kepada kelompok sasar ini.

Walaupun dasar sosial kerajaan menyumbang kepada kesejahteraan hidup komuniti dan negara, kebajikan keseluruhan tersebut tidak hanya ditentukan oleh dasar-dasar kerajaan. Banyak lagi program atau aktiviti serta penglibatan dalam komuniti yang memberi impak kepada kesejahteraan hidup seperti tahap pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan, pencapaian pendidikan, sokongan keluarga (juga rakan-rakan dan jiran), perkhidmatan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan dan institusi agama, aktiviti masyrakat setempat, iklim ekonomi negara dan peranan agensi kerajaan. 

Bagaimanapun dasar sosial kerajaan menjadi sangat penting kerana tujuan dasar tersebut ialah meningkatkan kesejahteraan hidup dan mengurus sejumlah sumber untuk mencapai sasaran tertentu. Idea penglibatan kerajaan dalam merangka dasar sosial dengan matlamat-matlamat khusus sebenarnya masih baru iaitu ketika abad ke-21. Dalam sejarah kemanusiaan, kerajaan hanya memberi tumpuan untuk mempertahankan negara dari serangan. Hanya pada abad ke-19, kerajaan mula melihat sumber-sumber negara boleh digunakan untuk menambah baik pendidikan, menyediakan tempat tinggal, memberi subsidi dan membaiki taraf perkhidmatan kesihatan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti.

Sebelum itu, tanggungjawab ini dilakukan oleh keluarga dan komuniti setempat selain daripada institusi agama dan pertubuhan sukarela. Dalam abad ke-20, gerakan besar-besaran oleh reformis sosial, kesatuan sekerja, ahli politik dan penglibatan agensi kerajaan telah meningkatkan peranan kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih besar. 

Oleh kerana peranan kerajaan dalam kebajikan sosial semakin meluas, perdebatan tentang dasar sosial tidak dapat disempitkan kepada program-program berbentuk kebajikan, sebaliknya perlu disertai oleh ahli akademik untuk mengkaji dasar dan program-program yang telah dilaksanakan. Antara kajian ini ialah bagaimana dasar sosial boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan sosial, perundangan, sistem cukai dan mahkamah, sejarah dasar sosial, kajian terhadap ideologi yang mempengaruhi proses pembuatan dasar sosial dan penilaian ke atas impak kebajikan sosial. 

Dasar sosial yang memberi impak positif dan menambah baik keadaan sosial dalam komuniti akan memberi lebih banyak ruang kepada kesejahteraan hidup. Secara langsung, dasar sosial menentukan aras kebajikan sosial individu atau komuniti. Kebajikan yang dimaksudkan ialah apabila keperluan-keperluan hidup dipenuhi, masalah dapat diuruskan dan peluang dimaksimumkan.

Kepentingan memenuhi keperluan hidup ialah supaya wujudnya keadaan kebajikan sosial untuk makanan, kesihatan, tempat perlindungan, keselamatan dan pekerjaan. Kepentingan mengurus masalah ialah dapat mengawal kadar jenayah dan delikuensi, penderaan, keganasan rumah tangga dan pengabaian kanak-kanak. Manakala maksud kewujudan peluang yang maksimum ialah apabila keadaan kebajikan sosial telah terbentuk, individu dan komuniti dapat memaksimumkan peluang bagi mencapai matlamat.


No comments:

Post a Comment