Thursday, August 09, 2012

Brunei cuti aidilfitri 3 hari






oleh Hasrulraizan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah memperkenankan bahawa mulai dari Tahun 1433 Hijrah ini, cuti awam bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah dilanjutkan dari 2 hari seperti yang berjalan selama ini kepada 3 hari.

"Beta berharap, dengan tambahan cuti berkenaan, umat Islam di negara ini pada khususnya, akan lebih banyak peluang untuk bersama-sama dengan keluarga masing-masing bagi menikmati kehidupan berkeluarga yang sebenar-benarnya. Sambil itu juga akan menambahkan lagi peluang untuk setiap keluarga dapat melakukan pelbagai aktiviti secara bersama-sama."

Dalam titah Baginda di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Bagi Tahun 1433 Hijrah malam ini, Baginda Sultan turut bertitah telah memperkenankan pemberian elaun sebanyak $2,000 sebulan bagi sepanjang hayat kepada qari dan qariah penyandang johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Baginda Sultan bertitah menjelaskan bahawa elaun itu adalah sebagai tanda pengiktirafan Kerajaan kepada penyandang dan penghargaan atas sumbangan mereka mengangkat nama baik negara.

"Ia juga diharapkan dapat menyuntik semangat supaya lebih ramai lagi rakyat Baginda yang akan turut mempelajari dan meminati seni membawa Al-Quran itu, sehingga kita benar-benar menjadi generasi Al-Quran."

Menurut Baginda Sultan di dalam titah berkenaan, ke arah menjayakan gagasan itu, semua keluarga di negara ini perlu memberikan perhatian yang serius terhadap pengajian Al-Quran bagi anak-anak.

"Tidak ada siapa yang patut berkecuali daripada tanggungjawab itu. Sesungguhnya tidak syak lagi, keluarga yang hebat lagi bahagia itu ialah Keluarga Al-Quran."

Menyebut berkenaan dengan keluarga itu, Baginda Sultan bertitah negara ini telah pun mengadakan Sambutan Hari Keluarganya yang pertama bertujuan untuk mengukuhkan lagi institusi keluarga itu.

Tetapi perlu diingat, titah Baginda Sultan, pengukuhan tidaklah akan berhasil, cuma dengan program-program hiburan atau mengadakan majlis-majlis semata-mata.

"Setiap keluarga mestilah bijak menggunakan masa termasuk merebut peluang dari hari-hari kelepasan atau cuti-cuti awam untuk mengajar atau membawa anak-anak ke kelas-kelas tambahan Al-Quran atau lain-lain yang bersifat ilmu."

"Kita tidak wajar membiarkan atau menggunakan masa terbuang begitu saja, kerana masa itu adalah emas, semua orang memerlukannya untuk digunakan pada tempat-tempat yang selayaknya."

Titah Baginda, cuti awam juga adalah masa yang sangat berharga, semua orang sangat berhajat kepadanya, tetapi adakah semua orang juga tahu memanfaatkannya?

"Kerana ia sangat dihajati dan diperlukan itulah, maka mulai dari Tahun 1433 Hijrah ini, cuti awam bagi Sambutan Hari Raya 'Aidilfitri telah Beta perkenankan untuk dilanjutkan dari 2 hari seperti yang berjalan selama ini kepada 3 hari."

Baginda Sultan dalam titah Baginda turut menyeru umat Islam di negara ini supaya tidak lupa mengisi bulan Ramadhan ini dengan ibadat, khasnya dengan amalan membaca Al-Quran.

"Kekuatan Islam terletak pada Al-Quran. Kekuatan Al-Quran pula terletak pada keasliannya, yang tidak dicemari oleh tangan-tangan manusia."

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk mempertahankan, memelihara dan menjada keaslian berkenaan. Antara cara kita mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian itu ialah melalui aktiviti penghafalan ayat-ayat Al-Quran itu."

"Beta sangat gembira, aktiviti penghafalan Al-Quran adalah sedang berkembang dengan baiknya di Negara ini."

"Beta berharap, dengan adanya pertandingan menghafal Al-Quran seperti yang berjalan pada masa ini, dan juga dengan adanya Institut Tahfiz Al-Quran, maka kita insya Allah, ada harapan untuk dapat melahirkan lebih ramai lagi penghafal-penghafal Al-Quran yang berilmu dan berkualiti."

Al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan, titah Baginda Sultan sambil menambah bahawa di dalam Al-Quran, manusia digalakkan untuk menyelidik fenomena alam seperti pertukaran malam dengan siang, kekayaan bumi, air, udara, api, rahsia kelahiran dan kematian dan lain-lain.

Di dalam Al-Quran juga terkandung dasar-dasar ilmu pengetahuan dan teknologi, ilmu kedoktoran, ilmu astronomi, ilmu matematik dan lain-lain, titah Baginda Sultan lanjut.

Baginda bertitah, di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat mengenai sejarah, perubatan, pemakanan, kesihatan dan bahkan mengenai kesusasteraan, yang kesemuanya itu boleh menjana pertumbuhan tamadun dan pemikiran, yang bersesuaian sekali dengan tema sambutan pada kali ini, "Al-Quran Sumber Inspirasi".

Dengan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup, umat Islam akan mampu mencapai kejayaan sebagaimana pada zaman keemasannya dulu. Tetapi sekarang umat Islam tertinggal di belakang, kerana mereka tidak atau kurang mengambil inspirasi dari Al-Quran, yang cuma dibaca, tidak dijadikan panduan.

"Sepatutnya di samping kita membaca, isinya juga hendaklah dijadikan dasar dan asas panduan." Maka menurut Baginda Sultan dalam titah Baginda, tidak boleh tidak, adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk kembali kepada petunjuk Al-Quran bagi meraih kegemilangan.

Dalam makna lain, kita perlu bangun selaku generasi pembaca, di samping sekali gus menjadi pengamal ajaran Al-Quran itu, titah Baginda Sultan.

"Untuk melahirkan generasi Al-Quran, Beta telah pun memperkenankan beberapa skim penggalak berupa elaun bulanan kepada siapa yang diperakui lulus hafalannya oleh Lembaga Tasmi'e, mengikut kategori."

"Beta juga memperkenankan Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran bagi qari dan qariah yang dihantar mewakili negara ke Pertandingan-pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa, khususnya Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur."

"Bagi siapa yang berjaya memenangi tempat pertama, kedua atau ketiga dalam Majlis Tilawah itu, akan diberikan hadiah galakan berupa wang tunai."

(Media Permata, 6 Ogos 2012)

 

No comments:

Post a Comment