Tuesday, July 31, 2012

Banyak kematian dalam bulan puasa







Selepas sebelas hari kita berpuasa, kematian yang dilaporkan media boleh dikatakan berlaku setiap hari.

Ada yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya (sesuatu yang lumrah), ditembak, dipukul, bergaduh dan penyakit kronik. Namun dua kematian yang amat hiba melibatkan seorang isteri dan pekerja asing.

Pertama, media melaporkan kematian seorang kakitangan wanita syarikat media yang asalnya dikatakan membunuh diri. Punca bunuh diri adalah kerana merajuk. Pembedahan ke atas mayat menjelaskan bahawa mangsa mati kerana jerutan di leher dan suspek utama pembunuhan ialah suaminya sendiri. Pasangan ini ada seorang anak lelaki berusia dua tahun. Jarang sekali orang Melayu membunuh diri kerana merajuk kerana setidak-tidaknya sebagai anak perempuan yang ada masalah rumah tangga, keluarga sendiri biasanya akan menjadi tempat mengadu.

Dalam kes ini, suspek dilihat pandai membuat cerita sehingga pihak polis mengkelasifikasi kematian mangsa sebagai mati mengejut. Selepas pembedahan ke atas mayat, barulah pihak polis menilai kembali kes berkenaan. Baru kelmarin suspek dapat hidup bebas tetapi hari ini dia meringkuk dalam lokap kerana satu-satunya saksi kejadian adalah dirinya sendiri. Kes ini tidak sukar diselesaikan kerana suspek sudah ada dalam tahanan.

Kematian kedua melibatkan seorang pekerja asing yang meninggal dunia kerana mengalami kerosakan usus selepas perutnya dikembungkan dengan angin bertekanan tinggi. Puncanya ialah pergaduhan. Suspek membelasah mangsa sehingga lemah dan untuk menunjukkan kemarahannya, beliau menusuk hos angin ke dalam dubur mangsa dan melepaskan angin ke dalamnya. Kecederaan dalam usus menyebabkan mangsa menderita dan meninggal dunia.

Saban hari kita dihidangkan dengan kes-kes kematian yang mengerikan dan tidak pernah terfikir dalam sepuluh tahun lepas. Keadaan ini menunjukkan betapa keselamatan awam masih perlu dipantau dan diberi tumpuan. Mengatakan kadar jenayah menurun sedangkan ramai perompak, penyamun dan pencuri berkeliaran diumpamakan memperbodohkan masyarakat.

Kita ingin melihat usaha-usaha yang bersungguh-sungguh agensi penguatkuasa menggerakkan strategi dan teknik mengawal jenayah. Kenapa kadar jenayah jarangb urun mendadak sebaliknya naik mendadak? Barangkali kita perlu membuat tinjauan sejauhmanakah keberkesanan undang-undang dalam menangani jenayah yang berlaku setiap hari di negara kita.


No comments:

Post a Comment