Friday, September 30, 2011

Media dan dasar sosial






Media menjadi nadi penyebaran maklumat yang penting kepada masyarakat Malaysia hari ini. Sama ada penerbitan tersebut surat khabar, majalah, radio, televisyen atau Internet, terdapat pelbagai sumber maklumat yang boleh dipilih. Bagaimanapun, adalah wajar memahami bahawa peranan media bukan sahaja membekalkan maklumat malah beruapaya mepengaruhi cara kita mendekati isu dan perdebatan. Mungkin juga media dapat menetapkan agenda penting kepada pembuat dasar dan ahli politik untuk merealisasikan agenda mereka.

Di sebalik potensi media dalam pembentukan dasar-dasar sosial, secara relatifnya terdapat sedikit kajian yang dilakukan berkaitan media dan sosial. Persoalan-persoalan seperti peranan media membentuk agenda negara ataupun pengaruh media terhadap kelompok yang membuat dasar belum terjawab sepenuhnya.

Kebanyakan kefahaman awam ialah media membawa isu kepada orang awam sehingga ke satu tahap mempengaruhi sikap dan persepsi yang menjejaskan dasar sedia ada. Akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia dikatakan cenderung kepada kerajaan dan tidak segan silu menghentam pemimpin pembangkang jika ada peluang.

Contoh dalam isu Mohamad Sabu yang mengatakan Mat Indera adalah pejuang dalam serangan Bukit Kepong, isu ini telah menarik perhatian ramai untuk melihat apakah yang telah terjadi kepada waris anggota-anggota polis yang terbunuh. Akhirnya mereka mendapat perhatian dan habuan daripada pihak kerajaan sendiri. Pada masa yang sama sentimen menolak kenyataan Mohamad Sabu juga menjadi kuat kerana dicanang oleh media yang pro kerajaan. Selepas isu berkenaan reda, timbul pula isu hudud yang memaparkan pertentangan di antara PAS dan DAP.

Media kerap kali dituduh mempergunakan isu sama ada sebagai tajuk utama atau sebahagian daripada hiburan. Kadang kala ia bersifat positif kerana menimbulkan isu untuk perhatian umum tetapi sebaliknya lebih kerap mencetuskan salah faham atau prasangka. Ada beberapa perspektif terhadap impak media ke atas pandangan awam.

Kesan langsung- pandangan ini melihat media memberi kesan langsung kepada sikap awam, bagaimanapun pandangan ini ditolak kerana masyarakat harini tidak lagi pasif untuk menerima apa sahaja yang ditulis.

Peneguhan- perspektif ini menyoal tentang media tidak membentuk acuan pandangan awam, namun diterima bahawa mesej yang disampaikan ditafsirkan dengan pelbagai cara.

Tetapan agenda- pandangan ini menyatakan media tidak menentukan apa yang kita fikir tetapi mempengaruhi apa yang kita fikir. Secara umum pandangan ini menerima kenyataan bahawa orang awam memiliki agenda mereka sendiri tetapi media boleh mempengaruhi keutamaan agenda berkenaan terutamanya isu yang sedikit atau tidak ada maklumat.

Bentuk kerangka- penerusan dari penetapan agenda menjadikan media berupaya memberi kesan kepada kehidupan berpolitik serta cara masyarakat melihat dan memahami hidup. Ia berlaku dalam bentuk yang berbeza kerana pentafsiran mesej adalah berbeza-beza.

Apa pun pentafsiran mesej yang diterima, dasar sosial merupakan salah satu daripada keupayaan yang boleh dilakukan media untuk menyampaikan mesej kepada berjuta-juta orang yang tidak berminat dengan pembangunan.

 

Wednesday, September 28, 2011

Pukul pembersih sampah, polis hina kerja mulia









Menghormati orang lain yang bersama-sama mencari rezeki menjadikan masyarakat dapat hidup dalam aman dan harmoni. Petani memberi penghormatan kepada nelayan dan penoreh getah kerana mereka bekerja dan mendapat imbalannya. Guru menghormati kerjaya tukang cuci bilik air kerana pekerjaan itu menjadikan suasana bilik air lebih ceria dan pelajar tidak merungut. Doktor menghormati tukang sapu sampah di hospital kerana menjadikan pesakit dan keluarganya dapat merasai kerehatan yang berpanjangan.

Namun keadaan seperti ini tidak berlaku dalam kalangan anggota polis Balai Polis Kodiang, Jitra, Kedah. Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23 tahun merupakan seorang pekerja syarikat pembersihan telah dibelasah oleh anggota polis dari balai polis itu yang tidak dapat menerima teguran mudah, ‘masukkan sampah ke dalam tong’. Apa hendak jadi polis seperti ini?Kerana dendam, dibawanya rakan-rakan untuk memukul pekerja itu sehingga lebam pada pipi kiri, rusuk kiri dan bahu.

Nampak sangat polis ini tidak menghormati pekerjaan orang lain yang dianggap lebih rendah dan tidak ada nilai. Mereka memandang hina pekerjaan pembersih dan berfikir boleh melakukan apa sahaja. Kata-kata yang angkuh, “ tembak kalau ada pistol” menjadi ugutan yang meninggalkan trauma kepada mangsa. Anggota polis yang terlibat masih bernasib baik kerana mangsa tidak meninggal dunia, jika tidak, satu Malaysia akan heboh dengan keganasan polis kita.

Kita pun tidak tahu apakah masalah sebenar . Teguran Ridzuan meminta anggota polis itu memasukkan sampah ke dalam tong sampah amat mudah difahami, bukannya teguran hendak memasukkan polis itu ke dalam tong sampah. Barangkali inilah yang berlaku sehingga anggota polis berumur 40-an itu angin satu badan. Menjadi tanggungjawab pembersih membersihkan jalan raya, longkang, lantai dan syiling supaya wujud keceriaan persekitaran.

Kita menyabut baik kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop yang tidak memberi muka kepada mana-mana anggota polis yang melakukan kesalahan.

“Pegawai kerajaan sepatutnya bagi contoh baik kepada orang ramai dan bukan melakukan sebaliknya.”

Tuesday, September 27, 2011

Doa untuk sahabat






Rakan saya dari Melaka menghantar pesanan ringkas memaklumkan salah seorang daripada rakan kami di Kuala Lumpur sedang diuji Allah swt. Beliau mengalami stroke (tersumbat arteri cerberal tengah) kira-kira pukul 2 pagi. Beliau terus dibawa ke unit kecemasan Hospital KPJ Kajang dan keadaannya dapat distabilkan. Kini beliau dipindahkan ke Ampang Puteri Specialist Hospital untuk rawatan pakar bedah otak.

Kemungkinan besar beliau akan menjalani pembedahan kraniotomi (buang tempurung kepala) sebagai ikhtiar mengurangkan tekanan akibat pembengkakan otak yang teruk. Rakan-rakan doktor menyatakan peluang beliau untuk hidup amat tipis namun jika pembedahan ini berjaya, beliau akan lumpuh sepanjang hayat.

Dalam dua hari ini saya mengikuti rapat perkembangan kesihatan beliau kerana pernah berjumpa dan berurusan dengannya. Ketika di Kolej Matrikulasi Kedah, kami bersama-sama dalam kursus pengurusan fail bagi meperkemaskan organisasi. Kali terakhir saya bertanya khabar ialah sehari sebelum puasa tahun ini ketika saya memesan sehelai baju korporat.

Dalam telefon, beliau menyatakan dengan jelas saiz baju yang sesuai dengan saya ialah M tetapi saya katakan saiz L lebih baik. Berulang-ulang kali beliau meyakinkan saya untuk menerima saiz M namun saya katakan tidak. Selepas itu, saya membayar RM65 dan mendapat baju korporat saiz L dengan nama ‘Zahir’ dijahit berbenang emas.

Kali pertama pakai, saya dapati saiz L agak besar. Memang benar, beliau telah membuat telahan yang tepat terhadap saiz baju yang patut saya pakai. Ternyata beliau bukan sahaja seorang yang mengenali rakan-rakan tetapi juga dapat menentukan dengan baik ukuran baju rakan-rakannya.

Ada lagi yang menarik tentang beliau. Semasa mengadakan bengkel menulis blog dua tahun lalu, beliau menghampiri saya untuk mempromosi blognya yang baru bermula. Katanya, amat sukar menarik pengunjung ke blog yang bersifat terlalu akademik, dan lebih baik kalau dapat ‘diturunkan’ ketinggian tulisan berkenaan supaya dapat menarik khalayak untuk membaca dan memberi pandangan mereka.

Saya bersetuju dengannya kerana memang di peringkat awal banyak cabaran untuk menulis apatah lagi menarik orang ramai membaca blog kita. Beberapa hari selepas bengkel itu, saya mengunjungi blog beliau dan membaca beberapa artikel yang ditulis.

Artikelnya memang sarat dengan bahan-bahan tarbiyah yang memberi panduan dan bimbingan untuk membina kefahaman yang Islam yang sahih. Walaupun ringkas dan pendek, mesej artikenya sangat bermakna kepada saya.

Beliau pernah mengalami masalah saraf menyebabkan sebelah mukanya herot tetapi tidak begitu serius. Ingatannya tidak terjejas dan masih boleh mengenali rakan-rakan yang lain. Beliau juga masih boleh memandu ke sana-sini seorang diri dan menghadiri program-program yang disediakan bersama-sama.

Namun satu perkara yang diyakini ialah tekanan darah tinggi sedang melingkari tubuh badannya. Memang amat mengejutkan kali ini kerana tekanan darah yang tinggi menyebabkannya terpaksa melalui detik-detik yang mencemaskan dalam hidupnya dan hidup saya serta hidup rakan-rakan yang lain.

Kami mendoakan agar Allah swt memberi ihsan dan menerima doa kami untuk kesejahteraan saudara Sabri Ibrahim, seorang pemuda yang hatinya sentiasa bersama dengan Islam, fikirannya sentiasa berfikir untuk mengembalikan masyarakat kepada cara hidup Islam dan lisannya sentiasa mengingatkan saya dan rakan-rakan yang lain untuk meneruskan usaha dakwah dan tarbiyah.

 

Friday, September 23, 2011

Keperluan penubuhan Yayasan Keluarga Islam di Malaysia






Walaupun terdapat kajian yang mengatakan bahawa nisbah perceraian bagi pasangan Islam mengikut populasi penduduk beragama Islam menurun berbanding sedekad dua yang lalu, tetapi bilangan perceraian itu sendiri tetap meningkat dari tahun ke tahun.

Apabila angka perceraian terus meningkat dari masa ke masa, yang menunjukkan berlakunya pertambahan konflik rumah tangga ataupun keluarga, maka ia merupakan petanda tentang keperluan terhadap satu wadah yang dapat melancarkan proses penyelesaian konflik keluarga yang berlaku.

Pewujudan Yayasan Keluarga Islam atau institusi yang seumpama dengannya perlu diwujudkan bagi melengkapi penjanaan dan pelaksanaan transformasi terhadap perundangan Islam di Malaysia.

Melalui satu kajian yang dijalankan, masyarakat Islam di Malaysia sememangnya meletakkan kepercayaan yang amat tinggi terhadap Mahkamah Syariah bagi menguruskan permasalahan dalam hal-hal kekeluargaan, walaupun ada ketikanya masih terdengar rungutan dan ketidakpuasan hati tentang perkhidmatan dan reputasi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Apabila satu-satu konflik rumah tangga berlaku, ia akan melibatkan tentang kefahaman hak dan tanggungjawab suami isteri, penjagaan anak, nafkah isteri dan anak serta harta suami isteri atau harta keluarga. Konflik keluarga juga mungkin akan melibatkan perkhidmatan guaman, kaunseling, rawatan psikologi, perlindungan diri dari ancaman keganasan rumah tangga dan seumpamanya.

Apa yang berlaku pada hari ini, walaupun semua bentuk kemudahan yang diperlukan itu boleh dinikmati oleh pihak-pihak yang memerlukan, tetapi kedudukan agensi-agensi ini terpisah-pisah dan memberi kesukaran bagi mereka yang sedang berhadapan dengan kesukaran.

Seandainya, Yayasan Keluarga Islam diwujudkan, ia boleh berfungsi sebagai satu pusat yang boleh menjadi penyelaras kepada setiap peranan agensi Islam yang terlibat. Apatah lagi dengan taraf pendidikan yang pelbagai, ada kelompok yang hanya mempunyai daya inisiatif yang rendah untuk bertindak sendiri.

Sebagai pusat yang mengumpulkan maklumat-maklumat penting yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan Islam, sudah tentu akan wujudnya kerjasama erat bersama agensi-agensi Islam seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Kementerian Kesihatan atau hospital dan juga Polis Diraja Malaysia.

Yayasan ini perlu diwujudkan bagi membantu keluarga yang mempunyai masalah di Mahkamah Syariah. Sekiranya masalah yang dihadapi sehingga memerlukan perkhidmatan guaman, maka pihak yayasan mempunyai persediaan untuk membantu menurut tahap keperluan pihak yang terlibat.

Dalam keadaan pihak yang memerlukan bantuan perkhidmatan guaman benar-benar tidak mampu untuk membayar perkhidmatan guaman swasta, maka yayasan akan bertindak sebagai koordinator supaya insan malang berkenaan diuruskan oleh perkhidmatan guaman yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Bagi kalangan yang tidak layak menerima bantuan oleh pihak kerajaan, sebagai penyelaras, pihak yayasan mempunyai senarai nama dan alamat peguam syarie yang bertauliah dan senarai ini boleh dicadangkan kepada pihak yang memerlukan.

Selain itu juga yayasan boleh memberi bimbingan dan penerangan kepada orang awam yang memerlukan contohnya tentang peranan dan tanggungjawab peguam syarie yang bakal dilantik, hak-hak anak guam dan anggaran kasar bagi kos perkhidmatan guaman swasta.

Penerangan yang diberikan sudah tentu amat bermanfaat dan membolehkan bakal anak guam membuat perancangan yang baik sebelum membuat sebarang tindakan. Ia juga boleh mengelakkan bakal anak guam merasakan diri mereka terperangkap sekiranya tidak maklum tentang kos-kos terlindung yang perlu dibayar apabila kes mereka selesai dibicarakan di mahkamah.

Yayasan ini juga boleh berperanan sebagai tempat paling awal untuk dirujuk bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga. Memberikan perlindungan kepada mangsa dan pada masa yang sama membantu mereka dengan memberi jalan penyelesaian kepada mereka.

Sesetengah isteri yang diceraikan tidak mempunyai pendapatan sendiri kerana mereka merupakan suri rumah sepenuh masa. Dan keadaan menjadi lebih malang sekiranya mereka ditinggalkan dengan anak-anak tanpa sebarang nafkah. Untuk membuat tuntutan hak jagaan dan nafkah anak pula sememangnya mengambil masa.

Banyak juga tuntutan yang hanya menang di atas kertas yang dari sudut realitinya, tidak memberi sebarang makna. Apabila difikirkan memang amat menyedihkan, tetapi itulah yang berlaku pada sesetengah ahli masyarakat kita.

Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan melaksanakan peranannya hanya apabila perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Sebagai mendahulukan tanggungjawab suami atau bapa.

Dalam keadaan tuntutan berkenaan baru difailkan dan ketika menunggu ia dibicarakan, sementara perintah belum dikeluarkan, maka pihak yang menuntut terpaksa bertungkus-lumus mencari sesuap nasi atau apa sahaja demi memastikan dirinya dan anak-anak dalam perkahwinan, sekiranya ada, terus hidup.

Tentu pelbagai situasi amat getir dihadapi oleh ibu-ibu tunggal ini sekiranya tidak ada saudara-mara, jiran-tetangga, sahabat atau sesiapa sahaja yang menghulurkan bantuan.

Pengalaman masyarakat kita membuktikan bahawa fenomena ini berlaku dan ia berpotensi untuk terus berlaku walaupun setiap kalangan kita berharap agar tidak ada ahli masyarakat hidupnya teraniaya.

Persediaan perlu dibuat supaya pihak yang malang tidak menjadi bertambah malang. Dan pihak yang malang dapat dibantu dan dibimbing supaya mereka menjadi insan yang tidak mudah berputus asa dan melihat bahawa di hadapan mereka masih ada jalan untuk memulakan fasa kehidupan baharu.

 

Monday, September 19, 2011

Stesen satelit sulit AS pantau negara Asia




Sebuah stesen pengintipan Amerika Syarikat (AS) yang didirikan di kawasan padang pasir Australia semasa kemuncak Perang Dingin kini memantau benua Asia terutama negara-negara yang giat membangunkan tentera dan peralatan senjata.

Stesen satelit Pine Gap yang secara rasminya adalah wilayah AS dan dikendalikan oleh ejen daripada beberapa agensi perisikan paling sulit di Amerika telah terlibat dalam konflik-konflik terbesar pada zaman moden ini.

Namun peranannya dalam perang di Iraq, Afghanistan dan rantau Balkan, dalam pemburuan ketua al-Qaeda, Osama bin Laden kurang diketahui sehinggalah seorang daripada pengintipnya yang paling kanan mendedahkan aktiviti di stesen itu dalam bukunya baru-baru ini.

Penganalisis perisikan, David Rosenberg berkhidmat 18 tahun di pangkalan yang terletak kira-kira 20 kilometer ke selatan Alice Springs, mengendalikan rahsia-rahsia besar untuk Agensi Keselamatan Negara (NSA) iaitu badan yang dianggotai oleh pengintip elit Amerika.

Pine Gap yang secara rasminya dikenali sebagai 'Kemudahan Penyelidikan Angkasa Lepas Pertahanan Bersama', adalah antara stesen pungutan maklumat perisikan terbesar yang dikendalikan oleh Washington, berperanan memintas isyarat senjata dan komunikasi menerusi beberapa satelit yang mengorbit bumi.

Australia mengetuai stesen itu bersama-sama AS dan memiliki akses kepada semua maklumat yang dipintas sejak 1980, tetapi sejarah Pine Gap tidak sunyi daripada kontroversi.

Bekas Perdana Menteri, Gough Whitlam dipecat oleh monarki Britain, dikatakan atas desakan AS, tidak lama selepas beliau mengancam untuk menutup Pine Gap pada 1975, walaupun penyingkiran beliau turut berpunca daripada isu-isu politik dalam negara.

Dengan kubahnya yang berbentuk futuristik pada asalnya dibina sebagai senjata dalam perang pengintip Amerika dengan Rusia, Pine Gap memulakan operasi secara rasmi pada 1970, tetapi Rosenberg berkata, fokusnya kini ialah 'kempen memerangi keganasan' pimpinan AS dan pembangunan tentera di Asia.

"Sebahagian besar dunia meliputi negara-negara pengeluar senjata yang menjalankan program yang menjadi fokus AS dan Australia, dan tentulah sebilangan besar negara Asia termasuk dalam kategori itu," kata Rosenberg.

Beliau mengikat perjanjian seumur hidup dengan NSA untuk menyimpan rahsia dan pendedahan beliau terhad kepada pengalamannya semasa berkhidmat di Pine Gap.

Bagaimanapun beliau berkata, Korea Utara dan China adalah antara sasaran stesen itu, selain India dan Pakistan. - AFP

(Utusan Online, 19 September 2011)

Thursday, September 15, 2011

Tiga hari di Brunei 2



 

Bandar Seri Begawan adalah ibu negara Brunei. Ketika bergerak dari Serasa ke ibu kota ini, jalan raya sangat lancar dan di kiri kanan masih lagi penuh dengan kawasan hijau.

Perkampungan Lambak sedang rancak dengan pembinaan rumah-rumah baru. Salah satu penempatan yang padat ialah kawasan Lambak Kanan yang didiami hampir lima ribu orang, bilangan yang cukup baik untuk pasar raya Giant membuat untung. Melalui strategi harga rendah dan maklumat harga melalui risalah, hampir setiap masa pasar raya itu ramai orang.

Bandar Seri Begawan tidak memiliki bangunan yang tinggi-tinggi seperti di Kuala Lumpur atau Singapura. Bangunan paling tinggi ialah Bank Pembangunan Islam Brunei dan Hotel Jubilee di Kianggeh.

Ia masih lagi tidak menunjukkan perubahan yang ketara dari segi pembangunan kerana kawasan pembinaan amat terhad. Antara agensi kerajaan yang masih ada di sana ialah Kementerian Hal Ehwal Agama yang bersebelahan dengan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Di situ ada Jabatan Masjid yang mengambil berat perjalanan masjid dan surau seluruh Brunei.

Bertentangan dengan kementerian itu ada studio radio dan televisyen, RTB (Radio Televisyen Brunei). Bagaimanapun sebahagian besar operasi telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Kebangsaan.

Terdapat juga sebahagian bangunan lama yang dikenali sebagai Bangunan Sekretariat dan di sebelahnya bangunan Kementerian Kewangan. Terdapat juga bangunan sejarah, Muzium DiRaja dan Mahkamah Syariah berhampiran balai polis Bandar Seri Begawan. Kawasan mahkamah dahulunya merupakan kawasan lapang.

Di tengah-tengah jalan raya berhampiran Pejabat Pos Besar, Bangunan Sekretariat dan Makam Raja Ayang terdapat Jam Peringatan yang  diperbuat daripada simen. Perletakan batu asas jam ini di sempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama, Persekutuan Tanah Melayu, Tuanku Abdul Rahman pada 11 Julai 1959 bersempena dengan lawatan keberangkatan baginda ke Brunei bermula dari 6 hingga 12 Julai 1959. Ia kekal di situ sehingga kini.

Satu-satunya  kompleks yang gah di sini ialah Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu pusat perniagaan yang dibahagi dua. Sebelahnya adalah lot-lot kedai yang menjual pelbagai barangan, sebelah lagi disewa oleh taikun pasar raya iaitu Hua Ho.

Kerancakan kompleks ini kurang menonjol berbanding satu lagi kawasan komersil iaitu di Gadong. Di Yayasan, tumpuan lebih kepada membeli barangan di Hua Ho kerana pihak pengurusan di sini kurang promosi untuk menarik dan mengekalkan pelanggan yang memilih Gadong, Lambak atau Tanjung Bunut untuk membeli-belah.

Tempat penginapan juga terhad di sini. Terdapat empat hotel iaitu Renaissance, Terrace, Jubilee dan Brunei Hotel. Harganya dari B$60 ke atas, bagi yang hendak harga murah boleh menyewa di Pusat Belia berdekatan.

Panorama paling menarik di Bandar Seri Begawan ialah Kampung Ayer. Ia terkenal dengan teksi air iaitu sampan yang berulang-alik mengambil dan menurunkan penumpang di antara waterfront dengan Kampung Ayer. Tambangnya hanya seringgit ke semua destinasi.

Waterfront baru sahaja dirasmikan pada bulan Mei lepas oleh Putera Mahkota,  Al-Muhtadee Billah ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'Izzaddin Waddaulah. Kawasan itu dulunya menempatkan pelabuhan untuk persinggahan kapal  kargo dan menjadi pintu masuk penumpang dari Limbang, Sarawak dan Temburong.

Saya pernah sekali menggunakan jeti ini ketika masih belum dinaik taraf.
Menariknya jeti ini ialah, di hujungnya iaitu sebelah Sungai Kianggeh terdapat Pasar Tamu Kianggeh yang menjual barangan keperluan dapur, makanan tradisional Brunei dan makanan laut.

Terdapat juga kayu tas yang dijual dengan harga B$2 sebatang. Berhampiran lampu isyarat dekat jambatan, dulu ada sebuah gerai makanan yang menjual satay.

Saya dan rakan-rakan pernah makan di sini dan pernah juga berjumpa dengan Ustaz Dr Aziz Hanapi yang ketika itu sedang bekerja di Brunei. Dia juga sering makan-makan di sini di samping menikmati suasana muara di Kampung Ayer.

Kampung Ayer didiami hampir tiga ribu orang dan kerajaan Brunei mengambil berat keadaan dan pembangunan di situ dengan menyediakan sekolah, masjid, balai bomba dan kemudahan-kemudahan lain. Ancaman paling besar ialah kebakaran yang memusnahkan sesetengah penempatan.

Kedudukannya yang tidak teratur dan kurang ciri-ciri keselamatan menyebabkan api senang marak dan memusnahkan rumah-rumah yang terlibat. Ancaman lain ialah kehadiran pekerja asing yang menyewa rumah-rumah di sini yang mencemarkan suasana dengan pengedaran dadah.

Kerapkali media menyiarkan isu ini supaya masyarakat di Kampung Ayer mengambil berat persekitaran hidup mereka yang pada hakikatnya sangat aman.

Di tebing atau daratan, kereta penduduk Kampung Ayer bersusun-susun. Setiap ruang di penuhi kereta. Ia menjadi pemandangan yang menyeronokkan apabila kita melalui laluan dari Bandar Seri Begawan ke Muara kerana laluan ini menyusuri muara sungai hingga ke laut.

Laluan ini juga terdapat Muzium Brunei yang dibuka dari pagi hingga jam lima petang. Di sebelahnya terdapat kawasan perkuburan lama yang menempatkan makam sultan-sultan Brunei terdahulu.Hadapan sedikit dari muzium adalah Kampung Pelambaian iaitu kawasan untuk jemaah haji Brunei berkumpul dan bertolak ke Mekah pada era kapal laut.

Di Mentiri, kita dapat lihat sebuah perkampungan air yang lebih moden yang teratur disediakan oleh kerajaan Brunei.

Mercu tanda Bandar Seri Begawan ialah Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang memiliki binaan klasik tetapi sangat menarik. Warna bangunannya tidak luntur biarpun telah lama dibina.

Dalamnya menggunakan penghawa dingin sepenuhnya dan terasa lebih khusyuk apabila solat. Pada sebelah malamnya, suasana persekitaran masjid ini dihiasi lampu berwarna-warni yang menjadikannya sangat indah.

 

Tuesday, September 13, 2011

Membanteras anasir militan






 
oleh Datuk Mohamad Fuzi Harun
Penulis ialah Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Selepas genap 10 tahun tragedi serangan 11 September 2001 atau 911 ke atas Amerika Syarikat (AS) oleh kumpulan al-Qaeda, tiada tanda-tanda menunjukkan ancaman kumpulan tersebut akan berakhir.

Walaupun hampir semua pimpinan tertinggi al-Qaeda berjaya ditangkap atau dibunuh termasuk Osama bin Laden pada 1 Mei 2011 namun, beberapa serangan berani mati terus dilancarkan oleh kumpulan gabungannya yang memegang ideologi sama seperti al-Qaeda iaitu Salafiah Jihadiah.

Malaysia turut dikaitkan dengan tragedi serangan 911 apabila empat daripada perancang operasi atau dikenali sebagai operatif-operatif al-Qaeda yang terlibat pernah mengadakan perjumpaan sulit di Kuala Lumpur pada Disember 1999 dengan bantuan anasir-anasir kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tempatan.

Malah beberapa hari selepas tragedi 911, media antarabangsa telah menyiarkan laporan-laporan mendakwa Malaysia sebagai 'Launching Pad' kepada operatif-operatif al-Qaeda yang terlibat.

Namun ia dilihat sebagai usaha negara-negara Barat untuk menutup kelemahan masing-masing kerana gagal mengesan dan mengambil tindakan mencegah serangan tersebut walaupun mereka sebenarnya mempunyai maklumat terperinci mengenai beberapa operatif yang terlibat.

Beberapa operatif al-Qaeda yang terlibat termasuk Khalid Al-Mihdhar, ketua kumpulan yang merampas pesawat Amerika Airlines Flight 77, pesawat yang merempuh Bangunan Pentagon di Washington, AS, memang pernah memasuki Malaysia pada Disember 1999.

Sepanjang berada di Malaysia sehingga awal Januari 2000, mereka dibantu oleh anasir-anasir JI tempatan. Kondominium tempat mereka menginap di Bandar Sungai Long adalah milik anggota kanan JI negara ini iaitu Yazid Sufaat yang pernah menjalani latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan pada 1999 sehingga 2001.

Malah Yazid Sufaat juga pernah berbai'ah dengan Osama di Kandahar, Afghanistan. Di samping Yazid Sufaat, terdapat 10 lagi anggota JI tempatan yang pernah berbai'ah dengan Osama.

'Mastermind' di belakang serangan 911 adalah Khalid Syeikh Mohamad, ketua operatif al-Qaeda yang juga pernah memasuki Malaysia sejak 1993 untuk mengadakan pertemuan dengan Hambali, anggota kanan JI Malaysia.

Menurut rancangan awal Khalid yang dibentang kepada Osama pada Mac 1999, serangan tersebut turut melibatkan rancangan merampas pesawat di Thailand, Korea Selatan, Hong Kong dan Malaysia.

Namun Osama berpendapat rancangan tersebut terlalu besar dan akhirnya menumpukan kepada serangan di AS saja.

Insiden 911 juga telah mendorong pihak polis di rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia melancarkan operasi tangkapan ke atas anasir-anasir JI di negara masing-masing yang merupakan kumpulan gabungan al-Qaeda.

Beberapa rakyat Malaysia yang merupakan anggota kanan al-Qaeda termasuk Mohammed Nazir Lep dan Mohd. Farik Amin turut ditangkap oleh pihak berkuasa asing.

Mohammed Nazir berasal dari Muar, Johor manakala Mohd. Farik dari Kajang, Selangor adalah dua rakyat Malaysia yang dipilih menyertai kumpulan Al-Qaeda untuk melancarkan serangan ala 911. Namun kedua-duanya ditangkap bersama Hambali di Bangkok pada Ogos 2003 dan kini kesemuanya ditahan di Teluk Guantanamo.

Sejak 2001, PDRM telah menahan seramai 202 anasir militan yang majoritinya terdiri daripada JI dan al-Qaeda.

Jumlah itu termasuk 74 anasir militan (21 daripadanya adalah anggota al-Qaeda) yang ditangkap di Malaysia sejak penubuhan Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) pada Mac 2009.

Ini menunjukkan ancaman al-Qaeda dan JI masih wujud, walaupun tahap ancaman tersebut semakin menurun.

Apa yang jelas, daripada tangkapan yang dibuat sejak 2009, menunjukkan terdapat anasir-anasir al-Qaeda yang menyusup masuk untuk transit di Malaysia dan cuba merekrut pelajar-pelajar asing dan rakyat tempatan untuk menyertai kumpulan mereka.

Di samping anasir al-Qaeda dari luar negara, polis juga terus memantau 20 bekas anggota JI yang pernah menjalani latihan ketenteraan di kem al-Qaeda di Afghanistan.

Tangkapan seramai 11 anggota kumpulan al-Qaeda yang diketuai oleh Ayman Al-Dakkak di Gombak pada 21 Januari 2010 jelas membuktikan bahawa usaha merekrut anggota baru Al-Qaeda adalah satu proses yang berterusan.

Banyak pihak berpendapat ancaman al-Qaeda akan berkubur dengan pembunuhan Osama. Namun apa yang jelas kini negara menghadapi ancaman penyebaran ideologi Salafiah Jihadiah al-Qaeda yang masih terus disebarkan secara meluas melalui Internet.

Ini amat membimbangkan PDRM kerana terdapat pemikir yang menunjukkan sudah ada individu-individu terutamanya remaja terpengaruh untuk melancarkan serangan ganas bersendirian selepas terpengaruh dengan ideologi Salafiah Jihadiah.

Kecenderungan remaja dan golongan pelajar untuk terpengaruh dan menjadikan al-Qaeda sebagai simbol perjuangan tidak boleh diketepikan.

Ini terbukti dengan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis pada Julai 2010 ke atas Mohd. Fadzullah, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Dia yang terpengaruh dengan ideologi Salafiah Jihadiah telah menubuhkan kumpulan Tandzin Al-Qaeda Asia Tenggara pada 2008 dan berjaya merekrut lima penuntut UTM Skudai.

Dua daripada anggota kumpulannya yang juga penuntut UTM telah ditangkap di Thailand pada 2007 dan kini menjalani hukuman penjara selama 28 tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam aktiviti keganasan di negara tersebut.

Mohd. Fadzullah dan anggota-anggotanya menjadikan Osama dan al-Qaeda sebagai idola mereka.

Trend ancaman kumpulan al-Qaeda kini yang melibatkan sel-sel kecil, beroperasi secara berasingan dan tidak mempunyai struktur organisasi dan hubungan dengan kepimpinan induk al-Qaeda amat membimbangkan.

Ini menyukarkan pihak polis untuk mengesan aktiviti dan perancangan anggota sel ini.

Setakat ini pihak polis masih berjaya mencegah sebarang serangan oleh anasir-anasir militan di Malaysia walaupun terdapat rancangan untuk melancarkan serangan di negara ini.

Kejayaan itu banyak dipengaruhi oleh kemampuan polis mengesan dan menangkap anasir-anasir militan tersebut sebelum mereka berada di peringkat akhir serangan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, tahanan-tahanan yang ditahan di bawah ISA juga menjalani proses pemulihan sebelum dibebaskan kembali. Setakat ini kaedah yang digunakan mampu menangani ancaman kumpulan-kumpulan militan.

Selain Malaysia, Singapura juga menggunakan akta sama dalam menangani ancaman kumpulan JI dan al-Qaeda.

Pihak polis juga amat berharap dengan langkah membatalkan pemberian visa waktu ketibaan (VOA) kepada pelawat-pelawat dari negara-negara berisiko mampu membantu polis mengawal kehadiran anasir militan asing khususnya al-Qaeda ke Malaysia.

Begitu juga dengan perlaksanaan sistem biometrik di semua pintu masuk negara.

(Utusan Malaysia, 12 September 2011)

 

Monday, September 12, 2011

Tiga hari di Brunei 1





Perjalanan ke Brunei Darussalam selama tiga hari amat menyenangkan. Saya memilih laluan Kuala Lumpur-Labuan dengan pesawat AirAsia “Now everyone can fly” kerana harganya yang sangat kompetitif. Di samping itu ingin sekali merasai udara segar pulau Labuan yang semakin pesat berkembang.

Ketika mendarat di Lapangan Terbang Labuan, hujan renyai-renyai menyirami bumi Labuan selepas beberapa hari panas kegersangan. Maknanya hujan rahmat hadir di bumi Labuan.

Saya memilih menggunakan perkhidmatan teksi dari lapangan terbang ke terminal feri. Bayarannya RM12 sahaja yang mengambil masa tidak sampai 10 minit. Terminal feri ini serba moden dan lebih selesa. Sepuluh tahun lalu, jeti feri sangat kecil, persekitaran yang tidak selesa dan daif. Kini terminal feri menjadi laluan laut utama ke Kota Kinabalu, Menumbok, Limbang dan Brunei.

Urusan tiket menggunakan komputer sepenuhnya. Bayaran tambang ke Brunei ialah RM35 bagi dewasa. Balai pelepasan dilengkapi alat pengimbas untuk memudahkan pihak kastam dan polis mengenal pasti barangan yang dikenakan cukai. Kaunter imigresen juga lebih menarik dan urusannya pantas.

Kapal penumpang yang disediakan memang selesa dan bertolak ke Brunei pada pukul 11 pagi. Kita boleh memilih tempat duduk jika penumpang kurang, jika tidak, kenalah duduk mengikut nombor yang ditetapkan. Sepanjang satu jam perjalanan, kita dihidangkan tayangan gambar yang menarik. Kadang-kadang cerita Inggeris, kadang-kadang cerita Cina.

Penumpang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, datang dari berbagai-bagai negara dan status sosial. Labuan digunakan oleh pencari kerja dari Filipina dan Indonesia untuk meneroka peluang-peluang pekerjaan di Brunei kerana tukaran wang yang agak tinggi ketika ini. Semasa menukarkan RM300, saya hanya mendapat B$120, satu jumlah yang jauh lebih kecil. Nampaknya duit RM semakin murah dan Brunei Dollar semakin mahal.

Terminal laut Serasa adalah tempat berlabuh kapal penumpang dari Labuan. Terminal ini juga telah dinaik taraf menjadikan suasananya lebih selesa, luas dan kelihatan “antarabangsa”. Jika dulu hanya ada kaunter tiket, kantin dan balai pemeriksaan, kini keadaanya telah berubah. Ruang menunggu dan membeli tiket disediakan kerusi dan televisyen.

Balai kelepasan dan ketibaan juga jauh lebih luas dan berhawa dingin. Perubahan ketara ialah terdapat mesin pengimbas untuk pemeriksaan kastam. Jika dulu kakitangan kastam memeriksa secara manual kini pemeriksaan digantikan oleh mesin. Pengunjung atau pelancong bukan Islam yang membawa masuk minumam alkohol dari Labuan perlu mengisytiharkan pembelian mereka dengan mengisi borang berwarna jingga pada kaunter yang disediakan.

Sebelum kawasan letak kereta dinaik taraf, bas mini ungu boleh hampir sehingga ke kawasan jualan tiket, namun kini kawasan berkenaan digantikan dengan perkhidmatan teksi. Bas tidak lagi dibenarkan masuk selepas kawasan itu diserahkan kepada syarikat kawalan letak kereta Metro Parking.

Paling menarik ialah, sebelum dinaik taraf, terdapat sebuah lori mini yang berwarna merah diletakkan di sudut kawasan lapang, betul-betul di bawah pokok. Saya masih ingat, dipintu kanan dan kiri lori itu tertulis perkataan “Shuwa Enterprise” yang beralamatkan Labuan. Bagaimana lori merah dari Labuan boleh berada di situ? Selepas kawasan itu dimajukan sebagai kawasan letak kereta, saya tidak nampak lagi lori ini berkenaan.

Tentang lori mini berwarna merah, saya pernah ceritakan kepada rakan saya, Shukri Wahid yang menjadi usahawan di Labuan. Beliau merupakan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Geologi.

Saya berjumpanya ketika mengikuti kursus Bacalah Anakku di Kota Bharu, Kelantan sekitar tahun 1998. Pada masa itu Encik Othman dan isterinya sendiri yang mengendalikan kursus. Serba sedikit saya kenal Shukri. Dia pernah bekerja di Brunei sebagai guru sekolah tetapi tidak lama.

Selepas berkahwin dengan orang Indonesia (isterinya bekas pramugari dan boleh berbahasa Perancis), dia berhijrah ke Labuan dan memulakan beberapa bisnes termasuk kelas tuisyen dan perkhidmatan membaiki alat penghawa dingin.

Semasa saya ajukan soalan pasal lori mini berwarna merah di Serasa, dia hanya tersenyum dan berkata, “Itu lori aku. Aku bawa dari Labuan ke Brunei untuk hantar barang tapi ada masalah teknikal yang sebabkan aku letakkan lori di situ.

Apabila sudah lama rasa malas pula nak bawa balik Labuan.” Itulah kisah lori merah yang pernah tersadai di terminal feri Serasa, Muara, Brunei Darussalam. Saya berjumpa dengan tuan punya yang bernama Shukri. Shuwa Enterprise diambil sempena Shukri bin Wahid iaitu gabungan Shukri dan Wahid.

Sunday, September 11, 2011

Kegigihan punca kejayaan




Ketika melintasi sebatang jalan raya, saya terpandang papan iklan gergasi yang tertera ayat “kegigihan punca kejayaan”. Saya terfikir sejenak maksud ayat ini dan bertanya bagaimana seorang yang gigih berusaha boleh berjaya? Lalu saya membuat sedikit kajian terhadap orang yang telah berjaya dalam sukan.

Ramai daripada mereka ini memulakan kerjaya dengan membuat perancangan yang sangat rapi untuk menjadi juara. Kemunculan mereka bukannya sekelip mata, sebaliknya menggunakan banyak tenaga, wang ringgit dan latihan yang berpanjangan.

Semangat dan kegigihan terserlah dalam setiap perkara sama ada pengurusan diri, menentukan makanan ataupun memilih teknik yang sesuai. Contohnya, dalam memilih teknik latihan, selagi mereka tidak dapat hasil yang dikehendaki, selagi itulah mereka terus berlatih.

Seiring dengan kegigihan ialah sikap tidak mudah berpuas hati. Jika kita memiliki sikap berlebih kurang saja, kita telah mengambil mudah kualiti produk atau perkhidmatan yang sepatutnya lebih baik. Banyak kaitannya slogan kegigihan punca kejayaan dengan usaha dan perancangan kita. Merancang tanpa usaha adalah angan-angan, berusaha tanpa merancang menyebabkan kita letih.

Orang yang berjaya adalah orang gigih berusaha, mengambil peluang mengubah hidup dan tidak mahu kalah dalam persaingan.

Saturday, September 10, 2011

Bina tabiat sejak muda




Perbuatan dan tindakan yang dilakukan pada masa muda, lazimnya menjadi tabiat yang sukar dibuang ketika umur meningkat tua. Contohnya, orang muda yang bangun awal setiap hari akan berbuat demikian walaupun umurnya sudah menjangkau 50 atau 60 tahun.

Cuba kita perhatikan, orang-orang tua yang telah lanjut usianya, selepas solat subuh akan membaca al-quran, tentulah tabiat ini dibawa sejak usia muda.

Ketika usia masih remaja, sebaik-baiknya kita bina tabiat atau kelaziman yang dapat dibawa ke usia tua. Katakan kita suka membantu membuat kebajikan, tolong orang susah atau memberi makan percuma kepada orang miskin, besar kemungkinan kita juga suka menolong orang apabila telah menjadi warga tua.

Seorang rakan saya yang hampir separuh abad umurnya masih lagi sanggup menjalankan kerja sukarela di Somalia kerana memang sifatnya dari muda suka membantu orang lain.

Dia tidak ada rasa letih dan merungut menguruskan ubat-ubatan atau memunggah barang-barang untuk dimuatkan ke dalam kapal terbang kerana memang begitu sikapnya terhadap manusia.

Bila ditanya kenapa dia bersusah-payah, lalu dijawabnya, “saya dah buat kerja-kerja sukarela sejak sekolah menengah lagi.”

Friday, September 09, 2011

Tip hafal al-quran





Seorang imam muda dari Palestin telah dijemput menjadi imam solat tarawih pada bulan ramadhan lepas. Imam ini masih muda dan menghafal al-quran bermula umur lima tahun.

Saya bertanya kepadanya bagaimana dia menghafal al-quran dan bergelar hafiz, apakah caranya untuk menguatkan ingatan dan juga cara menghafal fakta-fakta dari buku.

Katanya, sangat mudah untuk menghafal al-quran jika kita dapat tahu beberapa tip.

Pertama, masa menghafal. Sebaik-baiknya selepas solat subuh hingga waktu zohor. Dalam senggang masa ini, otak kita masih cergas dan apa yang dibaca dan dihafal mudah diingat.

Kedua, minat. Biasanya tumpuan akan lebih banyak kepada subjek yang kita minat. Ketiga, baca berulang kali supaya ia melekat dan tetap kekal di kepala.

Tip yang diberikan oleh imam muda ini nampak seperti praktikal dan boleh diamalkan serta-merta. Banyak lagi teknik lain yang boleh disesuaikan dengan diri kita seperti membaiki cara menulis nota, belajar berkumpulan atau sentiasa membawa nota kuliah ke mana saja kita pergi.

Kejayaan dalam menghafal al-quran atau fakta-fakta untuk peperiksaan perlukan disiplin yang mantap. Berusaha menghafal adalah langkah awal membina kefahaman seterusnya memantapkan amalan praktikal.

 

Thursday, September 08, 2011

Cari jalan hidup




Kisah-kisah suka dan duka orang yang telah berjaya dalam kerjaya dan hidup banyak mengubah persepsi ramai orang terhadap hidup hari ini. Dua orang daripada mereka ialah W. Mitchell dan Candace Lighter.

Mitchell merupakan seorang perunding motivasi diri dan usahawan yang berjaya manakala Candace seorang ibu yang telah menggerakkan kempen mengenakan hukuman berat ke atas pemandu yang mabuk.

Kisah Mitchell lebih menyayat hati. Dua kali beliau ditimpa musibah. Pertama, kulitnya melecur 65 peratus, kedua, lumpuh dari paras pinggang hingga ke bawah kerana kemalangan kapal terbang. Hari ini dia bergerak menggunakan kerusi roda.

Walaupun tidak lagi mampu berjalan, dia gigih membina hidup yang baru. Kepada orang yang sangat mudah kecewa dan berputus asa, saya ambil kata-kata beliau untuk direnungi.

“Sebelum saya cacat dari pinggang ke bawah, saya seperti melakukan 10,000 aktiviti. Sekarang hanya tinggal 9,000 aktiviti. Apa yang harus menjadi fokus saya? Apakah saya akan menyesal 1,000 aktiviti yang tidak mampu saya lakukan? Tidak, saya lebih baik memberikan fokus pada 9,000 aktiviti yang mampu saya nikmati dalam hidup.”

Hidup dengan berkerusi roda sangat mengehadkan pergerakan. Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

Kepada yang masih ada kaki, teruskan menikmati perjalanan sedia ada kerana kita tidak tahu bilakah masanya Tuhan akan mengambil kaki tersebut. Kepada yang masih ada sebuah kehidupan, teruskan menikmati hidup kita dengan rasa syukur dan terima kasih.

 

Wednesday, September 07, 2011

Mat Sabu tunjuk bukti




Sejak dari sekolah rendah kita didedahkan dengan perkembangan tamadun dan pembentukan sesebuah negara melalui subjek sejarah.

Di universiti, percernaan ke atas sejarah negara amat dititikberatkan kepada mahasiswa supaya mereka mendapat gambaran yang jelas bahawa membina sebuah negara Malaysia yang merdeka hari ini telah melalui proses yang panjang.

Selepas menamatkan pengajian, siswa dan siswi yang memilih untuk bekerja di sektor awam masih perlu belajar sejarah dan dasar luar negara untuk melayakkan mereka disahkan dalam perkhidmatan. Malah dari semasa ke semasa mereka perlu menghadiri Kursus pembangunan diri untuk meningkatkan tahap kompetensi.

Cetusan isu lama yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu tentang tokoh yang bernama Mat Indera amat menarik perhatian. Pendedahan isu ini agak memeranjatkan kerana kita tidak pernah didedahkan dengan ketokohan beliau.

Cuma kerajaan Negeri Johor yang mengangkat martabat Mat Indera sebagai tokoh yang mengukir nama Johor. Penerbitan buku Pengukir Nama Johor oleh Yayasan Warisan Johor di bawah naungan kerajaan negeri amat sinonim dengan pendedahan Mat Sabu.

Pihak media sudah pun menyiarkan kulit buku ini dan setakat ini, buku tersebut merupakan sumber rujukan yang sahih dan boleh diterima pakai sebagai rujukan berwibawa.

Kita tidak tahu motif sebenar Mat Sabu membangkitkan Mat Indera. Namun selepas beberapa laporan polis, baharulah masyarakat dapat melihat sanak saudara yang menjadi mangsa dalam tragedi Bukit Kepong. Ada yang sudah uzur, bergantung kepada ihsan saudara-mara untuk menguruskan makan minum, ada yang tidak dapat merasai nikmat pencen suami atau ayah yang terkorban.

Satu demi satu keluarga yang terlibat mula menyatakan pandangan mereka dan liputan ke atas keluarga ini mula menunjukkan hasil. Menteri berkenaan dilaporkan akan menemui keluarga mangsa yang terkorban dengan harapan dapat meredakan rasa marah dan sakit hati terhadap kenyataan Mat Sabu itu.

Isu sama ada Mat Indera seorang hero sebenar atau tidak, kita serahkan kepada pakar-pakar sejarah untuk mengkajinya kerana ahli politik bukannya orang yang layak untuk memberi jolokan berkenaan. Kepintaran ahli politik menyuarakan pandangan mereka bukanlah syarat untuk mengesahkan bahawa Mat Indera seorang hero atau tidak.

Mat Sabu telah menggunakan masa yang sesuai untuk membangkitkan kepentingan menyelidik punca sejarah yang sebenar pada bulan kemerdekaan ini. Orang ramai yang tidak peduli tentang sejarah telah teruja apabila terdapat perdebatan tentang Mat Indera kerana sikap ingin tahu masyarakat telah mula menebal ketika ini.

Mereka tidak lagi bergantung pada satu sumber untuk mendapatkan maklumat sebaliknya mencari pelbagai sumber supaya di akhir pencarian ini mereka dapat membuat kesimpulan sendiri.

Hujah yang disiarkan di media pro kerajaan akan diadili dengan hujah yang terdapat dalam media alternatif. Anak-anak yang bekerja di bandar akan menghubungi ibu bapa untuk menerangkan perkara sebenar supaya isu berkenaan dapat difahami dengan jelas. Akhirnya, propaganda yang disiarkan di televisyen tidak diterima bulat-bulat sebaliknya ditapis dan dicerna dalam pemikiran sebelum membuat sesuatu rumusan.

Mungkin ramai yang menyangka sebelum ini Mat Sabu terlepas cakap, sebaliknya jawatan Timbalan Presiden tidak memberi laluan mudah kepada Mat Sabu untuk berbuat begitu. Beliau datang dengan hujah dan bukti yang kukuh mengiyakan kenyataannya.

Tindakan Mat Sabu mendedahkan peranan Mat Indera dan pengiktirafan kerajaan Negeri Johor adalah kenyataan yang mampu menangkis semua tohmahan ke atasnya. Pada masa yang sama kita juga ingin melihat bagaimana kerajaan Johor menghadapi isu ini, media yang banyak menghentam Mat Sabu dan reaksi Mat Sabu sendiri, adakah beliau ingin bertindak lebih jauh ke atas media yang menyerangnya atau bagaimana.

Setakat yang kita tahu, media kerajaan jarang benar memberi muka kepada Mat Sabu kerana diketahui Mat Sabu memang anti UMNO.

 

Tuesday, September 06, 2011

Adakah kita serius banteras rasuah?




oleh Karim Raslan

Gejala rasuah masih menjadi salah satu cabaran terbesar dihadapi negara demokrasi di benua Asia dalam menuju kematangan politik.

Namun, rata-ratanya di benua ini (termasuk Malaysia), rakyat telah hilang kepercayaan terhadap pihak polis dan badan kehakiman.

Di India, kebangkitan pihak bukan institusi umum semakin berpengaruh: bangun menyuarakan rasa marah dan benci rakyat terhadap sistem kehakiman dan keselamatan yang semakin tidak boleh dipercayai.

Ironinya, situasi ini berlaku ketika ekonomi India sedang bertumbuh pesat, 7.7 peratus, jauh meninggalkan Barat yang dilanda ancaman kegawatan berganda.

Namun, negara demokrasi terbesar di dunia ini berhadapan pelbagai skandal skala besar - dari ketidaktelusan penjualan lesen telekomunikasi 2G ke penganugerahan kontrak persiapan Sukan Komanwel 2010 di Delhi. Tidak hairanlah jika karakter seperti Anna (“Abang” dalam Hindi) Hazare yang menentang gejala rasuah mendapat sambutan hangat di seluruh India.

Tokoh berusia 74 tahun itu menjadikan gerakan menentang rasuah sebagai tugasnya sepanjang hayat. Bekas tentera pengikut Gandhi ini usaha sebar fahaman sosioekonomi dan spiritual di kampung halamannya sendiri di Rolegan Siddhi, Maharashtra - negeri sedang pesat membangun.

Sejak awal 1990an, Hazare keluar kampungnya - tekad untuk membanteras rasuah di negeri kelahirannya menggunakan taktik sama seperti Gandhi iaitu mogok lapar. Mogok ini ditujukan kepada ahli politik dan dasar yang tidak disetujui oleh Hazare.

Perjuangan Hazare mendapat perhatian nasional tahun ini apabila beliau mendesak kerajaan India menubuhkan badan ombudsman (badan penyelidik keluhan rakyat) untuk membanteras gejala rasuah. Hazare mendakwa, rang undang-undang asal terlalu lemah dan membenarkan intervensi serta manipulasi oleh kuasa politik.

Jan Lokpal (istilah Sanskrit untuk Pelindung Rakyat)- Suruhanjaya ombudsman versi yang dicadangkan Hazare: suruhanjaya itu berkuasa untuk menyiasat gejala rasuah di setiap lapisan kerajaan, termasuk Perdana Menteri, jatuh hukuman kepada pesalah dan melindungi pelapor rasuah. Suruhanjaya ini juga akan ada kuasa untuk merakamkan perbualan telefon suspek.

Apabila Perdana Menteri Manmohan Singh menolak penuh tuntutan Hazare, aktivis itu lancar “mogok lapar ke arah mati” yang membawa kepada penangkapan beliau di Delhi. Tangkapan itu mencetuskan kemarahan rakyat dan membawa kepada siri demonstrasi di seluruh India. Desakan rakyat ini memaksa Manmohan mengarahkan Hazare dilepaskan dari tahanan dan rang undang-undang yang baru akan digubal mengikut spesifikasi suruhanjaya versi aktivis itu.

Apa pula hubungan peristiwa di India ini dengan Malaysia?

Pertama, episod mogok lapar itu menunjukkan situasi terdesak, memerlukan reaksi terdesak. Taktik Hazare juga menunjukkan beliau tidak percaya sama sekali dengan proses transaksi politik di Parlimen. Berbekalkan keikhlasan dan integriti - beliau mendapat sokongan padu rakyat India.

Adakah Malaysia memerlukan seorang Anna Hazare, apatah lagi Jan Lokpal yang dicanang Hazare jauh lebih menarik berbanding model SPRM. Siapakah yang boleh menjadi seperti Hazare? Bolehkah tokoh ini mendapat sokongan merentasi kaum di Malaysia?

Adakah kelas menengah di Malaysia- yang punya semangat demokrasi berkobar sanggup mengekori jejak kelas menengah di India yang berjuang habis-habisan untuk membanteras rasuah? Sejauh manakah kita sanggup membersihkan sistem pentadbiran dan politik kita? Adakah kita benar-benar serius? Apa akan terjadi jika kita terpaksa memilih antara satu: demokrasi dan pentadbiran yang bagus?

Perkara kedua, desakan Hazare ini ialah signal kepada ahli politik Malaysia. Pemimpin bukan tidak boleh ditukar - jika gagal, anda akan ditunjukkan pintu keluar.

Pemimpin elit India gagal banteras rasuah, malah mereka memburukkannya lagi dan melangsungkan “status-quo” ini. Ia membolehkan Hazare, memenuhi vakum ditinggalkan ahli politik sebagai “pelindung rakyat” dan modal politik yang cukup untuk memastikan tuntutan dipenuhi.

Kuasa datang dengan tanggungjawab. Jika pemimpin berasa layak memimpin dengan baik, mereka seharusnya bekerja lebih keras membanteras rasuah.

(Sinar Harian, 6 September 2011)

 

Monday, September 05, 2011

Sediakan latihan untuk relawan




Malaysia, sebuah negara kecil harus berbangga kerana ramai rakyatnya yang mula menyertai misi kemanusiaan di seluruh dunia. Keghairahan relawan ini bergerak dari satu negara ke negara yang ditimpa bencana sangat mengagumkan. Sama ada kakitangan kerajaan, ahli politik atau pertubuhan bukan kerajaan, semangat dan daya juang mereka turut sebati dengan kesusahan dan penderitaan masyarakat yang dibantu.

Spirit kesukarelawan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah lama wujud. Misi pertama telah digerakkan ke Congo di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan penghantaran tentera Malaysia. Seterusnya beberapa misi keamanan di Bosnia, Lubnan, Timor Leste, Filipina dan Selatan Thailand. Jika terdapat konflik bersenjata, pasukan keselamatan Malaysia akan ditawarkan ke sana.

Sejak tahun 2000 hingga kini, beberapa misi kemanusiaan telah dijayakan oleh rakyat Malaysia khususnya dari parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Mereka ini bergerak ke Indonesia, Pakistan, Palestin dan Somalia bersama pelbagai jenis bantuan- makanan, perubatan, pakaian dan wang ringgit. Kegentaran terhadap risiko maut ditembak atau mati kelaparan ditolak ke tepi demi sebuah misi menyelamat.

Risiko misi kemanusiaan  sangat tinggi lebih-lebih lagi relawan ini berhadapan dengan peluru sesat. Setakat ini tiga orang rakyat Malaysia telah terbunuh di tengah konflik bersenjata. Mereka ialah Koperal Mat Aznan, Kolonel Rashid Musa dan terbaru Noramfaizul Mohd Nor, jurugambar BernamaTV.

Tragedi seperti ini memang tidak dapat dielakkan. Justeru sebagai langkah untuk menjaga keselamatan relawan Malaysia, tindakan proaktif kerajaan dapat membantu mengurangkan risiko dan bencana kepada mereka. Antaranya dengan mewajibkan setiap relawan mendaftarkan diri kepada Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara supaya penglibatan mereka dalam misi kemanusiaan dapat direkodkan, mengambil insurans, menyertai latihan kemahiran kesukarelawan dan melibatkan diri dalam sesi pengurusan emosi. Tindakan seperti ini bukannya hendak menyekat keinginan mereka memberi bantuan sebaliknya mengangkat martabat relawan itu sendiri supaya lebih profesional.

Kesedaran pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik menyertai misi kemanusiaan di seluruh dunia sangat dihargai namun sikap ini perlukan tatacara yang lebih teratur dan kemas. Kita tentu tidak mahu kisah duka lara kerana menerima jasad relawan yang tidak bernyawa menghiasai muka hadapan akhbar.

Sebaliknya kita mahu melihat relawan kita kembali ke Malaysia sebagai orang yang sangat berpuas hati dan dapat berkongsi pengalaman dengan anak-anak muda yang menaruh minat untuk menyertai misi-misi yang akan datang. Melalui cara inilah kita dapat memberi dorongan kepada orang-orang muda untuk menyumbang tenaga dan fikiran mereka bagi membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan dan penderitaan yang berpanjangan.