Tuesday, September 13, 2011

Membanteras anasir militan






 
oleh Datuk Mohamad Fuzi Harun
Penulis ialah Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Selepas genap 10 tahun tragedi serangan 11 September 2001 atau 911 ke atas Amerika Syarikat (AS) oleh kumpulan al-Qaeda, tiada tanda-tanda menunjukkan ancaman kumpulan tersebut akan berakhir.

Walaupun hampir semua pimpinan tertinggi al-Qaeda berjaya ditangkap atau dibunuh termasuk Osama bin Laden pada 1 Mei 2011 namun, beberapa serangan berani mati terus dilancarkan oleh kumpulan gabungannya yang memegang ideologi sama seperti al-Qaeda iaitu Salafiah Jihadiah.

Malaysia turut dikaitkan dengan tragedi serangan 911 apabila empat daripada perancang operasi atau dikenali sebagai operatif-operatif al-Qaeda yang terlibat pernah mengadakan perjumpaan sulit di Kuala Lumpur pada Disember 1999 dengan bantuan anasir-anasir kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tempatan.

Malah beberapa hari selepas tragedi 911, media antarabangsa telah menyiarkan laporan-laporan mendakwa Malaysia sebagai 'Launching Pad' kepada operatif-operatif al-Qaeda yang terlibat.

Namun ia dilihat sebagai usaha negara-negara Barat untuk menutup kelemahan masing-masing kerana gagal mengesan dan mengambil tindakan mencegah serangan tersebut walaupun mereka sebenarnya mempunyai maklumat terperinci mengenai beberapa operatif yang terlibat.

Beberapa operatif al-Qaeda yang terlibat termasuk Khalid Al-Mihdhar, ketua kumpulan yang merampas pesawat Amerika Airlines Flight 77, pesawat yang merempuh Bangunan Pentagon di Washington, AS, memang pernah memasuki Malaysia pada Disember 1999.

Sepanjang berada di Malaysia sehingga awal Januari 2000, mereka dibantu oleh anasir-anasir JI tempatan. Kondominium tempat mereka menginap di Bandar Sungai Long adalah milik anggota kanan JI negara ini iaitu Yazid Sufaat yang pernah menjalani latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan pada 1999 sehingga 2001.

Malah Yazid Sufaat juga pernah berbai'ah dengan Osama di Kandahar, Afghanistan. Di samping Yazid Sufaat, terdapat 10 lagi anggota JI tempatan yang pernah berbai'ah dengan Osama.

'Mastermind' di belakang serangan 911 adalah Khalid Syeikh Mohamad, ketua operatif al-Qaeda yang juga pernah memasuki Malaysia sejak 1993 untuk mengadakan pertemuan dengan Hambali, anggota kanan JI Malaysia.

Menurut rancangan awal Khalid yang dibentang kepada Osama pada Mac 1999, serangan tersebut turut melibatkan rancangan merampas pesawat di Thailand, Korea Selatan, Hong Kong dan Malaysia.

Namun Osama berpendapat rancangan tersebut terlalu besar dan akhirnya menumpukan kepada serangan di AS saja.

Insiden 911 juga telah mendorong pihak polis di rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia melancarkan operasi tangkapan ke atas anasir-anasir JI di negara masing-masing yang merupakan kumpulan gabungan al-Qaeda.

Beberapa rakyat Malaysia yang merupakan anggota kanan al-Qaeda termasuk Mohammed Nazir Lep dan Mohd. Farik Amin turut ditangkap oleh pihak berkuasa asing.

Mohammed Nazir berasal dari Muar, Johor manakala Mohd. Farik dari Kajang, Selangor adalah dua rakyat Malaysia yang dipilih menyertai kumpulan Al-Qaeda untuk melancarkan serangan ala 911. Namun kedua-duanya ditangkap bersama Hambali di Bangkok pada Ogos 2003 dan kini kesemuanya ditahan di Teluk Guantanamo.

Sejak 2001, PDRM telah menahan seramai 202 anasir militan yang majoritinya terdiri daripada JI dan al-Qaeda.

Jumlah itu termasuk 74 anasir militan (21 daripadanya adalah anggota al-Qaeda) yang ditangkap di Malaysia sejak penubuhan Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) pada Mac 2009.

Ini menunjukkan ancaman al-Qaeda dan JI masih wujud, walaupun tahap ancaman tersebut semakin menurun.

Apa yang jelas, daripada tangkapan yang dibuat sejak 2009, menunjukkan terdapat anasir-anasir al-Qaeda yang menyusup masuk untuk transit di Malaysia dan cuba merekrut pelajar-pelajar asing dan rakyat tempatan untuk menyertai kumpulan mereka.

Di samping anasir al-Qaeda dari luar negara, polis juga terus memantau 20 bekas anggota JI yang pernah menjalani latihan ketenteraan di kem al-Qaeda di Afghanistan.

Tangkapan seramai 11 anggota kumpulan al-Qaeda yang diketuai oleh Ayman Al-Dakkak di Gombak pada 21 Januari 2010 jelas membuktikan bahawa usaha merekrut anggota baru Al-Qaeda adalah satu proses yang berterusan.

Banyak pihak berpendapat ancaman al-Qaeda akan berkubur dengan pembunuhan Osama. Namun apa yang jelas kini negara menghadapi ancaman penyebaran ideologi Salafiah Jihadiah al-Qaeda yang masih terus disebarkan secara meluas melalui Internet.

Ini amat membimbangkan PDRM kerana terdapat pemikir yang menunjukkan sudah ada individu-individu terutamanya remaja terpengaruh untuk melancarkan serangan ganas bersendirian selepas terpengaruh dengan ideologi Salafiah Jihadiah.

Kecenderungan remaja dan golongan pelajar untuk terpengaruh dan menjadikan al-Qaeda sebagai simbol perjuangan tidak boleh diketepikan.

Ini terbukti dengan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis pada Julai 2010 ke atas Mohd. Fadzullah, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Dia yang terpengaruh dengan ideologi Salafiah Jihadiah telah menubuhkan kumpulan Tandzin Al-Qaeda Asia Tenggara pada 2008 dan berjaya merekrut lima penuntut UTM Skudai.

Dua daripada anggota kumpulannya yang juga penuntut UTM telah ditangkap di Thailand pada 2007 dan kini menjalani hukuman penjara selama 28 tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam aktiviti keganasan di negara tersebut.

Mohd. Fadzullah dan anggota-anggotanya menjadikan Osama dan al-Qaeda sebagai idola mereka.

Trend ancaman kumpulan al-Qaeda kini yang melibatkan sel-sel kecil, beroperasi secara berasingan dan tidak mempunyai struktur organisasi dan hubungan dengan kepimpinan induk al-Qaeda amat membimbangkan.

Ini menyukarkan pihak polis untuk mengesan aktiviti dan perancangan anggota sel ini.

Setakat ini pihak polis masih berjaya mencegah sebarang serangan oleh anasir-anasir militan di Malaysia walaupun terdapat rancangan untuk melancarkan serangan di negara ini.

Kejayaan itu banyak dipengaruhi oleh kemampuan polis mengesan dan menangkap anasir-anasir militan tersebut sebelum mereka berada di peringkat akhir serangan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, tahanan-tahanan yang ditahan di bawah ISA juga menjalani proses pemulihan sebelum dibebaskan kembali. Setakat ini kaedah yang digunakan mampu menangani ancaman kumpulan-kumpulan militan.

Selain Malaysia, Singapura juga menggunakan akta sama dalam menangani ancaman kumpulan JI dan al-Qaeda.

Pihak polis juga amat berharap dengan langkah membatalkan pemberian visa waktu ketibaan (VOA) kepada pelawat-pelawat dari negara-negara berisiko mampu membantu polis mengawal kehadiran anasir militan asing khususnya al-Qaeda ke Malaysia.

Begitu juga dengan perlaksanaan sistem biometrik di semua pintu masuk negara.

(Utusan Malaysia, 12 September 2011)

 

No comments:

Post a Comment