Monday, September 05, 2011

Sediakan latihan untuk relawan




Malaysia, sebuah negara kecil harus berbangga kerana ramai rakyatnya yang mula menyertai misi kemanusiaan di seluruh dunia. Keghairahan relawan ini bergerak dari satu negara ke negara yang ditimpa bencana sangat mengagumkan. Sama ada kakitangan kerajaan, ahli politik atau pertubuhan bukan kerajaan, semangat dan daya juang mereka turut sebati dengan kesusahan dan penderitaan masyarakat yang dibantu.

Spirit kesukarelawan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah lama wujud. Misi pertama telah digerakkan ke Congo di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan penghantaran tentera Malaysia. Seterusnya beberapa misi keamanan di Bosnia, Lubnan, Timor Leste, Filipina dan Selatan Thailand. Jika terdapat konflik bersenjata, pasukan keselamatan Malaysia akan ditawarkan ke sana.

Sejak tahun 2000 hingga kini, beberapa misi kemanusiaan telah dijayakan oleh rakyat Malaysia khususnya dari parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Mereka ini bergerak ke Indonesia, Pakistan, Palestin dan Somalia bersama pelbagai jenis bantuan- makanan, perubatan, pakaian dan wang ringgit. Kegentaran terhadap risiko maut ditembak atau mati kelaparan ditolak ke tepi demi sebuah misi menyelamat.

Risiko misi kemanusiaan  sangat tinggi lebih-lebih lagi relawan ini berhadapan dengan peluru sesat. Setakat ini tiga orang rakyat Malaysia telah terbunuh di tengah konflik bersenjata. Mereka ialah Koperal Mat Aznan, Kolonel Rashid Musa dan terbaru Noramfaizul Mohd Nor, jurugambar BernamaTV.

Tragedi seperti ini memang tidak dapat dielakkan. Justeru sebagai langkah untuk menjaga keselamatan relawan Malaysia, tindakan proaktif kerajaan dapat membantu mengurangkan risiko dan bencana kepada mereka. Antaranya dengan mewajibkan setiap relawan mendaftarkan diri kepada Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara supaya penglibatan mereka dalam misi kemanusiaan dapat direkodkan, mengambil insurans, menyertai latihan kemahiran kesukarelawan dan melibatkan diri dalam sesi pengurusan emosi. Tindakan seperti ini bukannya hendak menyekat keinginan mereka memberi bantuan sebaliknya mengangkat martabat relawan itu sendiri supaya lebih profesional.

Kesedaran pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik menyertai misi kemanusiaan di seluruh dunia sangat dihargai namun sikap ini perlukan tatacara yang lebih teratur dan kemas. Kita tentu tidak mahu kisah duka lara kerana menerima jasad relawan yang tidak bernyawa menghiasai muka hadapan akhbar.

Sebaliknya kita mahu melihat relawan kita kembali ke Malaysia sebagai orang yang sangat berpuas hati dan dapat berkongsi pengalaman dengan anak-anak muda yang menaruh minat untuk menyertai misi-misi yang akan datang. Melalui cara inilah kita dapat memberi dorongan kepada orang-orang muda untuk menyumbang tenaga dan fikiran mereka bagi membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan dan penderitaan yang berpanjangan.
 


No comments:

Post a Comment