Friday, September 23, 2011

Keperluan penubuhan Yayasan Keluarga Islam di Malaysia






Walaupun terdapat kajian yang mengatakan bahawa nisbah perceraian bagi pasangan Islam mengikut populasi penduduk beragama Islam menurun berbanding sedekad dua yang lalu, tetapi bilangan perceraian itu sendiri tetap meningkat dari tahun ke tahun.

Apabila angka perceraian terus meningkat dari masa ke masa, yang menunjukkan berlakunya pertambahan konflik rumah tangga ataupun keluarga, maka ia merupakan petanda tentang keperluan terhadap satu wadah yang dapat melancarkan proses penyelesaian konflik keluarga yang berlaku.

Pewujudan Yayasan Keluarga Islam atau institusi yang seumpama dengannya perlu diwujudkan bagi melengkapi penjanaan dan pelaksanaan transformasi terhadap perundangan Islam di Malaysia.

Melalui satu kajian yang dijalankan, masyarakat Islam di Malaysia sememangnya meletakkan kepercayaan yang amat tinggi terhadap Mahkamah Syariah bagi menguruskan permasalahan dalam hal-hal kekeluargaan, walaupun ada ketikanya masih terdengar rungutan dan ketidakpuasan hati tentang perkhidmatan dan reputasi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Apabila satu-satu konflik rumah tangga berlaku, ia akan melibatkan tentang kefahaman hak dan tanggungjawab suami isteri, penjagaan anak, nafkah isteri dan anak serta harta suami isteri atau harta keluarga. Konflik keluarga juga mungkin akan melibatkan perkhidmatan guaman, kaunseling, rawatan psikologi, perlindungan diri dari ancaman keganasan rumah tangga dan seumpamanya.

Apa yang berlaku pada hari ini, walaupun semua bentuk kemudahan yang diperlukan itu boleh dinikmati oleh pihak-pihak yang memerlukan, tetapi kedudukan agensi-agensi ini terpisah-pisah dan memberi kesukaran bagi mereka yang sedang berhadapan dengan kesukaran.

Seandainya, Yayasan Keluarga Islam diwujudkan, ia boleh berfungsi sebagai satu pusat yang boleh menjadi penyelaras kepada setiap peranan agensi Islam yang terlibat. Apatah lagi dengan taraf pendidikan yang pelbagai, ada kelompok yang hanya mempunyai daya inisiatif yang rendah untuk bertindak sendiri.

Sebagai pusat yang mengumpulkan maklumat-maklumat penting yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan Islam, sudah tentu akan wujudnya kerjasama erat bersama agensi-agensi Islam seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Kementerian Kesihatan atau hospital dan juga Polis Diraja Malaysia.

Yayasan ini perlu diwujudkan bagi membantu keluarga yang mempunyai masalah di Mahkamah Syariah. Sekiranya masalah yang dihadapi sehingga memerlukan perkhidmatan guaman, maka pihak yayasan mempunyai persediaan untuk membantu menurut tahap keperluan pihak yang terlibat.

Dalam keadaan pihak yang memerlukan bantuan perkhidmatan guaman benar-benar tidak mampu untuk membayar perkhidmatan guaman swasta, maka yayasan akan bertindak sebagai koordinator supaya insan malang berkenaan diuruskan oleh perkhidmatan guaman yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Bagi kalangan yang tidak layak menerima bantuan oleh pihak kerajaan, sebagai penyelaras, pihak yayasan mempunyai senarai nama dan alamat peguam syarie yang bertauliah dan senarai ini boleh dicadangkan kepada pihak yang memerlukan.

Selain itu juga yayasan boleh memberi bimbingan dan penerangan kepada orang awam yang memerlukan contohnya tentang peranan dan tanggungjawab peguam syarie yang bakal dilantik, hak-hak anak guam dan anggaran kasar bagi kos perkhidmatan guaman swasta.

Penerangan yang diberikan sudah tentu amat bermanfaat dan membolehkan bakal anak guam membuat perancangan yang baik sebelum membuat sebarang tindakan. Ia juga boleh mengelakkan bakal anak guam merasakan diri mereka terperangkap sekiranya tidak maklum tentang kos-kos terlindung yang perlu dibayar apabila kes mereka selesai dibicarakan di mahkamah.

Yayasan ini juga boleh berperanan sebagai tempat paling awal untuk dirujuk bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga. Memberikan perlindungan kepada mangsa dan pada masa yang sama membantu mereka dengan memberi jalan penyelesaian kepada mereka.

Sesetengah isteri yang diceraikan tidak mempunyai pendapatan sendiri kerana mereka merupakan suri rumah sepenuh masa. Dan keadaan menjadi lebih malang sekiranya mereka ditinggalkan dengan anak-anak tanpa sebarang nafkah. Untuk membuat tuntutan hak jagaan dan nafkah anak pula sememangnya mengambil masa.

Banyak juga tuntutan yang hanya menang di atas kertas yang dari sudut realitinya, tidak memberi sebarang makna. Apabila difikirkan memang amat menyedihkan, tetapi itulah yang berlaku pada sesetengah ahli masyarakat kita.

Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan melaksanakan peranannya hanya apabila perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Sebagai mendahulukan tanggungjawab suami atau bapa.

Dalam keadaan tuntutan berkenaan baru difailkan dan ketika menunggu ia dibicarakan, sementara perintah belum dikeluarkan, maka pihak yang menuntut terpaksa bertungkus-lumus mencari sesuap nasi atau apa sahaja demi memastikan dirinya dan anak-anak dalam perkahwinan, sekiranya ada, terus hidup.

Tentu pelbagai situasi amat getir dihadapi oleh ibu-ibu tunggal ini sekiranya tidak ada saudara-mara, jiran-tetangga, sahabat atau sesiapa sahaja yang menghulurkan bantuan.

Pengalaman masyarakat kita membuktikan bahawa fenomena ini berlaku dan ia berpotensi untuk terus berlaku walaupun setiap kalangan kita berharap agar tidak ada ahli masyarakat hidupnya teraniaya.

Persediaan perlu dibuat supaya pihak yang malang tidak menjadi bertambah malang. Dan pihak yang malang dapat dibantu dan dibimbing supaya mereka menjadi insan yang tidak mudah berputus asa dan melihat bahawa di hadapan mereka masih ada jalan untuk memulakan fasa kehidupan baharu.

 

No comments:

Post a Comment