Menghormati orang
lain yang bersama-sama mencari rezeki menjadikan masyarakat dapat hidup dalam
aman dan harmoni. Petani memberi penghormatan kepada nelayan dan penoreh getah
kerana mereka bekerja dan mendapat imbalannya. Guru menghormati kerjaya tukang
cuci bilik air kerana pekerjaan itu menjadikan suasana bilik air lebih ceria
dan pelajar tidak merungut. Doktor menghormati tukang sapu sampah di hospital
kerana menjadikan pesakit dan keluarganya dapat merasai kerehatan yang
berpanjangan.
Namun keadaan seperti
ini tidak berlaku dalam kalangan anggota polis Balai Polis Kodiang, Jitra, Kedah. Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23 tahun
merupakan seorang pekerja syarikat pembersihan telah dibelasah oleh anggota
polis dari balai polis itu yang tidak dapat menerima teguran mudah, ‘masukkan
sampah ke dalam tong’. Apa hendak jadi polis seperti ini?Kerana dendam,
dibawanya rakan-rakan untuk memukul pekerja itu sehingga lebam pada pipi kiri,
rusuk kiri dan bahu.
Nampak sangat polis ini tidak
menghormati pekerjaan orang lain yang dianggap lebih rendah dan tidak ada
nilai. Mereka memandang hina pekerjaan pembersih dan berfikir boleh melakukan
apa sahaja. Kata-kata yang angkuh, “ tembak kalau ada pistol” menjadi ugutan
yang meninggalkan trauma kepada mangsa. Anggota polis yang terlibat masih
bernasib baik kerana mangsa tidak meninggal dunia, jika tidak, satu Malaysia
akan heboh dengan keganasan polis kita.
Kita pun tidak tahu apakah masalah
sebenar . Teguran Ridzuan meminta anggota polis itu memasukkan sampah ke dalam
tong sampah amat mudah difahami, bukannya teguran hendak memasukkan polis itu
ke dalam tong sampah. Barangkali inilah yang berlaku sehingga anggota polis
berumur 40-an itu angin satu badan. Menjadi tanggungjawab pembersih
membersihkan jalan raya, longkang, lantai dan syiling supaya wujud keceriaan
persekitaran.
Kita menyabut baik kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop yang
tidak memberi muka kepada mana-mana anggota polis yang melakukan kesalahan.
“Pegawai kerajaan sepatutnya bagi contoh
baik kepada orang ramai dan bukan melakukan sebaliknya.”
No comments:
Post a Comment