Bermain badminton menjadi rutin mingguan saya. Rakan sepasukan yang kerap bermain rata-ratanya sudah veteran tetapi tangkas di gelanggang. Ada yang bekerja sendiri, pesara kerajaan dan pekerja swasta.
Setiap kali berlawan, saya berpasangan dengan pemain veteran yang cepat panas baran, serba-serbi tidak kena. Dua kali lawan, kedua-duanya kalah. Apa lagi, marahlah rakan saya ini, ada -ada saja perkataan dan teguran yang keluar dari mulutnya. Jika bulu tangkis tidak melepasi jaring ketika 'smash', dia akan merungut dan meninggikan suara. Kalau pukulan balik atau libasan tangan terlalu lemah, lagilah marah.
Sesekali saya rasa hendak marah juga dan kadang-kadang sengaja memukul bola tangkis keluar gelanggang kerana ingin meningkatkan rasa marahnya di samping seronok melihat reaksi orang yang marah ini. Sesekali saya sengih melihat telatahnya. Sesekali juga telinga saya rasa panas tetapi lawan tetap lawan.
Selepas kalah, kami kena keluar gelanggang dan kedua-duanya bermuka masam. Ketika hendak pulang, kami bersalaman dan kembali senyum dan berbual-bual. Telinga merah, hati panas tapi okey, tidak ada masalah.
No comments:
Post a Comment