Dari mata turun ke hati. Dari hati ke jinjang pelamin lalu menjadi raja sehari. Ikatan dua keluarga disatukan dan bertambah erat. Jauh menjadi dekat, kemesraan bertambah mekar dan segar.
Biasanya pasangan yang sedang hangat bercinta mengambil keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan mereka dengan mengikat tali pertunangan. Ia menjadi tanda yang kedua-duanya membuat persediaan mental, emosi, spiritual dan fizikal supaya dapat bersedia dengan alam rumah tangga. Majlis bertunang dibuat dalam suasana sederhana diiringi doa selamat dan majlis kenduri untuk keluarga.
Tempoh bertunang adalah tempoh persediaan. Ia bukannya tiket untuk membawa anak dara orang keluar berjalan-jalan cari makan, bukan juga ruang untuk menambah dosa dengan berpegangan tangan. Namun, bagi golongan yang enggan mengikut aturan agama, mereka beranggapan tempoh bertunang sudah boleh menjadi lesen untuk keluar bersama-sama supaya dapat kenal hati budi masing-masing. Ketika ini hidup terasa indah seolah-olah dunia ini mereka yang punya.
Bagaimana pula pasangan yang bertunang tetapi tidak pernah bercakap melalui telefon, tidak pernah ‘dating’ dan tidak pernah bercakap secara semuka? Satu-satunya sistem hubungan ialah melalui SMS dan e-mel. Adakah pasangan seperti ini tidak mampu membina cinta dan bahagia?
Sebaik sahaja majlis perkahwinan, kenduri-kendara diadakan mengikut kemampuan keluarga. Ada memilih di rumah, dewan orang ramai dan hotel. Biasanya kawasan rumah sudah memadai untuk jemputan menjamu selera kerana kos yang lebih murah. Ada pula pasukan kompang dan dee jay jemputan pasang siap yang menghiburkan jemputan.
Apakah sebenarnya yang kita buru atau hendak dapatkan dalam perkahwinan? Adakah ia lambang status, prestij atau meriah? Apa guna belanja terlalu mahal dan berlebih-lebihan apabila setahun dua berkahwin, rumah tangga mula berhentakan? Semua kisah peribadi ketahui umum. Apa guna menjemput ribuan orang namun terpaksa menanggung hutang berpanjangan?
Konsep berkahwin yang tepat telah diberi Rasulullah saw. Kahwinlah kerana telah cukup sifat dan bersedia menjadi pemimpin keluarga. Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a, diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.
Mungkin ada di antara kita yang pernah bercinta dan berangan-angan hendak berkahwin dengan lelaki atau wanita yang cantik tetapi di mana akhir kesudahannya? Cantik hanya pada usia muda apabila umur meningkat, kulit muka mulai kendur dan hilang serinya.
Allah swt telah menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa orang beragama adalah pilihan terbaik. Apabila dua kekuatan bersatu, ia menjadi tenaga yang kuat dan memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah, anak-anak yang didik dalam suasana soleh dan solehah akan berkembang menjadi individu yang mantap dengan akidah, berakhlak mulia dan memahami benar-benar tujuan hidup.
Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita solehah. (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment