Pelajar -pelajar di dalam kelas hari ini ketawa mengekek apabila saya katakan jalan raya dan lebuh raya di Malaysia boleh dijadikan sebagai tempat untuk membunuh. Kata-kata seperti ini mungkin dianggap gurauan oleh pelajar di sebalik berita 12 orang mati kemalangan baru-baru ini. Puncanya belum diketahui. Barangkali seminggu dua ini kerajaan akan mengumumkan punca nahas dan beberapa bentuk pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Sejak berulang-alik dari Melaka ke Putrajaya saban minggu, saya dapati tingkah laku pemandu di atas jalan raya jauh berbeza mengikut jenis kenderaan. Jika memandu kereta, biasanya lebih daripada 110km sejam malah mencapai 150km sejam. Kereta yang dipandu laju ini berdesup di sebelah kanan dan membuatkan jantung saya berdebar kencang bagai hendak putus. Alhamdulillah, sebelum memulakan perjalanan, saya sentiasa membaca doa naik kenderaan takut-takut kalau itulah perjalanan terakhir di atas muka bumi.
Jika membawa bas, biasanya ia berada di lorong tengah atau sebelah kiri, jarang sekali di lorong sebelah kanan. Ketertiban pemandu bas memang jelas pada sebelah siang berbanding malam.
Jika membawa lori, ada dua jenis. Pertama, lori muatan berat. Kedua, lori tanpa muatan atau lori tiga tan. Lori dengan muatan sentiasa berada di lorong paling kiri kerana pergerakannya sangat perlahan. Kadang kala ada juga kenderaan jenis ini yang memotong lori muatan lain kerana tidak sabar untuk sampai ke destinasi. Lori tiga tan memilih lorong tengah kerana boleh memecut laju namun masih di bawah tahap kelajuan 110km sejam.
Motosikal juga ada. Kadang-kadang dilihat hendak bersaing dengan lori, kereta dan bas yang jauh lebih besar dan laju. Biasanya yang hendak berlawan ini hanyalah motosikal kapcai dengan aksi memukau penunggang. Apabila kalah, mereka mula bergerak ke lorong motosikal dan mula menunjukkan muka sedih. Ada juga yang degil berada di laluan tengah dan tarik muka masam apabila kena hon.
Berbagai-bagai ragam pemanduan sangat menyeronokkan kerana di sinilah kita dapat melihat gelagat pemandu di lebuh raya. Seronoknya ketika memecut ialah dapat merasai nikmat kereta berada dalam kawalan. Tekan butang saja. Tentulah memandu kereta Honda City lebih nikmat daripada memandu Proton Wira atau Perodua Myvi. Perangkap had laju boleh dijejak kerana pemandu kereta di laluan sebelah memberi lampu tinggi sebagai isyarat ada perangkap had laju. Kadang-kadang kita boleh tahu di mana tempat kegemaran perangkap ini diletak. Biasanya selepas subuh belum ada lagi.
Keadaan jalan raya di Melaka sangat baik untuk kenderaan besar tetapi sangat berbahaya bagi motosikal kerana laluan untuk motosikal jarang disediakan. Penunggang motosikal mesti bersaing dan bekerjasama dengan kereta, bas dan lori untuk menggunakan jalan dari Ayer Keroh ke Pusat Bandar. Kadang-kadang ada juga lubang yang belum diturap menjadikan risiko penunggang motosikal semakin bertambah.
Lampu isyarat digital yang dipasang merata tempat memberi panduan kepada pemandu untuk merancang perjalanan namun ia juga mengundang risiko kerana di minit-minit akhir peralihan warna, pemandu lebih suka memecut biarpun mereka boleh berhenti dengan baik. Sikap beginilah yang perlu diubah supaya jalan raya tidak lagi disimbah dengan darah.
Selepas saya cerita keadaan ini kepada pelajar, ada juga yang masih tersengih. Namun lebih banyak menunjukkan muka serius dan semakin sedar. Harap-harap mereka tidak lagi merempit dan melanggar warna lampu isyarat.
No comments:
Post a Comment