‘Aaa...yah..’ sambil senyum, anak lelaki saya memanggil nama abahnya. Sebaik sahaja saya duduk di kerusi untuk menghilangkan dahaga, dia datang menerpa. Inilah kali pertama saya mendengar anak lelaki yang berusia setahun empat bulan ini memanggil nama abahnya. Mungkin kerana dendam kerana sudah dua hari tidak berjumpa. Sebaik sahaja pulang dari Brunei, dia tidak lekang daripada saya malah kadang-kadang buat-buat meragam untuk mengambil hati abahnya. Menangisnya pun jenis menangis hendak dipujuk dan didukung.
Sebelum ini saya pernah dengar dia menyebut ‘mekkk...’ untuk memanggil umminya. Itupun ketika menangis. Bahagianya hidup apabila anak memanggil ayahnya. Dunia rasa besar dan hebat. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan ini.
Anak-anak yang kecil dan sedang membesar menjadi aktif apabila mereka mulai dapat mengimbangkan badan untuk bergerak ke sana-sini. Dunia mereka sangat luas dan mula menjelajah ke merata tempat. Kadangkala ibu bapa tidak menang tangan untuk menjaga dan melayan telatah mereka. Asalkan pintu rumah dibuka, mereka akan menerpa keluar tanpa mempedulikan sesiapa.
Walaupun ibu bapa memerhati ke mana anak-anak pergi, jangan sekali-kali lepa kerana banyak kes yang berlaku di mana anak-anak meninggal dunia kerana terjatuh perigi, dilanggar kereta dan lemas dalam kolam. Keghairahan anak-anak kecil ini memang sukar dikawal tetapi perlu juga diingat, mereka tidak boleh dijerkah atau dimarah kerana dunia mereka adalah dunia kasih sayang, dunia mesra dan dunia yang penuh keceriaan. Tanpa suara dan keletah anak-anak kecil seperti ini, rumah terasa sunyi dan dunia terasa sepi. Biarlah anak-anak menjerit dan bergembira asalkan mereka membesar dengan keyakinan diri yang tinggi dan mahu mencuba apa sahaja yang mereka inginkan.
No comments:
Post a Comment