Wednesday, November 18, 2015

Wakil rakyat perlu hormat bahasa Melayu







Bahasa Melayu telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa rasmi di Malaysia. Artikel 152 memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Justeru, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan sentiasa diberi keutamaan hatta perbahasan di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Tindakan seorang wakil rakyat yang memberi hujah dalam bahasa Inggeris tanpa meminta izin daripada Speaker Parlimen merupakan tindakan memperlekeh Artikel 152 itu. Tidak ada sebarang alasan yang boleh dijadikan hujah untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris di parlimen tanpa keizinan Speaker Parlimen sendiri.

Ahli parlimen dari Sarawak itu perlu mempelajari sejarah penubuhan Malaysia. Dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963. Keputusan ini dibuat melalui pungutan suara yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold dan mendapat restu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keputusan itu juga menjadikan Sabah dan Sarawak terikat dengan Perlembagaan Persekutuan kecuali dalam perjanjian khusus yang melibatkan kedua-dua negeri.

Bahasa Melayu menjadi salah satu tuntutan yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu untuk dimasukkan dalam kontrak sosial. Persetujuan ini menjadikan jutaan pendatang asing dari China dan India mendapat taraf kewarganegaraan selepas memenuhi kriteria-kriteria utama termasuk boleh berbahasa Melayu.

Konflik mula muncul apabila ada kalangan wakil rakyat yang tidak memahami sejarah Malaysia dan masyarakat pelbagai kaum. Mereka boleh mempengaruhi rakyat melalui hujah yang dangkal dan mengelirukan. Sewajarnya Speaker Parlimen bertindak tegas dan memberi amaran supaya tindakan tersebut tidak diulangi pada masa hadapan.



No comments:

Post a Comment