Tuesday, November 17, 2015

Pasaran restoran di Melaka: Kajian kes Restoran Pak Putra








1.0 Pengenalan

Mengkaji sosioekonomi di negara ini, pelbagai perkara yang perlu diketahui. Antaranya ialah perusahaan makanan. Melalui temu bual yang dijalankan, dapat diketahui kaedah dan strategi sesebuah perniagaan dilaksanakan. Restoran Pak Putra, salah sebuah restoran terkenal di bandar Melaka, diusahakan oleh pengusaha yang berasal dari Pakistan. Walaupun restoran ini tiada misi dan visi yang tersendiri, namun dari segi impak sosoiekonomi, sememangnya restoran ini memberi impak positif yang banyak. Antaranya adalah dari aspek pelancongan. Restoran ini bukan sahaja terkenal di Melaka, namun turut terkenal di seluruh dunia, hanya dengan menggunakan sebuah aplikasi pelancongan iaitu, Tripadvisor.

Apa yang dapat dilihat adalah restoran ini secara tidak langsung telah menarik ramai pelancong dari luar negara dan telah menjadikan restoran ini sebagai salah satu destinasi makanan pilihan di Melaka. Hal ini dapat memberi impak kepada ekononomi negara terutamanya kepada Melaka, kerana mereka yang datang membelanjakan wang mereka untuk makan di restoran ini. Selain itu, kesemua pekerja yang bekerja di restoran ini amat berdedikasi dan patuh akan arahan yang diberikan. Ini dapat dilihat melalui cara mereka bekerja yang mana pemilik restoran ini amat mementingkan ketepatan masa dan kepuasan hati pelanggan. Kesemua pekerja amat berdisiplin dan tidak menampakkan kemalasan langsung semasa melakukan pekerjaan. Sikap sebegitu sememangnya harus ditunjukkan dalam sesebuah pengurusan dalam memastikan sesebuah perusahaan itu berjalan dengan baik dan tidak mengalami masalah.


2.0 Latar Belakang

Restoran Pak Putra merupakan sebuah restoran yang menyediakan makanan yang berasal dari India Utara dan Pakistan iaitu roti nan dan ayam tandoori. Kedua-dua jenis makanan ini adalah makan yang popular di negara tersebut. Pemilik Restoran Pak Putra ini merupakan seorang yang berasal dari Pakistan iaitu Qamar Nadeem. Beliau mula berhijrah ke Malaysia pada tahun 1998. Pada tahun-tahun berada di sini, beliau mencuba nasib dengan memohon kerja di dalam sektor penginapan iaitu hotel. Namun, agak sukar untuk mendapat pekerjaan tersebut kerana beliau baru sahaja berhijrah ke Malaysia dan statusnya yang masih berada di dalam permit. Beliau memilih hotel sebagai sasaran pekerjaan di Malaysia kerana beliau mempunyai pegalaman bekerja di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Pakistan. Namun beliau tidak bernasib baik kerana tiada hotel yang ingin mengambilnya bekerja. Beliau beranggapan bahawa di Malaysia ini begitu sukar untuk mendapat kerja, namun agak senang untuk memperoleh pendapatan yang tinggi dengan cara bekerja sendiri.

Oleh yang demikian, beliau membuat keputusan untuk mengenengahkan makanan ruji negaranya iaitu roti nan. Beliau sendiri tiada pengalaman untuk membuat roti nan dan tidak tahu cara untuk membuat roti nan tersebut, namun perkara tersebut tidak menghalang beliau untuk meneruskan perniagaan di sini. Beliau berusaha mencari seorang yang pakar dalam menyediakan roti nan. Setelah lama mencari, akhirnya beliau bertemu dengan seorang kenalan yang pakar membuat roti nan serta ayam tandoori. Kenalan yang beliau temui itu juga berasal dari Pakistan.

Dengan memperoleh peluang yang cerah, Qamar Nadeem telah mempelajari cara membuat roti nan dan ayam tandoori dengan bersungguh-sungguh. Beliau mempelajarinya dalam tempoh beberapa bulan dan akhirnya mahir dalam menghasilkan roti nan tersebut. Setelah itu, beliau mendapat seorang rakan yang juga berasal dari Pakistan dan telah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan roti nan ini. Qamar telah membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai bersaiz kecil sebagai permulaan perniagaan ini. Beliau memberanikan diri dengan membukanya di Desa Pandan sekitar tahun 2000 dan perniagaannya bertahan selama setahun lebih. Setelah itu, beliau berpindah pula ke sebuah medan selera di Jalan P. Ramlee dan perniagaannya bertambah maju dan lebih baik daripada sebelumnya. Namun, tidak semua perkara yang dirancang berjalan dengan lancar. Qamar mendapat tamparan hebat apabila rakan kongsi perniagaannya telah meninggalkannya dalam keadaan sewaan tapak perniagaan yang semakin meningkat. Beliau telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Melaka kerana negari ini merupakan negeri pelancongan di Malaysia dan beliau berpendapat bahawa perniagaannya akan lebih maju.

Pada tahun 2002, beliau dipertemukan dengan jodohnya, iaitu seorang wanita yang berbangsa Cina Peranakan. Beliau telah berkahwin dengan wanita tersebut dan kini telah memperoleh seorang anak. Setelah beberapa bulan berkahwin dan mencari tempat untuk menjalankan perniagaan roti nan, akhirnya pada April 2003, beliau telah membuka sebuah kedai roti nan yang terletak di Jalan Kota Laksamana, berdekatan dengan sebuah hotel bertaraf lima bintang iaitu Hotel Casa Del Rio dan salah satu kawasan membeli belah cenderamata yang terkenal di Melaka iaitu Jonker Walk. Beliau telah berbincang dengan isterinya mengenai nama kedai yang ingin diletakkan dan setelah lama berbincang, akhirnya Pak Putra dipilih sebagai nama kedai tersebut.

Nama Pak Putra bukanlah merujuk kepada nama beliau atau sesiapa pun, tetapi mempunyai maksud yang tersendiri. Putra adalah gelaran yang diberikan kepada anak lelaki di negara Pakistan dan Pak pula adalah singkatan daripada nama Pakistan. Oleh yang demikian, maksud Pak Putra merujuk kepada anak Pakistan. Pada mulanya beliau membuka sebuah kedai sahaja dan mempunyai pekerja seramai empat orang. Seorang merupakan warganegara Malaysia iaitu wanita dan selebihnya adalah lelaki warga asing. Tidak lama kemudian bilangan pekerja di Restoran Pak Putra bertambah kepada 21 orang yang diambih bekerja dari negara Pakistan, India dan Bangladesh termasuk abang beliau yang bernama Sohail Waseem. Abang beliau telah berhijrah ke Malaysia bagi membantu meringankan beban beliau dalam mengusahakan perniagaan ini. Pada asalnya, isteri beliau turut bekerja bersama di restoran tersebut sebagai juruwang tetapi dia telah membuat keputusan untuk berhenti dan menjadi suri rumah tangga sepenuhnya. Oleh itu, Qamar telah menjalankan perniagaan tersebut bersama-sama abangnya tanpa bantuan isterinya lagi.

Setiap pekerja di restoran tersebut mempunyai kepakaran masing-masing dan Qamar memberi keutamaan kepada pekerja yang membuat roti nan dan ayam tandoori. Pekerja di bahagian tersebut telah diajar degan teliti mengenai cara menghasilkan roti nan dan ayam tandoori yang terbaik, melalui pengalaman beliau ketika mempelajarinya di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Semakin hari, perniagaan roti nan dan ayam tandoori ini bertambah maju dan diminati ramai. Qamar telah mempelbagaikan menu di restoran ini dengan mengenengahkan lagi menu-menu dari India Utara dan Pakistan yang kebanyakannya menggunakan pelbagai rempah ratus dan santan dalam menghasilkannya. Bukan itu sahaja, kemajuan restoran ini turut dilihat melalui perkembangan saiz kedai tersebut. Pada asalnya Qamar hanya membuka sebuah kedai sahaja, namun hasil perniagaannya yang maju dan terkenal ini, beliau telah berjaya memperoleh sebuah lagi kedai yang terletak bersebelahan dengan kedainya dan kini beliau telah mempunyai sebuah restoran yang besar. Sehingga kini, beliau masih mengekalkan bilangan pekerja seramai 21 orang dan tidak mahu mengambil lagi tanaga kerja yang lain kerana pekerja yang beliau miliki kini mempunyai tahap professional yang beliau ingini dan mereka telah mempunyai pengalaman yang banyak sepanjang bekerja di restoran Pak Putra ini.


3.0 Objektif Penubuhan

Qamar Nadeem adalah seorang perantauan di Malaysia. Pada awal kedatangan beliau ke Malaysia, beliau telah mencuba nasib untuk mencari pekerjaan yang baik untuk dirinya. Kecekalan yang menguatkan beliau hadirkan diri ke Malaysia telah merangsang diri untuk hidup berjaya di bumi Malaysia ini. Namun begitu, keinginan yang diharapkan oleh beliau disentak oleh kesukaran mencari pekerjaan yang boleh memberi pendapatan lumayan. Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan, beliau mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan. Beliau berhasrat membuka sebuah restoran di Selangor.

Berbekalkan pengalaman bekerja di hotel beliau mencurahkan segala idea dan kewangan untuk menjayakan hasrat beliau. Malah, beliau sendiri menyatakan bahawa dengan berniaga mampu memberi pulangan yang lebih banyak. Pada pendapatnya, dengan berniaga beliau dapat menikmati pendapatan yang lebih baik daripada kerja makan gaji seperti perantau asing yang lain di Malaysia. Beliau juga berpendapat berniaga sebagai satu langkah untuk menyara keluarganya. Tambahan pula, beliau ingin membuka jalan atau lebih memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat untuk bekerja di restorannya. Malah, ingin membantu rakan dari negara sendiri mendapatkan pekerjaan. Akhir sekali, beliau bersungguh-sungguh memberi persaingan yang sihat dalam bidang ini di kawasan tersebut.

Restoran Pak Putra beroperasi bermula pukul 5.30 petang sehingga pukul 1.00 pagi. Seperti kebiasaan restoran-restoran lain, Restoran Pak Putra juga mempuyai sistem kerja yang tersendiri. Sistem kerja yang efektif telah melancarkan suasana restoran dan membuatkan perjalanan perniaagaan menjadi teratur dan lancar. Pembahagian kerja daripada pengurus kedai juga menjadi juruwang di kaunter sehingga ke belakang tabir iaitu yang membersihkan persekitaran restoran dan mencuci peralatan. Para pekerja akan datang untuk membuat persediaan bermula pukul 4 setengah petang. Mereka semua akan menyediakan segala kelengkapan berniaga seperti sudah menyiapkan adunan roti nan, memerap ayam tandoori, pinggan dan peralatan lain yang sudah disediakan sehingga menyusun kerusi dan meja di luar kawasan restoran.

Seterusnya, apabila semua sudah disiapkan mereka akan bermula berniaga, namun terlebih dahulu, Qamar akan memberi taklimat kepada pekerja supaya menjaga imej restoran dan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Restoran Pak Putra menjual menu sajian utama mereka iaitu ayam tandoori dan roti nan. Tambahan lagi, terdapat juga jualan roti canai dan masakan panas. Bagi setiap pekerjaan yang ada di dalam kedai, setiap satunya dikhususkan kepada seorang pekerja seperti membuat roti nan, membakar ayam tandoori, membuat air, membuat masakan panas dan membuat roti canai.

Terdapat lima orang yang akan mengambil pesanan, tiga orang menghantar dan membantu bahagian dapur dan dua orang yang mencuci pinggan dan peralatan yang lain. Kaedah yang dilaksanakan di restoran ini amat membantu. Buktinya,r amai pelanggan yang datang untuk menikmati sajian di restoran ini. Para pekerja di restoran ini berdisiplin dan mengikut jadual. Waktu perniagaan restoran ini mengikut waktu berniaga yang ditetapkan. Malah, keehsanan Qamar yang memberi ruang pekerjanya berehat wajar dicontohi. Para pekerja mendapat hak untuk  kebajikan mereka dan diberi cuti mingguan pada hari isnin.


4.0 Kekuatan dan Kelemahan Restoran Pak Putra

Restoran Pak Putra merupakan satu-satunya restoran yang menjual makanan India Utara  di sekitar kawasan tersebut. Selain itu, Restoran Pak Putra berdekatan dengan hotel bertaraf lima bintang iaitu Hotel Casa del Rio memberi peluang kepada pelancong yang menginap di hotel tersebut akan menjamu selera di Restoran Pak Putra.

Dari segi pekerja, bilangan pekerja seramai 21 orang mampu mengawal situasi terutamanya pada waktu puncak iaitu dari jam 8 malam. Kesemua pekerja di restoran tersebut telah sebati dengan suasana pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung ke situ. Lokasi Restoran Pak Putra merupakan kekuatan yang amat besar dimiliki oleh pemilik restoran. Restoran ini berdekatan dengan kawasan tumpuan orang ramai terutamanya pelancong dari luar dan dalam negara seperti Jonker Walk dan Kubu A’Famosa.

Tambahan pula, Restoran Pak Putra turut dikenali melalui satu laman web khas untuk pelancong, iaitu TripAdvisor Food. Menurut laman web ini, Restoran Pak Putra berada di kedudukan pertama daripada 148 buah restoran di Melaka. Hal ini memberi kelebihan kepada restoran ini kerana pengunjung laman sesawang ini sudah pasti akan mengunjungi restoran ini. Di samping itu, Restoran Pak Putra mengekalkan keenakan makanan dari India Utara dan Pakistan dengan menggunakan rempah-ratus dari India.

Namun begitu, ada beberapa aspek yang boleh ditambah baik. Antaranya ialah masyarakat tempatan tidak bekerja secara tetap di Restoran Pak Putra. Hal ini kerana, masalah yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia ialah mereka tidak menganggap pekerjaan di restoran sebagai pekerjaan utama. Oleh hal yang demikian, pemilik restoran terpaksa mengambil pekerja dari luar.

Selain itu, pemilik mengalami masalah mencari pekerja yang mahir dalam pembuatan roti nan yang profesional. Hal ini menyebabkan pemilik berasa ragu-ragu dalam pembukaan cawangan baru kerana risau kualiti makanan yang disediakan berubah.

Di samping itu, kekurangan pekerja kerana ketidakhadiran mereka sedikit-sebanyak mengganggu kelancaran penyediaan makanan. Hal ini disebabkan, setiap pekerja mempunyai tugas mereka sendiri seperti membasuh pinggan mangkuk, mengambil pesanan pelanggan, membuat roti nan dan sebagainya.


5.0 Impak Sosioekonomi kepada Masyarakat Setempat dan Negara

Setiap perusahaan yang dijalankan akan memberi impak tidak kira baik atau buruk. Dalam kajian ini, jelas terpampar pelbagai impak positif yang berkaitan dengan sosioekonomi terutamanya dalam mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum.

Restoran Pak Putra dikunjungi oleh ramai orang termasuklah orang Melayu, Cina, India dan warga asing. Oleh itu, restoran ini menjadi kawasan kepada orang ramai untuk bertemu, berbual-bual dan membuat perbincangan. Para pelanggan juga berinteraksi dengan pengurus dan pekerja restoran. Oleh itu, mereka akan lebih mengenali kaum dan budaya lain.

Selain itu, impak kedua yang dapat dikenal pasti dalam kajian yang dilakukan ini adalah dari segi pembangunan sekitar. Melalui impak ini, penduduk akan mendapat faedah daripada pembangunan tersebut. Pembangunan ini secara tidak langsung akan meningkatkan daya keusahawanan dalam kalangan penduduk sekitar. Oleh yang demikian, peluang pembangunan di kawasan sekitar yang semakin rancak membangun akan mempelbagaikan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di sekitar kawasan tersebut. Keadaan ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan warga asing yang berdaftar untuk bekerja di negara kita. Seperti yang kita sedia maklum, pihak kerajaan tidak menyekat langsung kedatangan warga asing untuk bekerja di negara ini, namun haruslah mempunyai permit yang sah dan tidak melanggar undang-undang negara.

Selain itu, impak ketiga yang dapat dilihat melalui perusahaan Restoran Pak Putra ini adalah menjana pendapatan negara. Apa yang boleh diperkatakan disini adalah restoran ini secara tidak langsung telah menyumbang sedikit kepada sektor kewangan negara. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemerhatian dan kajian serta temu bual yang telah dilakukan terhadap pengusaha restoran tersebut. Seramai 20 orang daripada 21orang pekerja di Restoran Pak Putra merupakan warga asing. Pendaftaran visa, pasport dan lesen untuk bekerja di negara kita memerlukan pembayaran. Hasil pendapatan negara dapat dipertingkatkan dengan pendaftaran tersebut di bawah jabatan imigresen. Selain itu, pendapatan hasil cukai daripada pelancong asing turut diperolehi. Walaupun perkara ini tidak berhubung kait dengan Restoran Pak Putra, namun status restoran ini yang semakin popular telah membuatkan pelancong luar tertarik untuk datang ke Malaysia, khususnya negeri Melaka bagi mencuba keenakan makanan India Utara dan Pakistan yang disediakan serta jarang diperoleh di kawasan sekitar restoran ini.

Impak terakhir yang dapat dilihat melalui perusahaan Restoran Pak Putra ini adalah dapat mempopularkan kawasan setempat mahupun di sekitar kawasan restoran ini beroperasi. Kawasan Restoran Pak Putra yang dahulunya kurang dikenali kini telah menjadi kawasan kunjungan orang ramai setelah terdapatnya restoran ini dan ditambah pula dengan premis perniagaan yang lain. Tambahan lagi, terdapat juga hotel bertaraf lima bintang yang berdekatan iaitu Hotel Casa Del Rio. Secara tidak langsung, populariti kawasan tersebut ditingkatkan.Tambahan lagi, kawasan membeli-belah cenderamata yang terkenal iaitu Jonker Walk yang telah menjadi kebiasaan terhadap destinasi tumpuan para pelancong secara kebetulan berhampiran dengan lokasi Restoran Pak Putra dan ini sekali gus membuatkan restoran ini semakin popular dan dan kawasan tersebut dikenali ramai. Bukan itu sahaja, peta lokasi restoran ini yang telah dimuat naik dalam internet dan sistem GPS juga telah sedikit sebanyak mempopularkan kawasan tersebut apabila pengunjung dari dalam dan luar negara menggunakannya untuk mencari lokasi restoran tersebut.


6.0 Permasalahan dan Penyelesaian

Restoran Pak Putra ditubuhkan pada 2003 April sehingga sekarang. Dalam perjalanan yang panjang ini terdapat banyak masalah yang dihadapi oleh pemilik restoran dan pekerja-pekerjanya. Antaranya ialah disebabkan oleh pelanggan, pekerja dan kewangan. Namun begitu, Qamar tetap mendapat cara penyelesaiannya.

Masalah yang paling sering berlaku ialah pelanggan yang mengadu makanan lambat sampai khususnya terdapat ramai pelanggan pada satu-satu masa. Pesanan yang diterima terlalu banyak. Jadi, terdapat pelanggan yang perlu tunggu selama setengah jam untuk mendapatkan makanan.  Qamar juga merupakan seorang yang mementingkan kualiti makanan yang dihidangkan, oleh itu dia selalu memastikan makanannya memenuhi kriterianya. Jadi untuk mengatasi masalah kelambatan makanan dihidangkan, Qamar telah menambahkan lagi bilangan pekerjanya yang menyediakan makanan. Beliau juga selalu memaklumkan masa yang pelanggannya perlu tunggu untuk makanannya sampai. Dengan ini, beliau dapat memuaskan sebilangan banyak pelanggannya yang datang.

Selain itu, pelanggan yang menukar tempat duduk sesuka hati merumitkan proses untuk pekerja menghantar makanan. Seperti yang kita ketahui, nombor meja pelanggan dicatat ketika mengambil pesanan apabila pelanggan menukar meja sesuka hati manjadi masalah kepada pelayan untuk menghantar makanan.  Terdapat juga pelanggan yang ingin makanan mereka cepat sampai dan memberi pelbagai alasan yang mereka mengejar masa. Hal ini menyusahkan pekerja restoran kerana mereka hanya akan menghantar makanan mengikut urutan yang dihantar oleh pelayan kedai. Untuk menyelesaikan masalah ini, Qamar selalu mematuhi prinsipnya yang merupakan ‘first come first served’. Beliau juga tidak mengambil tempahan kerana tidak ingin pelanggannya mengadu apabila melihat pelanggan lain yang lambat sampai tetapi makanannya sampai dahulu.

Terdapat juga sebilangan kecil pelanggan yang tidak membayar selepas makan. Walaupun hanya sebilangan kecil pelanggan yang berbuat demikian, tetapi perkara ini akan menyebabkan kerugian kepada perniagaan Qamar. Selain itu, pekerja yang tidak datang bekerja kerana sakit atau mengambil cuti akan menyebabkan masalah kepada operasi kedai. Hal ini akan menyababkan kekurangan tenaga kerja di kedai. Beliau telah mengagihkan tugasan setiap pekerja supaya operasi kedai dapat dijalankan dengan lancar. Keadaan akan menjadi kelam kabut jika terdapat dua hingga tiga orang pekerja tidak datang bekerja. Untuk mengurangkan masalah sebegini, Qamar sendiri akan mengutip bayaran dari meja ke meja selepas pelanggan habis makan. Lazimnya beliau akan berbuat demikian apabila pelanggannya banyak. Dengan cara ini, beliau dapat mengurangkan bilangan pelanggan yang tidak membayar selepas makan.

Pekerja yang telah lama bekerja di sini ingin berhenti kerja kerana masalah keluarga, mendapat pekerjaan lain yang lebih baik atau ingin menyambung kerja di negara asal juga menjadi satu masalah untuk Qamar. Beliau terpaksa mencari pekerja baru untuk mengisi ruang pekerja lama dan perlu mengajar semua perkara dari asas. Beliau lebih suka mengambil pekerja dari kampungnya (India) kerana pekerja dari kampungnya lebih mudah memenuhi syarat dan kehendaknyp. Untuk memastikan pekerjanya sentiasa datang bekerja dan lebih sihat, beliau sentiasa memastikan kebajikan pekerjannya diutamakan. Kesihatan pekerja dan cuti mereka sering dirujuk untuk memastikan pekerjanya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan cergas.

Selain itu, kenaikan harga bahan mentah seperti tepung, minyak, ayam dan gula juga menjadi suatu masalah kepada Qamar. Kenaikan harga barangan tersebut menyebabkan kos kasar untuk membuat roti naan dan ayam tandoori meningkat. Beliau berasa bimbang kerana keuntungannya tidak dapat menampung jumlah kegunaan kedainya. Jikalau masalah ini berterusan berbulan-bulan, dia terpaksa menutup kedainya. Walau bagaimanapun, Qamar tetap berfikiran positif dan tidak berputus asa. Beliau mula membuat promosi untuk kedainya untuk menarik pelanggan baru dan beliau tetap tidak menaikkan harga makanan yang dijualnya untuk menjaga hati pelanggan.  


7.0 Cadangan dan Potensi Masa Hadapan

Bagi Restoran Pak Putra ini, Qamar tidak menyasarkan untuk membuka cawangan. Beliau ingin memajukan perniagaan dan mungkin akan membuka cawangan pada masa depan jika keadaan mengizinkan. Potensi masa hadapan Restoran Pak Putra ialah ia boleh menjadi restoran terkemuka di Malaysia memandangkan sekarang Restoran Pak Putra telah menjadi restoran makanan mendapat paling banyak sokongan di laman web TripAdvisor. Beliau juga akan memastikan perusahaan makanannya akan terus maju dan terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelancong luar negara.

Bukan itu sahaja, beliau telah bercadang untuk menaik taraf restorannya dengan membaik pulih restorannya. Dengan terlaksananya penambah baikkan terhadap restoran tersebut, beliau mengharapkan agar restoran tersebut lebih banyak menyediakan ruang makan untuk para pelanggan. Pada masa ini, kedua-dua bahagian kedai menggunakan kipas syiling yang biasa. Beliau juga bercadang untuk membuat satu bahagian tempat makanan yang berhawa dingin. Beliau ingin mewujudkannya kerana pada pemerhatian beliau, terdapat pelanggan yang mengadu bahawa suasana persekitaran di kedai tersebut agak panas dan kebanyakan yang mengadu masalah tersebut adalah pelancong asing. Melalui pengubahsuaian tersebut, beliau mengharapkan para pelanggan dapat menjamu selera dengan selesa dan ini sekali gus menarik lebih ramai pelanggan tempatan dan pelancong luar negara untuk menikmati hidangan roti nan dan ayam tandoori di restoran tersebut.

Dari segi pekerja pula, beliau tiadak mengehadkan kepada jumlah yang tertentu. Bagi beliau, sesiapa juga boleh bekerja di restoran tersebut. Beliau juga tidak mengehadkan kepada warga asing untuk bekerja di situ, seperti apa yang dilihat sekarang, rata-rata pekerjanya adalah dari negara luar iaitu India, Bangladesh dan Pakistan. Beliau amat mengharapkan agar terdapat penduduk tempatan yang akan bekerja di restoran itu. Hal ini kerana tiada seorang pun warga tempatan yang ingin bekerja di situ dan memandang pekerjaan tersebut amat murah dan rendah.  Bagi beliau, status gaji tidak penting tetapi pengalaman yang ditimba adalah sangat berguna dan tidak dinafikan bahawa, ilmu dan pengalaman yang dipelajari itu akan membuatkan seseorang boleh berjaya dalam apa jua yang dilakukan.


Rujukan


http://food.malaysiamostwanted.com/venues/restoran-pak-putra-naan-tandoori-chicken-taman-laksamana-melaka (dilihat pada 4 September 2012)

http://www.tripadvisor.com.my/Restaurant_Review-g306997-d877996-Reviews-Pak_Putra_Tandoori_Naan_Restaurant-Melaka_Central_Melaka_District_Melaka_State.html                                 

http://www.bangsarbabe.com/2012/02/pak-putra-naan-and-tandoori.html 

Temu bual bersama pengusaha Restoran Pak Putra, Qamar Nadeem.


MZ Zainudin, Ahmad Haris Ahd Suhaimi, Mong Guo Ren, Teo Kah Chun, Vinesh a/l Unakrishnan, Abdul Rahim Abdul Hamed



Post a Comment